Thursday, April 03, 2008

AKHLAK DI UNIVERSITI

Saya terpanggil untuk menulis tentang peranan universiti dan peranannya membentuk akhlak. Ramai yang mungkin selesa dalam agama mereka, apabila masuk universiti, makanya sudah tidak perlu lagi mendalami agama Islam. Atas faham inilah, makanya ramai yang baik agamanya ketika peringkat sekolah rendah dan menengah kecundang ketika di peringkat universiti. Ramai yang belajar dan a good practice of Islam ketika sebelum masuk universiti. Namun, berubah sekelip mata apabila berada dalam suasana kampus.

Fenomena Sufiah, pelajar genuis di Oxford sebenarnya sudah lama menjalar di kalangan kita di kampus. Mereka cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Ramai yang baik ketika sekolah, namun bertukar watak sebagai kaki disko apabila di kampus. Pokok pertama ialah kerana universiti dianggap jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami agama. Bagi mereka ilmu fardu 'ain berhenti setakat zaman sekolah sahaja, dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah. Soal akidah, fiqh dan akhlak sudah cukup belajar ketika zaman sekolah, maka zaman universiti harus tumpukan subjek akademik universiti sahaja. Dengan ijazah itu pula, digunakan untuk mencari pekerjaan. Dalam buku Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Sempurna ada mengungkapkan bab yang penting, iaitu Peranan Pendidikan Islam di Institut Pengajian Tinggi.


Bagi Prof Wan Mohd Nor, peringkat universiti merupakan peringkat genting menyusun kefahaman Islam bagi seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai yang akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti. Akibat ini sudah boleh diperhatikan di sekeliling kita, apabila ramai yang menjadi mangsa 'kekejaman' zaman universiti yang tidak mengenal mangsa. Putaran 'kejam' ini bertambah garang tatkala semakin ramai pelajar yang sudah hilang pedoman diri berpandukan agama.

Ramai yang tidak berjaya meneruskan sikap 'beriman' nya dalam agama. Seharusnya jika individu belajar agama di sekolah menengah, sentiasa menjaga solat dan berakhlak baik, makanya ia boleh berkekalan sehingga bila- bila. Namun, iman manusia tidak ada jaminan boleh kekal tanpa sikap istiqamah dalam agama. Untuk mengekalkan iman dalam diri, makanya ia memerlukan ilmu dan sistem yang kemas.

Kerana itulah Prof Wan Mohd Nor membuktikan bahawa Baginda Sallahu'alaihi Wassalam benar- benar diberi amanah menyampaikan wahyu ketika peringkat umur dewasa iaitu 40 tahun. Ini mesej yang signifikan bahawa konteks umur yang matang tandanya bersedia menerima amanah agama itu. Dalam konteks peringkat universiti, seharusnya ada satu sistem yang berterusan membina keperibadian pelajar berdasarkan agama.

Apa yang ada hari ini ialah, universiti semacam melepaskan tangan dalam aspek pendidikan agama di peringkat tertinggi ini. Seharusnya Kementerian menyusun dengan kemas proses pendidikan Islam yang berpadanan di peringkat tertinggi ini. Kemungkinan setiap universiti akan mempunyai cara dan kaedah yang berbeza, namun semestinya setiap universiti mempunyai jalur minimum yang sama dalam pendidikan Islam ini.

Ini cabaran Kementerian yang baru pada hari ini. Universiti bukan sekadar pusat ilmu yang berdiri kerana bangunan- bangunan fizikal yang cantik dan besar. Aktor utama universiti ialah pelajarnya dan sistem yang kemas dibangunkan untuk pelajar itu.

Isu kemerosotan akhlak memang ada kaitannya dengan kurangnya susunan sistem pendidikan Islam yang kemas kepada para pelajarnya. Boleh dikatakan para pelajar yang selain kursus pengajian Islam akan menghadap 90% pengajiannya tanpa elemen tambahan pendidikan Islam yang kemas. Mereka ini akan menghadiri secara sukarela kuliah- kuliah di masjid dan mana- mana halaqah ilmu untuk mendapatkan ilmu agama. Ini juga bukan bermakna semua pelajar pengajian Islam bebas daripada masalah moral, namun ianya masih minimum dan jika ada pun bukan faktor pendidikan Islam itu, tetapi faktor peribadi yang bermasalah.

Perkara asas yang menjadi jalur minimum untuk dijadikan teras ialah supaya pelajar mempunyai pandangan alam yang Islami. Ini merupakan subjek yang umum dan menjadi kerangka asas dalam memahami agama. Ianya ramuan ilmu tauhid, fiqh dan akhlak yang diadun supaya membentuk kerangka memahami agama.

Untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti, ianya memerlukan komitmen budaya ilmu dan berjiwa besar. Jika universiti sendiri mengambil sikap tertutup dan anti- ilmu, makanya sukar untuk merealisasikan impian ini. Sebenarnya faktor kemerosotan akhlak dan miskinnya komitmen untuk mendirikan sistem pendidikan Islam yang kemas, berkait rapat dengan ranking universiti di peringkat antarabangsa. Maknanya, perkara sentral iaitu miskin budaya ilmu, makanya menjejaskan cabangan komitmen yang lain. Pelajar universiti tidak kurang berakhlak, wujud budaya spoon- feeding melampau, warga universiti tidak menghayati sepenuh jiwa falsafah universiti dan sebagainya.

Badan Pemikir Nasional Tentang Pendidikan (National Brains Trust on Education) berkata, Malaysia perlu menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja kelas dunia bagi menghadapi cabaran globalisasi. Menurut Prof Wan juga, kecemerlangan pada peringkat IPT bergantung kepada beberapa faktor utama yang berkaitan:

1. Kecemerlangan bergantung kepada kualiti ilmiah dan akhlak serta kewibawaan pimpinan tertinggi daripada peringkat Rektor/ Naib Canselor, profesor, dekan, sehinggalah kepada pensyarah

2. Kemudahan penyelidikan yang tercermin pasa khazanah perpustakaan, kemudahan ICT dan dana penyelidikan dan pembangunan.

3. Iklim dan budaya ilmu yang tinggi.

4. Para pelajar yang layak dan gigih.

5. Ganjaran ekonomi yang setimpal dengan pengorbanan dan kelayakan ahli akademik, pentadbir dan pelajar.

6. Sokongan dan kepercayaan kerajaan secara berterusan terhadap kecemerlangan keilmuan jangka panjang dan jangka pendek.

Kesimpulannya ialah, Kementerian harus serius mendirikan komitmen baru dengan menyusun sistem pendidikan Islam yang kemas di peringkat universiti. Jika program seperti BTN boleh diagendakan sebagai indoktrinasi mental pelajar, makanya pendidikan Islam semestinya wajib dilaksanakan.

Malah, proses ini memerlukan komitmen budaya ilmu secara menyeluruh supaya agenda mendidik generasi terpelajar ini daripada menjadi korban putaran 'kejam' sistem universiti dapat diselamatkan. Budaya ilmu lahir jika ada komitmen tinggi dari pemerintah dan kementerian. Pendekatan top- down sangat relevan dalam konteks ini.

Kementerian juga boleh manfaatkan institusi agama untuk mengadakan latihan kefahaman Islam kepada pemimpin atasan universiti dan pemimpin pelajar kampus. Latihan intensif ini mensasarkan kefahaman akan pandangan alam yang Islami. Institusi agama ini seperti NGO dan institut pemikir yang tiada kepentingan politik boleh dimanfaatkan.


[Kemaskini 6 April 2008 Sabtu]

Alhamdulillah, artikel saya diterbitkan di Bharian hari ini, dengan sedikit perubahan. Mesej dan ideanya masih sama.

No comments: