Monday, September 15, 2008

Bahasa Kebangsaan sebagai Kuasa Penyatu

Bulan Ramadan bulan berperang. Bukan sahaja berperang hawa nafsu, tetapi berperang sikap, idea dan ideologi. Bukan mudah untuk pertahankan prinsip kita sekiranya tidak ada persiapan yang lengkap.

Isu yang sentral ialah isu peralihan kuasa. 16 September sudah menjelma, tetapi tidak ada bayang- bayang kerajaan baru ambil alih kerajaan. Mungkin belum masanya, tetapi keyakinan itu macam ada.

Tidak lupa juga isu Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Bergelora kembali. Pak Menteri mengatakan hujung tahun akan dinilai kembali. Polemik ini terus berpanjangan. Sudah banyak desakan dan tekanan dilontarkan kepada kerajaan, namun tidak ada tindakan susulan. Itulah akibatnya dasar dan masa depan pendidikan dicatur oleh orang politik yang pragmatis. Apa sahaja keuntungan 'short- cut' akan dicapainya. Akhirnya menjadi mangsa ialah generasi muda hari ini.

Ramai yang menyokong diteruskan dasar PPSMI ini. Bagi mereka;
1- BI sebagai bahasa antarabangsa
2- Tidak perlu menjadikan pelajar bahan kajian
dll

Kita katakan, BI bukan diabaikan sebagai bahasa utama dunia. Bahkan BI harus menjadi bahasa wajib dipelajari secara berkesan demi bersaing di peringkat antarabangsa. Namun, men'dewa'kan BI sehingga tenggelam peranan dan kuasa Bahasa Melayu adalah sukar diterima.

Ada beberapa jenayah bahasa telah dilakukan oleh kelompok yang konon dikatakan 'modernis' ini, tetapi jahil 'murakkab'. Antaranya;
1- Menukar Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia
2- Menghapuskan bahasa baku
3- Memandulkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
4- Menukar subjek Matematik dan Sains dalam BI
5- Meletakkan bahasa Cina sebagai papan tanda di Pulau Pinang
6- Menghapuskan tulisan Jawi
7- Pemimpin bercakap bahasa rojak di tempat awam
7- Macam- macam lagi

Pokoknya, mereka jahil dan angkuh dengan kedudukan Bahasa Melayu, yang telah dikitiraf dalam Perlembagaan Negara 153. Apakah mereka jahil? Apakah mereka buat- buat tidak tahu? Wallahualam. Ada juga yang mencadangkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama komunikasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Satu tragedi 'bahasa' telah berlaku.

Ini dilema yang dihadapi oleh mereka yang menjuarai idelogi 'Malaysian Malaysia'. Jika bicara bahasa kebangsaan masih kalut, bagaimana mereka mahu menjadi rakyat Malaysia yang tulen? Ada yang sudah lebih 50 tahun tinggal di Malaysia, tetapi bercakap dalam bahasa kebangsaan masih tidak kemas. Apakah ini imej 'bangsa Malaysia' yang kita mahukan?

Sekali lagi dalam kekalutan peralihan kerajaan yang diramalkan berlaku tidak lama lagi, seharusnya perlu ada persediaan yang boleh mengikat kebersamaan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, yang berkongsi harapan baru ini. Tidak dinafikan, ada orang Melayu- Islam, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Masing- masing ada latarbelakang sejarah tersendiri. Masing- masing mempunyai world view dan nilai hidup yang tersendiri. Tetapi ada satu ikatan yang kuat boleh menyatukan mereka, iaitu bahasa kebangsaan.

Maka, bakal pemimpin sekarang (Jika mahu bertahan) atau pemimpin masa depan (Jika mahu berkuasa) harus melihat agenda memperkasa dan mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa teras yang perlu dikuasai oleh semua rakyat. Jika tidak, akan sama seperti 'rejim' yang telah melakukan jenayah bahasa. Bacalah karya Prof Naquib Al Attas tentang kepentingan bahasa Melayu.

* Sambutan Bulan Bahasa dan Sastera anjuran DBP yang diadakan September setiap tahun agak muram dan tenggelam. Mungkin ura- ura 16 September dan sambutan Ramadan.
** Kenyataan Akhbar terbaru kumpulan pendesak dalam isu PPSMI: MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

2 comments:

Hasbullah Pit said...

Sesuatu yang saya tidak faham, ialah mengapa parti yang memperjuangkan "melayu" tidak ambil berat soal bahasa.

Walaupun pemimpin lama mereka (Che Det) yang banyak menjatuhkan bahasa, walaupun dia sudah bersara, dasar songsangnya cukup lambat untuk diperbetulkan oleh pewarisnya.

Anonymous said...

Dalam mana- mana perjuangan, kelompok yang menang ialah kelompok yang merasai derita nadi ummat, yang bersedia bersusah payah, yang meninggalkan kemewahan duniawi.

bukan pemimpin yang bergelumang dengan harta, pangkat dan nama.

itu yg terjadi dalam parti tersebut.

Hilmi