Monday, March 16, 2009

Kebahagiaan dalam Islam: Satu Renungan Peribadi

Kita seperti biasa akan mudah terasa runsing, gelisah, takut, sedih dan seumpamanya. Perasaan lemah dalam diri akan menyelubungi kita, sekiranya tidak ada bekalan kerohanian disemat dalam diri. Bahkan, kadang kala perasaan lemah hadir kerana Allah Ta'ala memang mahu menguji kita, seperti terkandung dalam Quran, surah al-Baqarah ayat ke 155, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Perasaan tidak ada 'mood' kadangkala boleh membantutkan tugas harian. Bagi pelajar, tidak ada 'mood', menyebabkan malas untuk menekuni pembelajaran. Orang bekerja akan hilang tumpuan kerja.

Apabila mengalami kekusutan jiwa, biasanya saya akan mencari penawar yang boleh menyembuhkannya. Amalan kerohanian seperti Ma'thurat dan Hizib Bahr merupakan suatu yang tidak boleh ditinggalkan. Saya pergi ke ISTAC tengahari tadi untuk mencari buku- buku yang boleh menambah perisa ketenangan jiwa. Kadang kala kerja dengan 'penjara' masa pejabat 8.45 pg- 5.45 ptg boleh 'membunuh' jiwa yang memberontak. Sebab itu kebebasan sangat penting dalam Islam, apatah lagi dalam proses mencari kebenaran dan memantapkannya.

Memang, sesetengah orang lega apabila dapat 'bercanda' dengan buku. Bahkan, apabila dapat menerokai ilmu dan dikurniakan sebuah kefahaman yang hakiki dalam agama, boleh menambah ketenangan dalam jiwa kita. Itu juga yang dinamakan penambahbaikan dalam prestasi Iman kita.

Hampir 6 majalah Hikmah, 2 jurnal Shajarah dan 1 buku karya Prof Naquib, 'Prolegomena To The Metaphisics of Islam' saya kaut untuk koleksi bahan bacaan. Ternyata, dengan bacaan yang singkat tetapi tekun tentang tajuk 'Kebahagiaan dalam Islam, tulisan Dr Wan Azhar' menyuntik rasa lega dalam diri. Kebahagian dalam Islam bukan seperti yang difahami oleh kebudayaan Barat, iaitu kebahagiaan keduniaan. Dualisme dunia dan akhirat oleh kebudayaan Barat mengiktiraf hanya bentuk material sahaja yang boleh memberi kebahagiaan kepada manusia. Sebab itu ada yang menonton wayang untuk bahagia, makan berlebihan, melancong, membeli belah, bersukan, hisap dadah dan seumpamanya.

Teori Hirarki Abraham Maslow ternyata sekadar tersekat kepada kepuasan 'self- actualization' sebagai maqam paling tinggi bagi kebahagian manusia. Bagi mereka, jika ada nilai kepuasan peribadi yang digambarkan melalui pencapaian keduniaan, seperti cemerlang peperiksaan, gaji naik, pangkat naik, berkahwin, dipuji dan puja, lalu menerbitkan kebahagiaan dalam jiwa. Kita mudah 'tenang' dan 'bahagia' jika memperoleh berita gembira. Namun, peringkat itu boleh musnah sekelip mata, jika tidak ada lagi 'berita gembira' tersebut.

Dalam Islam, kebahagiaan hakiki ialah yang bersifat ukhrawi. Yang dimaksudkan itu bukan sekadar melalui amalan ibadat kita boleh melihat wajah Allah kelak di syurga, bahkan elemen kebahagiaan juga apabila darjat keyakinan kita kepada kebenaran mutlak semakin kukuh dan bertambah yakin. Prinsip kebenaran mutlak tidak ada dalam kebudayaan Barat yang sekular.

Kita bertambah yakin jika kita tahu bahawa setiap ujian jiwa, kesedihan, malapetaka, tidak ada 'mood' dan seumpamanya adalah ujian dari Allah Ta'ala yang menguji hambanya. Jika dalam kebudayaan Barat, semua itu adalah 'tragedi' jiwa yang berpunca daripada kehampaan kalbu atas Iman, yang boleh diertikan Shawqah (keperitan jiwa) lawan bagi Sa'adah (kebahagiaan dalam Islam).

Kita semakin yakin apabila memahami lebih mendalam tentang erti kebenaran itu dan tahu akar permasalahan semasa. Kekeliruan berfikir kita boleh menyumbang kepada kekusutan jiwa dan menerbitkan kekalutan tindakan.

Apa- apa pun, bercakap bahagia dan ketenangan, mabruk dan Barakallahu Lak, Wa'alaik Wa Jama'a Bainakuma Fil Khair bagi teman- teman yang baru mendirikan rumah tangga;)

No comments: