Monday, February 11, 2008

YANG BERHORMAT KITA KURANG MEMBACA?

YB kurang membaca (Hmetro)

Oleh Ahmad Syahrul Derauh
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bimbang mengenai kemungkinan wujudnya pemimpin atau wakil rakyat yang kurang ilmu pengetahuan pada masa depan akibat tabiat kurang membaca.

Katanya, situasi itu tidak mustahil berlaku memandangkan kesibukan tugas masing-masing mengakibatkan mereka tidak mempunyai ruang untuk meluangkan masa menambahkan ilmu menerusi pembacaan.

“Saya sendiri pun kadangkala dalam satu hari terpaksa bekerja dari awal pagi sehingga lewat tengah malam hingga tidak dapat meluangkan masa membuka buku. Situasi ini juga dipercayai berlaku terhadap pemimpin lain.

“Saya bimbang sekiranya perkara ini berterusan, ia akan menyebabkan ramai pemimpin atau wakil rakyat yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan secukupnya pada masa depan,” katanya.

Menyedari mengenai kemungkinan itu, Mohamad berkata, beliau menyarankan agar pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjadi rakan kepada semua pemimpin di negeri ini bagi mengutarakan idea berkaitan kepakaran masing-masing.

Katanya, menerusi kerjasama itu, pensyarah terbabit akan berganding bahu dengan pemimpin dalam usaha membangunkan negeri ini khususnya dalam bidang penyelidikan.

“Sebagai seorang cendikiawan, amat rugi sekiranya membiarkan ilmu mereka itu hanya digunakan untuk pengajaran di kuliah saja sedangkan mereka boleh memainkan peranan membangunkan negara,” katanya pada majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 300 Pensyarah Anak-anak Negeri Sembilan, di Klana Resort, di sini kelmarin.

Mohamad berkata, masih banyak ruang yang memerlukan kepakaran tinggi dan ada kalanya tidak terfikir di kalangan pemimpin masa kini.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri amat mengalu-alukan segala pandangan dan idea kepada golongan berkenaan terutama membabitkan bidang penyelidikan.


Komen:

Adakah anda bersetuju dengan kenyataan pemimpin negeri ini? Nak pilihanraya ini, macam- macam cerita keluar tentang prestasi calon. Dalam Islam, memang, membaca harus merentas umur, jawatan, jantina dan kaum. Tidak ada alasan sebenarnya untuk kita katakan 'kita tidak ada masa membaca'. Kalau hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Bagi orang Islam, membaca sepatutnya tidak boleh dikompromi. Kalau kita boleh bermewah dalam bab makanan, dalam bab membeli belah dan dalam berhibur, kenapa tidak boleh dalam bab menambah ilmu? Budaya membaca memang satu budaya yang asing dalam masyarakat kita. Budaya membaca dilihat tidak boleh buat duti, apatah lagi menjadikan kita popular. Dalam satu rencana dengan artis remaja, beliau mengatakan pergi ke perpustakaan tidak menglamourkan beliau, lalu apa perlunya pergi ke perpustakaan. Apakah beliau tidak mengerti perpustakaan Dar Hikmah zaman Khalifah Ma'mun itulah yang telah membina tamadun Islam yang gemilang di Baghdad?

Apatah lagi sebagai pemimpin, membacalah anda walau dalam sibuk mana pun. Kalau pemimpin tidak minat membaca bagaimana rakyat mahu minat membaca juga? Sebab itu Saidina Umar ada mengatakan,"Tafaqquh qabla an tasudu", maksudnya dalamilah ilmu sebelum kamu diangkat menjadi pemimpin.
Memang bila dah jadi pemimpin akan sibuk untuk meluangkan masa membaca. Tetapi, jika tidak ada masa membaca pun, pengalaman pemimpin umat silam boleh dijadikan contoh. Mereka akan berdampingan dengan cendekiawan, ulama dan orang soleh untuk mendapat berkat mereka. Rasanya itu pun yang mampu dibuat oleh YB- YB sekarang. Tapi kalau orang alim dan ulama pun mahu dipecat dan diperangi, bagaimana lagi yang mahu dilakukan? Tepuk dada tanya iman.

No comments: