Sunday, February 22, 2009

Akar Permasalahan Politik Semasa

Mohd Hilmi Ramli


Frans De Walls, dalam bukunya Chimpanzee Politics (1982) ada mengungkapkan tentang ‘kelicikan Machiavellian’ ataupun ‘Machiavellian Intelligence’. Maksud yang ingin beliau huraikan ialah bagaimana kapasiti seseorang boleh memanipulasi keadaan sehingga menguntungkan nafsu peribadi. Tidak timbul soal prinsip atau tidak, asalkan matlamat menghalalkan cara. Biar siapa yang terkorban, sama ada keluarga, sahabat baik, prinsip agama, asalkan nafsu serakah ‘politik’ tercapai. ‘Machiavellian Intelligence’ boleh diterjemahkan melalui sikap berjanji, tetapi boleh bila- bila masa memungkiri janji. Boleh membohong, tetapi kadang- kadang sahaja bercakap benar. Boleh nampak baik dan ‘beriman’ di tempat awam, tetapi, boleh berwatakan ‘iblis’ jika di belakang orang. Boleh memuji depan orang, tetapi boleh mengumpat dan mengeji di sebaliknya. Semua ini tidak mustahil hari ini, kerana politik adalah segala- galanya.

Maka tidak menghairankan jika silang- sengketa perbalahan politik ada kaitannya dengan penganut faham politik ala Machiavellian. Apa bezanya dengan kriteria orang munafiq? Bukankah ciri orang Munafiq seperti yang terkandung dalam Hadith Sallahu’alahi Wasalam, iaitu bila berjanji suka mungkiri, bila bercakap suka berbohong dan bila diberi amanah suka khianati.

Apabila politik dilihat segalanya, makanya obsesi atau keghairahan terhadap politik melampaui batas. Apatah lagi apabila politik sebenarnya tidak mengenal prinsip. Tidak pernah dalam sejarah politik moden kejujuran dan kebaikan diletakkan di tempat paling atas sebagai prinsip paling utama. Prinsip yang mendominasi politik moden hari ini ialah semuanya berteraskan faham Machiavellian.

Benjamin Wiker dalam bukunya 10 Books That Screwed Up the World; And 5 Others Didnt Help menulis pengaruh Machiavellianisme yang telah mendominasi peta pemikiran politik semasa. Beliau mengesahkan bahawa sifat ‘iblis’ atau kejahatan ini akan sentiasa mendominasi karakter manusia, apabila melihatkan kebaikan sentiasa tunduk kepada ‘kelicikan’ iblis. Ini terbukti, bagaimana seorang hamba Allah yang mulia, pertama kali dilahirkan sebagai khalifah bernama Adam, tetapi ‘tumpas’ kepada bisikan Iblis.

Berapa ramai orang ‘alim atau ahli ibadat, yang kononnya rajin beribadat, tetapi rupanya diperdaya oleh Iblis kerana ujub dan takbur dengan sifat ‘alimnya. Ibn Qayyim Al Jauzi ada berpesan dalam bukunya ‘Talbis Iblis’ iaitu ‘Perangkap Iblis’ supaya orang beriman berhati- hati dengan permainan dan tipu helah iblis. Malah berapa ramai orang dermawan dan ilmuwan yang dihantar ke neraka kerana luarannya rajin menderma dan berbakti pada ilmu, namun rupanya ada niat keduniaan iaitu digelar sebagai dermawan dan ilmuwan. Kisah mereka ini ada dirakamkan dalam Hadith Sallahu’alahi wasalam.

Kebenaran Sering Tewas
Rupanya tipu helah iblis lebih berjaya dan ‘menang’ ke atas kebaikan. Hipotesis Benjamin Wiker mengesahkan kebenarannya. Makanya, dalam dunia politik moden apabila peta pemikiran didominasi oleh faham Machiavellian, tipu helah iblis sebenarnya yang melingkari ‘sarang’ politik itu. Sebab itu juga, biasanya sukar untuk kebaikan dan kebenaran menuju puncak di persada politik, kecuali di zaman- zaman tertentu, seperti Umar Al Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Khulafa Rashidin. Hatta zaman mereka pun ada saki baki watak ‘iblis’ seperti kaum munafiq, zindik dan kafir harbi, tetapi lingkarannya tidak sekuat lingkaran kebaikan.

Adakah kerana lingkaran ‘keiblisan’ dalam peta pemikiran politik semasa, makanya kita perlu merombak keseluruhan sistem politik moden, seperti membubarkan parti politik, tidak menjadi wakil rakyat, menghukum ‘kafir’ sesiapa yang berpilihanraya atau sebagainya? Barangkali persoalan ini perlu dijawab dengan jawapan yang berakar, iaitu worldview tentang politik semasa dan posisi kita dalam mengenal dan mengiktiraf kebenaran.

Gagasan demokrasi moden, seperti parlimen, parti politik, pilihanraya dan sebagainya dipersetujui oleh sebahagian besar ulama kontemporari seperti Sheikh Qaradawi, Dr Azzam Tamimi, Rashid Ghanushi dan ramai lagi. Persetujuan mereka tentang demokrasi moden bukan suatu yang ‘permanent’, tetapi sementara sahaja. Ini kerana dalam demokrasi moden, ada nilai yang selari dengan Islam seperti kebebasan hak asasi, bersuara, berkumpul, melantik pemimpin dan sebagainya. Ada nilai- nilai ideal dalam Islam yang boleh diselarikan dalam agenda demokrasi moden.

Namun, hipotesis Benjamin lebih ke hadapan. Berapa banyak parti berteraskan Islam atau yang ingin membawa ‘kebenaran’ berjaya di puncak kuasa, seperti di Algeria, Mesir, Turki dan Sudan? Kerajaan Hamas menang walaupun dengan sistem demokrasi moden tetap dinafikan kemenangannya! Asasnya ialah demokrasi moden yang ada hari ini bukan gelanggang berpihak kepada Islam. Semua undang- undang, falsafah, permainan dan pemainnya telah diatur oleh orang lain.

Apabila demokrasi moden ini dipaksa kepada ummat Islam, sebenarnya kita kekok dan janggal, kerana bukan gelanggang kita. Apakah pula kita berpindah kepada faham Misi Khalifah anutan Hizbut Tahrir? Mungkin terlalu ideal dan sekadar ‘bermimpi’ jika sekadar slogan kita mampu selesaikan masalah ummat Islam hari ini.

Dekonstruksi Autoriti dan Pengaruh Sekularisme
Banyak agenda asas terkorban apabila gelanggang demokrasi moden menjadi pertembungan politik faham Machiavellian. Ada dua perkara yang menjadi korban, iaitu kecenderungan mendekonstruksi autoriti dan seterusnya membuka ruang yang luas untuk faham sekularisme.

Apabila seorang mufti dihina kerana sekadar mengungkap firman Allah Ta’ala, “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan pemimpin di kalangan kamu”, dalam situasi politik bergelora, makanya mufti itu dicerca, dihina dengan tuduhan keji seperti anjing kerajaan, makan rasuah, kaki bodek dan sebagai tuduhan hina. Sikap terlalu obses dengan politik menyebabkan sukar untuk melihat kebenaran dan mengakui kesilapan. Adakah pernah sebuah parti politik Melayu hari ini, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam agenda bangsa Melayu dan Islam? Kerana terlalu ‘party- centric’, maka yang baik dikatakan buruk, yang buruk terus dihentam.

Agak pelik sebenarnya kerana seorang mufti yang terbukti kewibawaannya, apabila bercakap ‘seakan cenderung’ kepada keputusan pemerintah terus dihina dan dicerca oleh orang Islam sendiri yang obses dengan politik. Ini menaikkan lagi ‘keghairahan’ orang yang tidak seagama, kerana autoriti dalan agama Islam sedang beransur- ansur dimakan ‘anai- anai’ oleh umat Islam sendiri. Jika pihak mufti atau agamawan bercakap benar, walau tidak memihak kepada pihak parti, maka terus di’hantar’ ke lembah ketidakpercayaan. Makanya selepas ini siapa lagi yang boleh dipercayai sekiranya ada golongan agamawan atau ilmuwan bercakap benar, hanya kerana tidak memihak kepada sokongan parti politik?

Apabila autoriti dalam agama diserang, ia telah membuka ruang untuk faham sekularisme menyerbu masuk. Fenomena obses melampau kepada politik dalam demokrasi moden ini biasanya menguntungkan agenda ‘keiblisan’. Bukankah politik moden tidak kenal dengan ‘kebaikan dan kebenaran’? Apabila keiblisan diangkat tinggi, soal agama dan akhlak sekadar tempelan sahaja. Autoriti yang telah diruntuhkan menyebabkan faham kebenaran terpulang kepada keuntungan parti politik. Epistemologi kebenaran dilihat kepada sokongan parti politik, bukan lagi kepada akar kebenaran. Siapa yang bercakap benar dalam politik, walau berpandukan wahyu, akan dilihat sekadar pandangan peribadi, bukan pandangan hakiki. Makanya pihak lawan tidak akan menerima kebenaran itu.

Walhal dalam sejarah ketamadunan Islam yang lalu, tidak timbul entiti pemerintah dan pembangkang, yang ada hanya ra’ie (pemimpin) dan rakyat. Yang menjadi masalahnya dalam pemerintah dan pembangkang hari ini, majoritinya seagama dan sebangsa! Banyak kudrat dan masa dibazirkan akibat terlalu banyak sengketanya.

Peranan ulama dan ilmuwan dahulu pula bertugas menasihati pemerintah, dan tidak pula berada di posisi membangkang. Jika ada kemungkaran dan kezaliman, nasihat menjadi senjata para ulama dan ilmuwan. Imam Syafiee, Hanafi, Hanbali, Ghazali, Said Nursi dan ramai lagi, pernah dipenjara, dipukul dan dihina, tetapi tidak pula mereka mengumpul anak murid dan menentang pemerintah. Said Nursi Badi’uzzaman, ditakdirkan bertemu dengan Mustafa Kamal Attartuk, manusia moden paling kejam dan sekular. Pernah dipenjara beberapa kali, diancam bunuh, tetapi tidak pernah ada catatan beliau mengumpul pengikutnya menentang Attarturk. Yang ada ialah beliau mendidik dan mencetak generasi yang sedar dengan Islam. Apa yang terkelumit dalam hati ulama dan ilmuwan silam ialah rasa tidak reda dengan kezaliman yang dilakukan.

Wacana sekularisme dalam politik moden telah mendominasi, malah berakar dalam politik Barat.. Sebab itu pemisahan agama dan kuasa direkod awal- awal dalam perlembagaan negara mereka, seperti di Amerika Syarikat, negara pertama dikitiraf sebagai berjaya meletakkan pemisahan agama dan kuasa dalam perlembagaan mereka pada tahun 1791. Apabila wacana sekularisme terus mengisi ruang politik negara yang beransur- ansur meruntuhkan autoriti, maka akan timbul kekeliruan di kalangan rakyat dan ummat. Agenda agama Islam, kedudukan bangsa Melayu dan bahasa Melayu dipandang sepi. Agenda teras ini tidak lagi diangkat, kerana setiap orang mempunyai persepsi tersendiri yang relatif. Apatah lagi tiada lagi autoriti yang berwibawa dikitiraf untuk dijadikan rujukan dalam soal tersebut. Hatta agenda umum seperti kemiskinan, perpaduan dan ekonomi negara akan tergugat kerana epistemologi kebenaran tidak lagi berpandukan kepada agama, tetapi nafsu manusiawi. Tidak mustahil, faham Keynes, Hayyek, Locke, Hobes dan ramai failasuf Barat dijadikan pakar rujuk.

Kebenaran Jalan Selamat
Untuk mengatasi akar permasalahan politik semasa, apakah cadangannya? Jika bercakap semua ahli politik semasa persis ‘keiblisan’ pasti mengundang kemarahan mereka. Apatah lagi mereka yang terpalit rasuah, rakus dengan kuasa sehingga sanggup melompat parti demi habuan duniawi.

Apa yang ada pada kita ialah membetulkan worldview kita tentang keperluan dan sikap politik semasa. Apa yang akhirnya kita mahukan daripada sistem politik semasa ini? Adakah kekuasaan yang benar, tetapi hanya sementara sahaja? Ataupun potensi manusia yang ada peradaban yang tinggi, yang boleh meletakkan kebenaran di tempatnya? Kebenaran hakiki tidak boleh kompromi dengan ‘kebatilan’, ibarat minyak dan air yang tidak boleh bercampur.

Sudah tiba masanya kita meletakkan batu asas untuk menjadikan manusia yang lebih beradab, yang tahu hakikat kebenaran dan hakikat kebatilan, berpandukan epistemologi yang betul. Jika kebenaran hakiki diutamakan, silang sengketa politik semasa sekadar titik bengit yang ketinggalan jauh.