Sunday, September 21, 2008

September 98 dan Iktikaf

Pada 20- 21 September, Sabtu dan Ahad ada program Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) anjuran PKPIM di Masjid Negara. Program Miftah adalah program ihya' Ramadan PKPIM setiap tahun. Rupanya MIFTAH kali ini ada kenangan yang paling bermakna.

Semalam, Sabtu 20 September, tiba- tiba saya diingatkan peristiwa 10 tahun lepas, 20 September 1998. Lautan manusia berhimpunan menyatakan protes. Laungan reformasi memecah hening angkasa kawasan Masjid Negara. Walaupun saya masih tingkatan empat ketika itu, tetapi bahang September 98 terasa sehingga ke sekolah. Manakan tidak, risalah- risalah diseludup secara 'haram' ke sekolah- sekolah, menceritakan perihal sebenar September 98.

Namun, 10 tahun sudah berlalu. Banyak peristiwa telah berlaku. Apakah sejarah September 2008 akan merealisasikan perubahan yang diminta 10 tahun lepas? Wallahualam, kita doakan yang terbaik kepada negara kita ini.

...............................................

Sekarang kita berada dalam tempoh sepuluh Ramadan terakhir. Pejam celik, Ramadan semakin menghampiri ke penghujung. Adakah kita benar- benar telah merasai nikmat beribadah dalam bulan Ramadan? Jika belum, sebenarnya masih tidak terlambat.

Iktikaf adalah sunnah Baginda Sallahu'alahi Wasalam ketika masih hidup. Dikhabarkan Baginda sepanjang hidupnya, apabila berada di penghujung Ramadan, akan beriktikaf di masjid. Baginda beriktikaf sehingga hari kewafatan Baginda. Dikhabarkan juga, kerana rumah Baginda yang bersebelahan masjid (Masjid Nabawi) beliau akan meninggalkan rumah dan beriktikaf di masjid. Sehingga ada ketika Baginda meminta 'Aishah untuk menyikat rambut Baginda dengan Baginda menghulurkan kepala melalui tingkap rumahnya. Ini kerana menggelakkan daripada hilang pahala iktikaf.

Tujuan iktikaf ialah untuk kita meninggalkan keseronokan dunia sementara. Inilah masanya kita menumpukan sepenuh perhatian untuk mengadap Allah Ta'ala dengan bersungguh- sungguh. Jika diberi pilihan, orang kita lebih gemar untuk ber'shopping' sepanjang minggu akhir Ramadan. Mereka tidak berminat untuk mencari pahala sepuluh Ramadan terakhir.

Ada fadilat lain juga iaitu turunnya Lailatul Qadar, malam yang penuh dengan keberkatan. Agak mustahil jika kita mahukan pahala sepanjang seribu bulan= 83.33 tahun dengan istiaqamah beribadat. Sebab itu Allah yang Maha Pemurah mengurniakan kita keberkatan satu malan bersamaan dengan seribu bulan.

Akan tetapi, ramai yang tidak sedar dengan fadilat Ramadan ini, apatah lagi sepuluh Ramadan terakhir. Kadang- kadang kasihan melihat ummat Islam yang tidak tersentuh dengan kerahmatan yang Allah Ta'ala kurniakan. Ada yang malam Ramadan seperti malam- malam biasa. Tidak langsung tergerak untuk qiamulail.

Ada yang siang Ramadan tidak seperti orang berpuasa. Berpuasa, tetapi mengumpat saudara seIslam. Sebab itu Baginda ada bersabda, maksudnya "Tidaklah puasa itu menahan diri lapar dan dahaga, tetapi menahan diri dari berkata- kata lagha (sia- sia) dan maksiat". Ada yang berhasad dengki, hati busuk dan langsung tidak insaf dengan keburukan akhlak yang dimiliki.

Sebab itu sepuluh Ramadan terakhir ialah hari yang unik dan berkat. Marilah kita bersama- sama mengisi sepuluh Ramadan terakhir dengan rajin- rajin beriktikaf di masjid, mencari Lailatul Qadar, beribadat khusus kepada Allah dan memohon keampuan dari Allah Ta'ala. Insyallah...

No comments: