Tuesday, October 27, 2009

Drama Kehidupan

Alhamdulillah, saya baru menerima seorang lagi ahli keluarga yang baru pada Rabu yang lepas, 21 Oktober 2009. Isteri saya, Ruzieta Mohd Jusak selamat melahirkan bayi lelaki, 3150gm, pada 21 Okt, jam 7.24mlm di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Tiada kegembiraan yang mahu diucapkan, selain mengucapkan syukur dipanjangkan kepada Allah Ta'ala yang maha besar. Anak-anak merupakan amanah yang perlu dididik dan dibentuk supaya boleh menjadi penerus saham akhirat kita nanti. Nampaknya Balqis sudah menjadi Kak Long, dan mesti tunjuk tauladan yang baik kepada adiknya kelak;-)

..................................................................


Dalam tempoh beberapa hari ini, ada 3-4 berita kematian singgah di telinga saya. Sememangnya, berita-berita ini ada kaitannya dengan merek
a yang benar-benar rapat dan saya kenal. Antaranya ialah anakanda kepada Ust Ramadan Fitri dan istri, yang meninggal kerana berlaku gegaran di otak adik kecil tersebut. Bayi berumur 4 bulan yang bernama Nur Fatimah telah dijemput Allah Ta'ala setelah hampir seminggu dalam keadaan koma. Kemudian Dr Zainuddin, Jaafar abang kepada saudara Naim Jaafar, yang pernah menjadi pensyarah UIAM, Presiden KISDAR dan Ahli Jawatankuasa ABIM Pusat, termasuk Panel Syariah Affin Bank suatu ketika dahulu. Juga umi mertua kepada saudara Firdaus Khairi, yang merupakan keturunan Ust Abu Bakar Semanggol, Perak.

Yang paling sayu ialah pada 26 Oktober, Isnin, apabila kemalangan yang menimpa 4 beranak (ibu, 2 anak dan cucu) di Putrajaya (Berita 1), (Berita 2). Sebenarnya keluarga yang terlibat ada kaitan saudara dengan saya, apabila anak sulung Allahyarham, saudara Dahri berkahwin dengan sepupu saya, Khairun Nisa Yaakob. Bahkan, anak ketiga Allahyarham, Dr Madiha berkahwin dengan sahabat saya, saudara Ikhram (bekas Exco PKPIM). Saya mendoakan agar keluarga Hj Zawawi, ayah mertua Ikhram dikurniakan kesabaran dan ketenangan. Semoga Allah Ta'ala ampuni dosa-dosa mereka yang telah dijemput, menemui Allah Ta'ala lebih awal daripada kita.
(PERODUA Kancil dan Proton Saga yang bertembung di Kilometer 1.5, Persiaran Selatan, Jalan Kajang-Dengkil, dekat Putrajaya, tengah hari semalam.)

Berita-berita kematian ini hanya mengingatkan kita, bila-bila masa sahaja kematian boleh menjemput kita. Sejauh mana persediaan kita menghadapi kematian. Bersediakah kita meninggalkan/ditinggalkan oleh orang kesayangan kita. Semua ini menuntut muhasabah yang beterusan, supaya kita dapat menghadapi kematian dengan tenang dan bersedia.

Ya Allah, Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan dia, dan gantikanlah dia buatku dengan gantian yang baik! – maka aku pun mengucapkannya seperti yang diajarkannya, lalu Allah telah menggantikan dia buatku dengan orang yang lebih baik daripadanya ( Abu Salamah), iaitu dengan Muhammad s.a.w (Riwayat Muslim)


...................................................................

Sekadar perkongsian National Unity Forum anjuran ASLI, di Sunway College pada 26 Oktober lepas, sebelum ke Putrajaya menziarahi keluarga mertua Ikhram yang ditimpa kemalangan.

Secara umum, program yang baik dan berkesan. Ramai tokoh dan pemimpin hadir membentang idea. Slot saya forum terakhir bersama YB Tony Pua (DAP), Ng Yeen See (SEDAR), Stephen Doss dan Fadiah (Bar Council).

1) Saya menggunakan hujah yang dikemukan oleh Prof Al Attas mengenai elemen-elemen yang boleh menyatukan semangat perpaduan di negara yang sifatnya multi-racial, multi-cultural dan multi-religious, seperti Malaysia. Bagi beliau, berpandukan negara-negara yang ada, antara 4 faktor yang boleh mengikat kesatuan, ;

a) Ras bangsa- China dan India sedikit sebanyak menjadikan bangsa mereka sebagai faktor perpaduan di kalangan mereka. Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, justeru, ada kekangan untuk menjadikan 'bangsa' sebagai faktor pengikat sesama warganegara.

b) Bagasi sejarah- Amerika dan Eropah, walaupun pernah berpecah, tetapi berkongsi idealisme yang sama, iaitu berpandukan faham ketamadunan Barat mereka yang mengikat, bermula sejak zaman Yunani lagi. Di Malaysia, Melayu, Cina dan India mempunyai bagasi sejarah yang berbeza. Melayu yang ramai menumpahkan darah semasa kemerdekaan, Cina dan India dibawa oleh British untuk bekerja di sini. Jadi, tidak ada titik perkongsian yang boleh dirasai bersama.

c) Agama- Boleh memainkan peranan melalui Islam, Kristian, Yahudi dan lain-lain. Masalah di Malaysia juga, sesama Islam berlaku perpecahan, apatahlagi mahu mewujudkan perpaduan sesama agama yang lain.

Perkara terakhir yang tinggal bagi negara Malaysia ialah Bahasa Melayu. Bahasa Melayu, telah termaktub di Perlembagaan dan merujuk kepada bahasa asal wilayah Nusantara ini. Sebab itu, buat masa ini, bahasa Melayu boleh menjadi faktor penyatu, kerana bahasa boleh membentuk kerangka fikir yang sama, berdasarkan konsep-konsep yang penting yang ada dalam bahasa Melayu. Contohnya, istilah 'adil' yang difahamai sebenar ialah meletakkan sesuatu di tempatnya (put thing into proper place). Jika bahasa Inggeris digunakan, maka 'adil' membawa maksud justice, equality, ataupun kesamaan/ saksama. Sebab itu jika orang Melayu faham 'adil' yang sewajarnya, maka Cina dan India juga memahami hal yang sama. Sebab itu tidak akan timbul soal menuntut sesuatu hak yang melampau atau menuntut kesamaan agama, bangsa atau jantina, jika tahu bahawa perlu 'adil', bukan saksama. Istilah lain seperti 'kebenaran' yang kita fahami perlu bersandarkan sesuatu yang tetap, konsisten dan pastinya wahyu. Jika ini difahami, maka ancaman pemikiran, sama ada Islam Liberalnya, non-Muslimnya dll boleh diatasi secara bersama, kerana mereka mempromosikan 'truth' dalam BI yang ada pengaruh sekular yang membuang peranan agama.

2) Ini telah menimbulkan 2-3 persoalan oleh peserta yang dituju khas kepada saya. Antaranya, mengapa kita menekankan bahasa Melayu, apa pendirian kita dalam dilema bahasa Melayu vs bahasa Malaysia, termasuk soal2 lain yang berkaitan agama, seperti jika sekolah mahu menjadi pusat perpaduan, mengapa banyak sekolah kebangsaan memasang lagu nasyid kuat-kuat?.

3) Bagi saya, masalah masyarakat yang terlalu demokratik ialah apabila semua boleh bercakap, mengkritik tanpa adab, mengemukan pandangan tentang agama, walaupun semuanya tiada wibawa. Bagi Islam, kita mengangkat hak kebebasan bersuara, tetapi bukan bermakna semua boleh bercakap apa sahaja. Ini masalah yang berlaku dalam masyarakat demokrat yang contohnya melalui program seperti itu. Ini demokrasi moden yang siapa yang bercakap banyak/ advokasi/ vokal maka mereka yang boleh membentuk 'public opinion'. Jika organisasi Islam/pemikir/ ilmuwan/sesiapa sahaja, walaupun di pihak kebenaran, tidak bersuara, maka kita tewas dalam membentuk 'public opinion'. Ini yang SIS dll boleh menang sebab vokal, walaupun tidak benar sangat isinya.

4) Tambahan pula, bila banyak versi tentang perpaduan, maka apa faktor pengikat yang mengikat semua idea dan pandangan tersebut? Bahkan, adakah sama tarafnya idea yang kita kemukakan, berdasarkan faktor ilmiah (peranan bahasa) dengan idea lain yang mungkin bertentangan dengan dasar negara ini. Ini akhirnya kekusutan yang berlaku. Ini soalan yang saya tanya kepada penganjur, kerana apa resolusi selepas program itu?

5) Bagi saya, organisasi Islam/Pemikir/Ilmuwan/ indvidu yang serius dengan agama perlu memainkan peranan strategik dan mengisi demokrasi moden ini, kerana ramai yang bersuara, tetapi ramai juga yang mengeluarkan pandangan yang keliru, sesat mahupun bertentangan dengan prinsip utama.

6) Langkah seterusnya ialah:

a)Memantapkan kefahaman/ ilmu, di semua peringkat tentang realiti masyarakat kita dan hujah-hujah yang boleh membalas mereka.
b) Memartabatkan bahasa Melayu dengan sewajarnya, sama ada dalam emel, mesyuarat dan sebagainya sebagai usaha pemartabatan Melayu secara menyeluruh.
c) Mempromosikan budaya 'engage' dengan kelompok ini, dengan hujah yang kuat dan berkesan