Friday, April 10, 2009

Perkongsian Mengenai Islamic Gifted Economy

Kabinet Perdana Menteri yang baru sudah diumumkan. Semoga selamat menjalankan tugas dengan amanah, bijaksana dan baik. Biasanya apabila bertukar kepimpinan negara, banyak perkara yang perlu diperhatikan. Yang pertama ialah dasar/ polisi yang telah dirancang/ dilaksanakan oleh menteri sebelumnya. Kadang kala menjadi kebiasaan, datang menteri baru, akan ada dasar yang baru, sebab mungkin mahu menunjukkan style atau dasar yang tersendiri. Ini adalah antara risiko yang perlu dihadapi apabila bertukar menteri.

Yang kedua ialah belum boleh lagi menilai prestasi kerja kepimpinan kabinet yang baru dilantik. Cabaran yang perlu dihadapi ialah mengembalikan keyakinan rakyat
secara keseluruhannya kepada team yang baru. Dikhuatiri dasar yang cantik dan baik oleh kerajaan, tetapi tiada sambutan di pihak bawahan. Maka, tidak menjadi pelaksanaan dasar tersebut. Hakikatnya, kemelut politik di Malaysia masih berselirat dan sengit persaingannya.

Masing- masing masih dalam emosi 'berperang' untuk mendapat keyakinan rakyat demi memerintah negara. Biasanya, psikologi orang 'berperang' akan sukar untuk mencari ruang berehat atau berdamai, kerana 'musuh' sentiasa meneropong untuk menyerang. Melainkan jika salah seorang sudah parah atau cedera, pasti jalan perdamaian akan dicari. Sebab itu ini juga risiko dan hakikat yang perlu dihadapi apabila demokrasi terlalu dijulang tinggi.

Di Singapura, demokrasi mereka yang terlalu ketat, sehinggakan pihak pembangkang tidak ada ruang untuk bersuara. Sebab itu di sana ekonomi nampak stabil, susah untuk pihak pembangkang mencari silap pemerintah dan kerajaan boleh t
erus memerintah tanpa diganggu pembangkang. Ini juga melanggar hak asasi rakyat untuk bersuara. Ada pro dan contra di sana.

Apabila bercakap ekonomi stabil, ada kaitannya dengan kestabilan politik. Di Malaysia perlu ada keseimbangan politik, demi memastikan keseimbangan ekonomi. Pelabur, dasar dan aktiviti ekonomi dapat berjalan dengan baik jika politik stabil. Di Thailand, agak kasihan sedikit, kerana hampir setiap hari ada demonstrasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Walhal Perdana Menteri yang sekarang ini juga dipilih oleh rakyat mereka untuk menjatuhkan Perdana Menteri sebelumnya!

Secara idealnya, aktiviti ekonomi adalah satu aktiviti pemberian (gifted economy). Bermaksud, bukan sekadar pertukaran nilai berdasarkan material seper
ti wang ringgit dan harta, bahkan pertukaran emosi, perasaan dan servis yang baik sesama manusia juga satu aktiviti ekonomi. Apatah lagi dalam kemelesatan ekonomi semasa. Malah Islam sendiri mengiktiraf semulia- mulia amalan seperti senyum, berzikir, berbuat kebajikan adalah antara sumbangan yang dapat pahala, setara dengan sumbangan harta. Gifted economy (dipelopori oleh Dr Adi Setia) bukan definisi yang pasif, seperti orang kaya memberi wang pada orang miskin. Akan tetapi 'pemberian, pertukaran, perkongsian' sesama manusia untuk mencapai kebahagiaan bersama. Kita menumpang sahabat kita menaiki motor ke surau/ usrah juga satu aktiviti 'gifted economy'.

Kita berhadapan dengan worldview ekonomi yang terlalu sentral kepada Barat, apabila mengangkat nilai mutlak pasaran untuk menentukan masa depan aktiviti ekonomi kita. Walhal, pasaran inilah yang bertujuan memanipulasi exchan
ge dan melakukan penindasan kepada bukan setakat orang Islam, dunia ketiga, bahkan alam semesta. Pertimbangan akhlak dan agama tidak menjadi ukuran utama aktiviti ekonomi. Nilai yang bersifat material sahaja dikitiraf sah dari segi aktiviti ekonomi, yang sepatutnya nilai bersifat metafizik dan kerohanian juga faktor yang sah dalam aktiviti ekonomi.

Petang tadi saya sempat berdiskusi
(sebenarnya ziarah) Dr Adi Setia, seorang ilmuwan muda yang multi- discipline, tentang sistem ekonomi yang sepadu. Berlatarbelakangkan lughah arabiah, kemudian mengajar sains di UIAM dan mahir dalam pemikiran ekonomi Islam. Ini antara idea yang menjadi perbincangan kami. Menjadi pekerja bank bukan sekadar mahir aktiviti perbankan, tetapi mahir juga falsafah ekonomi Islam, usul fiqh, bahasa dan perbandingan falsafah Barat, nasihat beliau.

Bagi beliau, kita harus sama- sama memikirkan untuk menjalinkan sistem zakat, waqaf, perbankan Islam, hisbah dan seangkatannya supaya lebih sepadu, jika mahu ekonomi berteraskan agama Islam diangkat tinggi. Apa yang kita nampak hari ini, masing- masing bergerak secara sendiri, tanpa faktor sokong menyokong. Mungkin perbankan Islam nampak menonjol sedikit, kerana mungkin boleh membuat untung, tetapi zakat dan waqaf tidak. Akhirnya, kita ghairah dengan wealth maximization, tetapi kendur dengan wealth distribution, makanya umat yang miskin masih melarat.

Insyallah, sama- sama kita mendalami khazanah tradisi Islam yang telah diterokai oleh ilmuwan Muslim terdahulu, yang terdapat dalam karya mereka untuk kebaikan bersama.

1 comment:

Bro Yusry said...

Penulisan yang baik :-)

Salam ukhuwah, semoga di mana sahaja anda berada..bumi itu akan sentiasa riuh dengan dakwah anda :-D