Monday, February 04, 2008

SINDROM ‘CAMPURIZATION’ TANDA KEKELIRUAN

Oleh: Mohd Hilmi Ramli

Isu Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) yang dikhabarkan akan bertukar kepada karya yang popular semakin hangat. Hikmahnya apabila isu ini dibangkitkan ialah menunjukkan bangkit segolongan pencinta sastera yang tidak kira latarbelakang yang membantah jika Komsas ingin ditukar kepada karya popular.

Namun demikian, kita harus sedar bahawa golongan yang sedar dan kritis memberi pandangan ini bukan kelompok majoriti. Sebenarnya golongan majoriti ialah yang tidak ambil peduli dengan isu ini dan sekelompok lagi melihat karya sasterawan perlu dilupuskan, kerana tidak lagi membawa nilai komersial.

Nasib dan masa depan sastera di negara kita ini bukan tiba- tiba jadi dalam isu Komsas ini. Ianya rentetan daripada pelbagai usaha yang seakan menolak akan peranan sastera dalam membina nilai diri manusiawi seorang manusia. Kita perhatikan isu Komsas ini sebenarnya pecahan ‘puzzle’ daripada sikap majoriti rakyat Malaysia yang sudah tidak lagi berbangga dengan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks penghayatan.

Kita boleh saksikan, isu sentralnya ialah isu penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa teras rakyat Malaysia. Kita sedang mengalami episod yang hina kerana ‘orang kita’ sendiri yang cuba mengikis kedaulatan bahasa Melayu.

Sikap rakyat yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu yang betul boleh dilihat dalam filem- filem dan drama- drama Melayu yang giat ditayangkan di kaca televisyen. Boleh dikatakan hampir 80% pelakon Melayu berlagak bercakap bahasa ‘campurization’ iaitu bahasa rojak bahasa Melayu dan Inggeris. Gejala ‘campurization’ ini sangat ketara akhir- akhir ini akibat daripada ketidak kawalan pihak berwajib akan disiplin menggunakan bahasa Melayu ini.

Saya mencadangkan agar para pemimpin negara, pemimpin masyarakat, sasterawan negara, semua pemimpin bangsa yang perihatin dengan nasib bangsa, cuba lihatlah penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelakon- pelakon tanah air. Sikap mereka yang melampau ini sebenarnya menghina bahasa dan bangsa mereka sendiri.

Sindrom ‘campurization’ ini menular sehingga ke dalam aksi dan lakonan pelakon- pelakon sebangsa kita ini. Drama Melayu semakin menonjolkan lagak orang Melayu yang bergelar ‘Dato’, yang mempunyai rumah mewah, isteri lagak Mak Datin yang memakai tudung dengan keinsafan, anak- anak yang bercakap Inggeris sebagai lingua franca mereka dalam rumah, episod keretakan rumah tangga, krisis suami isteri zaman moden dan pelbagai lagi. Ini juga cerminan psikik pengarah dan pelakon orang Melayu yang menganut faham ‘realisme’; yang berkiblatkan apa jua yang benar dan ‘real’ berlaku dalam masyarakat wajar ditonjolkan. Ianya wajar walaupun semacam tidak membina pemikiran dan adab penonton asalkan ianya adalah kisah benar masyarakat

Sindrom ‘campurization’ ialah mencerminkan sikap kekeliruan dalam akal mengenai nilai diri sendiri dan tidak faham akan sejarah diri. Prof Naquib Al Attas, sarjana tempatan ada mengatakan, kelahiran kita sebagai umat Islam di alam nusantara ini ialah kerana peranan bahasa Melayu yang telah diasimilasi dengan bahasa- bahasa Arab yang mempunyai maksud Islami.

Kita mengenal diri kita sendiri ialah kerana kita menggunakan bahasa bangsa yang terbaik. Sekiranya kita masih menggunakan bahasa asal kita yang masih mempunyai pengaruh Sanskrit, barangkali kita masih tidak secerdas hari ini dalam memahami hakikat hidup kita. Peranan Islamisasi bahasa Melayu yang berjalan sekian lama adalah proses mengangkat martabat diri umat Melayu itu.

Kemudian, hasil daipada pemahaman dan penghayatan tulen akan bahasa Melayu ini, kita berjaya bangkit mendirikan sebuah negara merdeka yang dinamakan Malaysia. Ketika itu juga Bahasa Melayu diangkat martabat sebagai bahasa rasmi Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah sebuah model benar yang berjaya menghasilkan cendekiawan bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dalam kursus perubatan.

Namun demikian, sikap kita sendiri yang sedang menghancurkan kemuliaan bahasa Melayu ini. Isu menukar nama asal bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia menunjukkan kekeliruan dalam memahami konsep bahasa Melayu itu. Kekadang kita yang hidup dalam masyarakat majmuk ini terlalu meraikan pandangan dan keinginan bangsa lain yang sentiasa mendesak supaya mengikut keinginan mereka. Kemudian isu yang menunjukkan kekeliruan kita juga ialah menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar Sains dan Matematik. Dalam sejarah ketamadunan dunia, negara kita ialah negara pertama yang memulakan model mengajar subjek Matematik dan Sains menggunakan bahasa asing, dan sehingga kini tidak ada negara yang mengikut model keliru ini!

Isu Komsas adalah serpihan isu rakyat Malaysia yang ‘mati rasa’ dengan kedaulatan bahasa Melayu. Hanya minoriti kecil sahaja yang masih mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu ini. Jika ikut hukum alam globalisasi, yang ‘kecil’ atau ‘minoriti’ akhirnya akan tewas kepada yang ‘besar’ dan ‘majoriti’. Dunia bisnes dalam globalisasi membuktikan apabila syarikat besar luar negara seperti Carrefoure, Tesco dan lain- lain menapak di Malaysia, maka peniaga- peniaga kecil terus terkubur hilang punca rezeki.

Hari ini, sikap pemimpin harus dibetulkan dahulu dalam mendaulatkan bahasa Melayu di tempat yang terbaik. Malaysia berhak mempunyai pemimpin yang boleh menjaga kedudukan bahasa Melayu di tempatnya, kerana Perdana Menteri kita orang Melayu, Timbalan Perdana Menteri orang Melayu, Menteri Besar orang Melayu, pemimpin universiti orang Melayu dan semuanya adalah orang Melayu. Orang Melayu harus menuntut ketegasan pemimpin Melayu dalam mendaulatkan bahasa Melayu.

Kita katakan bahawa sikap berbahasa adalah cerminan apa yang terfikir dalam pemikirannya. Puan Ainon, motivator dan penulis buku ada mengatakan, jika kita mengalami sindrom ‘campurization’, menunjukkan kita mengalami keserabutan pemikiran, kerana tidak ada satu struktur berbahasa yang baik dalam kepala kita. Berserabut ini kerana kita keliru dalam identiti kita. Keliru kerana tidak memahami sejarah bahasa, tidak membaca, tidak menghormati warisan bangsa dan sebenarnya cerminan sikap yang sudah tercabut dari akar budaya bangsa.

Jika itulah sikap majoriti kita, semacam semua harus bersekolah kembali. Kerana masing- masing nampak keliru dalam kepala masing- masing!


MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Anjung Rahmat Bt 6
Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur


No comments: