Monday, March 24, 2008

PKPIM GESA KURSUS YANG SEIMBANG, BUKAN SEKADAR MARKET- ORIENTED

SIARAN MEDIA PKPIM
24 MAC 2008 / 17 ZULHIJJAH 1429H

PKPIM GESA KURSUS YANG SEIMBANG, BUKAN SEKADAR MARKET- ORIENTED

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Khalid Nordin yang mahu memastikan semua kursus yang ditawarkan di IPTA menepati pasaran kerja. PKPIM berpandangan niat murni Menteri Pengajian Tinggi ialah supaya bakal graduan universiti tidak akan menggangur apabila menamatkan pengajian di universiti.

Usaha menangani graduan menggangur merupakan satu usaha kerajaan yang sangat mendesak pada hari ini. Namun demikian, PKPIM berpandangan, dengan menukar semua kursus supaya menepati pasaran kerja bukan suatu keputusan yang tepat.

Kewujudan universiti harus dilihat sebagai pusat pengajian tinggi yang melahirkan manusia yang universal sifatnya. Dalam Falsafah Pendidikan Negara, empat eleman harus dititiberatkan iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek. Ini merangkumi dengan aspek kegiatan keilmuannya, sosialnya dan perkembangan sahsiahnya. Malah yang paling penting, universiti merupakan tempat terbaik membentuk pandangan alam yang berlandaskan agama.

Situasi hari ini ialah bukan masalah kursus yang tidak relevan dengan pasaran semasa, akan tetapi program pembangunan sahsiah dan ketrampilan mahasiswa yang memerlukan suntikan segera. Program membangunkan sahsiah dan ketrampilan, yang melibatkan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, decison making, bersosial, berpolitik dan berpersatuan harus digandakan.

PKPIM tidak menafikan bahawa ada sesetengah kursus yang memerlukan ‘penyegaran’ kembali, seperti IT, kejuruteraan dan sains yang mana bidangnya berkembang dengan pantas. Sudah pasti disiplin ini harus disesuaikan dengan perkembangan industri di luar.

PKPIM mencadangkan agar tiga cara untuk memastikan agenda pengannguran di kalangan bakal graduan dapat diatasi;

1) Mantapkan program pembangunan sahsiah dan ketrampilan di kalangan mahasiswa yang sedang menuntut. Usaha ini harus melibatkan NGO dan badan yang berkaitan. NGO seperti PKPIM bersedia membantu Kementerian dalam usaha membina generasi mahasiswa yang bersahsiah dan berketrampilan. Ruang dan peluang ini harus dibuka tanpa rasa prejudis dan sangsi, kerana ramai tokoh yang lahir berjaya ialah kerana terlibat dalam NGO di luar universiti.

2) Seiring dengan itu, Kementerian harus melihat kembali AUKU secara kritis. AUKU telah memainkan peranan mewujudkan ‘culture of fear’ di kalangan mahasiswa. Lalu menjadikan mereka pasif dan takut.

3) Menyeimbangkan kursus dengan mentikberatkan juga disiplin kemanusiaan. Kementerian harus menjadikan disiplin seperti keseniaan, falsafah, sastera dan bahasa sebagai subjek utama. Disiplin kemanusiaan ini adalah faktor penyeimbang kepada mahasiswa supaya mereka menjadi manusia yang bukan sekadar ‘agen industri’, tetapi agen sosial dalam masyarakat.

PKPIM akan terus menyokong usaha mengangkat martabat generasi muda dengan cara pengupayaan kaedah yang tepat.

MOHD. HILMI RAMLI
Presiden PKPIM
Sesi 2007/2008



Kemaskini:
Siaran media ini dilaporkan dalam Buletin Utama TV3, 24 Mac. Boleh lihat dalam minit 5.53- 7.30



No comments: