Thursday, September 17, 2009

Dalla Barakah dan Ramadan

Ramadan bakal melabuhkan tirai. Alhamdulillah, berkesempatan menyambut Ramadan selama 2 minggu (22/8- 4/9/09) di Tanah Suci satu pengalaman yang mengasyikkan. Saya ucap terima kasih kepada En Kamarul (CEO) di Affin Islamic Bank kerana memberi kebebasan dan peluang yang terbuka luas untuk belajar dalam Affin Islamic. Jika diikutkan usia yang masih junior di tempat kerja, sepatutnya sukar untuk mendapat pengalaman seperti ini. Ramai yang sudah bertahun-tahun kerja tetapi tiada rezki untuk mendapat pengalaman seperti ini.

Misi ke Tanah Suci ialah menghadiri Konferens Dalla Baraka yang saban tahun diadakan. Konferens diadakan pada bulan Ramadan, tahun ini merupakan kali ke-30, membincangkan isu-isu Shariah dan perbankan Islam dan bermula selepas Terawih sehingga sahur. Boleh bayangkan betapa peserta terpaksa mengorbankan waktu malam untuk bermuzakarah. Tajuk yang dibincangkan bagi saya menarik, tetapi ada banyak kelompongan. Bagi pemain perbankan Islam, ini antara 3 program 'grand' yang harus dihadiri, selain Majma' Fiqh OIC Muzakarah dan Annual Shariah AAOIFI Conference.

Tajuk yang dibincangkan ialah Ijarah Mausufah fi Zimmah, Derivatives and Applicability to Islamic Finance, Islamic Insurance Bond dan Accepting Secular Law in Islamic Finance Regulatory Framework.

Tajuk yang menarik, malangnya tidak dikupas secara tuntas, malah tidak juga diberi case study yang boleh dikaitkan dengan amalan kontemporari. Contohnya, Ijarah Mausufah Fi Zimmah (Sewa pada harta yang bakal diperolehi masa mendatang), yang berlegar pada kupasan sedia ada dalam buku teks Fiqh Muamalat. Sepatutnya tajuk ini boleh menjawab beberapa isu kontemporari seperti pembiayaan rumah untuk 'under construction' yang menjadi dilema perbankan Islam di Malaysia. Kemudian, tajuk Derivatives dikupas oleh pembentang dari Sepanyol yang bertutur Inggeris tetapi dialek 'Spanish' yang pekat, menyebabkan sukar memahami butir-butir perkataannya. Kesimpulan tempias-tempias oleh beliau ialah derivatives tidak seharusnya menjadi halangan kepada perbankan Islam. Satu kesimpulan yang menimbulkan keraguan kritis.

Tajuk yang lain juga ada yang sudah menjadi tazkirah, kerana pembentang mengupas tajuk undag-undang Islam seperti 'tiada sempadan'. Bagi beliau, 'haram' menerima undang-undang sekular sebagai kerangka undang-undang. Bagaimana di Malaysia dan negara-negara lain yang mengguna pakai English Law? Bahkan transaksi kewangan yang merentas negara? Beliau harus realistik dalam pengolahan tajuk tersebut.

Cuma ada yang baik ialah mengenai Islamic Insurance Bond oleh Sheikh Mahyuddin Al Qarhu Daghi, ulama dari Qatar. Beliau merupakan anak murid Sheikh Yusuf Qaradawi, dan saya bertemu kali pertama dengan beliau di Putrajaya ketika Majma' Fiqh OIC Muzakarah tahun 2007. Bersama saya ketika itu Ust. Zaharuddin (UIAM), sdr Yusri Mohamad (mantan Presiden ABIM), Ust. Zamri (Asian Finance)dan sdr Hijaz (dulu HSBC Amanah dan kini Peg Khas Timb Menteri Belia dan Sukan). Beliau mengupas tajuk Islamic Insurance dalam konteks insuran nyawa dan keberhutangan dengan baik. Konferens kali ini nampak kelompongannya apabila tidak mengeluarkan rumusan/ resolusi hasil muzakarah.

Beriktikaf di Masjidil Haram dan Nabawi juga pengalaman yang mengasyikkan. Masih terasa nikmat beribadat di sana tatkala menonton siaran langsung solat Terawih dari Masjidil Haram setiap malam Ramadan, di TV9 bermula jam 1.30pg. Ramai juga kenalan baru dan lama dipertemukan sepanjang di sana. Ada juga sahabat FB yang bertemu secara maya dipertemukan di sana.

Hari ini Ramadan semakin melabuhkan tirai. Pejam celik, pejam celik menghampiri Aidilfitri. Dengan berbaki Ramadan yang ada, marilah ambil peluang untuk berdoa kesejahteraan umat Islam di mana-mana sahaja. Doakan supaya rahmat dan hidayah Allah Ta'ala sentiasa dilimpahkan kepada umatnya, supaya sentiasa hidup dalam panduan dan pedoman. Kita juga tumpang simpati kepada keluarga dan insan yang kehilangan orang tersayang, golongan yang kurang berada dan mereka yang bertugas sepanjang hari kebesaran ini. Sesungguhnya nikmat yang paling tinggi selepas Ramadan ialah kualiti taqwa kita. Beruntung mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh dalam menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah.

Secara peribadi, saya dan isteri, Ruzieta Mohd Jusak dan anak, Balqis Solehah bt Mohd Hilmi memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali, Selamat Hari Raya Eidulfitri 1430, semoga selamat pulang dan kembali kepada mereka yang pulang ke kampung.

Kullu 'Am Wa Antum Bikhair.