Saturday, March 01, 2008

Politik Orang Muda

Berita 1:

Rezeki musim pilihan raya

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

DEMAM Pilihan Raya Umum Ke-12 yang hangat melanda seluruh negara turut memberi rezeki kepada remaja untuk mencari pendapatan sampingan sebagai pembantu di bilik gerakan. Kebanyakan remaja ini terdiri daripada lepasan sekolah menengah atau pelajar institut pengajian tinggi yang bercuti semester.

Biarpun hanya sementara, kebanyakan mereka menerima upah agak lumayan, berbaloi dengan keringat yang dicurahkan. Bagi Juliana Mohd Sani, 21, dia mengambil kesempatan cuti semester ini untuk menjadi pembantu sementara di bilik gerakan Umno cawangan Desajaya Perdana, Kepong, Selangor.

Menurutnya, dia ditugaskan untuk membantu mengemaskini maklumat pengundi selain menjadi perayu undi membantu kempen Barisan Nasional (BN). Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, dia mendapat tahu bilik gerakan berkenaan memerlukan pekerja sementara melalui bapanya.

Baginya, tugas sebagai perayu undi tidak semudah yang disangka kerana mereka perlu bersedia dengan pelbagai maklumat sebelum bergerak dari rumah ke rumah. "Kami bergerak dalam kumpulan seramai tiga orang dan akan menarik minat masyarakat setempat untuk memilih calon BN.

"Menjadi perayu undi tidak semudah yang disangka kerana selain terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat seperti dihalau sebelum sempat berbual, kami juga perlu tebalkan muka meyakinkan memilih calon kami. "Memang mencabar tetapi ia menyeronokkan" katanya.

Adiknya, Isnaini Mohd Sani, 18, berkata dia tergerak hati memohon menjadi pembantu di bilik gerakan itu hasil dorongan kakaknya, Juliana. Isnaini yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengakui, selain menjadi perayu undi, dia membantu menyusun peralatan kempen dan poster. Bacaan lanjut
Metro 1 Mac 2008, Sabtu

Berita 2:

Amaran kepada mahasiswa

PUTRAJAYA 11 Feb. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana mahasiswa yang terlibat dalam kempen pilihan raya umum ke-12 termasuk menarik balik biasiswa mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ketika ini pihaknya sedang menyiasat penglibatan segelintir mahasiswa dalam politik kepartian dan mereka bakal diambil tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

''Peraturan dalam AUKU jelas menegah pelajar universiti terlibat secara langsung dalam politik dan tindakan tegas berasaskan tahap kesalahan mereka boleh diambil termasuk digantung pengajian. ''Begitupun untuk membuang undi dalam pilihan raya umum itu adalah hak mereka, saya hanya minta mereka turun mengundi dan buat pilihan yang terbaik,'' katanya. Lanjut dalam
Utusan 12 Feb 2008

Komen:

Kita harap agar pelajar dan mahasiswa diberi ruang lebih sedikit untuk berpolitik. Maksudnya ialah membicarakan isu politik merentas batas ilmu di universiti dan partisipasi dengan isu- isu semasa. Namun demikian, bukan bermakna juga kita membenarkan universiti sebagai pusat pengajian tinggi dinodai dengan kerakusan parti politik dan konco- konconya, sehingga universiti malah sekolah menjadi perkakas kepentingan politik.

Lagi satu, dalam demam pilihanraya umum ini, kita sebagai ulama, ustaz, pelajar, orang Islam yang beriman harus berhati- hati. Saya maksudkannya ialah supaya tidak dieksploitasi oleh sesetengah parti politik untuk meraih undi atau menjustifikasi tindakan mereka. Jumaat lepas, saya mendengar khutbah di sebuah universiti. Namun, agak mengecewakan dan sedih, kerana tajuk khutbah lansung tidak relevan dengan isu semasa yang berlaku. Tajuk khutbah ialah "Keselamatan Jalan Raya Menurut Islam" dan "Larangan Menumpang (Squatting) di Kolej Universiti". Sepatutnya sentuhlah mengenai kepimpinan yang baik, amanah, rajin dan pelbagai.

Khatib yang memberi khutbah merupakan pensyarah saya yang saya hormati. Namun demikian, tidak tahulah mengapa tajuk khutbah itu yang dipilih. Berdasarkan pengamatan saya, teks khutbah itu telah ditulis awal, dan sekadar dibacakan sahaja. Wallahu'alam.

2 berita di atas nampak kontradiks. Adakah anda setuju?.

Pelajar universiti boleh berpolitik, asalkan sokong parti A sahaja?

1 comment:

Anonymous said...

dari dulu lagi..

berita dah tunjuk trg2 ada mahasiswa terlibat dlm kempen pilihanraya...tapi kalo kempen parti itu tak apa..

parti ini tak blh plak kan?