Saturday, April 26, 2008

Hari Buku Terlambat...;)

Saya menyambut Hari Buku Sedunia agak lewat. Hari Buku Sedunia jatuh pada 23 April setiap tahun, tetapi saya pergi ke kedai buku dan membeli buku pada 25 April, Jumaat. Selepas makan malam, saya bersama isteri singgah di MPH Wangsa Maju.

Setelah agak lama tidak membeli buku, kali terakhir ialah Pesta Buku di PWTC yang lalu. Namun, ketika itu agak ramai, jadi masa bersendirian dengan buku 'diganggu' oleh suasana yang bising dan hangat. Sekadar membelek buku, membeli yang patut dan beransur pulang. Tetapi suasana di MPH agak berbeza.

Saya ada ruang 'privacy' yang agak lama untuk membelek buku dan 'berasmaradana' dengan buku, tanpa gangguan. Benar lah kata TM Shaharom Sulaiman, buku mampu mencuri perhatian kita. Buku juga sebenarnya teman kita yang setia, saat kita berduka bukulah menjadi teman tanpa telinga yang sudi berkawan dengan kita. Ketika kita gembira, buku juga menawarkan 'penawar' minda yang berkesan.

Rasa 'ghairah' saya kepada buku sukar dikawal. Saat membelek buku, bau 'harum' buku menusuk batang hidung saya, menyebabkan saya 'terkhayal' sebentar. Masing- masing buku mencuri perhatian saya, lalu hilang rasa penat seharian bekerja.

Saya sempat membeli buku
The Shadow Money Lenders and The Global Financial Tsunami (Mathhias Chang), I Am Muslim (Dina Zaman) dan New Malaysian Essay 1.

Buku Matthias Chang, bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir ketika jadi PM adalah cetusan rakan pejabat saya berbangsa Cina. Beliau melontarkan pandangan bahawa Perbankan Islam sebenarnya adalah idea orang Yahudi, bertujuan mengalih pandangan umat Islam. Hakikatnya Perbankan Islam ibarat 'Donkey is donkey, the different is pedals'. Saya terkesima dengan idea itu, lalu mendesak saya untuk menyiasat lebih mendalam. Kedua- dua buku lain, merupakan koleksi rencana yang boleh dikatakan penulisan aliran liberalisme political- sosio cultural yang ditulis oleh penulis- penulis muda seperti Amir Muhammad (pengarah filem Komunis Terakhir), Brian Yap, Sonia Randdhawa dan lain- lain. Rencana yang kritikal tentang Islam dan Melayu terutamanya, tetapi ada yang harus kita belajar daripada cetusan pemikiran mereka. Ada juga yang boleh kita tidak setuju dengan pandangan mereka.

Buku dan penulisan tidak boleh dipisahkan. Hamka pernah mengatakan, "kita biasanya akan 'memuntahkan' ilmu yang kita ada itu dengan penulisan'. Pepatah Arab juga ada berbunyi, "ikatlah ilmu itu dengan menulis, jika tidak nescaya akan luput ilmu itu". Saya teringat zaman awal- awal 'bercinta' dengan buku secara serius, ketika di awal Matrikulasi UIAM tujuh tahun lepas. Apatah lagi bertemu sifu Jaafar Rahim, 'ghairah' membaca buku sangat membuak- buak. Membaca- Menulis adalah regu terbaik, macam Irama- Lagu. Ada catatan menarik oleh kawan saya ini.
[Khairul Anwar Manshor]

Apa- apa pun, terima kasih En Buku, kerana menjadikan sdr sebagai teman karib kedua saya, memandangkan saya juga ada teman karib pertama merangkap isteri saya;)

Wednesday, April 23, 2008

Meninggal Sudah Pemikir Ini...


Saya sempat meluangkan masa tengahari untuk ke Gombak. Bergegas kerana mendapat berita kematian penulis prolifik, merangkap pemikir akhir zaman, Rustam Sani Ahmad Bustaman. Ketika di Masjid Sharif simpang tiga, ramai kenalan beliau yang hadir.

Antara yang hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Rektor UIAM Prof Syed Arabi Aidid, Timb. Presiden KeAdilan, Dr Syed Hussein, mantan Presiden ABIM, Tn Hj Ahmad Azam, Prof Muhammad Abu Bakar dan ramai lagi.

Selepas menunaikan solat jenazah, sempat berjumpa beberapa kenalan. Kemudian bergegas semula ke pejabat.

Almarhum Rustam Sani merupakan antara penulis yang saya minati. Tulisan beliau menusuk akal, mencabar minda kita. Pokoknya, itulah yang menarik saya kepada tokoh ini. Al Fatihah.

* Blog beliau akan terus menjadi tatapan semua tanpa dikemaskini, kerana penulisnya sudah meninggal dunia.

Monday, April 21, 2008

Retreat Exco

Seperti biasa, sebuah organisasi memerlukan muhasabah, introspeksi, renungan kembali hala tujunya. Minggu lepas, 19- 20 April, bertempat di Janda Baik, kami sempat berkampung di kampus PTS yang permai dan damai itu. Tujuannya ialah Retreat Exco PKPIM Pusat.

Saya ibaratkan seperti menaiki kereta. Ada empat roda. Sudah pasti akan terlanggar lubang, memandu laju, terpijak paku, lalu dalam cuaca hujan lebat dan panas terik dan sebagainya. 'Balancing' atau 'alignment' roda kereta kita mesti dihantar ke bengkel untuk elokkan balik. Harganya sekitar RM 30- 40. Jika tidak sudah pasti kereta kita tidak akan selesa dipandu.

Jika tidak juga, dikhuatiri malang boleh menimpa, alignment kereta patah, lalu tercabut tayar nanti, Na'uzubillah.

Begitu juga dalam organisasi. Sepanjang memimpin organisasi, sudah pasti ada tersilap strategi, tersimpang kefahaman haraki, fokus tidak tercapai, ahli yang meningkat, pelan masa depan dan sebagainya. Membetulkan 'alignment' faham hidup kita lebih penting jika dibandingkan dengan membetulkan alignment kereta. Makanya, Retreat Exco PKPIM Pusat diadakan untuk memuhasabah perjalanan organisasi selama separuh penggal.

Alhamdulillah, berkat komitmen dan kesabaran exco, banyak perkara diselesaikan dan disusun kembali. Pokoknya, Insyallah, gerak kerja Pusat akan lebih mantap selepas ini. Saksikannya nanti! (Jika tidak boleh 'claim' dari exco2 sedia ada dan saya sendiri)



(Aktiviti riadah; bermain sepak bola)

(Kenangan bersama Pn Ainon)

(Sesi makan malam, pukul 12.00tgh malam)
(Memikir sesuatu...)
(Serius berbincang urusan gerakan)

Tuesday, April 15, 2008

Dua Insan Baru;)

Alhamdulillah..

Hari ini 15 April 2008,
Merupakan ulang tahun kelahiran saya,
Setelah 26 tahun hidup di muka bumi ini,
banyak yang harus digandakan.

Amal ibadah,
kebajikan,
menuntut ilmu, zuriat dan sebagainya.
Kerana, kematian tidak pasti bila jelmanya.

Hari ini juga,
khabarnya ada sang rajawali sudah bebas
Bebas dari 'Sumpah Puaka Arjuna',
Beliau akan bersilat di gelanggang,
Tanpa besi yang melilit di kaki,

Semalam beliau di Kampung Lama,
Berpidato memecah angkasa,

Selamat datang dua insan yang baru;)

Monday, April 14, 2008


Jumaat lepas (11 April) saya dijemput menghadiri sesi fotografi dan temubual untuk ruangan 'Personaliti' dalam majalah E- Siswa, sebuah majalah untuk golongan pelajar sekolah menengah. Menemani juga ialah sdr Naim, MK dan Arifuddin. E- Siswa adalah terbitan Karangkraf, sebuah syarikat penerbitan bumiputera yang maju di negara ini.



Promosi awal, dapatkan nanti E Siswa edisi Jun 2008! Sokonglah majalah terbitan Bahasa Melayu dan wadah generasi muda mencari maklumat!

Saturday, April 12, 2008

ZIARAH PANTAI TIMUR 6- 9 APRIL 2008

Pada 6- 9hb April yang lepas, saya ada lawatan kerja ke Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bersama teman- teman exco PKPIM, bertujuan menziarahi badan gabungan dan kampus, tokoh dan pemimpin di sana, termasuk melihat program yang diadakan di sekitar pantai timur.

Secara umum, sebuah perjalanan yang menarik, walau memenatkan. Pengalaman menziarahi IOA Kelantan sangat menyentuh perasaan, kerana komitmen dan kesungguhan mereka terusan membimbing masyarakat orang asli untuk mendalami Islam. Cuba bayangkan, dalam kesibukan manusia (termasuk kita) di kota mencari harta dan nama, mereka di IOA Kelantan meredah hutan belantara menyampaikan hidayah Allah kepada masyarakat orang asli. Kebanyakkan tempat yang diterokai terletak di tengah hutan dan atas gunung. Ketika berjumpa dengan kumpulan anak orang asli, yang 'berkursus' kefahaman Islam di IOA Kelantan selama tiga bulan, saya tersentuh kerana hidayah Allah melekat di hati sanubari mereka. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pok Lah dan gang kerana komited dalam perjuangan ini.

Perkara lain, dapat berjumpa dengan badan gabungan dan warga kampus sudah cukup menggambar semangat mereka untuk terus menghidupkan aktiviti da'wah dan pelajar di pantai timur.

Kemudian di Terengganu, suasana agak tenang kembali, setelah situasi politik negeri yang bergelora. Dapat menjejakkan kaki ke Masjid 'Dirar' Negeri ataupun Masjid Krital tidak begitu memberi kesan kepada jiwa, kerana mungkin jauh dari lokasi penduduk. Mungkin juga dengan kos yang berjuta sebenarnya Masjid Kristal layak diangkat sebagai lokasi pelancongan, bukan sangat rumah Allah yang perlu diimarahkan dengan aktiviti keagamaan seperti kuliah agama, solat, zikir, qiam dan sebagainya.

Paling seronok juga dapat singgah sebentar di Losong, Kuala Terengganu 'kampung' kereopok lekor. Bolehlah beli sedikit untuk kawan- kawan dan isteri;)

Di Pahang pula, ambil kesempatan ziarah kampus. Bincang aktiviti da'wah di kalangan pelajar. Luangkan masa ziarah mantan Presiden PKPIM, sdr Amidi di Kuantan.

(Mendengar penerangan dari Pok Lah (Abdullah), tentang aktiviti IOA Kelantan)


(Wajah anak orang asli yang tidak kenal erti penat dalam mencari hidayah)


(Di Kelantan)

(Lorong rumah kepada mantan Timbalan Presiden ABIM yang tinggal di Kelantan)


Thursday, April 03, 2008

AKHLAK DI UNIVERSITI

Saya terpanggil untuk menulis tentang peranan universiti dan peranannya membentuk akhlak. Ramai yang mungkin selesa dalam agama mereka, apabila masuk universiti, makanya sudah tidak perlu lagi mendalami agama Islam. Atas faham inilah, makanya ramai yang baik agamanya ketika peringkat sekolah rendah dan menengah kecundang ketika di peringkat universiti. Ramai yang belajar dan a good practice of Islam ketika sebelum masuk universiti. Namun, berubah sekelip mata apabila berada dalam suasana kampus.

Fenomena Sufiah, pelajar genuis di Oxford sebenarnya sudah lama menjalar di kalangan kita di kampus. Mereka cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Ramai yang baik ketika sekolah, namun bertukar watak sebagai kaki disko apabila di kampus. Pokok pertama ialah kerana universiti dianggap jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami agama. Bagi mereka ilmu fardu 'ain berhenti setakat zaman sekolah sahaja, dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah. Soal akidah, fiqh dan akhlak sudah cukup belajar ketika zaman sekolah, maka zaman universiti harus tumpukan subjek akademik universiti sahaja. Dengan ijazah itu pula, digunakan untuk mencari pekerjaan. Dalam buku Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Sempurna ada mengungkapkan bab yang penting, iaitu Peranan Pendidikan Islam di Institut Pengajian Tinggi.


Bagi Prof Wan Mohd Nor, peringkat universiti merupakan peringkat genting menyusun kefahaman Islam bagi seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai yang akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti. Akibat ini sudah boleh diperhatikan di sekeliling kita, apabila ramai yang menjadi mangsa 'kekejaman' zaman universiti yang tidak mengenal mangsa. Putaran 'kejam' ini bertambah garang tatkala semakin ramai pelajar yang sudah hilang pedoman diri berpandukan agama.

Ramai yang tidak berjaya meneruskan sikap 'beriman' nya dalam agama. Seharusnya jika individu belajar agama di sekolah menengah, sentiasa menjaga solat dan berakhlak baik, makanya ia boleh berkekalan sehingga bila- bila. Namun, iman manusia tidak ada jaminan boleh kekal tanpa sikap istiqamah dalam agama. Untuk mengekalkan iman dalam diri, makanya ia memerlukan ilmu dan sistem yang kemas.

Kerana itulah Prof Wan Mohd Nor membuktikan bahawa Baginda Sallahu'alaihi Wassalam benar- benar diberi amanah menyampaikan wahyu ketika peringkat umur dewasa iaitu 40 tahun. Ini mesej yang signifikan bahawa konteks umur yang matang tandanya bersedia menerima amanah agama itu. Dalam konteks peringkat universiti, seharusnya ada satu sistem yang berterusan membina keperibadian pelajar berdasarkan agama.

Apa yang ada hari ini ialah, universiti semacam melepaskan tangan dalam aspek pendidikan agama di peringkat tertinggi ini. Seharusnya Kementerian menyusun dengan kemas proses pendidikan Islam yang berpadanan di peringkat tertinggi ini. Kemungkinan setiap universiti akan mempunyai cara dan kaedah yang berbeza, namun semestinya setiap universiti mempunyai jalur minimum yang sama dalam pendidikan Islam ini.

Ini cabaran Kementerian yang baru pada hari ini. Universiti bukan sekadar pusat ilmu yang berdiri kerana bangunan- bangunan fizikal yang cantik dan besar. Aktor utama universiti ialah pelajarnya dan sistem yang kemas dibangunkan untuk pelajar itu.

Isu kemerosotan akhlak memang ada kaitannya dengan kurangnya susunan sistem pendidikan Islam yang kemas kepada para pelajarnya. Boleh dikatakan para pelajar yang selain kursus pengajian Islam akan menghadap 90% pengajiannya tanpa elemen tambahan pendidikan Islam yang kemas. Mereka ini akan menghadiri secara sukarela kuliah- kuliah di masjid dan mana- mana halaqah ilmu untuk mendapatkan ilmu agama. Ini juga bukan bermakna semua pelajar pengajian Islam bebas daripada masalah moral, namun ianya masih minimum dan jika ada pun bukan faktor pendidikan Islam itu, tetapi faktor peribadi yang bermasalah.

Perkara asas yang menjadi jalur minimum untuk dijadikan teras ialah supaya pelajar mempunyai pandangan alam yang Islami. Ini merupakan subjek yang umum dan menjadi kerangka asas dalam memahami agama. Ianya ramuan ilmu tauhid, fiqh dan akhlak yang diadun supaya membentuk kerangka memahami agama.

Untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti, ianya memerlukan komitmen budaya ilmu dan berjiwa besar. Jika universiti sendiri mengambil sikap tertutup dan anti- ilmu, makanya sukar untuk merealisasikan impian ini. Sebenarnya faktor kemerosotan akhlak dan miskinnya komitmen untuk mendirikan sistem pendidikan Islam yang kemas, berkait rapat dengan ranking universiti di peringkat antarabangsa. Maknanya, perkara sentral iaitu miskin budaya ilmu, makanya menjejaskan cabangan komitmen yang lain. Pelajar universiti tidak kurang berakhlak, wujud budaya spoon- feeding melampau, warga universiti tidak menghayati sepenuh jiwa falsafah universiti dan sebagainya.

Badan Pemikir Nasional Tentang Pendidikan (National Brains Trust on Education) berkata, Malaysia perlu menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja kelas dunia bagi menghadapi cabaran globalisasi. Menurut Prof Wan juga, kecemerlangan pada peringkat IPT bergantung kepada beberapa faktor utama yang berkaitan:

1. Kecemerlangan bergantung kepada kualiti ilmiah dan akhlak serta kewibawaan pimpinan tertinggi daripada peringkat Rektor/ Naib Canselor, profesor, dekan, sehinggalah kepada pensyarah

2. Kemudahan penyelidikan yang tercermin pasa khazanah perpustakaan, kemudahan ICT dan dana penyelidikan dan pembangunan.

3. Iklim dan budaya ilmu yang tinggi.

4. Para pelajar yang layak dan gigih.

5. Ganjaran ekonomi yang setimpal dengan pengorbanan dan kelayakan ahli akademik, pentadbir dan pelajar.

6. Sokongan dan kepercayaan kerajaan secara berterusan terhadap kecemerlangan keilmuan jangka panjang dan jangka pendek.

Kesimpulannya ialah, Kementerian harus serius mendirikan komitmen baru dengan menyusun sistem pendidikan Islam yang kemas di peringkat universiti. Jika program seperti BTN boleh diagendakan sebagai indoktrinasi mental pelajar, makanya pendidikan Islam semestinya wajib dilaksanakan.

Malah, proses ini memerlukan komitmen budaya ilmu secara menyeluruh supaya agenda mendidik generasi terpelajar ini daripada menjadi korban putaran 'kejam' sistem universiti dapat diselamatkan. Budaya ilmu lahir jika ada komitmen tinggi dari pemerintah dan kementerian. Pendekatan top- down sangat relevan dalam konteks ini.

Kementerian juga boleh manfaatkan institusi agama untuk mengadakan latihan kefahaman Islam kepada pemimpin atasan universiti dan pemimpin pelajar kampus. Latihan intensif ini mensasarkan kefahaman akan pandangan alam yang Islami. Institusi agama ini seperti NGO dan institut pemikir yang tiada kepentingan politik boleh dimanfaatkan.


[Kemaskini 6 April 2008 Sabtu]

Alhamdulillah, artikel saya diterbitkan di Bharian hari ini, dengan sedikit perubahan. Mesej dan ideanya masih sama.

Tuesday, April 01, 2008

AAC vs Fitna



Bagi anak muda yang dahagakan sebuah novel berciri Islami, yang berlainan dari novel- novel picisan, Ayat- Ayat Cinta (AAC) karangan Habiburahman El Sherazi merupakan alternatif terbaik. Sebuah novel dramatik mengkisahkan watak protagonis Fahri yang 'sempurna' dari segala segi, ilmunya, akhlaknya dan pandangan alamnya mencari hakikat kehidupan yang didambakan oleh semua insan, iaitu cinta.

Novel ini mengungkap dengan resepi klasik sebuah percintaan manusia, yang biasanya akan menemui konflik. Sebuah drama atau novel cinta tidak akan melalui episod yang gembira sepanjang perjalanan. Cerita cinta yang tiada resepi tragedi tidak akan manis dan bermakna. Penulis AAC begitu memahami falsafah cinta, lalu mewarnai kisah Fahri seorang penuntut Universiti Al Azhar dengan konflik hidup percintaan. Baginya, cinta adalah matlamat agung semua manusia. Lelaki bercinta perempuan, suami mencintai isteri, anak mencintai ibu, anak murid mencinta guru, dan paling agung ialah hamba mencinta Tuhan Maha Agung.

Fahri digambar watak protagonis kamil novel ini, yang kudus sifatnya, tidak pernah berpacaran (bercinta) sebelum nikah. Bagi remaja Malaysia, ini lah watak 'sempurna' persis malaikat yang tidak lagi menjadi norma asal. Ramainya berpacaran sebelum nikah, malah ada yang melampau bersekedudukan seperti 'suami isteri'.

Kerana watak persis malaikat, protagonis Fahri menjadi imaginasi idaman anak muda. Cerita hidup Fahri bertambah dramatis apabila berhadapan dengan silang sengketa cinta, bersama Aisyah, Nurul, dan Maria. Masing- masing gadis ini berwatakan unik, mampu mengundah hati Fahri.

Kerana itulah, Ayat- Ayat Cinta berjaya menghanyutkan imaginasi kita supaya seakan bersama dalam cerita itu. Bagi sesiapa yang belum ke Kaherah, apabila membaca novel itu, seperti kita jua hanyut dalam suasana kota Kaherah yang sibuk dengan warga Mesir.

Itulah novel yang diterjemahkan ke filem, yang sudah pun ditayangkan di Indonesia. Bagi saya, ketika Islam difitnah dengan klip video Greet Wilders yang menghina Islam, sekurang- kurangnya lahir sebuah filem yang boleh menyejukkan hati kita. Dikhabarkan juga di negara kelahiran novel itu, Presiden serta seluruh Exco kerajaan negeri turun padang menonton filen AAC memberi sokongan padu atas filem itu.

Secara peribadi, walaupn AAC belum lagi boleh diangkat sebagai karya agung, kerana sifatnya novel fiction, makanya ia sesuai untuk mengisi kedahagaan anak muda sebuah cerita cinta yang Islami. Kita mendoakan agar banyak lagi novelis dan sutradara filem yang mampu melahirkan filem seperti ini.

Pokoknya, di Malaysia bila mahu ditayang? Anda tahu?

* Laman sawang rasmi AAC http://www.ayatayatcintathemovie.com/. Sayu dengar lagu latar yang klasik