Friday, February 22, 2008

SIDANG MEDIA

SIDANG MEDIA PENGISTIHARAN DOKUMEN PILIHANRAYA UMUM KE 12: 13 TUNTUTAN PELAJAR
(Dilancarkan pada 22 Februari 2008, 15 Safar 1429, Jumaat, di Yayasan Penataran Ilmu, Kuala Lumpur)

BISMILLĀHIRRAHMĀNIRRAHĪM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sebagai sebuah komponen dalam masyarakat, kami dengan penuh insaf ingin menyatakan tuntutan dan hasrat kami.

Kami yakin, dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik dan berjaya, peranan dan potensi generasi muda tidak harus diabaikan.

Kami juga sedar bahawa masa depan negara terletak di bahu generasi muda hari ini.

Maka, kami menyatakan 13 tuntutan yang harus dipertimbangkan oleh bakal- bakal calon dan kerajaan yang akan datang, bagi memastikan agenda mengangkat martabat generasi muda dapat dilaksanakan:



1 Menukar Sains dan Matematik Kepada Bahasa Melayu

Proses pengajaran dan pembelajaran subjek berteraskan Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu agar tidak berlaku kemerosotan pelajar luar bandar. Malah agar minat dan kefahaman pelajar dapat dipertingkatkan jika diajar dalam bahasa Melayu

2 Membanteras Program Hiburan Melampau dan Gejala Hedonisme

Generasi muda harus tidak diekploitasi sebagai konsumer hiburan yang melampau. Potensi mereka harus dibangunkan mengikut modul modal insan yang seimbang. Kerajaan harus mengawal program hiburan.

3 Menolak Universiti Berteraskan Parti politik

Kewujudan universiti berteraskan parti politik tidak membina bangsa yang berkongsi semangat kebangsaan, dari segi bahasa dan ‘worldview’, akhirnya memecahkan lagi pola ketidakseimbangan perpaduan kaum

4 Menuntut Autonomi Universiti

Bukan sekadar autonomi pentadbiran, tetapi autonomi ilmu dan idea. Universiti harus mengekalkan prestij keilmuan dengan tidak membenarkan ahli politik memegang tampuk Canselor dan Naib Canselor, akan tetapi kepada ahli akademik yang ada kredibiliti.

5 Mewajibkan Subjek Falsafah di Semua Universiti dan Pilihan Terbuka Subjek Minor

Ini bertujuan menyeimbangkan mahasiswa dengan elemen berfikir dan kemanusiaan. Malah, subjek minor secara terbuka dapat mengembangkan potensi mahasiswa kelak.

6 Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan

Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3% yang dikenakan PTPTN serta merta.

7 Menjadikan IPT Sebagai Zon Internet Percuma

Menyediakan kemudahan capaian internet wireless secara percuma dan menyeluruh di seluruh institusi pengajian tinggi, bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan

8 Meminda AUKU

AUKU harus dipinda dan memberi kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik. Legasi AUKU menyebabkan telah lahir generasi yang berjiwa kecil dan pasif.

9 Menolak Pelabelan ‘Pro Kerajaan’ dan ‘Pro Pembangkang’.

Pelabelan ini sebenarnya permainan politik sempit politik kepartian, yang ingin menguasai legitimasi parti di universiti. Label yang tidak sihat ini menyebabkan jurang di kalangan mahasiswa melebar.

10 Menolak Sikap Prejudis Terhadap Program Da’wah di Universiti

Sesetengah universiti menyekat program da’wah seperti gerakan tabligh, usrah dan membincangkan tokoh pemikir Islam. Sikap universiti ini menghalang daripada pembinaan mahasiswa yang kritis dan berperibadi mulia.

11 Mengangkat Tema Islamisasi Sebagai Teras Universiti.

Universiti harus menjadikan universiti sebagai pusat Islamisasi ilmu, dengan memperkenalkan subjek pengajian Islam dengan lebih meluas, dan mendidik mahasiswa supaya jurang ‘compartmentalization’ tidak melebar.

12 Mendaulatkan Bahasa Melayu di Tempatnya.

Bahasa Melayu harus diletakkan sebagai 'the utmost priority' bagi bakal kerajaan. Sikap pemimpin yang meremahkan bahasa Melayu merupakan sikap yang perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia.

13 Melantik Wakil Senator di Kalangan Pelajar

Wakil pelajar ini dapat menyuarakan suara secara langsung dalam Parlimen, secara tidak lansung mengiktiraf pelajar dalam proses pembinaan negara.

Dokumen lengkap 13 Tuntutan Pelajar Malaysia boleh didapati di http://www.pkpim.net/


Wednesday, February 20, 2008

KULIAH SYEIKH ROHIMUDDIN BIN NAWAWI AL-BANTENI 18 FEB 2008



Isnin lepas, Sheikh Rohimuddin An Nawawi Al Bantani telah hadir di Anjung Rahmat memberi kuliah beliau bertajuk 'Tasawuf Hassan Al Bana'. [Syeikh Rohimuddin bin Nawawi al-Banteni merupakan cucu saudara kepada seorang ulama alam Melayu yang terkenal di Mekah yakni Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi atau Sheikh Nawawi Banten. Sheikh Rohimuddin mendapat pendidikan awalnya di Pesantren Cirebon Jawa Barat. Seterusnya di Pesantren Lirboyo.

Beliau seterusnya melanjutkan pengajiannya ke Universitas Syarif Hidayatullah di Jakarta. Kemudian beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain belajar secara formal, beliau juga belajar secara tidak formal dengan beberapa ulama’ yang terkenal di serata Indonesia, Mekah dan Mesir.

Buat masa ini beliau adalah merupakan di antara tenaga pengajar merangkap Pengetua di Dar Al-Hasani di Mesir, dan merupakan khalifah (muqaddam) kepada Sheikhuna Sidi Yusuf al-Hasani dalam thariqah asy-Syazuliyah ad-Darqowiyah.

Di samping itu, beliau juga giat member ta’lim kepada anak-anak Malaysia dan Indonesia yang menuntut di Mesir, di rumah-rumah dan di tempat-tempat organisasi mereka. Beliau juga sering menjadi tenaga pengajar jemputan di pelbagai pesantren dan organisasi.

Di samping juga bakal menjadi tenaga pengajar di Ma’ahad Az-Zein di Bogor bagi membantu Sheikh Muhammad Nuruddin al-Banjari. Beliau adalah seorang tokoh ulama’ kontemporari di dalam mazhab Asy-Syafi’e.]

Sunday, February 17, 2008

Penampilan Di Radio 24

Penampilan saya dalam radio 24, pada Jumaat 15 Februari jam 10- 12 mlm, sebuah radio berita Bernama bukan sebagai artis. Saya dijemput dalam Bicara Kampus bersama sdr Saifullah. Kami membincangkan secara umum Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), masalah pelajar seperti biasiswa, jaringan pelajar, isu kerelevanan gerakan pelajar, PRU 12 yang bakal menjelang dan lain lagi.

Berita 24, sebuah siaran radio berita sangat menarik dan informatif. Radio 24 ini mengisi kegersangan pendengar radio yang muak dengan sumbatan siaran hiburan dan gosip artis. Saya cadangkan supaya kita memberi sokongan kepada radio 24 ini yang boleh dilayari di www.radio24.com.my atau pun di frekuensi 93.9 fm. Radio 24 walaupun masih belum nation- wide, baru sekitar Lembah Kelang sahaja, saya yakin Radio 24 mampu mencuri peminat yang tersendiri.

Sifatnya seperti 'BBC' di UK, saya selesa dengan Radio 24 ini. Terima kasih kepada Dj Yunus Sabri kerana menjadi moderator kami, lain kali jangan serik!;)



Monday, February 11, 2008

YANG BERHORMAT KITA KURANG MEMBACA?

YB kurang membaca (Hmetro)

Oleh Ahmad Syahrul Derauh
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bimbang mengenai kemungkinan wujudnya pemimpin atau wakil rakyat yang kurang ilmu pengetahuan pada masa depan akibat tabiat kurang membaca.

Katanya, situasi itu tidak mustahil berlaku memandangkan kesibukan tugas masing-masing mengakibatkan mereka tidak mempunyai ruang untuk meluangkan masa menambahkan ilmu menerusi pembacaan.

“Saya sendiri pun kadangkala dalam satu hari terpaksa bekerja dari awal pagi sehingga lewat tengah malam hingga tidak dapat meluangkan masa membuka buku. Situasi ini juga dipercayai berlaku terhadap pemimpin lain.

“Saya bimbang sekiranya perkara ini berterusan, ia akan menyebabkan ramai pemimpin atau wakil rakyat yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan secukupnya pada masa depan,” katanya.

Menyedari mengenai kemungkinan itu, Mohamad berkata, beliau menyarankan agar pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi rakan kepada semua pemimpin di negeri ini bagi mengutarakan idea berkaitan kepakaran masing-masing.

Katanya, menerusi kerjasama itu, pensyarah terbabit akan berganding bahu dengan pemimpin dalam usaha membangunkan negeri ini khususnya dalam bidang penyelidikan.

“Sebagai seorang cendikiawan, amat rugi sekiranya membiarkan ilmu mereka itu hanya digunakan untuk pengajaran di kuliah saja sedangkan mereka boleh memainkan peranan membangunkan negara,” katanya pada majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 300 Pensyarah Anak-anak Negeri Sembilan, di Klana Resort, di sini kelmarin.

Mohamad berkata, masih banyak ruang yang memerlukan kepakaran tinggi dan ada kalanya tidak terfikir di kalangan pemimpin masa kini.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan segala pandangan dan idea kepada golongan berkenaan terutama membabitkan bidang penyelidikan.


Komen:

Adakah anda bersetuju dengan kenyataan pemimpin negeri ini? Nak pilihanraya ini, macam- macam cerita keluar tentang prestasi calon. Dalam Islam, memang, membaca harus merentas umur, jawatan, jantina dan kaum. Tidak ada alasan sebenarnya untuk kita katakan 'kita tidak ada masa membaca'. Kalau hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Bagi orang Islam, membaca sepatutnya tidak boleh dikompromi. Kalau kita boleh bermewah dalam bab makanan, dalam bab membeli belah dan dalam berhibur, kenapa tidak boleh dalam bab menambah ilmu? Budaya membaca memang satu budaya yang asing dalam masyarakat kita. Budaya membaca dilihat tidak boleh buat duti, apatah lagi menjadikan kita popular. Dalam satu rencana dengan artis remaja, beliau mengatakan pergi ke perpustakaan tidak menglamourkan beliau, lalu apa perlunya pergi ke perpustakaan. Apakah beliau tidak mengerti perpustakaan Dar Hikmah zaman Khalifah Ma'mun itulah yang telah membina tamadun Islam yang gemilang di Baghdad?

Apatah lagi sebagai pemimpin, membacalah anda walau dalam sibuk mana pun. Kalau pemimpin tidak minat membaca bagaimana rakyat mahu minat membaca juga? Sebab itu Saidina Umar ada mengatakan,"Tafaqquh qabla an tasudu", maksudnya dalamilah ilmu sebelum kamu diangkat menjadi pemimpin.
Memang bila dah jadi pemimpin akan sibuk untuk meluangkan masa membaca. Tetapi, jika tidak ada masa membaca pun, pengalaman pemimpin umat silam boleh dijadikan contoh. Mereka akan berdampingan dengan cendekiawan, ulama dan orang soleh untuk mendapat berkat mereka. Rasanya itu pun yang mampu dibuat oleh YB- YB sekarang. Tapi kalau orang alim dan ulama pun mahu dipecat dan diperangi, bagaimana lagi yang mahu dilakukan? Tepuk dada tanya iman.

Thursday, February 07, 2008

KARYA AGUNG DALAM KOMIK

Karya agung dalam komik (Kosmo Online)

Oleh JOHANNA A. SOBREY

Seiring dengan trend masa kini yang sentiasa dahagakan kelainan, sebuah syarikat penerbitan di England, SelfMadeHero telah memberi nafas baru kepada karya Shakespeare dalam bentuk manga.

"What's in a name? That which we call a rose

By any other name would smell as sweet."

- Romeo & Juliet. Babak II Adegan 2

Siapa yang tidak kenal karya agung penulis Inggeris William Shakespeare. Dari komedi ke sejarah sehinggalah tragedi, hasil nukilan penyajak dan penulis drama ini melampaui garisan zaman dan kekal popular sehingga hari ini.

Digambarkan sebagai penulis teragung dalam sastera Inggeris dan dramatis terkemuka, penulis yang lahir pada tahun 1564 di Stratford-upon-Avon, Warwickshire, England ini juga sering dipanggil Bard of Avon atau lebih mudah, The Bard.

Sebanyak 38 drama, 154 soneta, dua sajak panjang dan beberapa puisi lain adalah antara hasil nukilan Shakespeare dalam kerjayanya yang menghampiri tempoh 25 tahun.

Drama-drama Shakespeare telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa utama dan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk media sama ada di pentas mahupun media massa lain.

Malah, pelbagai adaptasi juga boleh dilihat pada masa kini.

Misalnya, novel-novel grafik yang memaparkan karya-karya Shakespeare bukanlah satu perkara yang baru.

Namun demikian, seiring dengan trend masa kini yang sentiasa dahagakan kelainan, sebuah syarikat penerbitan di England, SelfMadeHero telah memberi nafas baru kepada hasil karya Shakespeare dalam bentuk manga.

Manga merupakan bahasa Jepun untuk 'komik'. Merujuk ensiklopedia online Wikipedia, manga moden terbentuk tidak lama selepas Perang Dunia Kedua. Sungguhpun demikian, ia mempunyai sejarah yang panjang dan kompleks dalam seni lukis Jepun lama.

Di Jepun, manga bukan sahaja dibaca oleh golongan muda, tetapi mempunyai diversiti pembaca dari setiap lapisan usia meliputi pelbagai subjek dan topik.

Ia termasuk kisah pengembaraan penuh aksi, cinta, sukan dan permainan, drama, sejarah, komedi, fiksyen sains dan fantasi, cerita seram, seksualiti, perniagaan dan perdagangan.

PAUL DUFFIELD menghabiskan masa enam bulan untuk menghasilkan The Tempest.

Sejak diperkenalkan, keinginan terhadap manga tidak pernah malap. Malah, bahan bacaan grafik ini terus berkembang dan kini boleh didapati hampir di seluruh dunia.

Menyedari betapa besar potensi pasaran manga, SelfMadeHero mengambil langkah besar untuk menggandingkan dua karya dari zaman dan dunia berbeza menjadi satu hasil yang berilmu dan menyeronokkan.

Dilukis oleh artis-artis manga yang terkenal dan menetap di Britain, dengan karakter-karakter manga yang biasanya mempunyai mata yang besar dan hidung yang comel, lahirlah siri Manga Shakespeare pada Mac 2007 dengan keluaran awal menampilkan manga Romeo & Juliet dan Hamlet.

"Manga Shakespeare ialah satu siri novel grafik adaptasi drama-drama Shakespeare. Menampilkan fusion bahasa klasik Shakespeare dengan visual-visual manga, adaptasi terkini itu pastinya mampu menarik minat segenap lapisan masyarakat sama ada pelajar atau penggemar karya Shakespeare.

"Sungguhpun menggunakan bahasa sastera klasik, siri manga Shakespeare ini boleh dilihat sebagai satu alat pendidikan yang cool dan 'menghidupkan semula' karya Shakespeare serta berkait rapat dengan kehidupan masa kini," ujar Penerbit dan


Pengarah SelfMadeHero, Emma Hayley ketika ditemui KOSMO! di British Council Kuala Lumpur baru-baru ini.

Manga Romeo & Juliet diceritakan dalam persekitaran Tokyo moden dan Hamlet dalam dunia siber 2017.

Richard III dan The Tempest diterbitkan pada September tahun lalu dan A Midsummer Night's Dream akan keluar pada bulan ini.

"Julius Ceasar dan Macbeth dijangka akan menemui pembaca pada bulan Jun, sementara As You Like It dan The Merchant of Venice pula pada September ini," kata wanita berusia 34 tahun ini lagi.

Mendapat inspirasi daripada filem arahan Baz Luhrmann pada tahun 1996, Romeo & Juliet, Hayley berkata, beliau ingin melakukan sesuatu yang serupa iaitu menggunakan teks asli Shakespeare dalam medium yang baru.

"Tambahan pula, saya mahukan satu produk British dengan pembaharuan masa kini, dan manga adalah pilihan yang sempurna," kata Hayley yang telah menubuhkan syarikat penerbitan Metro Media yang berpangkalan di London pada tahun 2003 bersama rakan perniagaannya, Jenny Ross.

Tidak lama kemudian, SelfMadeHero ditubuhkan dan baru-baru ini disenarai pendek sebagai Penerbit Muda Terbaik yang merupakan sebahagian daripada Anugerah Industri Buku British.

Tidak mengambil keputusan secara melulu untuk melahirkan Manga Shakespeare, Hayley telah melawat Jepun untuk mengkaji segala perkara berkaitan industri dan seni Manga.

Dengan kegilaan manga yang semakin tersebar luas, buku-buku manga di pasaran sedia ada telah dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan kini boleh didapati bukan sahaja di kedai-kedai kecil, sebaliknya gedung buku utama dan konvensyen komik yang sering diadakan di Jepun.

"Saya percaya Manga Shakespeare boleh menjadi satu medium efektif untuk memperkenalkan Shakespeare kepada generasi muda yang biasanya melihat karya beliau sebagai kolot atau sukar untuk difahami," kata Hayley lagi.

Beliau juga memaklumkan tentang penghasilan manga Shakespeare turut melibatkan kerjasama mereka yang berpengetahuan dalam karya Shakespeare.

Menyedari karya Shakespeare adalah teliti dan panjang, Hayley menjelaskan bahasa klasik itu terpaksa diringkaskan agar format komik dapat membawa jalan cerita secara visual.

"Saya faham sesetengah pihak tidak akan suka kerana kami terpaksa meringkaskan sedikit karya Shakespeare. Ia satu yang tidak dapat dielak kerana kami mahu karya ini boleh dicapai oleh semua peringkat usia melalui medium yang semakin popular dengan golongan muda," ujarnya.

Sungguhpun demikian, beliau berkata, sejak diperkenalkan, Manga Shakespeare telah menerima maklum balas positif daripada guru-guru dan organisasi seperti Royal Vic dan Royal Shakespeare Company.

Sungguhpun pada peringkat permulaan, pihaknya berhadapan dengan reaksi negatif apabila pencinta karya Shakespeare risau bahawa penulis itu dilihat berbeza daripada ciri tradisional dan klasik, Hayley berkata: "Saya tidak berputus asa."

"Kini, maklum balas positif diterima apabila para pencinta bahasa Shakespeare melihat bahawa manga ini mampu menarik perhatian kanak-kanak berusia 10 tahun untuk membaca karya Shakespeare."

Paul Duffield, artis yang terlibat dalam siri Manga Shakespeare The Tempest berkata: "Dunia manga di Britain masih lagi baru tetapi sedang berkembang pesat dengan lebih banyak kedai-kedai buku besar memaparkan pelbagai karya manga.

"Daripada satu penerbitan sendiri yang kecil dan banyak bertempat di internet, kini segalanya telah berubah apabila pelbagai penerbitan besar mempunyai artis manga sepenuh masa yang menetap di Britain."

Komen:

Mereka telah melakukan anjakan dalam lukisan komik berteraskan karya agung sastera mereka. Kita bila lagi? Adakah kita mahu komik yang berteraskan novel picisan? Kalau ya, Komsas harus ditukar kepada karya picisan yang membawa cerita realisme, yang menyajiikan kisah cintan cintun remaja...umm

Monday, February 04, 2008

SINDROM ‘CAMPURIZATION’ TANDA KEKELIRUAN

Oleh: Mohd Hilmi Ramli

Isu Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) yang dikhabarkan akan bertukar kepada karya yang popular semakin hangat. Hikmahnya apabila isu ini dibangkitkan ialah menunjukkan bangkit segolongan pencinta sastera yang tidak kira latarbelakang yang membantah jika Komsas ingin ditukar kepada karya popular.

Namun demikian, kita harus sedar bahawa golongan yang sedar dan kritis memberi pandangan ini bukan kelompok majoriti. Sebenarnya golongan majoriti ialah yang tidak ambil peduli dengan isu ini dan sekelompok lagi melihat karya sasterawan perlu dilupuskan, kerana tidak lagi membawa nilai komersial.

Nasib dan masa depan sastera di negara kita ini bukan tiba- tiba jadi dalam isu Komsas ini. Ianya rentetan daripada pelbagai usaha yang seakan menolak akan peranan sastera dalam membina nilai diri manusiawi seorang manusia. Kita perhatikan isu Komsas ini sebenarnya pecahan ‘puzzle’ daripada sikap majoriti rakyat Malaysia yang sudah tidak lagi berbangga dengan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks penghayatan.

Kita boleh saksikan, isu sentralnya ialah isu penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa teras rakyat Malaysia. Kita sedang mengalami episod yang hina kerana ‘orang kita’ sendiri yang cuba mengikis kedaulatan bahasa Melayu.

Sikap rakyat yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu yang betul boleh dilihat dalam filem- filem dan drama- drama Melayu yang giat ditayangkan di kaca televisyen. Boleh dikatakan hampir 80% pelakon Melayu berlagak bercakap bahasa ‘campurization’ iaitu bahasa rojak bahasa Melayu dan Inggeris. Gejala ‘campurization’ ini sangat ketara akhir- akhir ini akibat daripada ketidak kawalan pihak berwajib akan disiplin menggunakan bahasa Melayu ini.

Saya mencadangkan agar para pemimpin negara, pemimpin masyarakat, sasterawan negara, semua pemimpin bangsa yang perihatin dengan nasib bangsa, cuba lihatlah penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelakon- pelakon tanah air. Sikap mereka yang melampau ini sebenarnya menghina bahasa dan bangsa mereka sendiri.

Sindrom ‘campurization’ ini menular sehingga ke dalam aksi dan lakonan pelakon- pelakon sebangsa kita ini. Drama Melayu semakin menonjolkan lagak orang Melayu yang bergelar ‘Dato’, yang mempunyai rumah mewah, isteri lagak Mak Datin yang memakai tudung dengan keinsafan, anak- anak yang bercakap Inggeris sebagai lingua franca mereka dalam rumah, episod keretakan rumah tangga, krisis suami isteri zaman moden dan pelbagai lagi. Ini juga cerminan psikik pengarah dan pelakon orang Melayu yang menganut faham ‘realisme’; yang berkiblatkan apa jua yang benar dan ‘real’ berlaku dalam masyarakat wajar ditonjolkan. Ianya wajar walaupun semacam tidak membina pemikiran dan adab penonton asalkan ianya adalah kisah benar masyarakat

Sindrom ‘campurization’ ialah mencerminkan sikap kekeliruan dalam akal mengenai nilai diri sendiri dan tidak faham akan sejarah diri. Prof Naquib Al Attas, sarjana tempatan ada mengatakan, kelahiran kita sebagai umat Islam di alam nusantara ini ialah kerana peranan bahasa Melayu yang telah diasimilasi dengan bahasa- bahasa Arab yang mempunyai maksud Islami.

Kita mengenal diri kita sendiri ialah kerana kita menggunakan bahasa bangsa yang terbaik. Sekiranya kita masih menggunakan bahasa asal kita yang masih mempunyai pengaruh Sanskrit, barangkali kita masih tidak secerdas hari ini dalam memahami hakikat hidup kita. Peranan Islamisasi bahasa Melayu yang berjalan sekian lama adalah proses mengangkat martabat diri umat Melayu itu.

Kemudian, hasil daipada pemahaman dan penghayatan tulen akan bahasa Melayu ini, kita berjaya bangkit mendirikan sebuah negara merdeka yang dinamakan Malaysia. Ketika itu juga Bahasa Melayu diangkat martabat sebagai bahasa rasmi Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah sebuah model benar yang berjaya menghasilkan cendekiawan bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dalam kursus perubatan.

Namun demikian, sikap kita sendiri yang sedang menghancurkan kemuliaan bahasa Melayu ini. Isu menukar nama asal bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia menunjukkan kekeliruan dalam memahami konsep bahasa Melayu itu. Kekadang kita yang hidup dalam masyarakat majmuk ini terlalu meraikan pandangan dan keinginan bangsa lain yang sentiasa mendesak supaya mengikut keinginan mereka. Kemudian isu yang menunjukkan kekeliruan kita juga ialah menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar Sains dan Matematik. Dalam sejarah ketamadunan dunia, negara kita ialah negara pertama yang memulakan model mengajar subjek Matematik dan Sains menggunakan bahasa asing, dan sehingga kini tidak ada negara yang mengikut model keliru ini!

Isu Komsas adalah serpihan isu rakyat Malaysia yang ‘mati rasa’ dengan kedaulatan bahasa Melayu. Hanya minoriti kecil sahaja yang masih mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu ini. Jika ikut hukum alam globalisasi, yang ‘kecil’ atau ‘minoriti’ akhirnya akan tewas kepada yang ‘besar’ dan ‘majoriti’. Dunia bisnes dalam globalisasi membuktikan apabila syarikat besar luar negara seperti Carrefoure, Tesco dan lain- lain menapak di Malaysia, maka peniaga- peniaga kecil terus terkubur hilang punca rezeki.

Hari ini, sikap pemimpin harus dibetulkan dahulu dalam mendaulatkan bahasa Melayu di tempat yang terbaik. Malaysia berhak mempunyai pemimpin yang boleh menjaga kedudukan bahasa Melayu di tempatnya, kerana Perdana Menteri kita orang Melayu, Timbalan Perdana Menteri orang Melayu, Menteri Besar orang Melayu, pemimpin universiti orang Melayu dan semuanya adalah orang Melayu. Orang Melayu harus menuntut ketegasan pemimpin Melayu dalam mendaulatkan bahasa Melayu.

Kita katakan bahawa sikap berbahasa adalah cerminan apa yang terfikir dalam pemikirannya. Puan Ainon, motivator dan penulis buku ada mengatakan, jika kita mengalami sindrom ‘campurization’, menunjukkan kita mengalami keserabutan pemikiran, kerana tidak ada satu struktur berbahasa yang baik dalam kepala kita. Berserabut ini kerana kita keliru dalam identiti kita. Keliru kerana tidak memahami sejarah bahasa, tidak membaca, tidak menghormati warisan bangsa dan sebenarnya cerminan sikap yang sudah tercabut dari akar budaya bangsa.

Jika itulah sikap majoriti kita, semacam semua harus bersekolah kembali. Kerana masing- masing nampak keliru dalam kepala masing- masing!


MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Anjung Rahmat Bt 6
Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur


Sunday, February 03, 2008

MALAYSIA TERCEKAP NO 1!!

Malaysia negara Islam paling kompetitif? Dalam Business Competitive Index, Malaysia di tangga no 1, diikuti oleh UAE, kemudian Tunisia, Bahrain dan Jordan. Negara2 lain menyusul. Cuba baca artikel ini. Dikutip dari web Dinar Standard, sebuah web dunia bisnes negara2 Islam yang saya yakin agak authentic.

"Business Competitiveness Index Malaysian, Emirates and Tunisian companies lead the Muslim world as being most competitive

Malaysian, Tunisian and Jordanian companies lead the Muslim world as being most competitive. This according to the Business Competitive Index (BCI) produced by the World Economic Forum. It is part of an Annual Global Competitiveness Report. 104 countries, representing 98% of world GDP, are included in the 2004-2005 Report.

Co-Directors of The Global Competitiveness Report are Klaus Schwab, Executive Chairman of the World Economic Forum, and Michael E. Porter, Bishop William Lawrence Professor at Harvard Business School, Harvard University.

Professor Porter presents the results of the Business Competitiveness Index (BCI), an especially useful complement to the GCI, with its emphasis on a range of company-specific factors conducive to improved efficiency and productivity at the micro level, such as the sophistication of the operating practices and strategies of companies, and the quality of the microeconomic business environment in which a nation's companies compete.

The BCI analyzes the productivity of companies within each country. It derives the Index from two subindexes, 1) the sophistication of company operations and strategy, and 2) the quality of the national business environment.

The following listing has been filtered for the represented (18) OIC member states. The top 10 Countries with most competitive business environments are in order; United States, Finland, Germany, Sweden, Switzerland, United Kingdom, Denmark, Japan, and Netherlands.

Komen:

Perdana Menteri kata kerajaan Malaysia paling cekap di dunia berada di tangga No 6, Anwar Ibrahim kata data itu ditukar belit, Malaysia tetap no 23. Apa kata kita? Kata Dinar Standard, Malaysia adalah negara tercekap dalam negara2 Islam! Satu pengiktirafan yang mungkin lucu dalam saat perdebatan kecekapan Malaysia ini menjadi panas.

Tetapi bagi saya, ukuran kecekapan boleh kita persetujui, sama ada masih terkebelakang atau tiba- tiba di hadapan. Namun, realiti di depan mata kita ialah harga yang perlu dibayar untuk dinobatkan negara tercekap sangat mahal. Ianya tidak murah. Timbal balik itu ialah kadang2 kita terpaksa korbankan sifat naluri manusiawi itu. Akibat mengejar kemodenan dan kebendaan, ramai yang telah di'nyahmanusiakan' (dehumanized). Buktinya ialah jenayah semakin berleluasa, orang belajar sebab nak kejar kerja dan duit, martabat orang dikenali sebanyak mana gelaran yang diperolehi, pemimpin fikir pasal diri sahaja, banyak amanah tidak diselesaikan dan anak2 banyak terbiar sebab ibu bapa bekerja.

Imam Ghazali dalam kitabnya Munqidz Min Dalal ada mengatakan, zaman beliau ialah zaman yang paling teruk, apabila manusia semakin jauh dari agama. Kalaulah zaman Imam Al Ghazali sudah sedemikian ghope (orang Perak kata), macam mana zaman kita ini?

LEGASI ATTARTUK DI TURKI

Dipetik dari Today's Zaman

Anti-scarf rectors resist change for freedom

YÖK head Özcan told rectors that universities should be places where all opinions can be expressed freely.

Female university students who are pious Muslims might well be allowed into universities while wearing headscarf soon, but university rectors who support a ban on the headscarf gathered on Friday to resist that possibility.

Dozens of rectors and deans, members of the ÜAK, an inter-university council, gathered on Friday to protest a bill to abolish the ban on headscarf being drafted by the Justice and Development Party (AK Party) and the Nationalist Movement Party (MHP). They released a declaration at the end of the meeting voicing concerns that abolishing the move would pave the way to leading Turkey's universities away from "rationality and reason." However, hundreds of professors from various universities also issued a joint declaration in support of the headscarf.


Komen:


Saya semasa menziarahi Istanbul 2005 sempat menziarahi Universiti Fatih. Di sana kelihatan pelajar perempuan Muslim yang komited dengan agama memakai rambut palsu (wig) bagi menutup rambu asal mereka. Apabila mereka ternampak saya, mereka tersipu- sipu malu. Ada juga pelajar perempuan yang memakai topi untuk menutup rambut mereka. Saya sejuk hati melihat komitmen mereka dalam agama. Walau dasar sekular yang diamal pakai dalam kerajaan Turki, tetapi ramai sebenarmya yang masih cuba mengamalkan gaya hidup Islami.

Seorang dekan yang sempat saya temui, katanya walaupun jasad fizikal Kamal Attartuk telah dikuburkan, tetapi ideologi beliau berakar kukuh dalam sanubari rakyat Turki yang sekular. Cara yang mereka gunakan ialah memasang seberapa banyak poster2 Kamal Attartuk di pejabat kerajaan seperti sekolah2, universiti2, parlimen dan sebagainya. Patung2 Attartuk juga dibina di setiap penjuru kota Instanbul dan seluruh Turki.

Kesimpulannya ialah, jasad telah mati, tetapi ideologi masih kekal. Inilah perang yang tidak pernah luput oleh zaman.