Friday, March 21, 2008

Universiti Kita


Semalam (20hb Mac Khamis), saya berada di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Saya merasmikan Program Perkampungan Menara Gading Kedah 2008. Program Menara merupakan program tradisi PKPIM kepada lepasan SPM sebagai persiapan ke universiti.

Alhamdulillah, dalam hampir tujuh jam membawa kereta, melalui negeri- negeri yang 'bernafas baru', saya bersyukur kerana sampai dengan selamat. Dengan kuasa Allah Ta'ala, tiada apa- apa yang berlaku.

Saya bersama Khairul Anwar (Naib Presiden Kebangsaan) dan Hasnul Hanif (Exco) bertiga ke UUM. Kesimpulannya, program Menara di UUM merupakan satu permulaan yang baik, walaupun kehadiran kurang memberangsangkan. Tahniah kepada sdr Ku Nazri (YDP Persida). Berbeza jika kita mengadakan Jom Heboh atau Konsert Mini Artis AF, sudah pasti ramai anak muda yang belia remaja membanjiri program hiburan. Mentaliti generasi muda sebagai konsumer hiburan melampau semakin kronik.

Ada dua perkara yang menjadi perhatian saya:

1) Sempat berjumpa dengan penggerak Menara, dan mereka meluahkan masalah sepanjang program. Masalah utama ialah mereka di'hantu jerangkung'kan dengan AUKU untuk tidak boleh memasang banner dalam universiti. Walhal, program Menara ini merupakan anjuran PKPIM (NGO berdaftar ROS), Persida (unit pelajar ABIM Kedah) dan Kolej Proton UUM. Program ini juga sudah mendapat kelulusan universiti. Masih ada lagi warga universiti yang men'hantu jerangkung'kan AUKU untuk menghalang pelajar berpersatuan dan aktif dalam kampus. Saya rasa masanya untuk berubah, kerana ini adalah undang- undang draconian yang melahirkan 'culture of fear' dalam kampus. Masyarakat dan pemerintah mahukan generasi muda yang kritikal, modal insan yang menjulang, akhlak mulia dan sebagainya, tetapi masih mempunyai mentaliti di takuk lama dengan menghalang pergerakan pelajar.

2) Saya seronok di UUM kerana hampir semua lokaliti mempunyai sistem 'wireless'. Malah, boleh dikatakan semua pelajar memakai notebook!. Satu perkembangan yang baik, memudahkan proses penyelidikan, pembacaan dan pembelajaran dalam kampus. Itu ialah wawasan murni dan ideal mewujudkan sistem 'wireless' dalam kampus. Para pelajar boleh menerokai jurnal antarabangsa dengan sekali klik sahaja, 'up date' dengan berita mutakhir (terutamanya demam PRU masih panas lagi) daripada mengharapkan media arus perdana yang sudah hilang kredibilitinya dan menulis blog juga. Namun demikian, ada juga sisi hitam 'wireless' ini, iaitu memberi ruang untuk akses kepada laman lucah dan fitnah. Malah budaya plagiarisme juga boleh jadi.

Apa- apa pun, satu perkembangan yang separa baik dan separa tidak baik sepanjang permusafiran saya ke UUM. Sebenarnya satu revolusi mendadak harus dilaksanakan di semua universiti tempatan. Kadang- kadang, kita cenderung buat yang yang 'sunat' daripada yang 'wajib'. Kita buat sistem akses internet yang mudah, tetapi hak berpersatuan dan membangunkan diri yang merupakan yang 'wajib' dihalang secara GESTAPO. Ada sesetengah universiti Melayu, kumpulan tabligh pun diharamkan, kerana kononnya boleh membuat ancaman untuk menjatuhkan kepimpinan Naib Canselor. Tetapi pelajar lelaki- perempuan bercandu asmara di tepi tasik universiti yang angin sepoi- sepoi bahasa di biarkan sahaja.

Sebenarnya ramai orang yang cerdik pandai di Malaysia ini keliru dan takut dengan bayang- bayang sendiri. Mungkin sebab tidak berkat, kerana ilmu yang dicari untuk kejar pangkat, harta, duit dan kemasyhuran. Lalu semuanya dipandang ancaman.

No comments: