Thursday, July 03, 2008

KE MANA MALAYSIA?

Situasi politik bergelora kembali. Rupanya luka lama dan dendam kesumat 10 tahun lepas masih berdarah. Rupanya keputusan 8 Mac lalu telah membuka kota 'pandora'. Kota 'pandora' ialah kotak yang apabila dibuka maka terpancut kepala badut dan tali- tali berwarna. Maksudnya, dengan situasi baru politik negara, telah memuntahkan segala macam rencam dengan silang sengketa masalah. Tidak semestinya keputusan mengejut 8 Mac lalu berupaya mencorak politik baru Malaysia.

Apabila dua gajah bergaduh, maka rusa tersepit di tengah. Apabila pembesar terlalu berpolitik, rakyat jadi mangsa. Nampaknya, apabila situasi menjadi tegang sekarang ini, harapan rakyat untuk mengisi demokrasi baru ini semakin hampa. Rakyat banyak dijamu dengan pertembungan politik pembesar negara.

Semalam, pasukan tentera dan polis telah memulakan latihan kerjasama. Banyak cakap- cakap orang, sama ada boleh dipercayai ataupun tidak, mengandaikan akan berlaku huru hara negara. Akhirnya nanti, negara akan diisytiharkan darurat. Kita harus berdoa dan berkeras mempertahankan negara ini daripada timbul huru hara.

Membina sebuah negara yang baik mengambil masa 50 tahun, tetapi menghancurkan negara yang baik ini mengambil masa sejam sahaja! Justeru, kita memohon supaya:

1. Kerajaan mengambil sikap berhati- hati dan tingkatkan tahap keselamatan tertinggi, supaya tidak timbul keadaan yang tidak baik.

2. Pihak polis dan BPR tegas dalam setiap laporan salah laku yang telah dilaporkan, tidak mengira pembesar kerajaan atau tidak. Jika perlu, heret pesalah demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

3. Masyarakat tidak menyebar khabar angin yang belum dipastikan kebenarannya. Apatah lagi fitnah yang melibatkan dosa besar. Surah Hujrat: 6, harus menjadi panduan kita, apabila datang orang fasik membawa berita, maka tapislah. Masyarakat harus mendukung kebenaran dan keadilan berteraskan ilmu dan akhlak, bukan cakap- cakap fitnah. Janganlah kita menjadi ejen fitnah dan gosip. Nampaknya 'gosip' ahli politik mendahului senarai kontroversi gosip para artis.

4. Sebagai individu pula, kita harus perbanyakkan doa kepada Allah Ta'ala supaya menyelamatkan negara ini ditimpa musibah dan huru hara. Malah, pertingkatkan juga dengan solat hajat, puasa sunat dan beramal soleh, supaya dengan amalan baik ini, Allah Ta'ala menangguhkan (dengan takdir jua) dahulu jika ada musibah yang telah ditakdirkan kepada kita. Kita juga harus menyedarkan kepada ummat bahawa berapa banyak dalam tamadun ummat bahwa silang sengketa politik secara berlebihan telah menyumbang kepada kehancuran negara. Tidak dinafikan juga kehancuran negara ialah kerana sikap ahli politik yang rakus, perasuah, akhlak rendah dan sebagainya yang negatif. Tepuk dada, tanya Iman.

Wallahu'alam.