Monday, May 05, 2008

SIARAN MEDIA 5 MEI 2008/ 28 RAIBUL AKHIR 1429:PKPIM PERSOAL HAK GUNA NAMA ALLAH

SIARAN MEDIA 5 MEI 2008/ 28 RAIBUL AKHIR 1429:
PKPIM PERSOAL HAK GUNA NAMA ALLAH


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan terbaru Mahkamah Tinggi yang membenarkan penyemakan semula nama Allah yang digunakan oleh akhbar Heral Tribune. Kes penggunaan nama Allah dalam akhbar Herald Tribune melalui siri yang kontroversi, apabila surat khabar Herald Tribune, yang berorientasikan agama Kristian mahu menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan mereka. Setelah keputusan kabinet pada 3 Januari yang menegaskan hanya Islam berhak menggunakan nama Allah, pihak Herald Tribune mahu mencabar keputusan itu dengan membawa ke Mahkamah Tinggi.

PKPIM menegaskan bahawa isu nama Allah ini bukan isu yang remeh dengan konteks agama Islam. Islam memperakui Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung bukan ‘nama’ yang baru dicipta, tetapi sudah bermula sejak sekian lama, sejak zaman Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasalam secara rasmi, malah sejak Nabi Adam dicipta lagi.

PKPIM memberi hujah ilmiah bahawa nama Allah ialah nama Tuhan yang eksklusif kepada umat Islam sahaja. Tiada dalam sejarah agama Kristian mahupun agama lain menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka.

Jika ada pandangan mengatakan bahawa masyarakat Arab Kristian pun menggunakan nama Allah dalam percakapan mereka, seperti, “Yallah”, “Masyaallah” dan sebagainya, PKPIM menegaskan bahawa kalimah “Allah” yang digunakan itu bersifat populis dan ke’pasar’an. Ini bukan bermakna masyarakat Arab Kristian menggunakan nama Allah itu dalam konteks yang berat dan sebenar, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, Yang Hanya Layak Disembah, Tuhan Yang Tidak Beranak dan Memperanakkan. Justeru, hujah ini dapat dipatahkan.

Keduanya, PKPIM memberi syarat kepada akhbar Herald Tribune, jika mahu menggunakan nama Allah dalam akhbar Bahasa Melayu mereka, maka hendaklah menggunakan dalam konteks ‘Allah’ yang sebenar, iaitu bukan Tuhan yang bernama Jesus, mempunyai anak dan Tuhan Yang Menebus Dosa. ‘Allah’ yang dimaksudkan mesti selari dengan kefahaman Tuhan Allah bagi umat Islam. Ini adalah kenyataan tegas daripada PKPIM.

PKPIM juga memberi amaran kepada Herald Tribune agar tidak menimbulkan kontroversi dan kekeliruan di kalangan umat Islam tentang penggunaan nama Allah. PKPIM tidak melihat apa tujuan Herald Tribune untuk menggunakan nama Allah kecuali bertujuan menyesatkan umat Islam secara terancang. Misi Kristianisasi di kalangan umat Islam melanggar undang- undang Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

PKPIM mencadangkan Herald Tribune mencari nama yang sesuai selain Allah bagi nama Tuhan mereka. Ini sekaligus dapat memperkayakan istilah dalam perbendaharaan Bahasa Melayu. Pengkayaan unsur ibadat dan ketuhanan bukan perkara yang baharu dalam perbendaharaan Bahasa Melayu, sebagai contoh, rumah ibadat bagi agama- agama lain ialah ‘Masjid’, ‘Gereja’, ‘Kuil’, ‘Tokong’ dan sebagainya. Orang yang alim atau agamawan juga cukup kaya, seperti ‘Ulama’ bagi orang Islam, ‘Rahib’ bagi agama Kristian, ‘Sami’ bagi Hindu dan pelbagai lagi. Maka, tiada masalah sebenarnya bagi Herald Tribune untuk mencari nama eksklusif Tuhan mereka.

PKPIM menegaskan bahawa tindakan Herald Tribune sebenarnya membuka kotak ‘paradox’ yang sebelum ini sudah sedia ada harmoni dan aman. Kekeliruan dan strategi halus yang digunakan Herald Tribune atas nama Kristianisasi menimbulkan rasa marah dan kecewa umat Islam Malaysia secara khusus dan dunia umumnya. PKPIM memberi amaran supaya Herald Tribune tidak menimbulkan kerisauan dengan menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan agama Kristian.

Herald Tribune harus beradab dalam meletakkan nama Allah di tempat yang sebenarnya!


MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malasyia (PKPIM)
BT 6 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

03- 61879520
019- 3068241

6 comments:

Anuar Manshor said...

Bagus idea alternatif yang kau berikan:)

Hj. Abdul Wahab Isa said...

Salam,

Agama Islam bukan untuk orang Melayu dan Arab sahaja.......agama Islam untuk semua.....sebagaimana dikatakan dalam Surah Al-Anbiya ayat 107 (21:107)

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Allah itu Tuhan untuk seluruh manusia atau tuhan untuk kita sahaja?

Saya bersetuju dengan cadangan akhie untuk pihak agama lain untuk study makna Allah sebelum menggunakannya........

Saya ingin nak test Akhie Hilmi, kalau non-Muslim bagi salam "Assalamualaikum" kepada Akhie, apakah jawapan Akhie? dan sebab jawapan itu

Hilmi said...

Salam Hj Abdul Wahab.

Isunya bukan peranan Islam dan Allah itu yang diutuskan utk semua orang. Isunya orang Kristian ingin menggunakan nama Allah merujuk kpd 'Tuhan' Jesus mereka bertujuan tidak lain mengelirukan umat Islam.

Jika orang bukan Islam memberi salam kpd kita? menurut Ibn Qayyim wajib membalas salam, jika salam yang sempurna 'Assalamu'alaikum'.

Tetapi jika 'Assam 'Alaikum' (Mati atas kamu), maka jawablah 'alaikum. Wallahualam.

Anonymous said...

Nama Allah telah lebih dahulu digunakan oleh kafir Quraisyh. Malah nama bapa Nabi juga dinamakan Abdullah -Hamba Allah.“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).
ayat di atas juga menujukan kafir menggunakan nama Allah dan Rasul tidak membantah tindakan tersebut, malah dirakamkan pula di dlaam A Quran. justeru bukan persoalan nama yang perlu dibangkitkan, tetapi kaedah dlm memahami aqidah kita mungkin bermasalah. jika semua pihak bekerja untuk memastikan aqidah yang tulus suci tidak ada masalah untuk kita bantah membantah.
Islam i2 Mudah: caranya ikut al-Quran dan Sunnah!

Anonymous said...

Setuju dengan anonymous!

Hilmi Madani

Hj. Abdul Wahab Isa said...

Oh.....OK

Itu pada pendapat Akhie

Kita melihat isu ini dari sudut berbeza

Bagi saya, saya mengambil langkah 'Khusnuzon' yakni langkah yang diajar oleh ustaz2 dalam usrah Perkepis.......bagi saya, kita tidak boleh mempersoalkan nawaitu orang bukan Islam untuk guna nama Allah. Bagi saya, it is good and ia menunjukkan mereka semakin menghampiri Islam.....

Memetik jawapan memberi salam Akhie tadi, saya ingin mengajak akhie untuk buka surah An-Nisa ayat 86

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap2 sesuatu"

Itu saja yang dapat saya kongsikan kepada akhie.....Wallahualam