Saturday, April 12, 2008

ZIARAH PANTAI TIMUR 6- 9 APRIL 2008

Pada 6- 9hb April yang lepas, saya ada lawatan kerja ke Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bersama teman- teman exco PKPIM, bertujuan menziarahi badan gabungan dan kampus, tokoh dan pemimpin di sana, termasuk melihat program yang diadakan di sekitar pantai timur.

Secara umum, sebuah perjalanan yang menarik, walau memenatkan. Pengalaman menziarahi IOA Kelantan sangat menyentuh perasaan, kerana komitmen dan kesungguhan mereka terusan membimbing masyarakat orang asli untuk mendalami Islam. Cuba bayangkan, dalam kesibukan manusia (termasuk kita) di kota mencari harta dan nama, mereka di IOA Kelantan meredah hutan belantara menyampaikan hidayah Allah kepada masyarakat orang asli. Kebanyakkan tempat yang diterokai terletak di tengah hutan dan atas gunung. Ketika berjumpa dengan kumpulan anak orang asli, yang 'berkursus' kefahaman Islam di IOA Kelantan selama tiga bulan, saya tersentuh kerana hidayah Allah melekat di hati sanubari mereka. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pok Lah dan gang kerana komited dalam perjuangan ini.

Perkara lain, dapat berjumpa dengan badan gabungan dan warga kampus sudah cukup menggambar semangat mereka untuk terus menghidupkan aktiviti da'wah dan pelajar di pantai timur.

Kemudian di Terengganu, suasana agak tenang kembali, setelah situasi politik negeri yang bergelora. Dapat menjejakkan kaki ke Masjid 'Dirar' Negeri ataupun Masjid Krital tidak begitu memberi kesan kepada jiwa, kerana mungkin jauh dari lokasi penduduk. Mungkin juga dengan kos yang berjuta sebenarnya Masjid Kristal layak diangkat sebagai lokasi pelancongan, bukan sangat rumah Allah yang perlu diimarahkan dengan aktiviti keagamaan seperti kuliah agama, solat, zikir, qiam dan sebagainya.

Paling seronok juga dapat singgah sebentar di Losong, Kuala Terengganu 'kampung' kereopok lekor. Bolehlah beli sedikit untuk kawan- kawan dan isteri;)

Di Pahang pula, ambil kesempatan ziarah kampus. Bincang aktiviti da'wah di kalangan pelajar. Luangkan masa ziarah mantan Presiden PKPIM, sdr Amidi di Kuantan.

(Mendengar penerangan dari Pok Lah (Abdullah), tentang aktiviti IOA Kelantan)


(Wajah anak orang asli yang tidak kenal erti penat dalam mencari hidayah)


(Di Kelantan)

(Lorong rumah kepada mantan Timbalan Presiden ABIM yang tinggal di Kelantan)


No comments: