Tuesday, October 14, 2008

Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Seperti sudah menjadi tradisi, Wacana Pemikiran menjadi program yang evergreen. Wacana yang bertujuan mengupas idea, berkongsi sejarah hidup dan seterusnya mengakar umbikan personaliti atau tokoh di kalangan masyarakat. Tokoh yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat lebih bermakna sekiranya beliau meninggalkan khazanah berharga kepada ummat, seperti kitab- kitab, anak murid yang berdedikasi, serta manhaj dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh ummat Islam secara keseluruhan.

Pada 12 Oktober yang lepas, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yayasan Sofa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani. Bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta, berjaya mengumpulkan hampir 1,200 peserta. Wacana dirasmikan oleh Dato' Hj Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Nama Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani memang jarang didengari oleh ummat Islam di Malaysia. Nama tokoh seperti Sheikh Yusuf Al Qaradwi, Sheikh Ramadan Al Buti, Sheikh Taha Jabir Al Wani, Prof Ismail Faruqi, Hassan Al Bana serta ramai lagi memang sudah popular di Malaysia. Banyak karya mereka sudah bertebaran dalam negara ini, malah menjadi silibus pengajian di sekolah atau universiti. Ada juga idea dan manhaj berfikir beliau menyerap ke dalam pemikiran ummat Islam di sini.

Sayyid Muhammad merupakan seorang ulama besar yang lahir di tanah Haram Mekah. Kelahiran beliau ibarat sebutir permata yang menyinari muka bumi. Berketurunan mulia, sehingga beliau berkata dengan penuh syukur dan nikmat, "Daripada ayahandaku, kemudian nendaku, dan seterusnya sampai kepada Rasul Sallahu'alaihi Wasalam yang terpilih, adalah penghulu dan orang alim". Beliau mewarisi sifat seorang ulama daripada ayahanda beliau sendiri, Sayyid 'Alawi yang juga ulama terkenal di Mekah.

Kenapa ummat Islam di Malaysia perlu berkenalan lebih lanjut dengan tokoh ini? Sebenarnya banyak mutiara berharga boleh dikupas oleh tokoh besar ini. Malah, ummat Islam di sini harus bersyukur kerana sentiasa diberi nikmat dan rezeki untuk terus mengenali tokoh- tokoh ummat yang berjasa. Tidak rugi rasanya jika kita memperkayakan lagi kamus kenalan kita bersama ulama ulung di muka bumi ini. Beliau telah meninggalkan anak murid yang ramai di Malaysia, termasuk 'zuriat' yang paling dikasihi beliau, sehingga dianugerahkan gelaran keluarga 'Al Maliki' kepada anak muda yang bernama Muhammad Fuad Kamaluddin. Beliau, Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki adalah antara anak murid yang paling setia dan disayangi oleh beliau.

Ummat Melayu harus bersyukur kerana mempunyai anak muda, yang juga ulama muda yang bernama Muhammad Fuad ini. Berasal dari Rembau, baru berumur 34 tahun. Pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan 2006. Beliau merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, dan menguruskan juga sebuah madrasah di Rembau. Telah menghasilkan lebih seratus buku mengenai agama, terutamanya terjemahan kitab gurunya. Dalam kesibukkan ummat Islam di Malaysia lebih mengangkat artis, ahli sukan atau sesiapa sahaja sebagai idola, sepatutnya beliau harus menjadi tokoh yang perlu diperkenalkan kepada generasi muda terutamanya.

Dr Sideq Fadzil pernah berkata, "Kita kebanjiran idola, tetapi kemarau tauladan". Jika bertanya kepada anak muda, mereka lebih mengenali artis dan ahli sukan, yang belum pasti memberi tauladan yang baik kepada mereka. Ada di kalangan mereka yang baik dan boleh dijadikan tauladan, tetapi ramai yang tidak. Maka tidak boleh untuk kita memarahi anak muda yang menimbulkan masalah kerana terpenggaruh dengan idola mereka itu.

Sayyid Muhammad 'Alawi telah mewariskan manhaj yang boleh ummat Islam di sini manfaatkan. Yang pertama ialah manhaj bersanad yang sekian lama menjadi amalan penuntut ilmu. Budaya bersanad ialah kita memastikan ada silsilah atau ikatan lansung ilmu atau amalan yang kita buat sehingga sampai ke Baginda Sallahu'alaihi Wasalam. Budaya berijazah dalam menuntut ilmu juga boleh memberi keberkatan dalam ilmu. Sheikh Fuad dalam sebuah biografi beliau "Sheikh Fuad yang Aku Kenali" mengatakan, beliau menuntut di Tanah Arab tidak terlalu lama, tetapi kerana keberkatan sanad dan ijazah oleh guru beliau, beliau terasa keberkatan ilmu itu.

Yang kedua ialah manhaj dakwah dan pemikiran beliau. Pendekatan sederhana (Wasatiyah) ialah pendekatan terbaik yang selari dengan ajaran Islam. Apabila kefahaman akidah dan ibadat diperkuatkan dengan amalan kerohanian, mesej dakwah yang mahu dibawa boleh menyentuh hati ummat. Amalan zikir, hizib serta tazkiah nafs menjadi kewajipan bagi beliau. Sayyid Muhammad dalam aspek pemikiran fiqh sebagai contoh, walaupun bermazhab Maliki, tetapi beliau sendiri pakar dalam empat mazhab. Beliau berkata "Saya adalah 'anak' kepada mazhab yang empat". Tidak timbul sepatutnya fahaman tidak bermazhab atau membuta tuli ketika mengeluarkan hukum. Benarlah seperti apa yang terkandung dalam buku Sheikh Yusuf Qaradawi, Kaifa Nata'amal Bil Khilaf Mazahib (Bagaimana Beramal dengan Kepelbagaian Mazhab), orang yang faham kepelbagaian mazhab akan berkurang pertengkarannya.

Yang ketiganya ialah kegigihan menuntut ilmu. Sayyid Muhammad yang lahir dari keturunan yang mulia telah menyempurnakan Ijazah Kedoktoran dalam bidang hadith dari Universiti Al Azhar denga keputusan Mumtaz ketika berusia 25 tahun. Tesis tersebut mendapat pujian dan sanjungan besar ulama besar Azhar, seperti Imam Muhammad Al Sayis, Sheikh Muhammad Abu Zahu dan lain- lain. Dikatakan beliau menghafaz Al Quran ketika berusia tujuh tahun dan menghafaz kitab Al Muwatta' ketika berusia 15 tahun. Beliau mendapat jolokan 'Muwatta'' berjalan kerana kepakarannya mengenai kitab hadith yang unggul ini. Dalam konteks hari ini, sangat mustahil untuk bertemu dengan ulama seperti beliau.

Yang keempat ialah kecintaan mendalam terhadap ilmu. Sheikh Fuad dalam buku Manaqib Tiga Permata Masjidil Haram mengatakan, Sayyid Muhammad berkata: "Sesungguhnya aku tidak mampu hidup tanpa mengajar. Aku tidak merasa gembira bahkan semasa bermusafir kecuali dengan menyampaikan ilmu dan menghadiri halaqah- halawah ilmu". Beliau juga amat cintakan ilmu dan melipatgandakan usahanya dalam bidang keilmuan. Kerehatan dan ketenangan baginya ialah apabila memenuhi waktunya dengan ilmu. Apakah makna kerehatan bagi kita pula? Mungkin menonton wayang, membeli belah, menghisap rokok dan sebagainya.

Bukan setakat cinta kepada ilmu, tetapi memuliakan ilmu dalam erti kata sebenar. Bagi Sayyid Muhammad, ilmu merupakan suatu perkara yang amat mulia dan berharga. Ia tidak sepatutnya diletakkan melainkan di tempatnya dan tidak sepatutnya diberikan kepada orang yang tidak layak (busuk hatinya atau tidak ikhlas). Oleh itu bukan mudah seseorang itu layak diterima belajar di madrasahnya yang berkat. Sehinggakan, beliau mewajibkan anak muridnya supaya menunaikan solat sunat Istikharah sebelum memulakan pengajian. Beliau sering berkata,"Saya tidak akan menerima seseorang itu belajar dengan saya kecuali dengan isyarat (daripada Allah)".

Sayyid Muhammad telah meninggalkan warisan kitab beliau, hampir 100 buah kita dalam pelbagai disiplin. Antara kitab yang paling masyhur ialah Mafahim Yahibu an Tusohhah (Kefahaman yang Wajib Dibetulkan) yang telah mendapat pujian lebih kurang 50 orang ulama Islam seluruh dunia Islam. Beliau sendiri menganggap buku tersebut sebagai suatu yang istimewa, dengan berkata,"Kitab karangan saya yang paling akrab dengan saya ialah Mafahim Yahibu an Tusohhah". Buku ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Beliau meninggal dunia pada waktu sahur hari Jumaat, 15 Ramadan 1425 bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun. Ketika dibawa jenazah beliau, ratusan ribu manusia mengiringi ke kubur, dengan tangisan, takbir dan tahlil. Sheikh Sayyid Thantawi, Sheikh Al Azhar menyatakan kesedihannya, "Kewafatan Sheikh Maliki bukan sahaja merupakan kehilangan bagi Kerajaan Arab Saudi, tetapi kehilangan bagi seluruh alam, ummat ini dan negara- negara Islam".

Wacana pemikiran yang dianjurkan ABIM, Yayasan Sofa, JAWI dan PKPIM merupakan satu permulaan awal ke arah memperkenalkan tokoh ini. Ummat Islam di Malaysia harus terus membuka ruang untuk terus memahami khazanah berharga yang telah beliau wariskan. Generasi muda terutamanya harus berjinak- jinak dengan tokoh seperti Sayyid Muhammad, supaya bertemu dengan 'idola' yang sepatutnya. Kehadiran anakanda beliau sendiri, Sheikh Sayyid Ahmad bin Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani ke wacana ini memberi mesej bahawa usaha dan ilmu beliau harus diteruskan di sini. Bumi Malaysia sebenarnya bertuah kerana masih dizinkan Allah untuk menerima tempias keberkatan ulama seluruh dunia.