Tuesday, December 23, 2008

Dr Muhammad 'Afifi Al Kitti di Anjung Rahmat

"Akhir ziarah,akthar barakah"(Ziarah yang akhir, banyak keberkatannya). Itulah ungkapan Dr Muhammad 'Afifi Al Kitti, seorang ulama muda yang mengajar di Oxford. Nama beliau tidak asing di kalangan pelajar Malaysia di UK. Kepulangan beliau ke tanah air untuk bercuti diambil peluang oleh sdr Yusri, Presiden ABIM untuk menjemput beliau untuk satu pertemuan tertutup semalam, 23 Disember 2008.




Walaupun dinamakan tertutup, tetapi hakikatnya tiada apa yang ditutupnya, atau suatu yang rahsia. Sebenarnya pertemuan ini sebagai meraikan tetamu bertaraf 'ilmuwan' yang tidak perlu lagi dipertikaikan. Jemputan tidak menyeluruh, kerana dimaklumkan pun saat akhir. Dr 'Afifi, yang selesa dipanggil, walaupun agak segan untuk dipanggil 'Sheikh 'Afifi' mungkin tetamu terakhir ABIM dan PKPIM, memandangkan kedua organisasi ini dalam proses pindah pejabat.

Itu yang diungkapnya,"Akhir ziarah,akthar barakah"(Ziarah yang akhir, banyak keberkatannya), mudahan Insyallah.

Walaupun singkat sahaja pertemuan dengan sedikit taaruf, pengenalan organisasi dan tazkirah selepas magrib di Sekretariat, namun kehadiran beliau benar- benar dirasai. Anak kelahiran Perak, dengan latar belakang pendidikan tradisi pondok di Indonesia, kemudian melanjutkan pelajaran sarjana sehingga Phd di Oxford UK, memberi satu model terbaik ilmuwan Muslim kontemporari yang menghapuskan mitos dualistik.

Beliau kini mengajar Teologi (Akidah) di World Religion, Worcester College UK dan di Islamic Studies, Faculty of Theology, University of Oxford. Masih muda, berumur 31 tahun, telah mencapai 'martabat' yang tinggi dalam dunia keilmuan. Tesis Phd beliau ialah mengenai Imam Al Ghazali yang dalam proses penerbitan untuk kepentingan ummat kelak.

Tazkirah beliau agak santai dan ringkas, tetapi cukup mendalam. Beliau mengupas mengenai konsep Shakir dan Shakur, yang bagi orang biasa maksudnya sama iaitu 'Orang yang bersyukur'. Tetapi istilah Arab klasik, Shakir ialah orang yang bersyukur atas ni'mat, manakala Shakur bersyukur atas Niqmat (bala). Berapa ramai yang boleh bersyukur jika ditimpa ujian, seperti kehilangan orang tersayang, musibah, kemalangan dan sebagainya? Kita mudah bersykur jika ni'mat datang, seperti dapat gaji, keputusan cemerlang peperiksaan, jumpa kekasih hati dan sebagainya.

Indahnya Islam ialah kerana meletakkan diri kita sebagai hamba yang boleh menerima dengan berterima kasih kepada Allah jika dikurniakan ni'mat dan malapetaka. Bukankah satu kejayaan paling mulia jika kedua- dua dapat dikuasai?

Itulah dengan kehadiran Dr 'Affi, walau singkat tetapi bermakna. Beliau sempat berfoto di Seketariat PKPIM, sebagai kenangan. Beliau sempat bergurau dengan mengatakan, orang Melayu mempunyai identiti unik yang tersendiri, iaitu suka berfoto. Foto ini membawa nilai rohani yang tinggi, sebab punca kepada memori silam sebuah pertemuan dan persahabatan.



Kehadiran beliau boleh diibaratkan sebagai satu rahmat dan ni'mat kepada kami. Ibarat kata Imam Syafiee," Aku bukan di kalangan orang yang soleh, tetapi aku berkawan dengan mereka supaya aku dapat tempias mereka".

1 comment:

Anuar Manshor said...

Aku pun merindui saat-saat berusrah.