Thursday, November 13, 2008

KERAJAAN MESTI BERANI LAKSANAKAN DASAR BAHASA MELAYU

Hari ini keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Seramai 46,641 atau 9.2% daripada 518,616 calon (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Hanya 9.2%.

“Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya. Beliau berkata, Gred Purata Kebangsaan (GPK) untuk tahun ini juga bertambah baik pada pointer 2.36 berbanding purata 2.39 untuk tempoh lima tahun lepas.” (Utusan 13 November 2008)

Keputusan UPSR 2008 menjadi petanda aras untuk menentukan hala tuju pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun statistik yang dikeluarkan oleh kementerian menunjukkan ada peningkatan A dalam UPSR, tetapi tidak pula ada yang menyebut Sains dan Matematik telah meningkat kefahamannya.

“Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.”(Berita Harian 13 November 2008).

Dilaporkan, seramai 995 pelajar mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR di Sabah pada tahun ini. Jumlah ini adalah 1.91% daripada 50,00 pelajar UPSR di Sabah! Kita boleh bayangkan betapa ada sesuatu yang disembunyikan daripada fakta yang sebenar. Kementerian juga dilihatkan menjustifikasikan 9.2% daripada 518, 616 calon UPSR seluruh Malaysia dan 1.91% daripada 50,000 calon UPSR di Sabah adalah peningkatan yang memberangsangkan.

Agak janggal bagi seorang Menteri dan sebuah kementerian penting dalam negara apabila masih ingin mempertahankan dasar yang mengelirukan pelajar. Apakah peratusan kecil mendapat A satu justifikasi yang betul Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)?

Tidak dinafikan, komposisi pelajar akan terbahagi kepada tiga kelompok, yang fast- track (cepat belajar), sederhana dan lambat belajar. Antara kelompok ini, sudah pasti kelompok pertama, fast- track yang boleh menangkap pengajaran dengan baik dan cepat. Makanya mereka boleh dapat keputusan A dalam peperiksaan. Antara faktor menyumbang, ialah latar belakang keluarga yang berpelajaran, akses ilmu seperti internet yang senang, kemudahan kelas tambahan yang berbayar, selain faktor indivividu yang rajin belajar.

Malah tidak dinafikan, kelompok sederhana dan lambat belajar ada yang boleh berjaya. Tetapi mereka harus bekerja keras secara luar biasa untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Dalam isu PPSMI, kerajaan seolah tidak nampak isu sebenar. Apatah lagi pemimpin Melayu yang diamanahkan untuk menjaga urusan ummat Melayu. Isu bahasa Melayu bukan setakat urusan ummat Melayu, tetapi isu nasional juga. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaaan dan dimartabatkan dalam Akta 152.

Sudah banyak memorandum, forum, surat dan pertemuan menyatakan supaya Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu. Pihak pejuang bahasa, ahli akademik, NGO dan individu yang cintakan bahasa Melayu telah memainkan peranan kritikal mereka. Namun, nampaknya kerajaan dan pemimpin Melayu tidak berminat dengan urusan memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam situasi hari ini, kita boleh melihat, pemimpin Melayu sedang sibuk bertelagah merebut jawatan parti. Ada yang bertumbuk, merasuah demi mendapat kedudukan, melobi antara satu sama lain. Sikap mereka ini ketara apabila akhbar perdana bahasa Melayu sendiri membuat pendedahan meluas pemilihan jawatan dalam parti. Maka tidak mustahil isu bahasa Melayu tidak menyentuh hati nurani mereka. Harta, kedudukan dan pangkat nampaknya menjadi agenda perjuangan mereka. Kasihan melihat mereka, kerana akibat mengejar harta, kedudukan dan pangkat, mereka di’buta’kan mata dan hati mereka mengenai isu penting ummat dan negara. Nampaknya mereka masih tidak belajar dari kekalahan 8 Mac yang lalu, apabila tidak mendengar suara hati nurani ummat.

Walhal, sebagai pemimpin Melayu, yang diamanahkan menjadi pemimpin, urusan utama ummat Melayu mesti diperjuangkan. Tidak timbul bahasa Melayu sebagai bahasa ummat Melayu sahaja, tetapi bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia. Tidak ada ikatan paling rapuh yang boleh mengikat kebersamaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum selain bahasa Melayu.

Kerana itu Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengiktiraf budaya rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai teras utama perpaduan negara. Melihatkan faktor sejarah, budaya, nilai dan agama berbeza orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya, maka bahasa kebangsaan adalah faktor pemersatu.

“Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia telah diiktiraf sebagai arkitek perpaduan Malaysia dengan merentas etnik. Laporan Razak telah berjaya menyatupadukan semua kaum dengan penggunaan BM. Sejak dari itu tidak ada lagi masalah 13 Mei di Malaysia. Ini adalah kerana semua kaum mendapat peluang pendidikan yang saksama dengan bahasa pengantar yang sama. Dengan PPSMI dalam BI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu. Mengapa Melayu? Mereka adalah 70% penduduk luar bandar. Ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.” (Prof Nor Hashimah, Persatuan Linguistik Malaysia 2008).

Malah kedudukan bahasa Melayu bukan ekadar alat komunikasi sahaja, tetapi melampau sebagai bahasa ilmiah. Tun Dr Mahathir telah menggunakan premis yang salah apabila melaksanakan dasar yang hakikatnya bukan dasar. Kerana, dasar kerajaan biasanya akan melalui proses perbincangan dalam kabinet, perbincangan dengan pakar, dibentangkan dalam parlimen dan pelbagai proses menentukan dasar kerajaan. Akan tetapi hanya komentar dalam sidang akhbar, lalu menjadi ‘dasar’ kerajaan.

Tun Mahathir mengatakan, “Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.” (
http://www.chedet.com/ 2008)

Bahasa sebagai alat dan wahana ilmiah adalah dua perkara yang berbeza. Memang bahasa Inggeris boleh menjadi alat untuk memahami ilmu, tetapi bahasa Melayu sebenarnya pergi jauh sebagai alat. Kedudukan bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai lingua franca alam nusantara. Bahasa Melayu telah berakar umbi dalam masyakarakat kita, dengan melahirkan ramai cendekiawan kelulusan perubatan dan teknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ada faktor penting mencirikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang tinggi. Prof Naquib Al Attas mengiktiraf karya Hamzah Fansuri apabila mengatakan karya Hamzah Fansuri menggunakan bahasa Melayu yang tinggi dan mendalam. Karya beliau mampu mengungkapkan makna ketuhanan, kenabian dan alam kerohanian menggunakan bahasa Melayu. Terbukti, bahasa Melayu boleh mencerna akal pemikiran dan melahirkan bahasa mendalam yang menggambarkan sudut pemikiran kita. Ini yang dikhabarkan oleh Noam Chomsky, tokoh lingusitik, “One of the fundamental aspects of human language is its creative nature”. Nilai kreatif dan daya pemikiran bergantung kepada penguasaan bahasa yang terletak dalam pemikiran kita.

Apabila bahasa Inggeris dimasukkan dalam perbendaharaan ilmiah ummat Melayu, sebenarnya telah melakukan proses sekularisme secara tidak langsung. Ini bukan hujah remeh yang tidak ada asasnya. Memandangkan setiap bahasa ada nilai worldview (pandangan sarwa), begitu juga bahasa Inggeris dan Melayu. Perkembangan bahasa Melayu telah membawa nilai Islam yang terbukti membentuk keperibadian masyarakat Melayu di Malaysia. Prof Naquib Al Attas dalam ‘Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu’ mengungkapkan dengan tegas bahawa peranan Islam dahulu telah membawa masyarakat Melayu keluar dari kepompong animisme dan tahyul. Faktor bahasa Melayu memainkan peranan penting mencirikan pemikiran yang bertamadun. Banyak kosa kata dan makna bahasa Melayu membawa makna Islami.

Istilah seperti syurga, rasul, kitab, hadith, pahala, berkat, rahmat, dan sebagainya membantu ummat Melayu memahami hakikat kehidupan yang sebenar. Proses pengislaman melalui bahasa membuktikan alam pemikiran memerlukan bahasa untuk memahami suatu hakikat kebenaran. Bahasa Melayu telah membawa ummat Melayu dekat dengan kehidupan seorang Muslim yang sebenar. Hujah ini tidak popular di kalangan bukan Melayu, tetapi sekurangnya bahasa Melayu dikitiraf bahasa kebangsaan merentas etnik, kaum dan agama di Malaysia.

Maka PPSMI mesti dikembalikan ke bahasa Melayu. Sudah tiba masanya kerajaan tidak berdolak dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munsabah untuk menjustifikasikan PPSMI. Jangan sehingga saat akhir kerajaan yang disangka membawa syiar Islam, tetapi hakikatnya membawa dasar sekularisme dalam negara.

MOHD HILMI RAMLI

7 comments:

shahjebat said...

secara amnya, saya bersetuju dengan pendapat saudara, namun saya cuma ingin menimbulkan sedikit persoalan untuk dijadikan bahan fikir pagi ini.

adakah ppsmi menggagalkan usaha ke arah perpaduan?
-yang ditekankan sebenarnya ialah keseragaman dalam sistem pembelajaran, bukannya penggunaan bahasa melayu. Keseragaman itu yang membentuk perpaduan. mohon respon

shahjebat said...

mohon untuk copy artikel ini, tq..

Mohd Hilmi Ramli said...

salam sdr Shah Jebat,

saya tidak nampak sebenarnya PPSMI ke arah perpaduan rakyat Malaysia. Tujuanya ialah untuk 'memperkasa BI'. Tetapi kaki yang luka, tangan yang dibalutnya.

Memperkasa BI bukan mengajar S&M dalam BI, tetapi subjek Bi sendiri dibetulkan.

Perpaduan tidak boleh menggunakan bahasa asing. Apakah pemimpin kita masih keliru dengan martabat bahasa Melayu? Ilmuwan telah mengatakan, bahasa Melayu yang mengikat ummat Nusantara, merentas Malaysia, Singapura, Indonesia, Selatan Thailand, Brunei, Filipina dan sebagainya.

Anuar Manshor said...

Mereka pengecutlah. Sebab mereka pembunuh bersiri. Selepas dibunuhnya jawi, kini bahasa pula.

amalhijazz said...

setuju dengan artikel ini.
keseragaman belum membuktikan kesamarataan permikiran dan mewujudkan perpaduan secara nurani, lahiriahnya mungkin nampak, bila ada keseragaman, perpaduan dapat dicapai, hakikatnya ia bersifat sementara. gagasan bangsa malaysia yang ingin dicapai seharusnya ditelusuri melalui kedaulatan bahasa Melayu sejarah dulu pernah membuktikan perpaduan dan kemajuan dapat dicapai dengan penggunaan bahasa kebangsaan sahaja, dan realiti kini juga ada sebagai bukti, kerana bicara soal perpaduan dan bangsa Malaysia, kita menekankan identiti dan jati diri. identiti dan jati diri hanya lahir apabila kita memahami sejarah, mempertahankan perlembagaan (akta 152) yang merupakan prinsip bagi mengejar kemajuan.
buku-buku dari luar boleh difahami atas inisiatif, tetapi menjadikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris hanyalah eksperimen yang sering disembunyikan keputusannya.

archimyxtream@yahoo.com

suka-suki said...

kasihan melihatkan adik2 kita di sekolah rendah yang terpaksa belajar sesuatu yang mereka sendiri tidak faham...hanya terpaksa menghafal ayat demi ayat (BI) bg membolehkan mereka lulus exam...secara keseluruhan penyampaian ilmu sepatutnya seboleh mungkin depermudahkan supaya semua pelajar (cepat / lambat faham) dapat memahami isi sebenar pelajaran mereka..
- cikgu2 jg terpaksa mengajar dlm BI walaupun mereka tahu pelajar tdk akan/ susah faham dgn bahasa pengantaraan tersebut (terutamanya di kanak2 dikampung)

kenaguna said...

PPSMI kalau nak kuasai bahasa Inggeris. PPPIA kalau nak kuasai Arab dalam Pengajian Islam. Dan seterusnya. Baguslah dan teruskan...tak apa kerana kita masih boleh cakap Melayu. Melayu kita tak hilang. Mahathir.