Friday, March 07, 2008

PRU 12 DAN PEMIMPIN MELAYU


Waktu kempen sudah sampai ke penghujung. Esok kita akan mengundi. Kita harapkan agar kita dapat buat sesuatu dalam negara ini. Saya secara peribadi menyerahkan kebijaksanaan semua rakyat Malaysia untuk memilih siapa yang boleh menerajui negara Malaysia tercinta ini.

Berdasarkan mood rakyat bawahan Malaysia hari ini, kita boleh merasakan mereka memendam sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sepanjang 50 tahun merdeka. Cubalah tanya mereka. Saya secara peribadi, beberapa hari yang lepas, menaiki teksi di tengah kota Kuala Lumpur, kerana ada urusan di sebuah bank. Menaiki teksi di tengah kota itu adalah pertama kali buat saya. Dalam teksi ambil masa untuk bersembang dengan pakcik (Uncle) pembawa teksi, berbangsa Cina. Saya sekadar bertanya beliau, pasal demam pilihanraya ini. Beliau meluahkan masalah minyak naik, permit teksi yang dimonopoli oleh sesetengah puak dan macam- macam lagi. Saya sekadar mendengar rintihan beliau. Soalan bonus saya tanya, mengundi di mana dan mengundi siapa?

Beliau dengan cepat menjawab di Cheras dan undi ***. Beliau akan undi parti yang menjaga kebajikan orang bawahan, yang tidak ada pemimpin yang korup. Saya dapat tangkap, isu minyak naik, barang naik semuanya membebankan orang bawahan. Saya cuba menyelami masalah beliau. Memang, sesuatu harus dilakukan untuk membantu masalah rakyat terbanyak ini.

Dalam kempen PRU 12 ini, saya ada ziarah pondok gerakan parti- parti yang bertanding. Sembang dengan mereka, ambil pamplet parti mereka, baca manifesto mereka, kaji track record mereka dan tengok siapa calon yang bertanding. Ini semua adalah proses pendidikan politik yang kita harus gerakkan. Malah, ceramah- ceramah parti- parti politik yang bertanding juga saya hadiri, tidak kira pihak pembangkang atau pemerintah.

Kita akhirnya nanti boleh buat penilaian, kepada siapa yang akan kita berikan amanah untuk menjadi wakil rakyat tempat kita, malah paling penting siapa yang akan memerintah negara. Bagi saya, orang Melayu terutamanya ada satu faktor yang unik yang perlu diberi perhatian. Bagi orang Melayu, mereka mempunyai tokoh kepimpinan yang mempunyai pengikut dan wilayah pengaruh yang tersendiri. Leadership- centric ini boleh dilihatkan dengan lima tokoh yang besar orang Melayu.

Orang Melayu mempunyai
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, melalui parti Melayu UMNO, Tengku Razaleigh, bekas pengasas parti Semangat 46 dan kemudian berani mencabar Tun Mahathir ketika Perhimpunan Agung Umno suatu ketika dahulu. Sekarang juga mempunyai pengikut tersendiri melalui Kongres Kepentingan Bangsa. Dato' Tuan Guru Hj Nik Aziz Nik Mat, seorang ulama dan Murshidul 'Am Parti Islam Se- Malaysia. Pengaruh beliau sebagai seorang ulama yang dihormati dan Menteri Besar Kelantan sangat besar. Kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Tun Mahathir dengan imej tegas dan berpandangan jauh membawa Malaysia ke tahap yang memberangsangkan. Yang terakhir ialah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau yang mempunyai karisma dan pengikut ‘berani- mati’ sukar dinafikan pengaruhnya walaupun telah dipenjarakan dan dipecat dalam kabinet.

Setiap di kalangan pemimpin Melayu ini mempunyai keunikan dan kelebihan masing- masing. Dalam konteks Pilihanraya Umum 12 ini, setelah 50 tahun kita merdeka, kita harus jujur kepada bangsa kita sendiri, apakah kita sudah benar- benar mengangkat martabat ummat Melayu ini di tahap yang memuaskan?

Orang Melayu memerlukan ‘viagra’ baru untuk menyuntik semangat kesedaran bangsa yang baru. Apatah lagi generasi Melayu Youtube dan Friendster hari ini yang lebih terbuka dan peka dengan perkembangan semasa. Pokoknya ialah, dalam lima tokoh besar itu, siapa yang boleh menjadi ikon pemimpin Melayu kepada generasi muda dan ummat Melayu secara umumnya?

Ummat Melayu memerlukan qudwah hasanah terbaik yang boleh ditauladani. Sikap pemimpin yang mengangkat martabat Bahasa Melayu, menjunjung agama Islam, memelihara hak ummat Melayu, yang perihatin dengan orang miskin, yang boleh membawa negara bebas dari budaya rasuah dan mempunyai peribadi yang bersih merupakan ciri utama pemimin idaman.

Ummat Melayu sekarang semakin demanding. Mereka mahukan pemimpin Melayu yang kompeten, berpandangan jauh, bersih akhlaknya, faham Islam dengan baik, berjiwa rakyat, tidak sombong dan rasuah dan mampu membawa Malaysia ke mercu yang berjaya. Malah pemimpin Melayu juga harus pandai menjaga hak rasmi ummat Melayu.

Oleh itu, bersempena dengan PRU 12 ini, buatlah pilihan terbaik. 8 Mac ialah hari mengundi yang perlu ditunaikan sebagai seorang warganegara Malaysia. Walaupun 8 Mac tidak mampu menunaikan hajat kita secara lansung untuk memilih pemimpin Melayu yang terbaik, namun demikian, kita akan melakukan a new dawn for this country. Kita akan memandu negara ini berbekalkan mandat yang segar dan baru ke arah suasana yang lebih baik.

SELAMAT MENGUNDI 8 MAC. Saya akan pulang mengundi petang ini. Pastikan: 1. Perjalanan selamat pergi dan pulang, 2. Kad Pengenalan terjaga, 3. Baca doa dan istikharah sebelum mengundi.

No comments: