Sunday, March 09, 2008

Malaysia bermula 2008

PRU 12 sudah berlalu dengan pembangkang berjaya menafikan 2/3 majoriti di parlimen. Ini pertama kali dalam sejarah Malaysia apabila kerajaan mengalami kekalahan yang begitu dasyat. Tambahan pula, pembangkang berjaya merampas empat negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah di samping mengekalkan Kelantan. Bagi rakyat Malaysia yang demokrat, ini adalah kejayaan yang sangat manis apabila rakyat benar- benar mengoptimumkan 'kuasa rakyat' itu melalui undi.

Selepas PRU 12 ini, ada beberapa perubahan besar yang akan kita saksikan. Antaranya ialah:

1. Ketidakstabilan parti pemerintah. Ramai pemimpin utama parti UMNO dan komponen tewas mengejut. Ianya memberi tamparan hebat bagaimana Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Badawi untuk menyusun barisan kabinetnya. Malah, tekanan paling hebat ialah Pak Lah ditekan oleh Tun Mahathir untuk meletakkan jawatan.

2. Parti pembangkang yang menguasai negeri- negeri yang merupakan kubu kuat pemerintah sebelum ini berhadapan dengan cabaran mengurus negeri yang masih mempunyai pegawai- pegawai kerajaan pemerintah sebelum ini. Ramai pegawai kerajaan negeri ini telah bekerja dan mungkin juga penyokong kuat pemerintah sebelum negeri bertukar kepada pembangkang. Pembangkang akan mengambil masa untuk mendekati dan meminta kepercayaan daripada mereka.

3. Parti pembangkang akan berhadapan dengan ujian memerintah negeri berdasarkan pakatan 'longgar' pembangkang. PAS di Kelantan tidak mengahadapi masalah, kerana majoritinya orang Islam dan PAS sudah sekian lama memerintah negeri itu. Malah Pulau Pinang dan Kedah juga tidak menghadapi masalah, kerana keduanya majoriti Cina dan Melayu. Perak dan Selangor merupakan battle ground pembangkang membuktikan komitmen mereka terhadap rakyat. Sudah pasti kepentingan kaum yang pelbagai akan menjadi cabaran kepada pembangkang.

4. Parti yang sifatnya 'multi racial' semacam mendapat tempat. PKR sebagai contoh mampu memenangi lonjakan kerusi yang banyak, daripada satu kerusi parlimen pada 2004 sehingga 31 kerusi parlimen.

5. Paling penting, janji- janji wakil rakyat yang bertanding. Inilah masanya rakyat menuntut janji- janji manis mereka. Jika pembangkang sebagai contoh tidak mampu memberi prestasi yang memberangsangkan, tidak mustahil mereka memerintah negeri satu penggal sahaja. Begitu juga parti pemerintah.

Kesimpulannya, teori yang mengatakan setiap sepuluh tahun Malaysia akan mengalami kejutan landskap politik negara mungkin ada kebenarannya.

Pada 1989, krisis UMNO diharamkan, kemudian tertubuhnya parti Semangat 46, bergabung dengan PAS, maka Pilihanraya pada 1990 mereka berjaya menawan Kelantan.

Kemudian, 1998, Anwar Ibrahim dipecat, tertubuhnya parti KeAdilan, pilihanraya 1999 Kelantan kekal dan berjaya menawan Terengganu.

Kini, 2008, isu minyak naik, faktor Anwar Ibrahim di luar penjara dan krisis dalam parti komponen pemerintah, lima negeri tumbang kepada pembangkang! Setahun selepas menyambut kemerdekaan 50 tahun dan melangkah ke separuh abad kedua Malaysia menyaksikan satu perubahan yang besar telah berlaku!

Apakah kita sudah bersedia menghadapi perubahan ini? Tepuk dada tanya diri.

No comments: