Monday, January 28, 2008

27 JANUARI 2008: LAWATAN KERJA DI SARAWAK




Semalam saya ada lawatan kerja di Kuching Sarawak. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), sebuah badan gabungan PKPIM mengadakan Konvensyen Pelajar Islam Sarawak dan Mu'tamar Tahunan Kali ke 3. Saya pergi tanpa berteman, sampai di Kuching disambut oleh sdr Muntaqim, SU Agung PKPIM, yang kebetulan turut dijemput sebagai penceramah.

Program saya bermula pagi hari Ahad, saya memberi ceramah kepada peserta Mu'tamar dan Konvensyen mengenai isu- isu semasa mengenai generasi muda. Saya mengatakan bahawa dengan kehadiran peserta yang cukup memberangsangkan, saya percaya da'wah Islam di Sarawak dapat berkembang dengan baik. Dengan orientasi da'wah dan tarbiah, yang mengambil pendekatan sederhana (wasatiyah), bumi Sarawak mampu disinari dengan rahmat Allah Ta'ala. Saya gembira melihat perkembangan positif mengenai sambutan generasi muda di Sarawak terhadap da'wah Islam. Ramai yang datang terdiri daripada mahasiswa UNIMAS, UiTM Kota Semarahan, UNITAR dan pelajar sekolah juga ada.

Saya juga menceritakan cabaran generasi muda untuk melahirkan kembali sosok seperti Imam Syafiee cukup berkaliber memberi fatwa ketika umur 15 tahun, Muhammad Al FAtih yang menakluk kota Konstantinople ketika umur 21 tahun, dan Hassan Al Bana yang menubuhkan gerakan Islam Ikhwan Muslimin ketika umur 23 tahun. Mereka ini dalam peringkat yang muda telah mencipta sejarah ketika zaman mereka. Ini mampu memberi motivasi kepada kita generasi muda hari ini.

Kemudian, soal jawab dibuka, sangat menggalakkan. Walaupun ketika ceramah saya melihatkan wajah 'pesimistik' dan wajah 'bosan', tetapi sangkaan itu meleset. Soalan bertubi- tubi, yang saya simpulkan mereka menunjukkan semangat untuk menyumbang dalam da'wah Islam. Soalan mereka sangat cerdas. Semangat mereka menolak sesetengah tuduhan yang mengatakan pelajar dan mahasiswa semakin lesu. Bagi saya kredit harus diberikan kepada mereka yang terlibat dalam persatuan, berbanding mereka yang tidak.

Kemudian tamat ceramah, saya berjumpa dengan Dr Hasnizam, yang mengajar muzik di UNIMAS. Beliau mendapat Phd dalam muzik, tetapi berjiwa gerakan. Beliau selesai menjalankan kajian bunyi mengenai bunyi semut, katak dan akan datang bunyi kelawar. Bagi beliau, bunyian semulajadi seperti hujan, air terjun, cengkerik semua yang datang dari alam dan haiwan adalah terapi telinga yang terbaik. Beliau juga mengkritik trend muzik sekarang ini yang menampilkan imej komersial dan popular berlebihan. Boleh dikatakan banyak muzik yang ada sekarang ini hilang nilai seni yang sebenar. Hampir sejam lebih kami berdiskusi.



Kemudian, saya dibawa oleh sdr Muntaqim dan Ustaz Asfar, mantan TYDP PERKEPIS menziarahi Ustaz Awang Pon. Beliau, jika menurut sdr Muntaqim, jika datang ke Sarawak tidak akan sah jika tidak berjumpa dengan beliau. Sangat tepat sekali, saya rasa terkesan dan insaf dengan pertemuan itu. Banyak nasihat, panduan dan pengalaman yang beliau kongsi. Boleh dikatakan, beliau adalah tokoh da'wah yang paling dihormati oleh semua orang, sampaikan pernah ditawar jawatan Mufti Sarawak tetapi ditolaknya. Malah jawatan Penasihat Kerajaan Negeri juga pernah ditawarkan kepada beliau namun ditolak. Ketua Menteri Sarawak juga mendengar nasihat beliau dalam banyak perkara. Anwar Ibrahim juga kalau datang Sarawak akan cari peluang jumpa beliau. Presiden PAS pernah menawarkan Pesuruhjaya PAS Sarawak kepada beliau, namun ditolak dengan hormat. Beliau selesa dengan wadah da'wah yang melihat semua orang dengan kaca mata da'wah. Sebagai mantan YDP ABIM Sarawak pertama, beliau banyak menyumbang jasa dalam perkembangan da'wah di Sarawak.


Apa lagi yang menarik mengenai tokoh ini? Yang memeranjatkan saya juga ialah walaupun sudah berumur 75 tahun, beliau memiliki blog sendiri dan 'update' isu anak muda seperti Youtube, kamera digital dan fotopages! Orangnya masih tegap, cerdas pemikiran, hampir setiap orang yang pernah berjumpa dengannya akan diingati namanya (high memory) dan bersih mukanya dengan cahaya orang mukmin.


Selesai ziarah mahabbah, kami menjamu selera. Petang itu pula ada pertemuan pertama kepimpinan PERKEPIS yang baru dengan Presiden PKPIM. Saya menyampaikan sedikit amanat da'wah dan soal jawab isu- isu gerakan. Tahniah diucapkan kepada sdr Syed, YDP yang baru.

(Tasik kampus UNIMAS yang permai)



Habis mesyuarat, saya, Muntaqim, Ustaz Asfar dan Afham menuju ke kampus UNIMAS. Kami makan malam di situ dan menikmati serba sedikit pemandangan kampus UNIMAS. Suasana damai ketika menikmati laksa Sarawak di tepi tasik kampus UNIMAS. Langit permai warna merah yang hampir maghrib menambah lagi selera makan kami. Sangat mengasyikkan. Kampus UNIMAS cantik, kerana ada padang golf dan sangat luas. Bagi yang tiada kenderaan mungkin 'patah kaki', kerana kedudukan kolej dan bilik kuliah sangat jauh. Selepas magrib di surau UNIMAS, mereka menghantar saya ke Lapangan Terbang Kuching yang baru.

Walaupun lawatan singkat, saya tetap bersemangat dan gembira. Tahniah kepada kepimpinan PERKEPIS yang baru.

1 comment:

almukminun said...

Assalammualaikum.
syeikh,
sronok na sepetang di sarawak.
padang golf unimas mmg besar...kalah tapak masjid unimas.
dan yg paling bermakna,ziarah tokoh.

INSYAALLAH,setiap kdtangan tetamu dgn ribuan rahmat dr ALLAH.
semoga sarawak subur dgn jiwa-jiwa gerakan Islam