Tuesday, June 24, 2008

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

SIARAN MEDIA 24 JUN 2008/ 19 JAMADIL AKHIR 1429:
PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM membantah keras cadangan kerajaan untuk mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet yang berjaya nanti. Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

PKPIM mempersoalkan, apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan? Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nnati?

Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan. Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak.

Kerajaan tidak boleh membuat anggapan dengan ganjaran mewah itu atlet Malaysia mampu cemerlang dan konsisten dengan kecemerlangannya. Ganjaran mewah bukan jaminan atlet akan cemerlang. Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara.

Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara. Memberi ‘umpan’ mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat di’belai’ dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?

PKPIM menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran ini. Tidak salah memberi ganjaran, tetapi biar berpatutan. Jika dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat. Malah atlet seharusnya dididik supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah perjuangan mati dan hidup sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata!

MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malasyia (PKPIM)
BT 6 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

03- 61879520
019- 3068241

Thursday, June 19, 2008

Petronas Bukan Kambing Hitam

Minyak naik menyebabkan semua marah dan geram. Petronas menjadi 'kambing hitam' untuk rakyat lepas kemarahan. Sebenarnya ramai yang tersilap menghala kemarahan kita. Petronas bukan punca kenaikkan minyak mendadak ini. Perarakan Jumaat lepas dari Kg Baru menuju Petronas juga menunjukkan ketidaktajaman kita membaca isu.

1.Don't ask Petronas how profits used, ask...
2. The role of petronas: Check your facts on the oil issue.
3. Mitos Tamadun Petroleum

Pada prinsipnya, saya tidak setuju jika kita tidak tajam melihat isu. Dalam fenomena kenaikkan minyak ini, Petronas tidak perlu di'kambing hitam'kan. Isu minyak naik memang isu global, suatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam bisnes minyak pun, deal demand- supply menyebabkan minyak naik. Biasanya apabila demand (permintaan) minyak naik, maka supply (pengeluar) pun meningkat. Biasanya pengeluar minyak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga minyak apabila permintaan minyak terlalu banyak. Ada dua faktor saling berkait;

1. Demand minyak banyak sebab petrol menjadi bahan perusahaan dan kegunaan harian yang banyak oleh penduduk dunia. Plastik, minyak kereta dll menggunakan petrol. Peperangan Amerika di Iraq dan Afghanistan juga menyumbang kepada penggunaan petrol yang banyak. Semua menjadi faktor 'demand' minyak seluruh dunia.

2. Sesetengah negara pengeluar minyak mengambil kesempatan untuk 'reserve' simpanan minyak. Ini bertujuan supaya permintaan minyak melonjak- lonjak. Makanya harganya pun dinaikkan ke tahap yang tinggi. Ini spekulasi harga minyak yang dimainkan oleh sesetengah negara pengeluar minyak.

Isu kerajaan menaikkan harga minyak memang keputusan yang justifiable, sebab terpaksa bersaing dengan harga minyak sedunia. Semua negara menghadapi kenaikkan minyak. Yang menjadi persoalan kenapa mendadak, katanya Ogos dan 40% kali ganda? Cumanya, kita kena pisahkan dua perkara, isu global minyak naik dan governance kerajaan.


Isu minyak naik tidak boleh elak. Tetapi governance kerajaan kita boleh elak. Sebagai contoh, apabila 2006 kerajaan naikkan harga minyak, makanya sistem pengangkutan awam diperbaiki dan dipertingkatkan, rasuah tidak berleluasa, amalan kronisme tidak membarah, golongan miskin diberi perhatian. Akan tetapi semua perkara ini tidak diberi perhatian. Sekali lagi 2008 minyak naik. Makanya jika semua yang disebut di atas ditangani dengan baik, maka rakyat mungkin akan reda marahnya kerana minyak naik.

Jadi, antara cadangan yang diutarakan untuk menangani isu minyak naik ialah menjaga kebajikan rakyat. Sdr Sebol, mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi RM 50 kepada semua rakyat Malaysia, setiap bulan, termasuk yang tidak berkenderaan dan tak mampu bekerja.

Saya secara peribadi, melihat pemberian subsidi tidak banyak membantu mengurangkan kesusahan rakyat, apatah lagi dalam nilai yang kecil. Ini kerana;

1. Sepatutnya kerajaan menumpukan balik kepada asas governance; perbaiki mutu perkhidmatan awam, banteras rasuah secara perdana, amalkan pemerintahan telus bukan kronisme dan sebagainya. Mungkin jika kerajaan bersungguh dalam menangani isu governance ini, rakyat tidak terlalu marah dengan kenaikkan harga minyak ini.

2. Mekanisme pembahagian subsidi akan menghadapi masalah. Mungkin kerajaan sudah laksnakan seperti pemberian rebat tax bermula minggu lepas. Tetapi ibarat 'kita memberi pancing untuk menangkap ikan, bukan memberi ikan untuk memberi makan'.

Kesimpulannya, isu terbengkalai harus diutamakan dahulu, supaya dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah utama.

Masa dan Berjiwa Besar

Hari ini, Khamis 19 Jun, merupakan hari yang penat, tetapi seronok.2.30 petang, ada Mesyuarat Panel Shariah, Affin Islamic Bank. Agenda mesyuarat ialah membincangkan dokumen- dokumen penting, yang ingin mendapat 'fatwa' panel Shariah Affin Islamic.

5.00 petang pula, saya mengajar bahasa Arab untuk staf Affin Islamic. Kelas Arab yang masuk minggu kedua Alhamdulillah, mendapat respon positif oleh teman- teman sepejabat. Saya ucapkan syabas kepada mereka yang bersemangat untuk mendalami bahasa Arab. Dalam Islam, memahami bahasa Arab merupakan satu kewajipan. Kenapa saya mengatakan begini, kerana Imam Syafiee sendiri mengatakan bahawa sebagai umat Islam, kita harus memahami bahasa Arab, walau seminimum mungkin. Misalnya kalimah Shahadah yang kita ucapkan. Ataupun memahami makna doa dan bacaan solat kita.

Imam Syatibi pula mengatakan, jika mahu mengukur kefahaman Islam seseorang itu, lihat kefahamannya tentang bahasa Arab. Bukan bermakna orang Arab yang boleh bercakap bahasa Arab sudah jelas Islamnya. Yang penting faham dan hayati.

Hassan Al Bana sendiri menekankan supaya kita belajar bahasa Arab, kerana ia merupakan bahasa umat Islam. Bahasa inilah yang mengikat umat Islam keseluruhannya.

Kemudian, 9 malam, saya dijemput ceramah di pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya. Alhamdulillah, dapat berjumpa pelajar- pelajar baru. Apa yang ditekankan ialah tiga perkara iaitu supaya para pelajar belajar bersungguh- sungguh, terlibat dalam organisasi atau persatuan dan akhirnya peka dengan isu semasa. Pelajar yang cerdik dan pandai harus dibimbing idealisme mereka. Kita tidak mahu pelajar kita yang pintar, tetapi menjadi mangsa 'compartmentalization' sistem pendidikan kita.

Maksudnya, pelajar pintar di universiti, mendapat CGPA tinggi, kemudian kerja dan akan 'pakar' dalam bidang khusus itu sahaja. Mereka harus dikembangkan 'kepintaran' mereka, supaya akhirnya menjadi ilmuwan Islam. Ilmuwan soleh yang dilahirkan dahulu meninggalkan jasa besar kepada ummat, dari segi ilmunya, bukunya, anak muridnya, madrasahnya dan ideanya. Mereka tidak belajar kemudian bekerja semata. Tetapi kecerdasan akal mereka digunakan untuk memanfaatkan kepada seluruh umat Islam dan alam.

Ciri kejayaan Imam Shafiee, Imam Maliki, Al Juwaini, Imam Al Ghazali dan ramai ilmuwan Islam terdahulu adalah kerana kepelbagaian penguasaan ilmu yang dimiliki. Mereka tidak menjadi mangsa pengkhususan melampau akibat sistem yang terlalu 'compartmentalization'. Ini yang dikatakan oleh Jose Ortega Gasset sebagai 'The Barbaric of Specialization'.

Kerana itu pembinaan pelajar pintar kita harus berjiwa besar dan berpandangan jauh. Jika tidak, kita akan mengulangi tragedi Sufiah, yang pakar dalam Matematik, tetapi tandus moral. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai silang sengketa ilmu dan pada masa yang sama tawaduk, amanah dan ikhlas dalam amalan mereka.

Kesimpulannya, dalam ilmu kepimpinan, jika kita katakan kita terlalu sibuk, maknanya kita relevan dengan masa yang ada. Biasanya orang yang tidak 'sibuk' ini tidak pandai memanfaatkan masa. Malah, sebagai pemimpin, kita harus berjiwa besar dan berpandangan jauh. Dalam melahirkan ilmuwan Islam persis zaman dahulu, sistem pendidikan harus tidak terlalu 'mengkotak- kotakkan' disiplin ilmu, akhirnya nanti kita menjadi mangsa 'Barbaric of Specialization'.

Wallahualam.

Monday, June 16, 2008

Hubungan Antarabangsa

Dalam bulan ini, PKPIM menerima tiga jemputan ziarah oleh delegasi antarabangsa. Ini merupakan tradisi gerakan pelajar, bahawa hubungan sesama organisasi harus berkembang ke seantaro dunia. Proses menjarut jaringan sesama gerakan da'wah harus berkembang, memandangkan dengan hubungan ini proses bertukar maklumat, berkongsi pengalaman dan belajar antara satu sama lain.


Pertama, pada awal bulan, sekumpulan dosen dari Universiti Bandung, diketuai oleh sdr Yudi, teman sekuliah saya semasa di universiti telah melawat Malaysia. Asal tujuan lawatan mereka ialah untuk berjumpa dengan pembuat dasar perbankan Islam di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia. Sambilan itu, mereka mengadakan pertemuan dengan PKPIM. Yang menariknya ialah, dalam dosen- dosen yang datang itu, mereka semua menjawat jawatan besar di Universiti, Timbalan Rektor, senior dosen, termasuk teman saya, Yudi yang sebagai dosen junior. Berjawatan Timbalan Rektor di Universiti Bandung tidak menghalang mereka untuk berjumpa kumpulan anak muda di Malaysia ini. Mereka banyak berbicara dan memberi nasihat ketika dalam pertemuan. Pengalaman dan isu umat Islam di Indonesia menjadi topik utama perbincangan. Isu Ahmadiah, fatwa Majlis Ugama Islam Indonesia, kelompok Islam Liberal mengisi topik perbincangan. Pokoknya, pendidikan yang Islami harus dijadikan teras pendidikan untuk menyelamatkan generasi masa depan Indonesia. Alhamdulillah, jika ada rezki, kami akan berkunjung ke Bandung untuk ketemu mahasiswa di sana.

Kemudian, selang beberapa hari, tetamu dari negara yang sama juga berkunjung ke PKPIM, selama dua minggu, iaitu sdr Zaid Makarma, merupakan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia (PII), dan juga Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT). Sdr Zaid melakukan lawatan kerja selaku SECGEN PEPIAT di Malaysia, termasuk rantau Asia Tenggara, iaitu Selatan Thailand dan Singapura. Selama berkelana lama di Malaysia, beliau di bawa ketemu dengan banyak pihak, termasuk pertemuan rasmi dengan PKPIM. Ber'kampung' sebentar di Kg Changkat, sebuah pusat latihan PKPIM merupakan kenangan manis;). Banyak agenda yang dibincangkan bersama, iaitu untuk memperkasa usaha da'wah peringkat pelajar Islam Asia Tenggara dan memperkemaskini program bersama. Kesempatan itu juga PEPIAT dan PKPIM telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Myanmar Alhamdulillah. Hubungan serumpun antara Malaysia- Indonesia sebenarnya begitu sentimental sekali. Wilayah nusantara, yang digelar antara wilayah Islam yang berpengaruh oleh Richard Nixon dalam bukunya 'Seize the Moment', dan Samuel Huntington, buku kontroversinya 'Clash of Civilization'. Maka tidak mustahil, dengan ikatan budaya dan bahasa yang rapat, wilayah ini dicemburui oleh negara Barat, lalu mereka mencari jalan untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam wilayah nusantara ini. Makanya jadilah 'divide and rule', menjadikan Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.



Kemudian, semalam 16 Jun Isnin, Setiausaha Agung Chatra Shibir, sdr Muhammad Rizal dan Exco Da'wahnya menziarahi sekretariat PKPIM. Semalam hari terakhir beliau di Malaysia setelah hampir seminggu di Malaysia dalam lawatan kerja mereka. Chatra Shibir merupakan sayap pelajar Jamaat Islami, sebuah gerakan da'wah yang diasaskan oleh Maulana Sheikh Abu Ala Maududi, yang kemudiannya bertukar menjadi parti politik Islam di Bangladesh dan Pakistan. Dalam pertemuan itu, kami banyak bertukar maklumat dan program da'wah semasa. Yang menarik, satu soalan yang membuat kami terkesima, sibuk- sibuk bincang program da'wah, tiba- tiba sdr Rizal bertanya, 'How many of ur members Shahid?", saya terkedu dan bertanya balik, "U mean Shuhada'?". Beliau mengangguk. Saya terkedu dan tersenyum sipu.

Rupanya sudah 313 ahli Chatra Shibir menemui ajal yang dianggap 'Shahid', kerana dibunuh, mati ditembak ketika bertempur dengan kumpulan sekularis dan banyak lagi sebab. Di Malaysia, barangkali situasi dan latarbelakang agak berbeza, makanya belum lagi muncul 'Shuhada'. Wallahualam.


Kesimpulannya, hubungan sesama gerakan da'wah, apatah lagi gerakan pelajar harus melampau batas sempadan. Hubungan bukan sekadar peringkat nasional, akan tetapi peringkat antarabangsa.


Dalam ilmu kepimpinan, sebagai pemimpin organisasi, kita harus melebarkan tangan kita untuk berjabat tangan dengan sesiapa sahaja yang difikirkan boleh. Ini aspek yang penting, memandangkan ilmu kepimpinan sebenarnya boleh dipelajar jika kita belajar dengan orang lain. Yang menarik, jika 'counter part' kita itu berlainan budaya, latar belakang dan mungkin agama. Dalam Islam sendiri, konsep ukhwah atau persaudaraan itu harus merentas budaya dan negara.


Malah, hubungan sesama teman luar negara sewaktu muda ini jika ikhlas dan jujur, akan membuahkan hasil yang baik kelak. Saya yakin, kepimpinan ini akan berterusas, bukan terberhenti setakat ini sahaja. Manalah tahu, hubungan sekelas seperti BJ Habibi dan Nejmuddin Erbakan semasa di kuliah universiti akhirnya mempertemukan keduanya menjadi pemimpin tertinggi negara Indonesia dan Turki. Wallahualam.


p/s: Niat bukan mahukan kebendaan keduniaan, tetapi harus ikhlas;)


Friday, June 13, 2008

ISLAMISASI ILMU KONTEMPORARI

Islamisasi merupakan agenda yang mendapat tempat ketika Islamic Resurgence berkemundang tahun 70 an. Namun demikian, proses Islamisasi sebenarnya telah bermula sejak kedatangan para Rasul lagi. Misi Islah dan da'wah bertujuan mengembalikan umat manusia kepada penyembahan Allah yang Esa. Pengisian Islamisasi era kontemporari ini mengambil dua faktor yang utama, iaitu Bahasa dan Akal.

Mengapa dua perkara ini menjadi subjek Islamisasi? Ini kerana umat Islam telah mengalami episod penjajahan oleh Barat hampir 700 tahun. Dalam tempoh itu, pemikiran umat Islam telah didoktrin dan dikelirukan dengan worldview kebaratan, yang sudah tentu berakarkan pandangan alam Sekular- Kristian.

Kerana itu, umat Islam hari ini terperosok mundur kerana menganut faham kebaratan yang sudah pekat dalam pemikiran umat Islam. Peranan penjajah ketika menjajah umat Islam ialah dengan menanam faham kekeliruan melalui suntikan pemikiran berkiblatkan Barat dan secara tidak langsung memasukkan istilah istilah bahasa asing yang membawa makna kebaratan.

Barat membawa konsep- konsep Sekular- Kristian secara paksa menggunakan dua pendekatan, iaitu mengikis kefahaman Islam dan sekaligus menanam kekeliruan. Pendidikan merupakan wahana strategik mereka untuk menanam faham kekeliruan. Banyak silibus- silibus berfaham Sekular- Kristian direka dalam sistem pendidikan kita sama ada peringkat sekolah mahupun universiti. Buku- buku yang ditulis oleh merekamenjadi bahan bacaan umat Islam. Guru atau pendidik sekolah merupakan ejen 'rasmi' penjajah untuk menyebarluas faham Barat. Makanya, sudah tentu bahasa menjadi medium perantara untuk menyampaikan idea mereka.

Banyak istilah- istilah Barat diimport ke dalam bahasa umat Islam. Istilah yang dibawa ini yang lahir dari rahim Barat, makanya banyak istilah mempunyai pengaruh faham Sekular- Kristian. Kerana itu, kita apabila maki orang lebih suka mengunakan bahasa Inggeris, "What the Hell!", daripada kita terjemahkan kepada "Apa Neraka Kamu ini!". Ini kerana istilah tersebut telah meresap pekat dalam pemikiran umat Islam. Maki dengan menggunakan bahasa kasar tidak lahir dari agama Islam, yang melarang mencerca dan memaki menggunakan bahasa kasar. Paling rosak pun, orang Arab menggunakan 'Baghal (keldai) atau orang Melayu menggunakan 'Babi' jika memaki.

Pokoknya ialah pengaruh bahasa asing dalam umat Islam melengkapkan satu proses kekeliruan umat Islam. Proses menanam kekeliruan dalam pemikiran dan mengimport istilah asing dalam bahasa umat Islam adalah proses terancang menggelirukan umat Islam. Hakikatnya, ramai cerdik pandai ada dalam dunia Islam, tetapi ramai juga yang keliru. Buktinya? Mereka yang sedang menyokong idea liberal- Sekular di kalangan umat Islam

Oleh itu:

1. Islamisasi 'kontemporari' masih relevan untuk menangani kekeliruan akal umat Islam.

2. Jangan terlalu memuja 'produk' Barat secara berlebihan, terutamanya dalam demam Piala Euro 2008 ini. Ada yang fanatik kepada pasukan Belanda, Perancis, Portugal dan Jerman. Padan muka England tidak layak masuk. Kadang kita terlalu taksub kepada negara Barat, sama ada institusi atau individunya, kita terlupa 'dosa' besar mereka menjajah umat Islam. Hasil penjajahan mereka menyebabkan umat Islam miskin, mundur dan sentiasa dihina. Malek Ben Nabi ada mengatakan, bangsa yang lemah cenderung meniru bangsa yang kuat.

3. Pemimpin dan pelajar hendaklah membaca buku yang serius dan penting seperti Islam and Secularism karya Prof Naquib Al Attas yang dikira sebagai magnum opus umat Islam akhr zaman. Buku yang boleh dibeli dengan harga RM 20.00 sahaja, mampu mempertahankan identiti umat Islam secara total kelak. Lebih bermakna jika membeli buku ini berharga RM 20.00 daripada membazir Afundi Akademi Fantasia. Sheikh Hamzah Yusuf, pernah meluahkan bahawa buku Islam and Secularism telah dibaca dari kulit ke kulit sebanyak tiga kali telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya. Beliau semakin teguh dengan pegangan Islamnya.

4. Dalam Malaysia sendiri, apakah kita sedar bahawa ada pihak secara terbuka dan terancang anti dengan Islamisasi? Sebagai contoh ada di sini (bawah). Hakikatnya mereka takut, atau Islamohobia jika mereka di'Islam'kan, agama mereka di'Islam'an, budaya mereka di'Islam'kan, parti politik mereka di'Islam'kan dan segala macam lagi Ataupun mereka takut juga jika 'Teroris' muncul dalam kelompok mereka! Sebenarnya ketakukan mereka tidak berasas malah amat cetek. Kesimpulanya, mereka harus memahami konsep Islamisasi yang sebenar.





(Bahan kempen ketika Pilihanraya Umum 12. Calon ini dipercayai menang dan sekarang sebagai exco kerajaan negeri Perak)

Sunday, June 08, 2008

Bapak Presiden, Anak Bapak;)


Alhamdulillah...

Isteri saya Ruzieta Mohd Jusak, selamat melahirkan anak perempuan pada 8.10 pagi, Ahad 8 Jun 2008/ 3 Jamadil Akhir 1429 di Hospital Selayang. Terima kasih kepada teman- teman, jauh dan dekat kerana mendoakan. Hati gembira bercampur baur dengan 'takut', sebab hendak membesarkan anak dalam situasi hari ini;)

Alhamdulillah...rezeki Allah.

Friday, June 06, 2008

Minyak Naik

Harga minyak naik melambung menyebabkan rakyat kelam kabut untuk mengurus hidup. Kerajaan telah menekan 'butang panik' dengan tiba- tiba. Ramai yang berduyun ke stesyen minyak untuk mendapat 'syafaat' harga minyak murah. Ada yang mahu menjual kereta kerana minyak naik. Ada yang separuh gajinya digunakan untuk minyak. Ada yang terpaksa susun balik belanjawan keluarga. Ada yang tangguh sambung belajar, sebab kos hidup meningkat. Persoalan yang timbul ialah;

1. Kenapa dinaikkan secara tiba- tiba, walhal katanya mungkin Ogos nanti?
2. Kenapa dinaikkan secara mendadak, tidak dinaikkan secara berperingkat?
3. Kenapa mekanisme pemberian subsidi digantikan dengan pemberian cukai jalan secara tunai, walhal rakyat telah membayar cukai yang banyak sebelum ini?
4. Kenapa Petronas tidak mampu menanggung subsidi minyak di negara ini, walhal Malaysia adalah negara pengesport minyak?
5. Kenapa kerajaan mengambil sikap tidak popular sekarang ini, walhal kerajaan baru 'dibelasah' teruk Pilihanraya 8 Mac lalu?
6. Kenapa harga minyak perlu naik, walhal gaji dan tarafv hidup menurun?
6. Dan banyak lagi persoalan yang berungkai.

Kritis tidak bermakna bangkang. Soalan perlu ada jawapannya.

Sunday, June 01, 2008

Buku Orientalis dan Diabolisme Pemikiran



Saya sedang membaca buku Orientalis & Diabolisme Pemikiran, ditulis oleh seorang sarjana muda nusantara, Dr Syamsuddin Arif. Beliau lahir 19 Ogos 1971 di Jakarta, tamat KMI Gontor 1989. Setelah dua tahun mengaji dan mengabdi di Majlis Qurra' wa Al Huffaz di Sulawesi, beliau menempuh program sarjana muda di UIAM. Kemudian menyambung peringkat sarjana di ISTAC UIAM dengan tesis beliau 'Ibn Sina's Theory of Intuition' di bawah bimbingan Alparslan Acikgenc. Phd beliau juga di ISTAC berjaya diselesaikan pada 2004 dengan disertasi berjudul Ibn Sina's Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas in 11th Century Islam di bawah pemerhatian Paul Lettinck.

Kini beliau sedang menyiapkan Phd kedua beliau di Orientalisches Seminar, Johann Wolfgang Goethe Universitat Frankfurt, Jerman. Beliau mahir dalam banyak bahasa klasik, selain Bahasa Inggeris dan Arab ialah Greek, Latin, Jerman, Perancis, Henrew dan Syiriac.

Sebuah buku yang mengupas secara tuntas metodologi Orientalis, mengajak pembaca supaya memahami hakikat mendalam mengenai usaha Orientalis yang sentiasa mencari ruang untuk merobek kesucian agama Islam. Orientalis digambarkan sebagai cemburu dengan ke'autoriti'an yang dimiliki oleh umat Islam, berbanding dengan agama Yahudi dan Kristian yang telah dicemari dengan campur tangan manusia.

Satu tajuk yang menarik saya ialah tulisan beliau mengenai Diabolisme Intelektual (ms 143). Diabolos merujuk di dalam bahasa Yunani kuno ialah Iblis. Beliau mengaitkan fenomena hari ini yang menampakkan semakin ramai yang menganut faham 'Diabolisme', iaitu faham ke'Iblis'an. Segala pemikiran, watak dan perilaku persis Iblis.

Bagi beliau, Iblis bukanlah hamba Allah yang tidak cerdik atau berilmu. Malah Iblis juga bukan makhluk Allah yang tidak pernah tinggal enak di Syurga. Iblis juga kenal dan tahu akan Allah dan pernah menyembah Allah yang Maha Esa. Namun, ada sikap Iblis yang mengakibatkan makhluk Allah ini tersingkir daripada darjat mulia yang telah Allah kurniakan.

Kesalahan Iblis bukan kerana ia tidak tahu atau tidak berilmu. Kesalahannya kerana ia membangkang (Al quran 2:34, 15:31, 20: 116), menganggap diri hebat (Al Quran 2: 34, 38: 73, 38: 75) dan melawan perintah Tuhan (18:50). Kerana itu Prof Naquib mengunggapkan bahawa 'knowledge and recognition should be follwed by acknowledge and submission'.

Kita kenal dan tahu ibu bapa kita sahaja tidak cukup. Kita harus taat dan mengiktiraf kedudukan ibu bapa kita. Kerana itu kita tidak boleh memanggil ibu bapa kita dengan panggilan nama seperti kita memanggil nama kawan, bercakap kasar atau melawan cakap ibu bapa.

Ini yang berlaku pada Iblis, apabila sekadar tahu dan kenal Allah sahaja. Iblis tidak taat kepada perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Secara tidak langsung Iblis tidak mengiktiraf kedudukan Allah sebagai Tuhan.

Ramai kader- kader dan ejen- ejen Iblis, yang menganut faham 'Diabolisme' muncul di sekeliling kita. Ada tiga ciri individu bermental Iblis, iaitu Selalu membangkang, Bersikap Takabbur (sombong) dan Menyembunyikan kebenaran.

Dalam arus deras dunia blogging ini, fenomena Diabolisme boleh dilihat. Sifat demokrasi moden yang mengiktiraf semua suara menjadi pemangkin kepada wujudnya bak cendawan kelompok 'Diabolisme'. Boleh dilihat apabila suatu pandangan amar makruf nahi munkar dikeluarkan, makanya bertubi- tubi kader 'Iblis' ini menghentam. Kadang- kadang yang beragama Islam juga menjadi kader Iblis secara tidak sedar. Mereka ini tidak memakai tag nama 'Kader Iblis', tetapi atas nama Muslim Liberal, Sekularisme dan juga Muslim Modernist.

Saya masih dalam proses menghabiskan buku ini. Baru sahaja diterbitkan, Januari 2008. Dengan harga RM 47. Boleh didapati di kedai Fajar Ilmu Baru, Wisma Yakin, Jalan Masjid India Kuala Lumpur.