Sunday, June 01, 2008

Buku Orientalis dan Diabolisme Pemikiran



Saya sedang membaca buku Orientalis & Diabolisme Pemikiran, ditulis oleh seorang sarjana muda nusantara, Dr Syamsuddin Arif. Beliau lahir 19 Ogos 1971 di Jakarta, tamat KMI Gontor 1989. Setelah dua tahun mengaji dan mengabdi di Majlis Qurra' wa Al Huffaz di Sulawesi, beliau menempuh program sarjana muda di UIAM. Kemudian menyambung peringkat sarjana di ISTAC UIAM dengan tesis beliau 'Ibn Sina's Theory of Intuition' di bawah bimbingan Alparslan Acikgenc. Phd beliau juga di ISTAC berjaya diselesaikan pada 2004 dengan disertasi berjudul Ibn Sina's Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas in 11th Century Islam di bawah pemerhatian Paul Lettinck.

Kini beliau sedang menyiapkan Phd kedua beliau di Orientalisches Seminar, Johann Wolfgang Goethe Universitat Frankfurt, Jerman. Beliau mahir dalam banyak bahasa klasik, selain Bahasa Inggeris dan Arab ialah Greek, Latin, Jerman, Perancis, Henrew dan Syiriac.

Sebuah buku yang mengupas secara tuntas metodologi Orientalis, mengajak pembaca supaya memahami hakikat mendalam mengenai usaha Orientalis yang sentiasa mencari ruang untuk merobek kesucian agama Islam. Orientalis digambarkan sebagai cemburu dengan ke'autoriti'an yang dimiliki oleh umat Islam, berbanding dengan agama Yahudi dan Kristian yang telah dicemari dengan campur tangan manusia.

Satu tajuk yang menarik saya ialah tulisan beliau mengenai Diabolisme Intelektual (ms 143). Diabolos merujuk di dalam bahasa Yunani kuno ialah Iblis. Beliau mengaitkan fenomena hari ini yang menampakkan semakin ramai yang menganut faham 'Diabolisme', iaitu faham ke'Iblis'an. Segala pemikiran, watak dan perilaku persis Iblis.

Bagi beliau, Iblis bukanlah hamba Allah yang tidak cerdik atau berilmu. Malah Iblis juga bukan makhluk Allah yang tidak pernah tinggal enak di Syurga. Iblis juga kenal dan tahu akan Allah dan pernah menyembah Allah yang Maha Esa. Namun, ada sikap Iblis yang mengakibatkan makhluk Allah ini tersingkir daripada darjat mulia yang telah Allah kurniakan.

Kesalahan Iblis bukan kerana ia tidak tahu atau tidak berilmu. Kesalahannya kerana ia membangkang (Al quran 2:34, 15:31, 20: 116), menganggap diri hebat (Al Quran 2: 34, 38: 73, 38: 75) dan melawan perintah Tuhan (18:50). Kerana itu Prof Naquib mengunggapkan bahawa 'knowledge and recognition should be follwed by acknowledge and submission'.

Kita kenal dan tahu ibu bapa kita sahaja tidak cukup. Kita harus taat dan mengiktiraf kedudukan ibu bapa kita. Kerana itu kita tidak boleh memanggil ibu bapa kita dengan panggilan nama seperti kita memanggil nama kawan, bercakap kasar atau melawan cakap ibu bapa.

Ini yang berlaku pada Iblis, apabila sekadar tahu dan kenal Allah sahaja. Iblis tidak taat kepada perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Secara tidak langsung Iblis tidak mengiktiraf kedudukan Allah sebagai Tuhan.

Ramai kader- kader dan ejen- ejen Iblis, yang menganut faham 'Diabolisme' muncul di sekeliling kita. Ada tiga ciri individu bermental Iblis, iaitu Selalu membangkang, Bersikap Takabbur (sombong) dan Menyembunyikan kebenaran.

Dalam arus deras dunia blogging ini, fenomena Diabolisme boleh dilihat. Sifat demokrasi moden yang mengiktiraf semua suara menjadi pemangkin kepada wujudnya bak cendawan kelompok 'Diabolisme'. Boleh dilihat apabila suatu pandangan amar makruf nahi munkar dikeluarkan, makanya bertubi- tubi kader 'Iblis' ini menghentam. Kadang- kadang yang beragama Islam juga menjadi kader Iblis secara tidak sedar. Mereka ini tidak memakai tag nama 'Kader Iblis', tetapi atas nama Muslim Liberal, Sekularisme dan juga Muslim Modernist.

Saya masih dalam proses menghabiskan buku ini. Baru sahaja diterbitkan, Januari 2008. Dengan harga RM 47. Boleh didapati di kedai Fajar Ilmu Baru, Wisma Yakin, Jalan Masjid India Kuala Lumpur.

2 comments:

ESCC Surabaya said...

mantaf, saya nyari bukunya rata2 stok habis. bisa ndak ya saya beli copy nya milik bapak, wa 082148749058

ESCC Surabaya said...

sangat penting saya ada keluarga lagi kongslet otaknya karena bacaanya dari buku2 orientalisme