Wednesday, January 02, 2008

BERFIKIR MENONGKAH ARUS

Oleh: Mohd Hilmi Ramli


Islam melarang kita rasa selesa hidup dalam lembah kegelapan, kesesatan, kemuraman, kezaliman dan kejahilan. Kita digalakkan meninggalkan lembah- lembah tersebut supaya akhirnya kita menjadi manusia yang produktif imannya, yang berakhlak mulia dan maju fikirannya. Hari ini kita juga harus berhati- hati supaya kita tidak terperangkap dalam situasi zon selesa. Islam mengutuk mereka yang hidupnya hanya statik dan beku, seolah tidak ubah seperti haiwan dan tumbuhan yang tidak mempunyai nilai tambah iman dan taqwa dalam kehidupan. Kedua haiwan dan tumbuhan sudah ditakdirkan melalui proses itu kerana tidak mempunyai akal fikiran, akan tetapi manusia lebih hina jika mempunyai sifat yang sama kerana dikurniakan akal.

Zon selesa boleh berada di mana- mana. Zon selesa boleh memerangkap kita supaya kita tidak mampu berfikir secara kritis dan kreatif. Zon selesa juga boleh membunuh ciri- ciri asas sesebuah watak dan pelakuan. Namun, zon selesa juga jika dinilai dalam sudut positif, mengukuhkan kedudukan sesuatu dan memudahkan pergerakan keranan telah ada jaminan dalam sempadan yang disepakati. Sebagai contoh kedudukan Islam dalam perlembagaan Malaysia sebenarnya satu kedudukan selesa yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Zon selesa adalah situasi yang menyebabkan kita bebas dari ancaman, lalu menyebabkan kita seronok dan merasa nikmat dalam situasi tersebut. Paling ekstrim ialah kita hanyut dalam situasi tersebut sehingga gagal untuk mencipta kelainan dan bermatian mempertahankan situasi tersebut. Allah Ta’ala ada berfirman, “Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.” ( Al- Baqarah: 17)

Seorang anak yang kaya pasti akan selesa kerana hidup dalam lingkungan harta mewah dan segala kemudahan hanya dalam sekelip mata sahaja. Ramai yang hanyut dalam zon selesa kekayaan dan akhirnya mewarisi sifat Firaun dan Qarun yang bakhil dan tamak dalam pengumpulan harta. Akan tetapi, zon kekayaan juga sebenarnya tidak menghalang seseorang untuk mencipta kelainan yang positif. Ibn Hazm, yang dilahrkan di Kordoba hidup dalam lingkungan keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh. Beliau dibesarkan dalam suasana kelimuan sehingga menguasai pelbagai ilmu termasuk perubatan walaupun beliau terkenal dalam ilmu Fiqh dan Usul.

Kita harus berani berfikir menongkah arus perdana, sekiranya situasi ketika itu mencengkam rasa kebodohan kita dan tidak memajukan diri kita. Banyak situasi hari ini mendesak kita supaya terus berada di dalam zon selesa. Keadaan ini boleh jadi secara paksaan ataupun tidak sengaja.


(Contoh manusia paling malas)

Keadaan secara paksaan boleh dilihat melalui kebanjiran projek hiburan yang melampau di media menghanyutkan generasi muda hari ini. Banyak program yang bertujuan melahirkan selebriti dan artis mendapat minat generasi muda terutamanya. Sudah pasti, siapa yang tidak teruja apabila ganjaran kemenangan mencapai jutaan dan ribuan Ringgit, ditambah pula dengan habuan tambahan seperti populariti, kereta, rumah, alat elektrik dan percutian luar negara yang mampu mencairkan hati nurani generasi muda. Dalam peringkat yang muda, ramai yang mahu memiliki segala kemewahan dengan jalan pintas iaitu menjual bakat supaya akhirnya menjadi selebriti.

Banyak program ini tidak datang secara kebetulan. Ianya projek tersusun yang dirancang khas untuk memanipulasikan keingingan fitrah generasi muda yang gemarkan hiburan. Generasi muda telah dieksploitasi dan diperah sehabis mungkin potensi mereka supaya melaburkan jiwa dan raga mereka mengejar keseronokan hawa nafsu. Dalam tamadun Islam mahu pun Barat, tidak pernah tercatat bahawa golongan artis atau selebriti telah membantu membina tamadun. Ramai yang membina tamadun ialah ulama, intelektual dan pemimpin yang baik!

Dalam sudut yang lain, ada keadaan zon selesa yang datang tanpa disengajakan. Sebagai contoh seorang anak yang mewarisi kemewahan keluarganya.

Namun demikian, jalur pemisah yang mengelakkan kita supaya tidak terus hanyut dalam zon selesa itu yang sengaja atau tidak ialah sejauh mana kita mampu berfikiran di luar zon selesa tersebut. Kita tidak akan menyerahkan zaman muda kita dalam lembah hedonisme sekiranya kita tahu bahawa zaman muda bukan sangat masa untuk berseronok. Kita juga akan memikirkan masa depan negara sekiranya kita tahu bahawa zaman mendatang terletak di tangan kita. Semua ini menuntut ilmu, keberanian, kekuatan dan kesabaran. Berfikir menongkah arus supaya tidak tenggelam dalam zon selesa ini merupakan ibadat mulia kerana misinya ialah mengangkat martabat kebenaran dan keadilan dalam masyaralat.

Generasi yang mampu berfikir menongkah arus melawan keingingan hawa nafsu dan tuntutan dunia tidak akan membenarkan maksiat dan kejahilan bermaharajalela.

Dalam tradisi Islam sendiri, semua para Rasul dan Nabi, termasuk para ulama berfikir menongkah arus kerana membawa misi kebenaran dan keadilan. Mereka membawa misi yang bertentangan dengan budaya masyarakat ketika itu yang sudah sebati dalam zon selesa mereka iaitu dengan menyembah berhala, melakukan maksiat dan kezaliman di muka bumi. Nabi Musa ‘Alaihi Salam, dibesarkan dalam istana Firaun, kerana terselamat daripada pembunuhan besar- besaran bayi lelaki ketika itu. Kemudian, anak didik Firaun ini juga yang melawan polisi mungkar yang berkurun dilaksanakan oleh Firaun yang mengaku dirinya ‘Tuhan’ sekian alam dengan mengatakan Tuhan sekelian alam bukannya Firaun, akan tetapi Allah Ta’ala. Kehadiran Musa ‘Alaihi Salam bertentangan 180 darjah dengan misi Firaun.




Nabi Ibrahim Khalilullah juga, yang membanteras penyembahan berhala yang sudah sebati di kalangan masyarakat Baginda dengan mencantas kepala- kepala berhala kemudian meletakkan kapak di leher sebuah berhala yang dikatakan ber’kuasa’. Tindakan Nabi Ibrahim itu sebenarnya menghina perbuatan jahil masyarakat ketika itu yang menjadikan berhala sebagai Tuhan mereka, yang mana tidak pernah dilakukan oleh individu lain kecuali oleh Nabi Ibrahim sendiri.

Contoh terbaik juga ialah nabi kita Muhammad Sallahu’alahi Wasalam, yang digambarkan dalam banyak kisah. Sebagai contoh, Thabari dan Ibn Katsir meriwayatkan bahawa beberapa orang kaum Musyrik, termasuk Walid Al- Mughirah dan Al- ‘Ash bin Wail, datang menemui Rasul Sallahu’alahi Wasalam menawarkan harta kekayaan dan gadis cantik kepadanya, dengan syarat beliau bersedia meninggalkan kecaman terhadap tuhan- tuhan mereka. Ketika Nabi Sallahu’alahi Wasalam menolak tawaran itu, mereka menawarkan ,” Bagaimana jika anda menyembah tuhan- tuhan kami sehari, dan kami menyembah tuhan kamu (Allah) sehari, secara bergantian?” Tetapi tawaran ini juga ditolak oleh Nabi Sallahu’alahi Wasalam dengan membalas, “Kamu adalah tuhan kamu, dan kami adalah Tuhan kami” (Al- Kafirun 1- 6). Ini menunjukkan keberanian dan keimanan seorang Nabi yang tidak mahu agama dibuat secara rundingan demi memuaskan hawa nafsu.

Bagi kita, inilah sikap sebenar yang harus kita contohi. Dalam konteks generasi muda hari ini, tidak salah kita berfikir menongkah arus, sekiranya didapati ada kemungkaran dan kejahilan yang mematikan daya iman dan gerakan kita. Ada sudut yang penting diperhatikan iaitu;

Dalam bab menuntut ilmu: Mahasiswa harus berfikir menongkah arus dalam menuntut ilmu. Budaya ‘suap’ dan ambil mudah dalam universiti sebenarnya sikap jahil dan angkuh yang membenarkan diri kita supaya kekal dalam zon selesa. Contohi sikap sahabat terdahulu, seperti Jabir bin Abdullah yang berjalan selama sebulan menemui Abdullah bin Unais untuk mencari satu hadis. Seorang ulama, Ya’qub bin Sufyan Al- Fasawi yang mengembara selama 30 tahun menuntut ilmu. Seorang ulama lain, Abu Hatim yang hidup dalam kemiskinan sanggup menjual bajunya kerana terlalu ghairah dalam menuntut ilmu sehingga beliau tiada apa- apa lagi yang beliau miliki.

Semua kisah ulama terdahulu ini menongkah arus zaman mereka, yang pastinya jika mereka tidak melakukannya maka nama mereka tidak dikenali. Dengan perbuatan menongkah arus mereka itu lah menjadikan peribadi mereka lebih berwibawa dan dihormati sehingga hari ini.

Apabila keghairahan menuntut ilmu disemai, secara tidak langsung membenihkan tindakan ingin merubah diri dan melakukan perubahan dalam masyarakat. Golongan ini tidak akan rela membiarkan gejala membodohkan umat dan kemungkaran berleluasa daripada berlaku. Gabungan ilmu- amal merupakan tuntutan Al- Quran dan Hadith yang harus dicontohi.

Kesimpulannya, generasi muda harus mempunyai keberanian berfikir dan melakukan sikap yang menongkah arus. Jika kita selesa dalam arus deras perdana yang korup ini, maka kita akan tergolong dalam golongan yang hidup dalam ‘kegelapan’ ini. Pak Natsir pernah berkata, seperti kita dalam arus deras sungai, jika kita ikut deras itu maka kita akan hanyut, akan tetapi jika kita melawan arus itu, kita akan terselamat. Yang penting ialah. Kita harus bijak menjadikan prinsip mengangkat kebenaran dan keadilan sebagai tunjang kita berfikiran yang membezakan kita dengan orang lain, sekaligus mampu keluar daripada zon selesa yang mematikan sikap sebenar kita.


No comments: