Thursday, May 29, 2008

KERAJAAN HARUS MELAMPAUI KUOTA DALAM ISU BIASISWA

SIARAN MEDIA 29 MEI 2008/ 23 JAMADIL AWAL 1429:

KERAJAAN HARUS MELAMPAUI KUOTA DALAM ISU BIASISWA



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan Kerajaan yang akan menaikkan kuota 45% biasiswa kepada golongan bukan bumiputera di bawah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun ini. PKPIM merasakan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan dasar baru ini sebenarnya sama sekali tidak menyelesaikan masalah yang sebenar.

Pertamanya, isu biasiswa merupakan isu penting dalam konteks membangunkan pendidikan golongan pelajar dalam negara ini. Peruntukan biasiswa sepatutnya disalurkan terus kepada golongan pelajar Bumiputera, kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai sebuah keistimewaan.

Namun, hakikatnya hari ini sebenarnya golongan Bumiputera lah yang dinafikan hak mereka untuk menerima biasiswa. Yang ditanggung hari ini ialah hutang dalam bentuk pinjaman.

PKPIM merasakan budaya berhutang ini telah menjadi ‘lingkaran syaitan’ (vicious circle) yang menghambat mahasiswa. Apabila kuota ingin dinaikkan, makanya ibarat “Anak orang disusukan, tetapi anak sendiri dipinggirkan”. Malah ramai lagi golongan Bumiputera yang terpinggir di kampung- kampung dan pedalaman yang memerlukan bantuan pelajaran.

Makanya biasiswa harus diberikan kepada golongan mahasiswa Bumiputera secara menyeluruh, kerana hakikatnya peruntukan biasiswa yang sedia ada tidak mencakupi kehendak keistimewaan dalam Perlembagaan.

Keduanya, PKPIM tidak bersetuju Kerajaan menggunakan isu kuota untuk menangani permintaan biasiswa di kalangan Bukan Bumiputera. Dengan bermain dengan kuota, sebenarnya Kerajaan mencipta jarak yang lebih jauh dalam menangani isu rakyat Malaysia secara menyeluruh, iaitu antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera. PKPIM bertegas bahawa kuota 45% harus dihapuskan!.

PKPIM menyokong jika ada di kalangan Bukan Bumiputera yang layak menerima biasiswa makanya Kerajaan berhak memberi hak mereka. Kerajaan tidak sewajarnya mendiskriminasi mereka yang layak di kalangan Bukan Bumiputera.

Pada masa yang sama PKPIM menegaskan Kerajaan harus menunaikan hak mahasiswa Bumiputera untuk menerima biasiswa tanpa berkecuali seperti termaktub dalam Perlembagaan.



Mohd Hilmi Ramli
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Anjung Rahmat BT 6
Jalan Gombak
53100
Kuala Lumpur
03- 61879520

No comments: