Saturday, March 29, 2008

Filem ISLAMOPHOBIA


Isu anti Islam dan Islamophobia bukan isu yang baru. Sejak zaman Baginda Rasul Sallahu'alahi Wassalam lagi ada kelompok manusia yang anti Islam. Malah, sebelum itu lagi pun ramai para anbia' dibunuh, diancam, digergaji kepala dan dipulau kerana menyampaikan risalah Islam.

Yang terbaru ialah penayangan filem dokumentari anti- Islam di Belanda oleh ahli politik
Geert Wilders, yang bertajuk Fitna. Filem 15 minit ini boleh dilayari di Youtube yang sudah tersebar luas ke merata dunia.

Bagi saya, tidak terkejut dengan perbuatan mereka. Sikap menghina Islam dengan paparan dokumentari yang mengaitkan Islam dengan pembunuhan, teroris, anti- gay dan sebagainya perkara yang masih minimum jika dibandingkan dengan tindakan agresif fizikal yang dibuat ke atas Baginda Sallahu'alahi Wassalam dan para anbia' yang lain

Namun, rasa sedih dan sayang kepada agama yang senang- senang dihina menyelubungi hati. Marah juga timbul di kalbu. Tetapi, memang ini pun tujuan mereka, provokasi nakal supaya membangkitkan kemarahan umat Islam. Mereka sengaja menimbulkan provokasi supaya ada umat Islam yang membakar kedutaan Belanda, mengebom rakyat Belanda, membunuh orang bukan Islam dan sebagainya. Bagi umat Islam yang sabar dan rasional, isu ini harus ditangani dengan bijaksana dan berhemah.

Saya yakin, sikap over- killed mereka akan membuahkan peristiwa yang sukar difikirkan. Saya yakin ramai yang akan bersimpati dengan Islam, malah tidak mustahil terbuka hati untuk beragama Islam, Wallahu'alam.

Kerana itu peribadi penda'wah terutamanya harus smart, bijak dan tersusun langkahnya. Kita tunjukkan akhlak yang mulia, tidak termakan dengan provokasi mereka, terus membina generasi muda yang faham dengan agama, berlemah lembut dengan orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam, merancang masa depan dan berhikmah dalam bertindak.

Kita mendoakan agar semua umat Islam terpelihara daripada fitnah dunia.

* Semoga saudara kita di Belanda selamat dalam kurniaan Allah Ta'ala.

[Kemaskini]

Kenyataan PKPIM mengutuk klip video Fitna di http://www.pkpim.net/modules/news/article.php?storyid=1468

Thursday, March 27, 2008

ILMU DAN KEBAHAGIAAN

Banyak sangat cerita politik. Nak sedut nafas 'segar' sekejap...

Saya mahu berkongsi sebuah artikel oleh Sdr Adian Husaini, ilmuwan muda dari Indonesia. Kandidat Phd Istac, degree dalam kajian haiwan, pernah menjadi jurnalis. Penulis prolifik.


Ilmu dan Kebahagiaan

Ditulis oleh Adian Husaini

Dalam bukunya, Tasauf Modern, Prof. Hamka pernah menyalin sebuah artikel karya Al-Anisah Mai berjudul ”Kun Sa’idan”. Artikel itu diindonesiakan dengan judul: ”Senangkanlah hatimu!”

Dalam kondisi apa pun, pesan artikel tersebut, maka ”senangkanlah hatimu!” Jangan pernah bersedih. Dalam kondisi apa pun.

”Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Karena di hadapanmu terbentang kesempatan untuk mengerjakan yang sulit-sulit....”

”Dan jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Karena engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah hatimu karena tak ada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi, lantaran kemiskinanmu...”

”Kalau engkau dilupakan orang, kurang masyhur, senangkan pulalah hatimu!
Karena lidah tidak banyak yang mencelamu, mulut tak banyak mencacatmu...”

”Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperbudak, senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perbudakan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperbudak kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu.”

Bacaan lanjut
http://www.insistnet.com/content/view/188/1/

Wednesday, March 26, 2008

AUKU: Tunggu dan Lihat

Seruan kerajaan untuk meminda AUKU bukan memeranjatkan. Ini merupakan taktik biasa bagi sesiapa yang memerintah. Hari ini (Rabu 26 Mac 2008) sahaja tiga kenyataan PKPIM, berlainan individu dikeluarkan dalam media utama memberi pandangan tentang AUKU:

1.
Syor pinda AUKU langkah positif, Bharian (Mohd Hilmi Ramli)

2.
Pinda AUKU matangkan politik kampus, Utusan (Abdul Muntaqim)

3.
Pindaan AUKU lahirkan mahasiswa matang, Bharian (Mohd Faisal Aziz)

4.
Malam sebelum, keluar kenyataan PKPIM di Buletin Utama TV3 (25 Mac 2008)

Seperti biasa pasti ramai yang akan teruja. Menantikan harapan mendatang ini. Namun demikian, seperti biasa, banyak janji tinggal janji. Ada orang kata, mahu pinda AUKU ini macam 'gula- gula' mahu menarik perhatian golongan generasi muda. Dalam tinjaun SMS Buletin Utama TV3, 91% menyatakan setuju untuk memansuhkan AUKU.

Saya berpandangan, kita harus lihat dan tunggu. Apakah ianya bakal dijelmakan dalam tindakan. Jangan sampai kita melambung kegembiraan sebabnya suara kita dipaparkan dalam media arus perdana
.

Tuesday, March 25, 2008

Dialog Bersama Menteri Belia dan Sukan

Petang tadi saya bersama Dato Menteri Belia dan Sukan yang baru, YB Dato Ismail Sabri. PKPIM bersama seluruh Badan Gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dijemput mengadiri dialog pertama dengan Dato Menteri, susulan dilantik baru- baru ini. Dalam pertemuan itu, saya bercakap mengenai tiga perkara;

1) Dengan pelaksanaan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia yang baru dilancarkan, sasarannya harus mencakupi semua lapisan golongan belia, termasuk mahasiswa di universiti. Tujuan ditubuhkan Akta Belia ini ialah memperkasakan golongan belia dengan agenda program pembangunan yang lebih kemas dan sistematik. Namun demikian, Akta Belia harus tidak bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Apabila mahu membangunkan generasi muda dan belia, golongan mahasiswa harus menjadi salah satu kelompok sasaran yang utama. Namun, AUKU telah menyekat. Kerana itu, saya mengesyorkan supaya ada pindaan segera berkenaan dengan AUKU

2) Dengan fenomena blog di kalangan generasi muda, kementerian dan kerajaan harus memahami aspirasi mereka yang sebenar. Blog menjadi wadah alternatif untuk meluahkan idea, mendapatkan maklumat sebenar, mengkritik dasar yang songsang dan sebagainya. Justeru Kementerian harus mengambil manfaat fenomena ini dan bertanggungjawab mengisi peranan dalam hal ini.

3) Saya menawarkan PKPIM untuk membantu program- program menangani pelajar bermasalah di sekolah- sekolah. Kita memberi komitmen untuk membantu kementerian dalam membangunkan generasi muda terutamanya pelajar Islam.

Selepas itu, Dato Menteri memberi komen yang positif dan berusaha mempertimbangkan cadangan- cadangan saya, termasuk cadangan teman- teman daripada Badan Gabungan MBM yang lain. Antara perkara yang menarik saya ialah;

1) PKPIM diminta mengatur mesyuarat untuk membincangkan fenomena bloggers dan apa tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh Kementerian. Kita diminta menjadi key players untuk membantu Kementerian memahami fenomena ini. Kerja ini bukan untuk menjadi cyber- troopers, tetapi memasukkan sebagai agenda membangun belia melalui fenomena blog yang semakin meluas ini. Jadi, saya menjemput sdr/ sdri yang berminat dalam agenda ini memberi nama kepada Sdr Abdul Muntaqim 019- 8285019.

2) Dana pentadbiran NGO telah diterima. Jadi bagi sesiapa Badan Gabungan atau kampus yang ingin mengadakan program, sila kemukan kertas kerja cadangan. Insyallah, akan diluluskan atas budi bicara saya, tanpa birokrasi;)

Monday, March 24, 2008

PKPIM GESA KURSUS YANG SEIMBANG, BUKAN SEKADAR MARKET- ORIENTED

SIARAN MEDIA PKPIM
24 MAC 2008 / 17 ZULHIJJAH 1429H

PKPIM GESA KURSUS YANG SEIMBANG, BUKAN SEKADAR MARKET- ORIENTED

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Khalid Nordin yang mahu memastikan semua kursus yang ditawarkan di IPTA menepati pasaran kerja. PKPIM berpandangan niat murni Menteri Pengajian Tinggi ialah supaya bakal graduan universiti tidak akan menggangur apabila menamatkan pengajian di universiti.

Usaha menangani graduan menggangur merupakan satu usaha kerajaan yang sangat mendesak pada hari ini. Namun demikian, PKPIM berpandangan, dengan menukar semua kursus supaya menepati pasaran kerja bukan suatu keputusan yang tepat.

Kewujudan universiti harus dilihat sebagai pusat pengajian tinggi yang melahirkan manusia yang universal sifatnya. Dalam Falsafah Pendidikan Negara, empat eleman harus dititiberatkan iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Ini merangkumi dengan aspek kegiatan keilmuannya, sosialnya dan perkembangan sahsiahnya. Malah yang paling penting, universiti merupakan tempat terbaik membentuk pandangan alam yang berlandaskan agama.

Situasi hari ini ialah bukan masalah kursus yang tidak relevan dengan pasaran semasa, akan tetapi program pembangunan sahsiah dan ketrampilan mahasiswa yang memerlukan suntikan segera. Program membangunkan sahsiah dan ketrampilan, yang melibatkan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, decison making, bersosial, berpolitik dan berpersatuan harus digandakan.

PKPIM tidak menafikan bahawa ada sesetengah kursus yang memerlukan ‘penyegaran’ kembali, seperti IT, kejuruteraan dan sains yang mana bidangnya berkembang dengan pantas. Sudah pasti disiplin ini harus disesuaikan dengan perkembangan industri di luar.

PKPIM mencadangkan agar tiga cara untuk memastikan agenda pengannguran di kalangan bakal graduan dapat diatasi;

1) Mantapkan program pembangunan sahsiah dan ketrampilan di kalangan mahasiswa yang sedang menuntut. Usaha ini harus melibatkan NGO dan badan yang berkaitan. NGO seperti PKPIM bersedia membantu Kementerian dalam usaha membina generasi mahasiswa yang bersahsiah dan berketrampilan. Ruang dan peluang ini harus dibuka tanpa rasa prejudis dan sangsi, kerana ramai tokoh yang lahir berjaya ialah kerana terlibat dalam NGO di luar universiti.

2) Seiring dengan itu, Kementerian harus melihat kembali AUKU secara kritis. AUKU telah memainkan peranan mewujudkan ‘culture of fear’ di kalangan mahasiswa. Lalu menjadikan mereka pasif dan takut.

3) Menyeimbangkan kursus dengan mentikberatkan juga disiplin kemanusiaan. Kementerian harus menjadikan disiplin seperti keseniaan, falsafah, sastera dan bahasa sebagai subjek utama. Disiplin kemanusiaan ini adalah faktor penyeimbang kepada mahasiswa supaya mereka menjadi manusia yang bukan sekadar ‘agen industri’, tetapi agen sosial dalam masyarakat.

PKPIM akan terus menyokong usaha mengangkat martabat generasi muda dengan cara pengupayaan kaedah yang tepat.

MOHD. HILMI RAMLI
Presiden PKPIM
Sesi 2007/2008



Kemaskini:
Siaran media ini dilaporkan dalam Buletin Utama TV3, 24 Mac. Boleh lihat dalam minit 5.53- 7.30



Sunday, March 23, 2008

Kisah Manusia Bodoh...

Arakian sebuah kisah,
Ada Manusia Bodoh yang kempunan kuasa
Dahulunya mereka berkata 'Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita',
Tetapi di Negeri Mutiara mereka pula berdemonstrasi

Ada Manusia Bodoh,
Dahulu mereka mengatakan demonstrasi jalanan seperti beruk- beruk,
sungguh hina mereka yang berdemonstrasi ketika itu,
Bukannya isu apa,
Sekadar menagih keadilan dan kebenaran,



Tetapi Manusia Bodoh ini juga yang berdemonstrasi,
Mereka pula yang sudah jadi beruk,
Memang betul lah teori Darwin,
Manusia dan beruk adik beradik,
Tetapi bukan kita,
Mereka yang bodoh malu- malu kucing mengaku beruk, tetapi rupanya memang beruk,

Ada Manusia Bodoh,
Melaknat dan mencaci Uncle Lim,
Kerana secubit kenyataan memulau istana,
Katanya tidak setuju dengan perlantikan Panglima dari kem lain,
Tetapi Uncle Lim sudah mohon maaf dan hadir di istana,
Menyokong perlantikan Panglima baharu negara itu,

Tetapi Manusia Bodoh ini,
Mereka pula yang melawan istana,
Katanya tidak puas hati pelantikan Panglima baharu di negara Penyu,
Jenuh depa buat demonstrasi, sidang media dan jumpa sang menteri perdana,
Dahulunya konon mempertahankan kedaulatan istana,
Rupanya talam dua muka,
Nak kata Munafiq macam keterlaluan,
Nak kata Beriman jauh api dari panggang,



Inilah kisah Manusia Bodoh,
Nampak sangat terdesak,
gilakan kuasa,
gilakan pangkat,
gilakan duit dan macam- macam,

Manusia bodoh ini konon nak jadi hero bangsa,
Walhal masa ada kuasa merekalah pelahap harta rakyat,
penuh dengan skandal, sombong tahap Ultraman,
menindas mereka yang 'Tidak Bodoh',


Kisah Manusia Bodoh yang kelakar dan jijik,
Yang perlu di'nau'zubillah' kan,

Sekadar sajak spontan,
Meluat dengan perangai Manusia Bodoh ini,
Tidak ada kaitan dengan hidup mati,
Sekadar imaginasi sosial,
Semoga bermanfaat.

Pinggiran Gua Hira',
24 Mac 2008,
Isnin

Friday, March 21, 2008

Universiti Kita


Semalam (20hb Mac Khamis), saya berada di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Saya merasmikan Program Perkampungan Menara Gading Kedah 2008. Program Menara merupakan program tradisi PKPIM kepada lepasan SPM sebagai persiapan ke universiti.

Alhamdulillah, dalam hampir tujuh jam membawa kereta, melalui negeri- negeri yang 'bernafas baru', saya bersyukur kerana sampai dengan selamat. Dengan kuasa Allah Ta'ala, tiada apa- apa yang berlaku.

Saya bersama Khairul Anwar (Naib Presiden Kebangsaan) dan Hasnul Hanif (Exco) bertiga ke UUM. Kesimpulannya, program Menara di UUM merupakan satu permulaan yang baik, walaupun kehadiran kurang memberangsangkan. Tahniah kepada sdr Ku Nazri (YDP Persida). Berbeza jika kita mengadakan Jom Heboh atau Konsert Mini Artis AF, sudah pasti ramai anak muda yang belia remaja membanjiri program hiburan. Mentaliti generasi muda sebagai konsumer hiburan melampau semakin kronik.

Ada dua perkara yang menjadi perhatian saya:

1) Sempat berjumpa dengan penggerak Menara, dan mereka meluahkan masalah sepanjang program. Masalah utama ialah mereka di'hantu jerangkung'kan dengan AUKU untuk tidak boleh memasang banner dalam universiti. Walhal, program Menara ini merupakan anjuran PKPIM (NGO berdaftar ROS), Persida (unit pelajar ABIM Kedah) dan Kolej Proton UUM. Program ini juga sudah mendapat kelulusan universiti. Masih ada lagi warga universiti yang men'hantu jerangkung'kan AUKU untuk menghalang pelajar berpersatuan dan aktif dalam kampus. Saya rasa masanya untuk berubah, kerana ini adalah undang- undang draconian yang melahirkan 'culture of fear' dalam kampus. Masyarakat dan pemerintah mahukan generasi muda yang kritikal, modal insan yang menjulang, akhlak mulia dan sebagainya, tetapi masih mempunyai mentaliti di takuk lama dengan menghalang pergerakan pelajar.

2) Saya seronok di UUM kerana hampir semua lokaliti mempunyai sistem 'wireless'. Malah, boleh dikatakan semua pelajar memakai notebook!. Satu perkembangan yang baik, memudahkan proses penyelidikan, pembacaan dan pembelajaran dalam kampus. Itu ialah wawasan murni dan ideal mewujudkan sistem 'wireless' dalam kampus. Para pelajar boleh menerokai jurnal antarabangsa dengan sekali klik sahaja, 'up date' dengan berita mutakhir (terutamanya demam PRU masih panas lagi) daripada mengharapkan media arus perdana yang sudah hilang kredibilitinya dan menulis blog juga. Namun demikian, ada juga sisi hitam 'wireless' ini, iaitu memberi ruang untuk akses kepada laman lucah dan fitnah. Malah budaya plagiarisme juga boleh jadi.

Apa- apa pun, satu perkembangan yang separa baik dan separa tidak baik sepanjang permusafiran saya ke UUM. Sebenarnya satu revolusi mendadak harus dilaksanakan di semua universiti tempatan. Kadang- kadang, kita cenderung buat yang yang 'sunat' daripada yang 'wajib'. Kita buat sistem akses internet yang mudah, tetapi hak berpersatuan dan membangunkan diri yang merupakan yang 'wajib' dihalang secara GESTAPO. Ada sesetengah universiti Melayu, kumpulan tabligh pun diharamkan, kerana kononnya boleh membuat ancaman untuk menjatuhkan kepimpinan Naib Canselor. Tetapi pelajar lelaki- perempuan bercandu asmara di tepi tasik universiti yang angin sepoi- sepoi bahasa di biarkan sahaja.

Sebenarnya ramai orang yang cerdik pandai di Malaysia ini keliru dan takut dengan bayang- bayang sendiri. Mungkin sebab tidak berkat, kerana ilmu yang dicari untuk kejar pangkat, harta, duit dan kemasyhuran. Lalu semuanya dipandang ancaman.

Wednesday, March 19, 2008

Salam Atas Junjungan Khamis 20 Mac 2008/ 12 Rabiul Awal 1429


Hadith :

Nabi Sallahu'alahi Wasalam bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."

Ibn Mas'ud r.a


* Semua dijemput hadir

Monday, March 17, 2008

The Dream Team?

PUTRAJAYA: Berikut senarai jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad hari ini:

Perdana Menteri: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

JABATAN PERDANA MENTERI
Menteri : Tan Sri Bernard Dompok
Menteri: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Menteri: Datuk Ahmad Zahid Hamidi
Menteri: Datuk Zaid Ibrahim (senator)
Menteri: Datuk Amirsham A Aziz (senator)
Timbalan: Datuk Johari Baharum
Timbalan: Datuk Dr Mashitah Ibrahim (senator)
Timbalan: S K Devamany
Timbalan : Datuk Hasan Malek

(Maklumat penuh Kabinet baru)

Apakah ini 'Dream Team' yang akan mengemudi kabinet kerajaan akan datang? Kita saksikan perkembangan seterusnya. Masih terlalu awal membuat spekulasi. Ramai muka baru, menarik untuk diperhatikan. Ada juga yang pernah memimpin persatuan belia.

ZIARAH SDR JAAFAR RAHIM

Petang tadi saya meluangkan masa menziarahi sdr Jaafar Rahim, dikenali sebagai 'De Bono' Malaysia oleh akhbar Kosmo. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana sakit diabetis. Beliau berada di Wad 25, Tingkat Lima dan katil nombor 6. Sdr Jaafar, saya rasa ramai yang mengenalinya. Merupakan bekas Ketua Penerangan GPMS Pusat, penterjemah buku Asian Renaisance tulisan DSAI, penulis prolifik dan pakar pemikiran Lateral di Malaysia. Beliau juga pernah menjadi penasihat Kelab Pemikir Muda PKPIM suatu ketika dahulu.

Ramai yang pernah menjadi anak buahnya, bermacam- macam latarbelakang, yang berjaya dalam dunia penulisan terutamanya. Saya secara peribadi merupakan antara yang berjaya mengasah bakat penulisan melalui didikan beliau. Boleh dikatakan, ramai yang berjaya hasil didikan beliau. Proses pembelajaran tidak rasmi bersama beliau banyak dilakukan di rumah, kedai kopi, Kinokuniya, kedai- kedai buku terpakai malah bengkel- bengkel penulisan di universiti. Ramai yang berjaya menjadi penulis. Malah bukan sekadar menjadi penulis yang boleh menulis, tetapi penulis yang memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan.

Boleh dikatakan, sdr Jaafar mendidik menjadi penulis yang berobjektif dan berdisiplin. Dalam konteks sekarang ini, memang ramai yang menulis di blog- blog. Tetapi kadang- kadang perkara apa yang ditulis pun tidak dimengerti maksudnya. Menulis yang tidak mempunyai kerangka membina pemikiran. Ada yang bersifat fitnah, tahyul, gosip, yang semuanya berselera rendah. Seharusnya menulis mempunyai misi besar iaitu menyampaikan kebenaran dan keadilan.

Satu prinsip beliau ialah, 'Bercakaplah benar, walaupun pahit, dan cintailah buku dan ilmu'. Kebenaran dan ilmu merupakan dua kata kunci yang mencirikan peribadi beliau. Sehinggakan di rumah beliau, ada 50,000 buah buku pelbagai genre di letakkan dalam satu bilik. Tambahan pula, beliau tidur bersama buku, sementara isteri beliau, kak Fauziah tidur bersama anaknya. Kisah ini semacam pernah berlaku ketika zaman Al Jahiz, seorang Negro, penjual roti, tetapi gigih menuntut ilmu. Dikhabarkan beliau meninggal dunia kerana tertindih buku yang teramat banyak dalam rumahnya. Imam Sayuti juga dikhabarkan dilahirkan di atas timbunan- timbunan buku, Wallahualam.

Sdr Jaafar objektif orangnya. Walaupun mengakui sebagai ahli BN, tetapi banyak yang beliau kritik orang BN. Dalam perbualan dengan beliau tadi di hospital, beliau begitu bangga kerana berjaya mengalahkan calon BN dalam PRU 12 baru- baru ini di tempat beliau tinggal, di Ampang. Beliau mengatakan, nak ajar sikit orang BN ni!, beri undi pada calon pembangkang, sombong sangat! Jawapan yang common ketika PRU 12 yang baru berlalu.

Beliau dijangkiti kuman Diabetis, atau dalam bahasa Melayunya ialah 'Kencing Manis'. Masih di tahap awal. Berdasarkan pemerhatian saya, beliau seorang yang suka meraikan kawan- kawan, minum- sembang ilmu di kedai mamak, menghadiri majlis keraian dan sebagainya. Maka tidak mustahil penyakit beliau berkaitan dengan makanan yang pelbagai dan rencam dinikmatinya. Ada juga orang kata, pemimpin, apatahlagi seperti wakil rakyat, akan terdedah dengan kepelbagaian jenis makanan yang sudah pasti mengandungi ciri- ciri utamanya, seperti manis, atau masam atau masin. Maka pemimpin akan mudah terdedah dengan penyakit- penyakit. Almarhum Ustaz Fadzil Noor juga pernah mengadu, penyakit- penyakit yang beliau hidapi akibat banyak meraikan majlis keraian yang penuh dengan citarasa makanan, yang semestinya akan merbahaya kepada kesihatan jika tidak dikawal.


Biasalah, menjadi pemimpin perlu meraikan dan pandai mengambil hati orang bawahan, terutamanya rakyat bawahan. Jika ada orang kampung mengadakan kenduri kahwin, sudah semestinya meraikan jemputan itu. Jika juga selesai memberi ceramah, penganjur akan menyediakan juadah makanan yang selalunya enak dan berlemak belaka.

Walaupun demikian, kita harus beringat dalam soal pemakanan. Saya mengingkatkan diri sendiri, bahawa kita harus pandai memilih makanan yang sihat, berzat dan tidak terlalu kenyang ketika makan. Imej seorang penda'wah harus kemas, segak dan tidak terlalu boyot dan malas, semacam menampakkan kita terlalu gelojoh dengan nafsu makan.

Ini antara intipati sembang kami di hospital. Sambil- sambil ziarah bertanya khabar, selit- selit juga dengan isu nasional. Banyak berkisar isu- isu politik negara. Saya rasa agak tepu juga, kerana banyak sangat bincang mengenai politik. Suasana seminggu dua ini sudah pasti sarat dengan teori kepolitikan.

Kendatipun demikian, dalam sibuk- sibuk kita 'mabuk' dalam suasana politik ini, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan, yang juga penting dalam kehidupan kita:

1) Sambutan Maulidur Rasul Sallahu'alahi Wasalam, bersama Sheikh Fuad Kamaluddin (Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan) dan Sheikh Muhaddith Dr Mahmud Said Mamduh Al Husaini (Pakar Hadith kontemporari), pada 21 Mac, Jumaat 7.00 - 11.00 malam, di Anjung Rahmat, Gombak.



2) Seminar Ta'dib Islami, pembicara Prof Wan Mohd Nor Wan Daud (mantan Penolong Pengarah ISTAC) dan Sdr Marzuki Mohamad (Exco Penyelidikan ABIM), pada 23 Mac, Ahad 9.00 pg- 1.00 ptg, di Anjung Rahmat, Gombak.

Saya sukacita menjemput semua untuk hadir, ajak kawan- kawan, kaum keluarga dan jiran- jiran. Semoga pengisian jiwa kita seimbang dengan pengetahuan isu politik dan ilmu turath Islami Insyallah.

Sunday, March 09, 2008

Malaysia bermula 2008

PRU 12 sudah berlalu dengan pembangkang berjaya menafikan 2/3 majoriti di parlimen. Ini pertama kali dalam sejarah Malaysia apabila kerajaan mengalami kekalahan yang begitu dasyat. Tambahan pula, pembangkang berjaya merampas empat negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah di samping mengekalkan Kelantan. Bagi rakyat Malaysia yang demokrat, ini adalah kejayaan yang sangat manis apabila rakyat benar- benar mengoptimumkan 'kuasa rakyat' itu melalui undi.

Selepas PRU 12 ini, ada beberapa perubahan besar yang akan kita saksikan. Antaranya ialah:

1. Ketidakstabilan parti pemerintah. Ramai pemimpin utama parti UMNO dan komponen tewas mengejut. Ianya memberi tamparan hebat bagaimana Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi untuk menyusun barisan kabinetnya. Malah, tekanan paling hebat ialah Pak Lah ditekan oleh Tun Mahathir untuk meletakkan jawatan.

2. Parti pembangkang yang menguasai negeri- negeri yang merupakan kubu kuat pemerintah sebelum ini berhadapan dengan cabaran mengurus negeri yang masih mempunyai pegawai- pegawai kerajaan pemerintah sebelum ini. Ramai pegawai kerajaan negeri ini telah bekerja dan mungkin juga penyokong kuat pemerintah sebelum negeri bertukar kepada pembangkang. Pembangkang akan mengambil masa untuk mendekati dan meminta kepercayaan daripada mereka.

3. Parti pembangkang akan berhadapan dengan ujian memerintah negeri berdasarkan pakatan 'longgar' pembangkang. PAS di Kelantan tidak mengahadapi masalah, kerana majoritinya orang Islam dan PAS sudah sekian lama memerintah negeri itu. Malah Pulau Pinang dan Kedah juga tidak menghadapi masalah, kerana keduanya majoriti Cina dan Melayu. Perak dan Selangor merupakan battle ground pembangkang membuktikan komitmen mereka terhadap rakyat. Sudah pasti kepentingan kaum yang pelbagai akan menjadi cabaran kepada pembangkang.

4. Parti yang sifatnya 'multi racial' semacam mendapat tempat. PKR sebagai contoh mampu memenangi lonjakan kerusi yang banyak, daripada satu kerusi parlimen pada 2004 sehingga 31 kerusi parlimen.

5. Paling penting, janji- janji wakil rakyat yang bertanding. Inilah masanya rakyat menuntut janji- janji manis mereka. Jika pembangkang sebagai contoh tidak mampu memberi prestasi yang memberangsangkan, tidak mustahil mereka memerintah negeri satu penggal sahaja. Begitu juga parti pemerintah.

Kesimpulannya, teori yang mengatakan setiap sepuluh tahun Malaysia akan mengalami kejutan landskap politik negara mungkin ada kebenarannya.

Pada 1989, krisis UMNO diharamkan, kemudian tertubuhnya parti Semangat 46, bergabung dengan PAS, maka Pilihanraya pada 1990 mereka berjaya menawan Kelantan.

Kemudian, 1998, Anwar Ibrahim dipecat, tertubuhnya parti KeAdilan, pilihanraya 1999 Kelantan kekal dan berjaya menawan Terengganu.

Kini, 2008, isu minyak naik, faktor Anwar Ibrahim di luar penjara dan krisis dalam parti komponen pemerintah, lima negeri tumbang kepada pembangkang! Setahun selepas menyambut kemerdekaan 50 tahun dan melangkah ke separuh abad kedua Malaysia menyaksikan satu perubahan yang besar telah berlaku!

Apakah kita sudah bersedia menghadapi perubahan ini? Tepuk dada tanya diri.

Friday, March 07, 2008

PRU 12 DAN PEMIMPIN MELAYU


Waktu kempen sudah sampai ke penghujung. Esok kita akan mengundi. Kita harapkan agar kita dapat buat sesuatu dalam negara ini. Saya secara peribadi menyerahkan kebijaksanaan semua rakyat Malaysia untuk memilih siapa yang boleh menerajui negara Malaysia tercinta ini.

Berdasarkan mood rakyat bawahan Malaysia hari ini, kita boleh merasakan mereka memendam sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sepanjang 50 tahun merdeka. Cubalah tanya mereka. Saya secara peribadi, beberapa hari yang lepas, menaiki teksi di tengah kota Kuala Lumpur, kerana ada urusan di sebuah bank. Menaiki teksi di tengah kota itu adalah pertama kali buat saya. Dalam teksi ambil masa untuk bersembang dengan pakcik (Uncle) pembawa teksi, berbangsa Cina. Saya sekadar bertanya beliau, pasal demam pilihanraya ini. Beliau meluahkan masalah minyak naik, permit teksi yang dimonopoli oleh sesetengah puak dan macam- macam lagi. Saya sekadar mendengar rintihan beliau. Soalan bonus saya tanya, mengundi di mana dan mengundi siapa?

Beliau dengan cepat menjawab di Cheras dan undi ***. Beliau akan undi parti yang menjaga kebajikan orang bawahan, yang tidak ada pemimpin yang korup. Saya dapat tangkap, isu minyak naik, barang naik semuanya membebankan orang bawahan. Saya cuba menyelami masalah beliau. Memang, sesuatu harus dilakukan untuk membantu masalah rakyat terbanyak ini.

Dalam kempen PRU 12 ini, saya ada ziarah pondok gerakan parti- parti yang bertanding. Sembang dengan mereka, ambil pamplet parti mereka, baca manifesto mereka, kaji track record mereka dan tengok siapa calon yang bertanding. Ini semua adalah proses pendidikan politik yang kita harus gerakkan. Malah, ceramah- ceramah parti- parti politik yang bertanding juga saya hadiri, tidak kira pihak pembangkang atau pemerintah.

Kita akhirnya nanti boleh buat penilaian, kepada siapa yang akan kita berikan amanah untuk menjadi wakil rakyat tempat kita, malah paling penting siapa yang akan memerintah negara. Bagi saya, orang Melayu terutamanya ada satu faktor yang unik yang perlu diberi perhatian. Bagi orang Melayu, mereka mempunyai tokoh kepimpinan yang mempunyai pengikut dan wilayah pengaruh yang tersendiri. Leadership- centric ini boleh dilihatkan dengan lima tokoh yang besar orang Melayu.

Orang Melayu mempunyai
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, melalui parti Melayu UMNO, Tengku Razaleigh, bekas pengasas parti Semangat 46 dan kemudian berani mencabar Tun Mahathir ketika Perhimpunan Agung Umno suatu ketika dahulu. Sekarang juga mempunyai pengikut tersendiri melalui Kongres Kepentingan Bangsa. Dato' Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat, seorang ulama dan Murshidul 'Am Parti Islam Se- Malaysia. Pengaruh beliau sebagai seorang ulama yang dihormati dan Menteri Besar Kelantan sangat besar. Kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Tun Mahathir dengan imej tegas dan berpandangan jauh membawa Malaysia ke tahap yang memberangsangkan. Yang terakhir ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau yang mempunyai karisma dan pengikut ‘berani- mati’ sukar dinafikan pengaruhnya walaupun telah dipenjarakan dan dipecat dalam kabinet.

Setiap di kalangan pemimpin Melayu ini mempunyai keunikan dan kelebihan masing- masing. Dalam konteks Pilihanraya Umum 12 ini, setelah 50 tahun kita merdeka, kita harus jujur kepada bangsa kita sendiri, apakah kita sudah benar- benar mengangkat martabat ummat Melayu ini di tahap yang memuaskan?

Orang Melayu memerlukan ‘viagra’ baru untuk menyuntik semangat kesedaran bangsa yang baru. Apatah lagi generasi Melayu Youtube dan Friendster hari ini yang lebih terbuka dan peka dengan perkembangan semasa. Pokoknya ialah, dalam lima tokoh besar itu, siapa yang boleh menjadi ikon pemimpin Melayu kepada generasi muda dan ummat Melayu secara umumnya?

Ummat Melayu memerlukan qudwah hasanah terbaik yang boleh ditauladani. Sikap pemimpin yang mengangkat martabat Bahasa Melayu, menjunjung agama Islam, memelihara hak ummat Melayu, yang perihatin dengan orang miskin, yang boleh membawa negara bebas dari budaya rasuah dan mempunyai peribadi yang bersih merupakan ciri utama pemimin idaman.

Ummat Melayu sekarang semakin demanding. Mereka mahukan pemimpin Melayu yang kompeten, berpandangan jauh, bersih akhlaknya, faham Islam dengan baik, berjiwa rakyat, tidak sombong dan rasuah dan mampu membawa Malaysia ke mercu yang berjaya. Malah pemimpin Melayu juga harus pandai menjaga hak rasmi ummat Melayu.

Oleh itu, bersempena dengan PRU 12 ini, buatlah pilihan terbaik. 8 Mac ialah hari mengundi yang perlu ditunaikan sebagai seorang warganegara Malaysia. Walaupun 8 Mac tidak mampu menunaikan hajat kita secara lansung untuk memilih pemimpin Melayu yang terbaik, namun demikian, kita akan melakukan a new dawn for this country. Kita akan memandu negara ini berbekalkan mandat yang segar dan baru ke arah suasana yang lebih baik.

SELAMAT MENGUNDI 8 MAC. Saya akan pulang mengundi petang ini. Pastikan: 1. Perjalanan selamat pergi dan pulang, 2. Kad Pengenalan terjaga, 3. Baca doa dan istikharah sebelum mengundi.

Wednesday, March 05, 2008

Pemerhatian Kempen PRU 12

Pendahuluan: Saya ulangi dengan tegas di sini, saya bukan parti sentrik. Saya tidak mengundi parti tetapi menekuni calon yang ditawarkan oleh parti bertanding. Saya juga telah merujuk silang dan meneliti manifesto semua parti, dan Insya-Allah akan bertindak dengan menggunakan akal (bukan emosi). Pemerhatian ini saya kira dapat dilakukan dengan cukup saksama dan berhati-hati kerana saya merupakan graduan syariah politik UM (1998) yang menjadikan minor sains politik sebagai bidang pilihan.

Pengarang di Malaysia telah turun padang menulis mengenai politik seawal Pak Sako (Putera Gunung Tahan), A.Samad Said turut menyentuh iklim politik era 80an dalam Hujan Pagi dan Wira Bukit, kita tentu tidak dapat menafikan keghairahan Shahnon Ahmad dalam banyak karyanya seputar politik (yang klasik tentulah Shit meskipun Tunggul-tunggul Gerigis jauh lebih 'political'), Kawin-kawin menampilkan era hubungan PAS-Semangat 46 karya Azizi Abdullah, dan ramai lagi pengarang yang tidak 'tersebut' di sini. Novel pertama saya sendiri Perempuan Politikus Melayu merakam cuaca politik era sebelum 1997 dengan menyorot isu rampasan tanah di Kerpan.Pemerhatian sebagai pengarang yang sedar bahawa sastera adalah bahagian dari politik, mendorong saya untuk menyorot 'suasana kempen PRU 12'.

Ini untuk membolehkan saya merumuskan satu konklusi, iaitu calon mana yang bakal saya undi. Saya telah menggunakan segala ilmu yang saya perolehi ketika menuntut dalam bidang sains politik untuk melakukan pemerhatian ini. Sekali lagi, sebagai pengundi independen saya tidak menggunakan emosi sebagai kayu ukur tetapi melihat 'real' politik dengan menghadiri ceramah-ceramah yang dianjurkan dan mendengar kedua belah pihak.Namun begitu, saya dapati kempen PRU 12 dicemari oleh beberapa perkara yang membuatkan saya berasa amat jengkel. Rumusan pemerhatian saya terhadap kempen ini, antara lain ialah...(Faisal Tehrani Blogspot)

Tuesday, March 04, 2008

Pengundi muda jangan terikut-ikut sentimen

04/03/2008 6:49pm

Utusan 4 Mac - Pengundi muda dan mereka yang bakal pertama kali mengundi dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sentimen mahu menukar kerajaan sedia ada semata-mata kerana mahukan perubahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada telah terbukti mampu mengubah nasib rakyat dan menjamin masa depan yang lebih baik kepada negara.

Justeru, katanya, pengundi muda dan yang baru mengundi mestilah memilih kerajaan yang boleh memberi mereka pembangunan demi kebaikan negara, bukan sahaja pada masa kini tetapi untuk masa-masa akan datang. ``Kerajaan kini ditadbir dengan baik. Jadi kenapa nak ubah hanya semata-mata mahu berubah. Pada saya, kalau kita nak ubah mestilah kepada yang lebih baik.

``Jika tidak, lebih baik kekalkan kerajaan BN sedia ada,'' kata beliau pada sidang akhbar di majlis perasmian Pembangunan Tanah Bersama Tabung Haji Plantation (THP) Saribas Sdn. Bhd. di daerah kecil Pusa dekat sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sentimen pengundi muda dan mereka yang baru mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dilihat cenderung untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang. Bacaan lanjut
Utusan 4 Mac 2008

Komen:

Dianggarkan 600,000 pengundi baru yang didaftarkan layak mengundi PRU 12 ini. Malaysiakini melaporkan
"First-time voters, beware", kerana pengundi baru ini biasanya akan menyokong pembangkang.

Bagi saya secara peribadi, trend pengundi baru ini jangan dipandang rendah. Kelebihan pengundi baru ini ialah mendapat pendedahan meluas dan cepat dengan adanya akses terhadap internet. Secara umum mereka adalah generasi yang celik internet. Fenomena Youtube, I pod, blogs dan pelbagai lagi sudah menjadi budaya. Inilah sebenarnya harga yang perlu dibayar untuk mencerdaskan rakyat.

Dengan trend yang semakin meluas ini, akhbar perdana mendapat persaingan yang luar biasa. Akses internet yang mudah menyebabkan timbul akhbar online sebagai alternatif kepada isu- isu semasa yang kadang- kadang perlu juga difahami dengan adil oleh pelayar muda. Mereka perlu mendapatkan dua pandangan sisi yang berbeza supaya mereka dapat buat keputusan yang tepat kelak. Kalau sekadar mendapat satu sisi sahaja, maka alamatnya tidak berkembanglah mindanya.

Berita dan isu yang dibincang secara meluas dalam internet tidak memerlukan kawalan pihak berkuasa. Apa jua isu dan perkara dapat dibicarakan dengan bebas. Adegan pemimpin yang kurang enak turut dilihat oleh pelayar muda. Kerana itulah media online mendapat perhatian pelayar muda. Dalam situasi Pilihanraya Umum ini lagilah, pelbagai propaganda dan provokasi yang bermain dalam akhbar perdana dan alternatif. Sampaikan ada orang kata dalam situasi sekarang ini (3 hari lagi menjelang mengundi), tutup mata daripada melihat dan membaca TV3, RTM, Utusan, Berita Harian dan semua akhbar perdana. Ini memandangkan semuanya telah menjadi propaganda sebuah parti untuk mempengaruhi minda rakyat. Blog terutamanya semakin selesa di kalangan pelayar muda, kerana mereka ada kebebasan melontarkan pandangan. Blog juga sebenarnya sebagai ruang demokratik massa menurut A Kadir Jasin, blogger terkenal. Ada juga artikel yang bagus mengulas tentang fenomena blogger ini, "Cyber Activism: The New Frontier".

Keadaan yang ekstrem ini menggalakkan lagi pelayar muda supaya mencari pandangan yang alternatif, kerana bosan dengan propaganda keterlaluan ini. Namun demikian, bottom line kita ialah menapis dengan kritis apa jua berita dan isu sama ada datangnya dari akhbar perdana atau alternatif di internet. "Jika datang munafik membawa satu berita, maka tapislah" (Al Hujrat: 6)

Dengan harga kebebasan pandangan menyebabkan hasilnya, ramai yang akan celik mata, peka dengan isu, kritikal dengan sikap pemerintah dan pandai membezakan antara hak dan batil. Saya melihat satu petanda positif telah dilalui oleh generasi muda hari ini.

Kerana itulah, kita menyeru agar potensi dan suara anak muda jangan dipandang rendah.
13 Tuntutan Pelajar perlu dipertimbangkan. Generasi muda mahukan sistem yang segar, bebas rasuah, proaktif, berilmu dan semua yang membawa kebaikan kepada negara.

Warkah Buat Teman saya relevan untuk dibaca oleh pengundi baru, kerana memang saya menuju kepada semua pengundi baru. Apa yang generasi muda mahukan ialah sebenarnya YANG TREBAIK UNTUK NEGARA INI! Selamat mengundi!

Saturday, March 01, 2008

Politik Orang Muda

Berita 1:

Rezeki musim pilihan raya

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

DEMAM Pilihan Raya Umum Ke-12 yang hangat melanda seluruh negara turut memberi rezeki kepada remaja untuk mencari pendapatan sampingan sebagai pembantu di bilik gerakan. Kebanyakan remaja ini terdiri daripada lepasan sekolah menengah atau pelajar institut pengajian tinggi yang bercuti semester.

Biarpun hanya sementara, kebanyakan mereka menerima upah agak lumayan, berbaloi dengan keringat yang dicurahkan. Bagi Juliana Mohd Sani, 21, dia mengambil kesempatan cuti semester ini untuk menjadi pembantu sementara di bilik gerakan Umno cawangan Desajaya Perdana, Kepong, Selangor.

Menurutnya, dia ditugaskan untuk membantu mengemaskini maklumat pengundi selain menjadi perayu undi membantu kempen Barisan Nasional (BN). Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, dia mendapat tahu bilik gerakan berkenaan memerlukan pekerja sementara melalui bapanya.

Baginya, tugas sebagai perayu undi tidak semudah yang disangka kerana mereka perlu bersedia dengan pelbagai maklumat sebelum bergerak dari rumah ke rumah. "Kami bergerak dalam kumpulan seramai tiga orang dan akan menarik minat masyarakat setempat untuk memilih calon BN.

"Menjadi perayu undi tidak semudah yang disangka kerana selain terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat seperti dihalau sebelum sempat berbual, kami juga perlu tebalkan muka meyakinkan memilih calon kami. "Memang mencabar tetapi ia menyeronokkan" katanya.

Adiknya, Isnaini Mohd Sani, 18, berkata dia tergerak hati memohon menjadi pembantu di bilik gerakan itu hasil dorongan kakaknya, Juliana. Isnaini yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui, selain menjadi perayu undi, dia membantu menyusun peralatan kempen dan poster. Bacaan lanjut
Metro 1 Mac 2008, Sabtu

Berita 2:

Amaran kepada mahasiswa

PUTRAJAYA 11 Feb. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam kempen pilihan raya umum ke-12 termasuk menarik balik biasiswa mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiasat penglibatan segelintir mahasiswa dalam politik kepartian dan mereka bakal diambil tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

''Peraturan dalam AUKU jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian. ''Begitupun untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya hanya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik,'' katanya. Lanjut dalam
Utusan 12 Feb 2008

Komen:

Kita harap agar pelajar dan mahasiswa diberi ruang lebih sedikit untuk berpolitik. Maksudnya ialah membicarakan isu politik merentas batas ilmu di universiti dan partisipasi dengan isu- isu semasa. Namun demikian, bukan bermakna juga kita membenarkan universiti sebagai pusat pengajian tinggi dinodai dengan kerakusan parti politik dan konco- konconya, sehingga universiti malah sekolah menjadi perkakas kepentingan politik.

Lagi satu, dalam demam pilihanraya umum ini, kita sebagai ulama, ustaz, pelajar, orang Islam yang beriman harus berhati- hati. Saya maksudkannya ialah supaya tidak dieksploitasi oleh sesetengah parti politik untuk meraih undi atau menjustifikasi tindakan mereka. Jumaat lepas, saya mendengar khutbah di sebuah universiti. Namun, agak mengecewakan dan sedih, kerana tajuk khutbah lansung tidak relevan dengan isu semasa yang berlaku. Tajuk khutbah ialah "Keselamatan Jalan Raya Menurut Islam" dan "Larangan Menumpang (Squatting) di Kolej Universiti". Sepatutnya sentuhlah mengenai kepimpinan yang baik, amanah, rajin dan pelbagai.

Khatib yang memberi khutbah merupakan pensyarah saya yang saya hormati. Namun demikian, tidak tahulah mengapa tajuk khutbah itu yang dipilih. Berdasarkan pengamatan saya, teks khutbah itu telah ditulis awal, dan sekadar dibacakan sahaja. Wallahu'alam.

2 berita di atas nampak kontradiks. Adakah anda setuju?.

Pelajar universiti boleh berpolitik, asalkan sokong parti A sahaja?

Laman 'Warkah Untuk PM' dilancarkan.

Utusan Malaysia 1 mac 2008

PEKAN 1 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web khas - www.warkahuntukpm.com.my - untuk Perdana Menteri meneliti secara peribadi segala pandangan atau isu yang mungkin menjadi kebimbangan rakyat.

Ia merupakan satu saluran komunikasi dua hala yang diwujudkan untuk menerima pandangan dan saranan rakyat bagi mengukuhkan lagi program pembaikan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan lama web itu di kediamannya di sini.


Beliau berkata laman web itu merupakan satu wahana baru yang membolehkan rakyat berinteraksi dengan kerajaan selaras dasar untuk mendekatkan lagi hubungan antara rakyat dan kerajaan.

"Pelancaran laman web ini adalah dengan mengambil kira zaman ICT ini, maka saluran internet merupakan satu saluran yang penting dan berkesan untuk mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai.

"Dengan pelancaran laman web ini bererti kita mewujudkan wahana baru interaksi, yang dilihat akan memberi kesan kepada rakyat dalam jangka pendek dan panjang,” katanya kepada pemberita di sini.

- Bernama


Komen:

Saya tidak pasti sama ada kebetulan atau suratan, sebuah laman khas dibuat untuk rakyat meluahkan cadangan, idea dan perasaan kepada Perdana Menteri dengan tajuk 'Warkah Untuk PM'. Saya telah menulis Warkah Buat Teman sehari selepas pembubaran parlimen.

Apa pun, rakyat boleh buka laman
Warkah Untuk PM untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati, inilah masanya!