Friday, March 27, 2009

IDENTITI ORANG MELAYU

Minggu ini berlangsungnya perhimpunan parti Melayu terbesar di dunia. Dikatakan perhimpunan kali ini sangat genting dan mendebarkan, kerana mahu melakar kembali peta perjuangan mereka setelah dikejutkan dengan keputusan Pilihanraya Umum ke 12 yang lepas.

Sememangnya perjuangan mengangkat hak dan kedaulatan bangsa Melayu secara asasnya perlu tersemat di sudut hati semua orang Melayu, tidak mengenal parti kerajaan atau pembangkang, malah individu. Bagi kita, memperkatakan bangsa Melayu itu bukan dalam dimensi yang sempit, iaitu faham nasionalisme melampau, sehingga bertindak rasis atau tidak adil kepada kaum lain, hatta sesama sendiri. Kekeliruan mengenai Melayu vs Islam, satu dikotomi yang merugikan, bahkan telah memecahkan ummat Melayu di Malaysia kepada dua kelompok parti terbesar. Tidak salah sebenarnya jika mempertahankan apa yang baik ada pada identiti kita. Orang Barat, ada yang lebih ekstrem mempertahankan identiti mereka, seperti Yahudi, kelompok anti globalisasi dan sebagainya.

Kita seharusnya tidak memisahkan faham keterkaitan antara Melayu- Islam. Dalam buku 'Islam dalam Sekarah Kebudayaan Melayu' oleh Prof SMNA, telah membawa satu wacana segar dalam kontek kajian sejarah dan kebudayaan Melayu di rantau nusantara ini. Bagi Orientalis, yang banyak mendominasi kajian dan karya mengenai sosio- budaya Melayu, yang melalui kajian mereka yang selalu bias dan selective. Bagi mereka, orang Melayu bangsa yang malas, kerja kampung, tidak ada wawasan dan sebagainya. Hujah mereka juga, sebenarnya bangsa Melayu ini masih berakar dari segi faham pengaruh Hinduisme sejak zaman Srivijaya, seperti kulit tangan yang jika dikikis akan menampakkan wajah 'hinduisme'nya.

Buku SMNA memecah mitos tersebut, dan membuktikan Islam yang datang ke alam nusantara telah merubah world view ummat Melayu ketika itu. Ini yang dikatakan detik perubahan yang mengangkat darjat dan kemuliaan sesuatu bangsa, apabila kita mengenal hakikat kebenaran dan agama kita sendiri. Seorang ahli falsafah Jerman, Werner Heisenberg (1901- 1976) telah mempersoalkan bagaimana mahu mencari identiti bangsa Jerman selepas Peperangan Dunia Kedua (WW2). Apakah sebelum perang dunia kedua? Apakah ketika zaman Renaissance? Apakah zaman pertengahan? Apakah zaman awal Yunani di Greek? Ataupun zaman Roman? Atau lebih jauh ketika Adam diciptakan?

Persoalan 'kita bermula di mana?' harus dijawab tatkala kita mula mengenal hakikat kebenaran dalam agama. Sebagai ummat Melayu, ketika Islam datang ke alam nusantara ini telah memberi identiti sebenar kepada kita. Walaupun dikatakan animisme dan kerajaan Sri Vijaya menjadi pegangan awal ketika dahulu, tetapi tidak pernah mengangkat darjat kemuliaan kita. Islam telah datang memperkenalkan kita dengan erti keadilan yang sebenar, konsep ketuhanan dan kenabian, aklaq dan paling penting menyumbang kepada Islamic worldview yang menyeluruh. Seharusnya kita bersyukur kerana Islam datang ke alam kita.

Dalam memuhasabah masa depan ummat Melayu ada beberapa perkara yang perlu dimantapkan;

1) Ucapan Dato' Seri Abdullah Badawi ketika perasmian harus dilihat secara positif. Kesediaan dengan rasa rendah diri untuk memohon maaf atas kelemahan beliau adalah satu prinsip yang sangat mulia. Walaupun banyak kelemahan dan kekurangannya, tetapi dalam kita bersilang- sengketa politik, ada bottom line yang kita harus akur, iaitu akhlaq dan nilai yang mulia menjadi pegangan kita. Meminta maaf adalah satu nilai yang sukar dilakukan oleh ahli politik. Bagi yang pernah mengeji, mengutuk, menghina, 'melaknat' dan seumpamanya haruslah mengikut jejak langkah yang sama untuk saling merendah diri dengan kemaafan.

2) Bahasa memilih kepimpinan harus diperhalusi. Istilah 'menang kerana berusaha keras', 'pertembungan dua puak', 'perwakilan berlumba menjadi pemimpin', 'perebutan jawatan' dan seumpamanya tida membawa maksud yang positif. Dalam Islam, jawatan harus dilihat sebagai satu amanah, bukan kemasyhuran. Jawatan bukan yang perlu dibanggakan, tetapi diinsafi. Jika benar mahu melakukan perubahan secara total dalam perjuangan, seharusnya ini juga diperhatikan. Melainkan juga jika memang itu yang menjadi maksudnya, yang akar perjuangannya ialah 'political struggle', maka tidak boleh buat apa- apa.

3) Pemimpin Melayu kena minimumkan sengketa politik. Malah pemimpin yang ada mesti menunjukkan akhlaq tauladan yang baik, bukan bercakap manis di bibir sahaja.

4) Dikotomi Melayu vs Islam tidak perlu dibesarkan jurangnya. Tidak betul jika hanya mahu memperjuangkan Melayu semata, tetapi nilai Islam tidak diambil kira. Malah silap juga jika slogan 'Islam' sahaja diperjuangkan, tanpa mengambil kira faktor budaya dan bangsa yang menjadi 'pakaian' agama Islam itu.



1 comment:

Paan Lee said...

Thanks for posting, inilah artikel yg sy cari nak bace selama ni.. :D