Saturday, September 27, 2008

Ramadan Menjaga Pemikiran Kita

Bulan Ramadan hampir ke penghujung. Beruntung bagi sesiapa yang memanfaatkan sepanjang Ramadan untuk beribadat dan memohon keampunan. Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi Ramadan juga menjaga pemikiran kita. Ada artikel menarik juga oleh Adian Husaini.

Bercakap tentang pemikiran ketika bulan Ramadan, ada dua buku yang saya ingin kongsikan. Alhamdulillah, memang Ramadan bulan terbaik untuk kita cerdaskan akal dan rohani kita dengan perkara keilmuan dan amalan kerohanian. Masakan tidak, ketika berlaparlah kita mudah untuk 'menghadam' ilmu. Agak mustahil ketika kenyang untuk menghadam ilmu. Sebab itu ada ulama mengatakan, "Perut yang kenyang menjaga nafsu, perut yang lapar menjaga ilmu". Ketika Ramadan, kerap juga 'ziarah' Kinokuniya untuk membelek buku. Ada teman yang menjadi 'sparing partner', sdr Sosialis Kanan yang turut mempanjangkan lagi diskusi akal tentang buku- buku dan isu- isu ilmiah di Kinokuniya.

Buku yang saya kongsikan pertama ialah Bad Samaritans: The Guilty Secrets of Rich Nations & The Threat To Global Prosperity oleh Ha- Joon Chang. Beliau orang Korea, bekas pensyarah bidang ekonomi di Canbridge, pernah bekerja di Bank Dunia dan pelbagai pengalaman dalam bidang ekonomi. Buku ini bagus bagi sesiapa yang berminat mengetahui selok belok perjalanan ekonomi dunia yang direncanakan oleh kelompok Neo- Liberal. Blog Sosialis Kanan boleh menghuraikan lanjut tentang agenda Neo- Liberal ini.

Secara umum, banyak kegiatan ekonomi hari ini berlandaskan falsafah 'free- trade and market'. Ini dipelopori terutamanya oleh negara bertaraf kaya seperti US, UK, dan lain- lain. Yang menjadi masalah ialah apabila melalui agen 'Unholy Trinity (IMF, World Bank dan WTO), agen ini memasang konspirasi di negara membangun atas nama ingin membantu. Perangkap samar agen ini sebenarnya ialah untuk memastikan negara membangun (baca: miskin) terikat dengan dasar berat sebelah agen ini.

Sebagai contoh, jika dasar 'free trade dan market' dipaksa ke negara Malaysia, yang hakikatnya kita sedang membangun, maka banyak peniaga tempatan akan bungkus. Ini boleh dilihat sedikit demi sedikit apabila melalui nama Foreign Direct Investment (FDI), syarikat multinasional seperti Tesco, Giant, Carrefour dan lain- lain 'membaham' peniaga- peniaga kecil'. Maka mereka hilang sumber pendapatan. Bagi mereka, negara membangun harus bersedia berdiri tanpa 'tongkat dan subsidi' demi mencapai kemajuan ekonomi. Untuk memacu ekonomi negara yang pesat, negara membangun harus melaksanakan 'dasar langit terbuka' secara total.

Mereka (baca: negara kaya) sebenanya hipokrit, kerana hakikatnya mereka ketika mula- mula hendak membangun, sebenarnya lebih ketat dalam dasar ekonomi negara mereka. Sehingggakan dilaporkan, berpuluh tahun dasar tertutup US ketika 1889 untuk tidak membenarkan ada pemilik saham asing memiliki 'share' dalam mana- mana bisnes di US.

Penulis juga mengaitkan perubahan ekonomi berkaitan dengan perubahan sikap. Jika 'kemalasan' dikaitkan dengan orang negara membangun, manakala rajin ialah sikap utama orang negara maju sebenarnya adalah kesilapan besar. Faktor yang mendorong ada persepsi 'rajin' kepada orang negara maju ialah kerana faktor industri sebenarnya. Apabila negara berindustri, maka banyaklah kemajuan dicipta. Kemajuan boleh dilihat melalui pembangunan, kecanggihan teknologi dan sikap profesionalisme. Maka apabila mereka ada 'industrial revolutionary factor' itu, maka persepsi mereka rajin timbul.

Manakala negara miskin, yang hanya membajak sawah dengan kerbau dikatakan 'malas' Walhal mereka dipersepsikan 'malas' bukan kerana si kerbau itu, tetapi keadaan ekonomi yang tidak pesat dan tiada tuntutan mengejar material keterlaluan menyebabkan mereka boleh berehat selesai membajak. Paling kurang akan menyambung tugas di kebun, berehat bersama keluarga dan malam bersandar di beranda rumah sambil menghisap rokok. Ini persepi yang dibentuk oleh faham Neo- Liberal supaya akhirnya kita mengikut jejak langkah mereka.

Saya menggalakkan buku ini menjadi salah satu silibus pembacaan kita dari sehari ke hari.

Kemudian buku kedua yang masih dalam pembacaan ialah Tahafut Al- Falasifah, oleh Imam Al Ghazali dalam Bahasa Inggeris. Walaupun agak teragak- agak untuk mencapai buku ini dan membayar di kaunter Kinokuniya, tetapi memberanikan diri juga. Bukan kerana apa, isi yang padat dan mendalam membuatkan perlu ada guru yang membimbing. Buku 'Tahafut Al- Falasifah' sudah lama menjadi antara buku yang wajib dibaca, Alhamdulillah ada juga kekuatan untuk membaca.

Memandangkan masih dalam proses membaca, secara umum Tahafut adalah buku 'magnum opus' Imam Al Ghazali yang ditulis selepas Maqasid Al Falasifah. Nama Imam Al- Ghazali tidak perlu diperkenalkan lagi. Buku Tahafut merupakan renungan tajam beliau tentang beberapa kesesatan ilmu falsafah. Buku Tahafut kemudian di'serang balas' oleh Ibn Rushd, dengan tajuk buku 'Tahafut At- Tahafut'.

Insyallah, jika ada kelapangan saya akan berkongsi kandungan buku Tahafut ini. Kalau sdr sudah membaca, boleh membantu saya memahami dengan lebih baik;) .


Apa- apa pun, Ramadan semakin melabuhkan diri, masih ada pelang untuk kita bertaubat dan memohon keampuan kepada Allah Ta'ala.

No comments: