Monday, September 29, 2008

Eid Mubarak 1429

Esok Syawal bakal menjelma. Tiada yang paling menggembirakan selain dapat meraikan hari kebesaran ini bersama keluarga dan saudara mara. Kita mendoakan supaya Ramadan yang bakal melabuhkan tirai nanti merupakan Ramadan yang terbaik bagi kita. Dan Insyallah, kita mendoakan supaya tahun depan kita berjumpa dengan Ramadan yang mulia ini.

Situasi negara masih tidak stabil. Politik semasa masih tidak menentu. Harapan Baru yang ingin dibawa masih belum tercapai. Debaran rakyat semakin kencang. Walau apa yang melanda, sebagai individu kita harus memandang positif ke hadapan.

Apatah lagi situasi ekonomi dunia. US telah menyuntik sejumlah bail out yang besar RM700 billion untuk menyelamatkan ekonomi US. Bila diperhati secara halus, ini adalah petanda kegagalan ekonomi US yang berfalsafahkan Neo- Liberalisme. Dasar mereka yang mem'pertuhan'kan dasar ekonomi terbuka, tiada campur tangan kerajaan dan mengangkat keuntungan maksimum tanpa pertimbangan pahala dan dosa mengakibatkan ekonomi mereka ranap hampir musnah.

Hakikatnya, bail out RM 700 billion yang dikeluarkan oleh US itu hanya kertas kosong, tidak ada sandaran kekal, seperti emas. Duit berbillion itu berlegar dalam ekonomi US dan tidak lain hanya wang kosong. Akibatnya hutang semakin membelit US. Umpama saudara yang ada mesin mencetak wang kertas Dollar, kemudian mencetak berbillion- billion keping dan saudara sendiri yang memberi nilai sekeping wang kertas dengan satu dollar. Semudah itu sahaja.

Sudah lah kertas kosong, kemudian dengan kertas kosong itu boleh diniagakan. Sebagai contoh, jika saudara meminjam wang (Loan) dari Bank sebanyak RM 100, dan harus membayar balik RM 10 secara beransur- ansur selamat bebearapa bulan. Sekiranya tersangkut (default) saudara boleh didenda 10% berganda daripada pinjaman asal (capital). Maka RM 100+RM****. Bayangkan dengan RM 100 sahaja yang dipinjamkan, tetapi puak kapitalis berjaya 'membenihkan' beberapa RM atas nama denda lewat. Ini adalah Riba yang terang dan nyata diharamkan Allah Ta'ala.

Dalam konteks itu, Perbankan Islam adalah alternatif terbaik. Dalam Perbankan Islam, tidak ada mengiktitraf wang kertas sebagai komoditi yang boleh diniagakan. Wang adalah alat untuk berjual beli. Itu sahaja.

Apa- apa pun, Syawal makin menampakkan wajah. Tiada mulia yang boleh diucapkan saat menjelma Syawal ialah minal' 'aidil wal fa'izin, Kullu 'Am Wa antum Bikhair, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah Ta'ala memberkati hidup kita dan memberkati sepanjang sebulan Ramadan yang baru berlalu.

30 Ramadan 1429
30 September 2008

5.18 petang
Seri Manjung, Perak

Saturday, September 27, 2008

Ramadan Menjaga Pemikiran Kita

Bulan Ramadan hampir ke penghujung. Beruntung bagi sesiapa yang memanfaatkan sepanjang Ramadan untuk beribadat dan memohon keampunan. Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi Ramadan juga menjaga pemikiran kita. Ada artikel menarik juga oleh Adian Husaini.

Bercakap tentang pemikiran ketika bulan Ramadan, ada dua buku yang saya ingin kongsikan. Alhamdulillah, memang Ramadan bulan terbaik untuk kita cerdaskan akal dan rohani kita dengan perkara keilmuan dan amalan kerohanian. Masakan tidak, ketika berlaparlah kita mudah untuk 'menghadam' ilmu. Agak mustahil ketika kenyang untuk menghadam ilmu. Sebab itu ada ulama mengatakan, "Perut yang kenyang menjaga nafsu, perut yang lapar menjaga ilmu". Ketika Ramadan, kerap juga 'ziarah' Kinokuniya untuk membelek buku. Ada teman yang menjadi 'sparing partner', sdr Sosialis Kanan yang turut mempanjangkan lagi diskusi akal tentang buku- buku dan isu- isu ilmiah di Kinokuniya.

Buku yang saya kongsikan pertama ialah Bad Samaritans: The Guilty Secrets of Rich Nations & The Threat To Global Prosperity oleh Ha- Joon Chang. Beliau orang Korea, bekas pensyarah bidang ekonomi di Canbridge, pernah bekerja di Bank Dunia dan pelbagai pengalaman dalam bidang ekonomi. Buku ini bagus bagi sesiapa yang berminat mengetahui selok belok perjalanan ekonomi dunia yang direncanakan oleh kelompok Neo- Liberal. Blog Sosialis Kanan boleh menghuraikan lanjut tentang agenda Neo- Liberal ini.

Secara umum, banyak kegiatan ekonomi hari ini berlandaskan falsafah 'free- trade and market'. Ini dipelopori terutamanya oleh negara bertaraf kaya seperti US, UK, dan lain- lain. Yang menjadi masalah ialah apabila melalui agen 'Unholy Trinity (IMF, World Bank dan WTO), agen ini memasang konspirasi di negara membangun atas nama ingin membantu. Perangkap samar agen ini sebenarnya ialah untuk memastikan negara membangun (baca: miskin) terikat dengan dasar berat sebelah agen ini.

Sebagai contoh, jika dasar 'free trade dan market' dipaksa ke negara Malaysia, yang hakikatnya kita sedang membangun, maka banyak peniaga tempatan akan bungkus. Ini boleh dilihat sedikit demi sedikit apabila melalui nama Foreign Direct Investment (FDI), syarikat multinasional seperti Tesco, Giant, Carrefour dan lain- lain 'membaham' peniaga- peniaga kecil'. Maka mereka hilang sumber pendapatan. Bagi mereka, negara membangun harus bersedia berdiri tanpa 'tongkat dan subsidi' demi mencapai kemajuan ekonomi. Untuk memacu ekonomi negara yang pesat, negara membangun harus melaksanakan 'dasar langit terbuka' secara total.

Mereka (baca: negara kaya) sebenanya hipokrit, kerana hakikatnya mereka ketika mula- mula hendak membangun, sebenarnya lebih ketat dalam dasar ekonomi negara mereka. Sehingggakan dilaporkan, berpuluh tahun dasar tertutup US ketika 1889 untuk tidak membenarkan ada pemilik saham asing memiliki 'share' dalam mana- mana bisnes di US.

Penulis juga mengaitkan perubahan ekonomi berkaitan dengan perubahan sikap. Jika 'kemalasan' dikaitkan dengan orang negara membangun, manakala rajin ialah sikap utama orang negara maju sebenarnya adalah kesilapan besar. Faktor yang mendorong ada persepsi 'rajin' kepada orang negara maju ialah kerana faktor industri sebenarnya. Apabila negara berindustri, maka banyaklah kemajuan dicipta. Kemajuan boleh dilihat melalui pembangunan, kecanggihan teknologi dan sikap profesionalisme. Maka apabila mereka ada 'industrial revolutionary factor' itu, maka persepsi mereka rajin timbul.

Manakala negara miskin, yang hanya membajak sawah dengan kerbau dikatakan 'malas' Walhal mereka dipersepsikan 'malas' bukan kerana si kerbau itu, tetapi keadaan ekonomi yang tidak pesat dan tiada tuntutan mengejar material keterlaluan menyebabkan mereka boleh berehat selesai membajak. Paling kurang akan menyambung tugas di kebun, berehat bersama keluarga dan malam bersandar di beranda rumah sambil menghisap rokok. Ini persepi yang dibentuk oleh faham Neo- Liberal supaya akhirnya kita mengikut jejak langkah mereka.

Saya menggalakkan buku ini menjadi salah satu silibus pembacaan kita dari sehari ke hari.

Kemudian buku kedua yang masih dalam pembacaan ialah Tahafut Al- Falasifah, oleh Imam Al Ghazali dalam Bahasa Inggeris. Walaupun agak teragak- agak untuk mencapai buku ini dan membayar di kaunter Kinokuniya, tetapi memberanikan diri juga. Bukan kerana apa, isi yang padat dan mendalam membuatkan perlu ada guru yang membimbing. Buku 'Tahafut Al- Falasifah' sudah lama menjadi antara buku yang wajib dibaca, Alhamdulillah ada juga kekuatan untuk membaca.

Memandangkan masih dalam proses membaca, secara umum Tahafut adalah buku 'magnum opus' Imam Al Ghazali yang ditulis selepas Maqasid Al Falasifah. Nama Imam Al- Ghazali tidak perlu diperkenalkan lagi. Buku Tahafut merupakan renungan tajam beliau tentang beberapa kesesatan ilmu falsafah. Buku Tahafut kemudian di'serang balas' oleh Ibn Rushd, dengan tajuk buku 'Tahafut At- Tahafut'.

Insyallah, jika ada kelapangan saya akan berkongsi kandungan buku Tahafut ini. Kalau sdr sudah membaca, boleh membantu saya memahami dengan lebih baik;) .


Apa- apa pun, Ramadan semakin melabuhkan diri, masih ada pelang untuk kita bertaubat dan memohon keampuan kepada Allah Ta'ala.

Sunday, September 21, 2008

September 98 dan Iktikaf

Pada 20- 21 September, Sabtu dan Ahad ada program Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) anjuran PKPIM di Masjid Negara. Program Miftah adalah program ihya' Ramadan PKPIM setiap tahun. Rupanya MIFTAH kali ini ada kenangan yang paling bermakna.

Semalam, Sabtu 20 September, tiba- tiba saya diingatkan peristiwa 10 tahun lepas, 20 September 1998. Lautan manusia berhimpunan menyatakan protes. Laungan reformasi memecah hening angkasa kawasan Masjid Negara. Walaupun saya masih tingkatan empat ketika itu, tetapi bahang September 98 terasa sehingga ke sekolah. Manakan tidak, risalah- risalah diseludup secara 'haram' ke sekolah- sekolah, menceritakan perihal sebenar September 98.

Namun, 10 tahun sudah berlalu. Banyak peristiwa telah berlaku. Apakah sejarah September 2008 akan merealisasikan perubahan yang diminta 10 tahun lepas? Wallahualam, kita doakan yang terbaik kepada negara kita ini.

...............................................

Sekarang kita berada dalam tempoh sepuluh Ramadan terakhir. Pejam celik, Ramadan semakin menghampiri ke penghujung. Adakah kita benar- benar telah merasai nikmat beribadah dalam bulan Ramadan? Jika belum, sebenarnya masih tidak terlambat.

Iktikaf adalah sunnah Baginda Sallahu'alahi Wasalam ketika masih hidup. Dikhabarkan Baginda sepanjang hidupnya, apabila berada di penghujung Ramadan, akan beriktikaf di masjid. Baginda beriktikaf sehingga hari kewafatan Baginda. Dikhabarkan juga, kerana rumah Baginda yang bersebelahan masjid (Masjid Nabawi) beliau akan meninggalkan rumah dan beriktikaf di masjid. Sehingga ada ketika Baginda meminta 'Aishah untuk menyikat rambut Baginda dengan Baginda menghulurkan kepala melalui tingkap rumahnya. Ini kerana menggelakkan daripada hilang pahala iktikaf.

Tujuan iktikaf ialah untuk kita meninggalkan keseronokan dunia sementara. Inilah masanya kita menumpukan sepenuh perhatian untuk mengadap Allah Ta'ala dengan bersungguh- sungguh. Jika diberi pilihan, orang kita lebih gemar untuk ber'shopping' sepanjang minggu akhir Ramadan. Mereka tidak berminat untuk mencari pahala sepuluh Ramadan terakhir.

Ada fadilat lain juga iaitu turunnya Lailatul Qadar, malam yang penuh dengan keberkatan. Agak mustahil jika kita mahukan pahala sepanjang seribu bulan= 83.33 tahun dengan istiaqamah beribadat. Sebab itu Allah yang Maha Pemurah mengurniakan kita keberkatan satu malan bersamaan dengan seribu bulan.

Akan tetapi, ramai yang tidak sedar dengan fadilat Ramadan ini, apatah lagi sepuluh Ramadan terakhir. Kadang- kadang kasihan melihat ummat Islam yang tidak tersentuh dengan kerahmatan yang Allah Ta'ala kurniakan. Ada yang malam Ramadan seperti malam- malam biasa. Tidak langsung tergerak untuk qiamulail.

Ada yang siang Ramadan tidak seperti orang berpuasa. Berpuasa, tetapi mengumpat saudara seIslam. Sebab itu Baginda ada bersabda, maksudnya "Tidaklah puasa itu menahan diri lapar dan dahaga, tetapi menahan diri dari berkata- kata lagha (sia- sia) dan maksiat". Ada yang berhasad dengki, hati busuk dan langsung tidak insaf dengan keburukan akhlak yang dimiliki.

Sebab itu sepuluh Ramadan terakhir ialah hari yang unik dan berkat. Marilah kita bersama- sama mengisi sepuluh Ramadan terakhir dengan rajin- rajin beriktikaf di masjid, mencari Lailatul Qadar, beribadat khusus kepada Allah dan memohon keampuan dari Allah Ta'ala. Insyallah...

Monday, September 15, 2008

Bahasa Kebangsaan sebagai Kuasa Penyatu

Bulan Ramadan bulan berperang. Bukan sahaja berperang hawa nafsu, tetapi berperang sikap, idea dan ideologi. Bukan mudah untuk pertahankan prinsip kita sekiranya tidak ada persiapan yang lengkap.

Isu yang sentral ialah isu peralihan kuasa. 16 September sudah menjelma, tetapi tidak ada bayang- bayang kerajaan baru ambil alih kerajaan. Mungkin belum masanya, tetapi keyakinan itu macam ada.

Tidak lupa juga isu Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Bergelora kembali. Pak Menteri mengatakan hujung tahun akan dinilai kembali. Polemik ini terus berpanjangan. Sudah banyak desakan dan tekanan dilontarkan kepada kerajaan, namun tidak ada tindakan susulan. Itulah akibatnya dasar dan masa depan pendidikan dicatur oleh orang politik yang pragmatis. Apa sahaja keuntungan 'short- cut' akan dicapainya. Akhirnya menjadi mangsa ialah generasi muda hari ini.

Ramai yang menyokong diteruskan dasar PPSMI ini. Bagi mereka;
1- BI sebagai bahasa antarabangsa
2- Tidak perlu menjadikan pelajar bahan kajian
dll

Kita katakan, BI bukan diabaikan sebagai bahasa utama dunia. Bahkan BI harus menjadi bahasa wajib dipelajari secara berkesan demi bersaing di peringkat antarabangsa. Namun, men'dewa'kan BI sehingga tenggelam peranan dan kuasa Bahasa Melayu adalah sukar diterima.

Ada beberapa jenayah bahasa telah dilakukan oleh kelompok yang konon dikatakan 'modernis' ini, tetapi jahil 'murakkab'. Antaranya;
1- Menukar Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia
2- Menghapuskan bahasa baku
3- Memandulkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
4- Menukar subjek Matematik dan Sains dalam BI
5- Meletakkan bahasa Cina sebagai papan tanda di Pulau Pinang
6- Menghapuskan tulisan Jawi
7- Pemimpin bercakap bahasa rojak di tempat awam
7- Macam- macam lagi

Pokoknya, mereka jahil dan angkuh dengan kedudukan Bahasa Melayu, yang telah dikitiraf dalam Perlembagaan Negara 153. Apakah mereka jahil? Apakah mereka buat- buat tidak tahu? Wallahualam. Ada juga yang mencadangkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama komunikasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Satu tragedi 'bahasa' telah berlaku.

Ini dilema yang dihadapi oleh mereka yang menjuarai idelogi 'Malaysian Malaysia'. Jika bicara bahasa kebangsaan masih kalut, bagaimana mereka mahu menjadi rakyat Malaysia yang tulen? Ada yang sudah lebih 50 tahun tinggal di Malaysia, tetapi bercakap dalam bahasa kebangsaan masih tidak kemas. Apakah ini imej 'bangsa Malaysia' yang kita mahukan?

Sekali lagi dalam kekalutan peralihan kerajaan yang diramalkan berlaku tidak lama lagi, seharusnya perlu ada persediaan yang boleh mengikat kebersamaan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, yang berkongsi harapan baru ini. Tidak dinafikan, ada orang Melayu- Islam, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Masing- masing ada latarbelakang sejarah tersendiri. Masing- masing mempunyai world view dan nilai hidup yang tersendiri. Tetapi ada satu ikatan yang kuat boleh menyatukan mereka, iaitu bahasa kebangsaan.

Maka, bakal pemimpin sekarang (Jika mahu bertahan) atau pemimpin masa depan (Jika mahu berkuasa) harus melihat agenda memperkasa dan mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa teras yang perlu dikuasai oleh semua rakyat. Jika tidak, akan sama seperti 'rejim' yang telah melakukan jenayah bahasa. Bacalah karya Prof Naquib Al Attas tentang kepentingan bahasa Melayu.

* Sambutan Bulan Bahasa dan Sastera anjuran DBP yang diadakan September setiap tahun agak muram dan tenggelam. Mungkin ura- ura 16 September dan sambutan Ramadan.
** Kenyataan Akhbar terbaru kumpulan pendesak dalam isu PPSMI: MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)