Tuesday, March 04, 2008

Pengundi muda jangan terikut-ikut sentimen

04/03/2008 6:49pm

Utusan 4 Mac - Pengundi muda dan mereka yang bakal pertama kali mengundi dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sentimen mahu menukar kerajaan sedia ada semata-mata kerana mahukan perubahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada telah terbukti mampu mengubah nasib rakyat dan menjamin masa depan yang lebih baik kepada negara.

Justeru, katanya, pengundi muda dan yang baru mengundi mestilah memilih kerajaan yang boleh memberi mereka pembangunan demi kebaikan negara, bukan sahaja pada masa kini tetapi untuk masa-masa akan datang. ``Kerajaan kini ditadbir dengan baik. Jadi kenapa nak ubah hanya semata-mata mahu berubah. Pada saya, kalau kita nak ubah mestilah kepada yang lebih baik.

``Jika tidak, lebih baik kekalkan kerajaan BN sedia ada,'' kata beliau pada sidang akhbar di majlis perasmian Pembangunan Tanah Bersama Tabung Haji Plantation (THP) Saribas Sdn. Bhd. di daerah kecil Pusa dekat sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sentimen pengundi muda dan mereka yang baru mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dilihat cenderung untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang. Bacaan lanjut
Utusan 4 Mac 2008

Komen:

Dianggarkan 600,000 pengundi baru yang didaftarkan layak mengundi PRU 12 ini. Malaysiakini melaporkan
"First-time voters, beware", kerana pengundi baru ini biasanya akan menyokong pembangkang.

Bagi saya secara peribadi, trend pengundi baru ini jangan dipandang rendah. Kelebihan pengundi baru ini ialah mendapat pendedahan meluas dan cepat dengan adanya akses terhadap internet. Secara umum mereka adalah generasi yang celik internet. Fenomena Youtube, I pod, blogs dan pelbagai lagi sudah menjadi budaya. Inilah sebenarnya harga yang perlu dibayar untuk mencerdaskan rakyat.

Dengan trend yang semakin meluas ini, akhbar perdana mendapat persaingan yang luar biasa. Akses internet yang mudah menyebabkan timbul akhbar online sebagai alternatif kepada isu- isu semasa yang kadang- kadang perlu juga difahami dengan adil oleh pelayar muda. Mereka perlu mendapatkan dua pandangan sisi yang berbeza supaya mereka dapat buat keputusan yang tepat kelak. Kalau sekadar mendapat satu sisi sahaja, maka alamatnya tidak berkembanglah mindanya.

Berita dan isu yang dibincang secara meluas dalam internet tidak memerlukan kawalan pihak berkuasa. Apa jua isu dan perkara dapat dibicarakan dengan bebas. Adegan pemimpin yang kurang enak turut dilihat oleh pelayar muda. Kerana itulah media online mendapat perhatian pelayar muda. Dalam situasi Pilihanraya Umum ini lagilah, pelbagai propaganda dan provokasi yang bermain dalam akhbar perdana dan alternatif. Sampaikan ada orang kata dalam situasi sekarang ini (3 hari lagi menjelang mengundi), tutup mata daripada melihat dan membaca TV3, RTM, Utusan, Berita Harian dan semua akhbar perdana. Ini memandangkan semuanya telah menjadi propaganda sebuah parti untuk mempengaruhi minda rakyat. Blog terutamanya semakin selesa di kalangan pelayar muda, kerana mereka ada kebebasan melontarkan pandangan. Blog juga sebenarnya sebagai ruang demokratik massa menurut A Kadir Jasin, blogger terkenal. Ada juga artikel yang bagus mengulas tentang fenomena blogger ini, "Cyber Activism: The New Frontier".

Keadaan yang ekstrem ini menggalakkan lagi pelayar muda supaya mencari pandangan yang alternatif, kerana bosan dengan propaganda keterlaluan ini. Namun demikian, bottom line kita ialah menapis dengan kritis apa jua berita dan isu sama ada datangnya dari akhbar perdana atau alternatif di internet. "Jika datang munafik membawa satu berita, maka tapislah" (Al Hujrat: 6)

Dengan harga kebebasan pandangan menyebabkan hasilnya, ramai yang akan celik mata, peka dengan isu, kritikal dengan sikap pemerintah dan pandai membezakan antara hak dan batil. Saya melihat satu petanda positif telah dilalui oleh generasi muda hari ini.

Kerana itulah, kita menyeru agar potensi dan suara anak muda jangan dipandang rendah.
13 Tuntutan Pelajar perlu dipertimbangkan. Generasi muda mahukan sistem yang segar, bebas rasuah, proaktif, berilmu dan semua yang membawa kebaikan kepada negara.

Warkah Buat Teman saya relevan untuk dibaca oleh pengundi baru, kerana memang saya menuju kepada semua pengundi baru. Apa yang generasi muda mahukan ialah sebenarnya YANG TREBAIK UNTUK NEGARA INI! Selamat mengundi!

1 comment:

Anonymous said...

Saya setuju!

Meluat tengok berita dan iklan saluran perdana dan seangkatan dengannya, adakah mereka fikir sekalian rakyat jelata ini tidak punya otak?rakyat sudah lama bangkit dari TIDO wahai pemimpin yang sering LENA!

Mengundi dengan bijaksana!