Saturday, April 26, 2008

Hari Buku Terlambat...;)

Saya menyambut Hari Buku Sedunia agak lewat. Hari Buku Sedunia jatuh pada 23 April setiap tahun, tetapi saya pergi ke kedai buku dan membeli buku pada 25 April, Jumaat. Selepas makan malam, saya bersama isteri singgah di MPH Wangsa Maju.

Setelah agak lama tidak membeli buku, kali terakhir ialah Pesta Buku di PWTC yang lalu. Namun, ketika itu agak ramai, jadi masa bersendirian dengan buku 'diganggu' oleh suasana yang bising dan hangat. Sekadar membelek buku, membeli yang patut dan beransur pulang. Tetapi suasana di MPH agak berbeza.

Saya ada ruang 'privacy' yang agak lama untuk membelek buku dan 'berasmaradana' dengan buku, tanpa gangguan. Benar lah kata TM Shaharom Sulaiman, buku mampu mencuri perhatian kita. Buku juga sebenarnya teman kita yang setia, saat kita berduka bukulah menjadi teman tanpa telinga yang sudi berkawan dengan kita. Ketika kita gembira, buku juga menawarkan 'penawar' minda yang berkesan.

Rasa 'ghairah' saya kepada buku sukar dikawal. Saat membelek buku, bau 'harum' buku menusuk batang hidung saya, menyebabkan saya 'terkhayal' sebentar. Masing- masing buku mencuri perhatian saya, lalu hilang rasa penat seharian bekerja.

Saya sempat membeli buku
The Shadow Money Lenders and The Global Financial Tsunami (Mathhias Chang), I Am Muslim (Dina Zaman) dan New Malaysian Essay 1.

Buku Matthias Chang, bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir ketika jadi PM adalah cetusan rakan pejabat saya berbangsa Cina. Beliau melontarkan pandangan bahawa Perbankan Islam sebenarnya adalah idea orang Yahudi, bertujuan mengalih pandangan umat Islam. Hakikatnya Perbankan Islam ibarat 'Donkey is donkey, the different is pedals'. Saya terkesima dengan idea itu, lalu mendesak saya untuk menyiasat lebih mendalam. Kedua- dua buku lain, merupakan koleksi rencana yang boleh dikatakan penulisan aliran liberalisme political- sosio cultural yang ditulis oleh penulis- penulis muda seperti Amir Muhammad (pengarah filem Komunis Terakhir), Brian Yap, Sonia Randdhawa dan lain- lain. Rencana yang kritikal tentang Islam dan Melayu terutamanya, tetapi ada yang harus kita belajar daripada cetusan pemikiran mereka. Ada juga yang boleh kita tidak setuju dengan pandangan mereka.

Buku dan penulisan tidak boleh dipisahkan. Hamka pernah mengatakan, "kita biasanya akan 'memuntahkan' ilmu yang kita ada itu dengan penulisan'. Pepatah Arab juga ada berbunyi, "ikatlah ilmu itu dengan menulis, jika tidak nescaya akan luput ilmu itu". Saya teringat zaman awal- awal 'bercinta' dengan buku secara serius, ketika di awal Matrikulasi UIAM tujuh tahun lepas. Apatah lagi bertemu sifu Jaafar Rahim, 'ghairah' membaca buku sangat membuak- buak. Membaca- Menulis adalah regu terbaik, macam Irama- Lagu. Ada catatan menarik oleh kawan saya ini.
[Khairul Anwar Manshor]

Apa- apa pun, terima kasih En Buku, kerana menjadikan sdr sebagai teman karib kedua saya, memandangkan saya juga ada teman karib pertama merangkap isteri saya;)

No comments: