Sunday, March 22, 2009

PENGAJIAN KITAB; TRADISI YANG PERLU DIBUGARKAN KEMBALI

Minggu ini diadakan Pengajian Kitab secara Talaqqi, khusus membincangkan mengenai 'akidah dan isu- isu semasa dalam permasalahan umat Islam. Majlis dipimpin oleh Ustaz Zamihan Al Ghari. Sebagai pertubuhan pelajar, apalah sangat program berbentuk sebegini. Akan tetapi sebenarnya ramai peminat yang dahagakan pengajian ilmu secara tradisional ini.

Ada keluarga yang hadir, pelajar perubatan universiti, yang sudah bekerja dan ahli PKPIM sendiri. Secara umum, tradisi menuntut ilmu secara talaqqi adalah satu pembudayaan ilmu yang serius di kalangan ulama terdahulu. Pembelajaran mereka secara kulit- ke- kulit sesebuah kitab mennghasilkan pelajar yang boleh menguasai ilmu tersebut. Apatah lagi dalam konteks pembelajaran moden hari ini, yang hanya memilih sesetengah tajuk penting dalam kitab muktabar, kemudian 'cantum'kan menjadi satu silibus dalam kelas.

Proses pendidikan moden mengalami satu krisis kekeliruan yang perlu diperbaiki. Antara permasalahan itu ialah;

1) Levelling of Knowledge- Ini menyamaratakan semua ilmu berada di tahap yang setara, tidak kira ilmu wahyu atau duniawi. Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu pengenalan tentang Tuhan (Akidah) diangkat di tempat yang paling utama dan penting, kemudian ibadat, akhlak, bahasa, sirah dan barulah ilmu- ilmu semasa. Apa yang berlaku hari ini, subjek akidah adalah subjek yang terpinggir (marginalised subject), dianggap cukup syarat sahaja terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Keghairahan/ Obsesi terhadap disiplin sains dan teknologi menyebabkan semua penumpuan, pelaburan, perancangan dasar dan pembangunan idealisme dilonggokkan di 'padang' itu. Tidak salah mengatakan bahawa subjek tersebut tidak penting, tetapi apakah kita tidak terfikir, "Dalam masa 50 tahun mereka (manusia) telah menjadi lebih pandai dan handal dalam ilmu penerbangan daripada burung yang telah terbang lebih dari 50 ribu tahun. Akan tetapi burung tahu akan kadar sayapnya; tahu akan luasan dan batasan pengembaraan dan penaungannya; tahu akan tugas dan tujuannya sebab telah diilhamkan demikian, sehingga tiada jadi kekeliruan di tempat masing- masing" (SMNA, 2007)

2) Konsep Fardu Ain- Kifayah Disalah Erti- Biasanya kita akan tamat mengenali 'fardu ain' selepas tempoh persekolahan atau tahap baligh. Kemudian masuk universiti atau berkahwin, tumpuan harus diberikan kepada ilmu fardu kifayah. Secara kronologinya memang tidak salah, akan tetapi ini bukan 'zero- sum- game'; tinggal fasa 'ilmu fardu ain', tinggalkan secara total dan masuk 'fasa fardu kifayah'. Umpama (Fardu Ain vs Kifayah; 0: 1).

Dalam Islam, kedua- dua (fardu ain dan kifayah) mesti berjalan serentak. Apa yang berlaku hari ini ialah, fasa mengenal ilmu fardu kifayah, langsung ditinggalkan ilmu fardu ain, yang semestinya meningkat kefahamannya berdasarkan pengalaman ilmu dan umur kita. Apakah faham kita tentang akidah ketika darjah 1 sama dengan faham ketika tingkatan 4? Semestinya ada perbezaan sedikit. Apatah lagi bila faham ketika tingkatan 5 akan berbeza dengan umur 40 tahun?!

Hatta ibadah kita berumur 10 tahun akan berbeza dengan umur 25 tahun, dari segi bacaannya, kefahamannya, hafazannya dan sebagainya. Sebab itu pencarian kebahagian dalam hidup ini tidak boleh ada dualisme dalam kehidupan kita. Jika kita tidak meletakkan ilmu fardu ain di tempat yang sewajarnya, maka kita telah melakukan kezaliman. Sebab itu juga ramai yang cemerlang dalam ilmu fardu kifayah, akan tetapi 'kering' dari segi ikatan kefahaman agama yang benar dan mendalam. Makanya, ada yang jadi profesional atau pemimpin, tetapi tidak malu dengan korupsi dan kemungkaran akhlak, sebab faham ilmu akidahnya setakat darjah 1!



1 comment:

Ibnu Ahmad Zhaki said...

Salaam akhi Hilmi dan semua pimpinan PKPIM,

Apabila saya berada di perantauan, khususnya negara majoriti orang bukan Islam, lagi bertambah kukuh keinsafan dalam diri bahawa peluang pengajian secara bertemu 'ulama ini adalah sangat berharga dan perlu. Saya sangat berharap dan berdoa agar ada peluang untuk saya sertai majlis bersama 'ulama sebegini.

Buat sahabat-sahabat yang sudah ada di Malaysia, manfaatkanlah sepenuhnya peluang sebegini.

Bagi PKPIM dan persatuan-persatuan Islam yang lain, saya sangat berharap agar rakaman kuliah dalam bentuk audio atau video dapat diusahakan, moga-moga insan di perantaun seperti saya juga dapat memanfaatkannya.

:)

Subhaa nallah.