Tuesday, December 23, 2008

Faham 'Iblis' pada Zionisme

Semalam Al Jazeera menayangkan gambar seorang bapa menunjukkan anaknya tiga orang mati angkara peluru Israel. Yang dasyatnya, kelihatan jelas tebukan peluru yang menembusi dada anak kecil itu. Bagi manusia yang biasa, perkara itu sama sekali tidak boleh diterima. Apatah lagi anak kecil yang berumur lingkungan 3- 4 tahun ditembak.

Hanya manusia berjiwa 'iblis' sahaja yang ketawa riang melihat anak kecil sewenangnya ditembak di dada. Hatta haiwan pun menyayangi anaknya. Sifat 'keiblisan' merasuk jiwa orang Israel. Tentera Israel semua menganut faham 'iblis'.Tidak semua orang Yahudi sokong pembunuhan di Gaza. Ada yang protes.

Seperti biasa darah ummat Islam terus mengalir, kerana menyaksikan kekejaman Zionis Israel mengganas di Gaza. Bagi orang Islam, Gaza adalah satu tempat yang bersejarah dalam kalendar ummat Islam. Ia tempat kelahiran Imam besar kita, Imam Syafiee.Dikhabarkan ketika kelahirannya, ibunya bermimpi sebutir bintang menjunam ke bumi. Bintang itu memecahkan muka bumi dan kelihatan gugusan- gugusan bintang kecil menyinari alam ketika itu. Ulama mentafsirkan, itu ialah tanda mulia kelahiran seorang bakal ulama termashyur kelak.
Bagi kita, kemarahan pasti berterusan. Kemarahan boleh datang dan pergi. Teruskan berdemosntrasi menyatakan bantahan, memboikot, mencetuskan kesedaran dan meratakan kesedaran sehingga menyentuh hati nurani ummat tentang isu di Gaza. Pada masa yang sama apa strategi kita mendatang?

Apakah kita sudah menyediakan satu perancangan masa depan yang tersusun untuk memastikan maruah ummat Islam tidak mudah dipijak seperti hari ini? Jika Salahuddin Al Ayubi mengambil masa hampir seratus tahun untuk menakluk Al Quds, itu pun selepas pengaruh Ihya Al Ghazali merata ke seluruh pelusuk alam di bumi ummat Islam, lalu melahirkan satu generasi yang berkongsi fikrah dan bernaung di bawah satu bumbung worldview yang sama. Generasi ini terdiri daripada penglima perang, askar, ulama, pekerja, orang biasa, pelajar serta kaum wanita.

Wallahu'alam. Semua kena sama- sama duduk semeja, berlapang dada, berfikiran terbuka, saling kasih mengasihi, membina generasi beradab dan mengangkat ilmuwan di tempat yang sewajarnya.

Dr Muhammad 'Afifi Al Kitti di Anjung Rahmat

"Akhir ziarah,akthar barakah"(Ziarah yang akhir, banyak keberkatannya). Itulah ungkapan Dr Muhammad 'Afifi Al Kitti, seorang ulama muda yang mengajar di Oxford. Nama beliau tidak asing di kalangan pelajar Malaysia di UK. Kepulangan beliau ke tanah air untuk bercuti diambil peluang oleh sdr Yusri, Presiden ABIM untuk menjemput beliau untuk satu pertemuan tertutup semalam, 23 Disember 2008.




Walaupun dinamakan tertutup, tetapi hakikatnya tiada apa yang ditutupnya, atau suatu yang rahsia. Sebenarnya pertemuan ini sebagai meraikan tetamu bertaraf 'ilmuwan' yang tidak perlu lagi dipertikaikan. Jemputan tidak menyeluruh, kerana dimaklumkan pun saat akhir. Dr 'Afifi, yang selesa dipanggil, walaupun agak segan untuk dipanggil 'Sheikh 'Afifi' mungkin tetamu terakhir ABIM dan PKPIM, memandangkan kedua organisasi ini dalam proses pindah pejabat.

Itu yang diungkapnya,"Akhir ziarah,akthar barakah"(Ziarah yang akhir, banyak keberkatannya), mudahan Insyallah.

Walaupun singkat sahaja pertemuan dengan sedikit taaruf, pengenalan organisasi dan tazkirah selepas magrib di Sekretariat, namun kehadiran beliau benar- benar dirasai. Anak kelahiran Perak, dengan latar belakang pendidikan tradisi pondok di Indonesia, kemudian melanjutkan pelajaran sarjana sehingga Phd di Oxford UK, memberi satu model terbaik ilmuwan Muslim kontemporari yang menghapuskan mitos dualistik.

Beliau kini mengajar Teologi (Akidah) di World Religion, Worcester College UK dan di Islamic Studies, Faculty of Theology, University of Oxford. Masih muda, berumur 31 tahun, telah mencapai 'martabat' yang tinggi dalam dunia keilmuan. Tesis Phd beliau ialah mengenai Imam Al Ghazali yang dalam proses penerbitan untuk kepentingan ummat kelak.

Tazkirah beliau agak santai dan ringkas, tetapi cukup mendalam. Beliau mengupas mengenai konsep Shakir dan Shakur, yang bagi orang biasa maksudnya sama iaitu 'Orang yang bersyukur'. Tetapi istilah Arab klasik, Shakir ialah orang yang bersyukur atas ni'mat, manakala Shakur bersyukur atas Niqmat (bala). Berapa ramai yang boleh bersyukur jika ditimpa ujian, seperti kehilangan orang tersayang, musibah, kemalangan dan sebagainya? Kita mudah bersykur jika ni'mat datang, seperti dapat gaji, keputusan cemerlang peperiksaan, jumpa kekasih hati dan sebagainya.

Indahnya Islam ialah kerana meletakkan diri kita sebagai hamba yang boleh menerima dengan berterima kasih kepada Allah jika dikurniakan ni'mat dan malapetaka. Bukankah satu kejayaan paling mulia jika kedua- dua dapat dikuasai?

Itulah dengan kehadiran Dr 'Affi, walau singkat tetapi bermakna. Beliau sempat berfoto di Seketariat PKPIM, sebagai kenangan. Beliau sempat bergurau dengan mengatakan, orang Melayu mempunyai identiti unik yang tersendiri, iaitu suka berfoto. Foto ini membawa nilai rohani yang tinggi, sebab punca kepada memori silam sebuah pertemuan dan persahabatan.



Kehadiran beliau boleh diibaratkan sebagai satu rahmat dan ni'mat kepada kami. Ibarat kata Imam Syafiee," Aku bukan di kalangan orang yang soleh, tetapi aku berkawan dengan mereka supaya aku dapat tempias mereka".

Monday, November 24, 2008

Dari Keranda 152 ke Alam 'Barzah'

Hari ini martabat bahasa Melayu telah berjaya dijahanamkan. Segala titik peluh, darah keringat dan pengorbanan mengangkat bahasa Melayu diabaikan, langsung tidak diberi pengiktirafan. Golongan 'taksub' Western worldview bersorak keriangan kerana semua bahasa- bahasa ibunda di dunia, termasuk bahasa Melayu disapu habis oleh kuasa bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris telah menjadi lingua franca seanterao dunia.

Tidak relevan lagi sekiranya bicara bahasa Melayu dimartabatkan. Mengapa perlu mengangkat bahasa Melayu, walhal hari ini dunia sains dan teknologi menggunakan bahasa Inggeris? Jika mahu maju, ketepikan bahasa Melayu, tetapi ajar anak- anak generasi baru dengan bahasa moden! Itu ialah mentaliti kelompok manusia yang pro- Western worldview.

Bagi mereka mudah, untuk maju seperti Barat, pendidikan di sekolah dan universiti perlu diajar dalam bahasa Inggeris. Sebab, akhirnya dengan bahasa Inggeris sebagai alat, mereka boleh mencapai ketinggian darjat seperti di Barat. Itu yang mereka faham tentang bahasa.

Peristiwa Keranda 152, pada 3 Mac 1967 adalah detik terakhir 'jasad' bahasa Melayu dikafankan dengan sempurna. Bahasa Melayu telah dikafankan kerana tidak lagi dapat berfungsi dengan baik. Sehingga hari ini, pejuang bahasa menjerit melaungkan perlunya mengangkat martabat bahasa Melayu. Setiap detik ditandai dengan nafas perjuangan mengangkat martabat bahasa.

Akan tetapi, ibarat hantu 'zombi'. Jasad yang ada, tetapi rohnya sudah berada dalam alam barzah. Itulah perjuangan bahasa Melayu, tidak lain adalah hantu' zombi' yang sudah pun dikafankan ketika 3 Mac 1967, tetapi terus dibangkitkan sebagai hantu 'zombi'.

Sebab itu, kelompok pro Western worldview tidak gentar langsung dengan 'zombi' bahasa Melayu, kerana hakikatnya 'hantu' yang tiada roh lagi. Hakikatnya, perjuangan bahasa Melayu pasca 1967 ibarat mengeluarkan 'jasad' bahasa Melayu untuk diperjuangkan, walhal ia sudah mati pak! Maka, apakah masih relevan memperjuangan bahasa Melayu hari ini?

Tepuk dada, tanya Iman. Ibarat lagu M Nasir, ' Phoneix Bangkit Dari Abu';

Bina jambatan menuju ke seberang
Melangkah jurang lebar dan dalam
Dengan darah dan keringat
Dengan airmata berpegang pada taliNya

Rapatkan saf semangatmu jangan goyah
Kota yang telah roboh harus dibina semula
Atas dasar kebenaran demi kita demi waris
Semua serangan yang datang kita tangkis

( 1 )
Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu
Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru)

Phoenix bangkit
Bina jambatan menuju keseberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta

( ulang dari 1 )

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bina jambatan menuju keseberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta
Demi cinta... demi cinta...

Bahasa Melayu bukan calang- calang jasad, walaupun sudah dikafankan dalam keranda 152, melalui alam 'barzah', akan tetapi ibarat burung lagenda Phoenix. Roh perjuangan bahasa Melayu sebenarnya masih terus menyala di hati sanubari ummat yang cintakan bahasa Melayu. Burung Phoenix (Phœnix) dalam mitologi Mesir adalah burung legendaris yang keramat. Burung Api ini digambarkan memiliki bulu yang sangat indah berwarna merah dan keemasan.

Phoenix dikatakan dapat hidup selama 500 atau 1461 tahun. Setelah hidup selama itu, Phoenix membakar dirinya sendiri. Setelah itu, dari abunya, munculah burung Phoenix muda. Siklus hidup burung Phoenix seperti itu (regenerasi), bangkit kembali setelah mati, lalu muncul sebagai sosok yang baru.

Phoenix merupakan simbol dari keabadian, lambang dari siklus kehidupan setelah mati, dan simbol dari kebangkitan tubuh setelah mati.

Phoenix menjadi simbol suci pemujaan terhadap Dewa matahari di Heliopolis, Mesir. Burung Phoenix simbol dari "Dewa matahari.

Itulah bahasa Melayu, sebuah lagenda baru yang terus relevan bangkit, demi cinta dan kebenaran!


Thursday, November 13, 2008

KERAJAAN MESTI BERANI LAKSANAKAN DASAR BAHASA MELAYU

Hari ini keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Seramai 46,641 atau 9.2% daripada 518,616 calon (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Hanya 9.2%.

“Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya. Beliau berkata, Gred Purata Kebangsaan (GPK) untuk tahun ini juga bertambah baik pada pointer 2.36 berbanding purata 2.39 untuk tempoh lima tahun lepas.” (Utusan 13 November 2008)

Keputusan UPSR 2008 menjadi petanda aras untuk menentukan hala tuju pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Walaupun statistik yang dikeluarkan oleh kementerian menunjukkan ada peningkatan A dalam UPSR, tetapi tidak pula ada yang menyebut Sains dan Matematik telah meningkat kefahamannya.

“Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.”(Berita Harian 13 November 2008).

Dilaporkan, seramai 995 pelajar mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR di Sabah pada tahun ini. Jumlah ini adalah 1.91% daripada 50,00 pelajar UPSR di Sabah! Kita boleh bayangkan betapa ada sesuatu yang disembunyikan daripada fakta yang sebenar. Kementerian juga dilihatkan menjustifikasikan 9.2% daripada 518, 616 calon UPSR seluruh Malaysia dan 1.91% daripada 50,000 calon UPSR di Sabah adalah peningkatan yang memberangsangkan.

Agak janggal bagi seorang Menteri dan sebuah kementerian penting dalam negara apabila masih ingin mempertahankan dasar yang mengelirukan pelajar. Apakah peratusan kecil mendapat A satu justifikasi yang betul Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)?

Tidak dinafikan, komposisi pelajar akan terbahagi kepada tiga kelompok, yang fast- track (cepat belajar), sederhana dan lambat belajar. Antara kelompok ini, sudah pasti kelompok pertama, fast- track yang boleh menangkap pengajaran dengan baik dan cepat. Makanya mereka boleh dapat keputusan A dalam peperiksaan. Antara faktor menyumbang, ialah latar belakang keluarga yang berpelajaran, akses ilmu seperti internet yang senang, kemudahan kelas tambahan yang berbayar, selain faktor indivividu yang rajin belajar.

Malah tidak dinafikan, kelompok sederhana dan lambat belajar ada yang boleh berjaya. Tetapi mereka harus bekerja keras secara luar biasa untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Dalam isu PPSMI, kerajaan seolah tidak nampak isu sebenar. Apatah lagi pemimpin Melayu yang diamanahkan untuk menjaga urusan ummat Melayu. Isu bahasa Melayu bukan setakat urusan ummat Melayu, tetapi isu nasional juga. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaaan dan dimartabatkan dalam Akta 152.

Sudah banyak memorandum, forum, surat dan pertemuan menyatakan supaya Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu. Pihak pejuang bahasa, ahli akademik, NGO dan individu yang cintakan bahasa Melayu telah memainkan peranan kritikal mereka. Namun, nampaknya kerajaan dan pemimpin Melayu tidak berminat dengan urusan memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam situasi hari ini, kita boleh melihat, pemimpin Melayu sedang sibuk bertelagah merebut jawatan parti. Ada yang bertumbuk, merasuah demi mendapat kedudukan, melobi antara satu sama lain. Sikap mereka ini ketara apabila akhbar perdana bahasa Melayu sendiri membuat pendedahan meluas pemilihan jawatan dalam parti. Maka tidak mustahil isu bahasa Melayu tidak menyentuh hati nurani mereka. Harta, kedudukan dan pangkat nampaknya menjadi agenda perjuangan mereka. Kasihan melihat mereka, kerana akibat mengejar harta, kedudukan dan pangkat, mereka di’buta’kan mata dan hati mereka mengenai isu penting ummat dan negara. Nampaknya mereka masih tidak belajar dari kekalahan 8 Mac yang lalu, apabila tidak mendengar suara hati nurani ummat.

Walhal, sebagai pemimpin Melayu, yang diamanahkan menjadi pemimpin, urusan utama ummat Melayu mesti diperjuangkan. Tidak timbul bahasa Melayu sebagai bahasa ummat Melayu sahaja, tetapi bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia. Tidak ada ikatan paling rapuh yang boleh mengikat kebersamaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum selain bahasa Melayu.

Kerana itu Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengiktiraf budaya rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai teras utama perpaduan negara. Melihatkan faktor sejarah, budaya, nilai dan agama berbeza orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya, maka bahasa kebangsaan adalah faktor pemersatu.

“Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Kedua Malaysia telah diiktiraf sebagai arkitek perpaduan Malaysia dengan merentas etnik. Laporan Razak telah berjaya menyatupadukan semua kaum dengan penggunaan BM. Sejak dari itu tidak ada lagi masalah 13 Mei di Malaysia. Ini adalah kerana semua kaum mendapat peluang pendidikan yang saksama dengan bahasa pengantar yang sama. Dengan PPSMI dalam BI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu. Mengapa Melayu? Mereka adalah 70% penduduk luar bandar. Ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.” (Prof Nor Hashimah, Persatuan Linguistik Malaysia 2008).

Malah kedudukan bahasa Melayu bukan ekadar alat komunikasi sahaja, tetapi melampau sebagai bahasa ilmiah. Tun Dr Mahathir telah menggunakan premis yang salah apabila melaksanakan dasar yang hakikatnya bukan dasar. Kerana, dasar kerajaan biasanya akan melalui proses perbincangan dalam kabinet, perbincangan dengan pakar, dibentangkan dalam parlimen dan pelbagai proses menentukan dasar kerajaan. Akan tetapi hanya komentar dalam sidang akhbar, lalu menjadi ‘dasar’ kerajaan.

Tun Mahathir mengatakan, “Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.” (
http://www.chedet.com/ 2008)

Bahasa sebagai alat dan wahana ilmiah adalah dua perkara yang berbeza. Memang bahasa Inggeris boleh menjadi alat untuk memahami ilmu, tetapi bahasa Melayu sebenarnya pergi jauh sebagai alat. Kedudukan bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai lingua franca alam nusantara. Bahasa Melayu telah berakar umbi dalam masyakarakat kita, dengan melahirkan ramai cendekiawan kelulusan perubatan dan teknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ada faktor penting mencirikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang tinggi. Prof Naquib Al Attas mengiktiraf karya Hamzah Fansuri apabila mengatakan karya Hamzah Fansuri menggunakan bahasa Melayu yang tinggi dan mendalam. Karya beliau mampu mengungkapkan makna ketuhanan, kenabian dan alam kerohanian menggunakan bahasa Melayu. Terbukti, bahasa Melayu boleh mencerna akal pemikiran dan melahirkan bahasa mendalam yang menggambarkan sudut pemikiran kita. Ini yang dikhabarkan oleh Noam Chomsky, tokoh lingusitik, “One of the fundamental aspects of human language is its creative nature”. Nilai kreatif dan daya pemikiran bergantung kepada penguasaan bahasa yang terletak dalam pemikiran kita.

Apabila bahasa Inggeris dimasukkan dalam perbendaharaan ilmiah ummat Melayu, sebenarnya telah melakukan proses sekularisme secara tidak langsung. Ini bukan hujah remeh yang tidak ada asasnya. Memandangkan setiap bahasa ada nilai worldview (pandangan sarwa), begitu juga bahasa Inggeris dan Melayu. Perkembangan bahasa Melayu telah membawa nilai Islam yang terbukti membentuk keperibadian masyarakat Melayu di Malaysia. Prof Naquib Al Attas dalam ‘Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu’ mengungkapkan dengan tegas bahawa peranan Islam dahulu telah membawa masyarakat Melayu keluar dari kepompong animisme dan tahyul. Faktor bahasa Melayu memainkan peranan penting mencirikan pemikiran yang bertamadun. Banyak kosa kata dan makna bahasa Melayu membawa makna Islami.

Istilah seperti syurga, rasul, kitab, hadith, pahala, berkat, rahmat, dan sebagainya membantu ummat Melayu memahami hakikat kehidupan yang sebenar. Proses pengislaman melalui bahasa membuktikan alam pemikiran memerlukan bahasa untuk memahami suatu hakikat kebenaran. Bahasa Melayu telah membawa ummat Melayu dekat dengan kehidupan seorang Muslim yang sebenar. Hujah ini tidak popular di kalangan bukan Melayu, tetapi sekurangnya bahasa Melayu dikitiraf bahasa kebangsaan merentas etnik, kaum dan agama di Malaysia.

Maka PPSMI mesti dikembalikan ke bahasa Melayu. Sudah tiba masanya kerajaan tidak berdolak dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munsabah untuk menjustifikasikan PPSMI. Jangan sehingga saat akhir kerajaan yang disangka membawa syiar Islam, tetapi hakikatnya membawa dasar sekularisme dalam negara.

MOHD HILMI RAMLI

Wednesday, November 05, 2008

Barrack Obama vs Politik Malaysia.

BBC mengatakan kemenangan Barrack Obama sebagai 'A Historic Victory'. Ucapan Obama selepas kemenangan yang meyakinkan untuk terpilih sebagai Presiden Amerika yang baru sangat memukau. Lautan manusia membanjiri padang untuk mendengar ucapan sulung Obama.

Karisma ucapan beliau menjerit memberitahu agenda besar negara beliau. Ada yang menitis air mata, ada yang melompat kegembiraan, ada yang tergamam, ada yang terharu, dan pelbagai warna perasaan lautan manusia. Slogan New Dawn for United States menangkap imaginasi rakyat Amerika. Ketika berucap, beliau mengatakan, ..."to Mc Cain... Mc Cain fought hard and long for this campaign,...and it is harder and longer for the country that he loves, he has indured sacrifice for America,..I congratulate him, and governor Palin for all they achieved, I look forward to work with them, renew this promise nation into mountain heat...". Ini kematangan politik di sana.

Di Malaysia kita sangat malang kerana mempunyai ahli politik yang tidak matang malah tidak berwawasan. Banyak kerosakan berlaku kerana kejahilan ahli politik. Dewan Parlimen menjadi 'sarkas' kerana sikap ahli politik yang takut untuk berdebat. Banyak angkara ahli politik yang menjahanamkan batu asas negara. Soal Bahasa Melayu, soal masa depan agama Islam, kuil dirobohkan, rasuah, skandal seks, sentimen bangsa yang sempit, hukum rimba ISA dan pelbagai lagi.

Tidak ada semangat kerjasama erat dan kesefahaman antara pemerintah dan pembangkang. Permainan politik mereka ialah 'zero sum game'. Wacana baru 'post- partisan' sepatutnya dibudayakan. Ungkap sdr Yusmadi ('Obama' Malaysia) dalam satu forum di sebuah universiti. Apa salahnya pemimpin Melayu berlapang dada dan menumpukan agenda memperkasa agama dan bangsa? Apa salahnya pemimpin Melayu duduk semeja membincangkan agenda ekonomi dan perpaduan bersama?

Sepatutnya politik di Malaysia lebih matang dan berwawasan, kerana majoriti kita adalah orang Islam. Malu kita kerana mempunyai pemimpin yang tidak bermaruah. Sudah terang lagi benderang, pemilihan bahagian parti penuh dengan jijik rasuah dan 'menjilat' pemimpin. Kasihan bagi individu yang baik dan berpelajaran untuk berjuang, kerana ditolak mentah- mentah oleh majoriti yang korup.

Nampaknya lingkaran pemimpin yang keliru masih berputar. Ini akibat kekeliruan ilmu dan 'loss of adab' yang diungkap oleh Prof Naquib Al Attas.

Nampaknya, masa depan negara masih kelam. Jika New Dawn dan Change! di Amerika tidak mustahil, di Malaysia bagaimana?

Tuesday, October 14, 2008

Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Seperti sudah menjadi tradisi, Wacana Pemikiran menjadi program yang evergreen. Wacana yang bertujuan mengupas idea, berkongsi sejarah hidup dan seterusnya mengakar umbikan personaliti atau tokoh di kalangan masyarakat. Tokoh yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat lebih bermakna sekiranya beliau meninggalkan khazanah berharga kepada ummat, seperti kitab- kitab, anak murid yang berdedikasi, serta manhaj dakwah yang boleh dimanfaatkan oleh ummat Islam secara keseluruhan.

Pada 12 Oktober yang lepas, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yayasan Sofa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menganjurkan Wacana Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani. Bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta, berjaya mengumpulkan hampir 1,200 peserta. Wacana dirasmikan oleh Dato' Hj Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Nama Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani memang jarang didengari oleh ummat Islam di Malaysia. Nama tokoh seperti Sheikh Yusuf Al Qaradwi, Sheikh Ramadan Al Buti, Sheikh Taha Jabir Al Wani, Prof Ismail Faruqi, Hassan Al Bana serta ramai lagi memang sudah popular di Malaysia. Banyak karya mereka sudah bertebaran dalam negara ini, malah menjadi silibus pengajian di sekolah atau universiti. Ada juga idea dan manhaj berfikir beliau menyerap ke dalam pemikiran ummat Islam di sini.

Sayyid Muhammad merupakan seorang ulama besar yang lahir di tanah Haram Mekah. Kelahiran beliau ibarat sebutir permata yang menyinari muka bumi. Berketurunan mulia, sehingga beliau berkata dengan penuh syukur dan nikmat, "Daripada ayahandaku, kemudian nendaku, dan seterusnya sampai kepada Rasul Sallahu'alaihi Wasalam yang terpilih, adalah penghulu dan orang alim". Beliau mewarisi sifat seorang ulama daripada ayahanda beliau sendiri, Sayyid 'Alawi yang juga ulama terkenal di Mekah.

Kenapa ummat Islam di Malaysia perlu berkenalan lebih lanjut dengan tokoh ini? Sebenarnya banyak mutiara berharga boleh dikupas oleh tokoh besar ini. Malah, ummat Islam di sini harus bersyukur kerana sentiasa diberi nikmat dan rezeki untuk terus mengenali tokoh- tokoh ummat yang berjasa. Tidak rugi rasanya jika kita memperkayakan lagi kamus kenalan kita bersama ulama ulung di muka bumi ini. Beliau telah meninggalkan anak murid yang ramai di Malaysia, termasuk 'zuriat' yang paling dikasihi beliau, sehingga dianugerahkan gelaran keluarga 'Al Maliki' kepada anak muda yang bernama Muhammad Fuad Kamaluddin. Beliau, Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al Maliki adalah antara anak murid yang paling setia dan disayangi oleh beliau.

Ummat Melayu harus bersyukur kerana mempunyai anak muda, yang juga ulama muda yang bernama Muhammad Fuad ini. Berasal dari Rembau, baru berumur 34 tahun. Pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan 2006. Beliau merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, dan menguruskan juga sebuah madrasah di Rembau. Telah menghasilkan lebih seratus buku mengenai agama, terutamanya terjemahan kitab gurunya. Dalam kesibukkan ummat Islam di Malaysia lebih mengangkat artis, ahli sukan atau sesiapa sahaja sebagai idola, sepatutnya beliau harus menjadi tokoh yang perlu diperkenalkan kepada generasi muda terutamanya.

Dr Sideq Fadzil pernah berkata, "Kita kebanjiran idola, tetapi kemarau tauladan". Jika bertanya kepada anak muda, mereka lebih mengenali artis dan ahli sukan, yang belum pasti memberi tauladan yang baik kepada mereka. Ada di kalangan mereka yang baik dan boleh dijadikan tauladan, tetapi ramai yang tidak. Maka tidak boleh untuk kita memarahi anak muda yang menimbulkan masalah kerana terpenggaruh dengan idola mereka itu.

Sayyid Muhammad 'Alawi telah mewariskan manhaj yang boleh ummat Islam di sini manfaatkan. Yang pertama ialah manhaj bersanad yang sekian lama menjadi amalan penuntut ilmu. Budaya bersanad ialah kita memastikan ada silsilah atau ikatan lansung ilmu atau amalan yang kita buat sehingga sampai ke Baginda Sallahu'alaihi Wasalam. Budaya berijazah dalam menuntut ilmu juga boleh memberi keberkatan dalam ilmu. Sheikh Fuad dalam sebuah biografi beliau "Sheikh Fuad yang Aku Kenali" mengatakan, beliau menuntut di Tanah Arab tidak terlalu lama, tetapi kerana keberkatan sanad dan ijazah oleh guru beliau, beliau terasa keberkatan ilmu itu.

Yang kedua ialah manhaj dakwah dan pemikiran beliau. Pendekatan sederhana (Wasatiyah) ialah pendekatan terbaik yang selari dengan ajaran Islam. Apabila kefahaman akidah dan ibadat diperkuatkan dengan amalan kerohanian, mesej dakwah yang mahu dibawa boleh menyentuh hati ummat. Amalan zikir, hizib serta tazkiah nafs menjadi kewajipan bagi beliau. Sayyid Muhammad dalam aspek pemikiran fiqh sebagai contoh, walaupun bermazhab Maliki, tetapi beliau sendiri pakar dalam empat mazhab. Beliau berkata "Saya adalah 'anak' kepada mazhab yang empat". Tidak timbul sepatutnya fahaman tidak bermazhab atau membuta tuli ketika mengeluarkan hukum. Benarlah seperti apa yang terkandung dalam buku Sheikh Yusuf Qaradawi, Kaifa Nata'amal Bil Khilaf Mazahib (Bagaimana Beramal dengan Kepelbagaian Mazhab), orang yang faham kepelbagaian mazhab akan berkurang pertengkarannya.

Yang ketiganya ialah kegigihan menuntut ilmu. Sayyid Muhammad yang lahir dari keturunan yang mulia telah menyempurnakan Ijazah Kedoktoran dalam bidang hadith dari Universiti Al Azhar denga keputusan Mumtaz ketika berusia 25 tahun. Tesis tersebut mendapat pujian dan sanjungan besar ulama besar Azhar, seperti Imam Muhammad Al Sayis, Sheikh Muhammad Abu Zahu dan lain- lain. Dikatakan beliau menghafaz Al Quran ketika berusia tujuh tahun dan menghafaz kitab Al Muwatta' ketika berusia 15 tahun. Beliau mendapat jolokan 'Muwatta'' berjalan kerana kepakarannya mengenai kitab hadith yang unggul ini. Dalam konteks hari ini, sangat mustahil untuk bertemu dengan ulama seperti beliau.

Yang keempat ialah kecintaan mendalam terhadap ilmu. Sheikh Fuad dalam buku Manaqib Tiga Permata Masjidil Haram mengatakan, Sayyid Muhammad berkata: "Sesungguhnya aku tidak mampu hidup tanpa mengajar. Aku tidak merasa gembira bahkan semasa bermusafir kecuali dengan menyampaikan ilmu dan menghadiri halaqah- halawah ilmu". Beliau juga amat cintakan ilmu dan melipatgandakan usahanya dalam bidang keilmuan. Kerehatan dan ketenangan baginya ialah apabila memenuhi waktunya dengan ilmu. Apakah makna kerehatan bagi kita pula? Mungkin menonton wayang, membeli belah, menghisap rokok dan sebagainya.

Bukan setakat cinta kepada ilmu, tetapi memuliakan ilmu dalam erti kata sebenar. Bagi Sayyid Muhammad, ilmu merupakan suatu perkara yang amat mulia dan berharga. Ia tidak sepatutnya diletakkan melainkan di tempatnya dan tidak sepatutnya diberikan kepada orang yang tidak layak (busuk hatinya atau tidak ikhlas). Oleh itu bukan mudah seseorang itu layak diterima belajar di madrasahnya yang berkat. Sehinggakan, beliau mewajibkan anak muridnya supaya menunaikan solat sunat Istikharah sebelum memulakan pengajian. Beliau sering berkata,"Saya tidak akan menerima seseorang itu belajar dengan saya kecuali dengan isyarat (daripada Allah)".

Sayyid Muhammad telah meninggalkan warisan kitab beliau, hampir 100 buah kita dalam pelbagai disiplin. Antara kitab yang paling masyhur ialah Mafahim Yahibu an Tusohhah (Kefahaman yang Wajib Dibetulkan) yang telah mendapat pujian lebih kurang 50 orang ulama Islam seluruh dunia Islam. Beliau sendiri menganggap buku tersebut sebagai suatu yang istimewa, dengan berkata,"Kitab karangan saya yang paling akrab dengan saya ialah Mafahim Yahibu an Tusohhah". Buku ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Beliau meninggal dunia pada waktu sahur hari Jumaat, 15 Ramadan 1425 bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun. Ketika dibawa jenazah beliau, ratusan ribu manusia mengiringi ke kubur, dengan tangisan, takbir dan tahlil. Sheikh Sayyid Thantawi, Sheikh Al Azhar menyatakan kesedihannya, "Kewafatan Sheikh Maliki bukan sahaja merupakan kehilangan bagi Kerajaan Arab Saudi, tetapi kehilangan bagi seluruh alam, ummat ini dan negara- negara Islam".

Wacana pemikiran yang dianjurkan ABIM, Yayasan Sofa, JAWI dan PKPIM merupakan satu permulaan awal ke arah memperkenalkan tokoh ini. Ummat Islam di Malaysia harus terus membuka ruang untuk terus memahami khazanah berharga yang telah beliau wariskan. Generasi muda terutamanya harus berjinak- jinak dengan tokoh seperti Sayyid Muhammad, supaya bertemu dengan 'idola' yang sepatutnya. Kehadiran anakanda beliau sendiri, Sheikh Sayyid Ahmad bin Muhammad 'Alawi Al Maliki Al Hasani ke wacana ini memberi mesej bahawa usaha dan ilmu beliau harus diteruskan di sini. Bumi Malaysia sebenarnya bertuah kerana masih dizinkan Allah untuk menerima tempias keberkatan ulama seluruh dunia.

Monday, September 29, 2008

Eid Mubarak 1429

Esok Syawal bakal menjelma. Tiada yang paling menggembirakan selain dapat meraikan hari kebesaran ini bersama keluarga dan saudara mara. Kita mendoakan supaya Ramadan yang bakal melabuhkan tirai nanti merupakan Ramadan yang terbaik bagi kita. Dan Insyallah, kita mendoakan supaya tahun depan kita berjumpa dengan Ramadan yang mulia ini.

Situasi negara masih tidak stabil. Politik semasa masih tidak menentu. Harapan Baru yang ingin dibawa masih belum tercapai. Debaran rakyat semakin kencang. Walau apa yang melanda, sebagai individu kita harus memandang positif ke hadapan.

Apatah lagi situasi ekonomi dunia. US telah menyuntik sejumlah bail out yang besar RM700 billion untuk menyelamatkan ekonomi US. Bila diperhati secara halus, ini adalah petanda kegagalan ekonomi US yang berfalsafahkan Neo- Liberalisme. Dasar mereka yang mem'pertuhan'kan dasar ekonomi terbuka, tiada campur tangan kerajaan dan mengangkat keuntungan maksimum tanpa pertimbangan pahala dan dosa mengakibatkan ekonomi mereka ranap hampir musnah.

Hakikatnya, bail out RM 700 billion yang dikeluarkan oleh US itu hanya kertas kosong, tidak ada sandaran kekal, seperti emas. Duit berbillion itu berlegar dalam ekonomi US dan tidak lain hanya wang kosong. Akibatnya hutang semakin membelit US. Umpama saudara yang ada mesin mencetak wang kertas Dollar, kemudian mencetak berbillion- billion keping dan saudara sendiri yang memberi nilai sekeping wang kertas dengan satu dollar. Semudah itu sahaja.

Sudah lah kertas kosong, kemudian dengan kertas kosong itu boleh diniagakan. Sebagai contoh, jika saudara meminjam wang (Loan) dari Bank sebanyak RM 100, dan harus membayar balik RM 10 secara beransur- ansur selamat bebearapa bulan. Sekiranya tersangkut (default) saudara boleh didenda 10% berganda daripada pinjaman asal (capital). Maka RM 100+RM****. Bayangkan dengan RM 100 sahaja yang dipinjamkan, tetapi puak kapitalis berjaya 'membenihkan' beberapa RM atas nama denda lewat. Ini adalah Riba yang terang dan nyata diharamkan Allah Ta'ala.

Dalam konteks itu, Perbankan Islam adalah alternatif terbaik. Dalam Perbankan Islam, tidak ada mengiktitraf wang kertas sebagai komoditi yang boleh diniagakan. Wang adalah alat untuk berjual beli. Itu sahaja.

Apa- apa pun, Syawal makin menampakkan wajah. Tiada mulia yang boleh diucapkan saat menjelma Syawal ialah minal' 'aidil wal fa'izin, Kullu 'Am Wa antum Bikhair, Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah Ta'ala memberkati hidup kita dan memberkati sepanjang sebulan Ramadan yang baru berlalu.

30 Ramadan 1429
30 September 2008

5.18 petang
Seri Manjung, Perak

Saturday, September 27, 2008

Ramadan Menjaga Pemikiran Kita

Bulan Ramadan hampir ke penghujung. Beruntung bagi sesiapa yang memanfaatkan sepanjang Ramadan untuk beribadat dan memohon keampunan. Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi Ramadan juga menjaga pemikiran kita. Ada artikel menarik juga oleh Adian Husaini.

Bercakap tentang pemikiran ketika bulan Ramadan, ada dua buku yang saya ingin kongsikan. Alhamdulillah, memang Ramadan bulan terbaik untuk kita cerdaskan akal dan rohani kita dengan perkara keilmuan dan amalan kerohanian. Masakan tidak, ketika berlaparlah kita mudah untuk 'menghadam' ilmu. Agak mustahil ketika kenyang untuk menghadam ilmu. Sebab itu ada ulama mengatakan, "Perut yang kenyang menjaga nafsu, perut yang lapar menjaga ilmu". Ketika Ramadan, kerap juga 'ziarah' Kinokuniya untuk membelek buku. Ada teman yang menjadi 'sparing partner', sdr Sosialis Kanan yang turut mempanjangkan lagi diskusi akal tentang buku- buku dan isu- isu ilmiah di Kinokuniya.

Buku yang saya kongsikan pertama ialah Bad Samaritans: The Guilty Secrets of Rich Nations & The Threat To Global Prosperity oleh Ha- Joon Chang. Beliau orang Korea, bekas pensyarah bidang ekonomi di Canbridge, pernah bekerja di Bank Dunia dan pelbagai pengalaman dalam bidang ekonomi. Buku ini bagus bagi sesiapa yang berminat mengetahui selok belok perjalanan ekonomi dunia yang direncanakan oleh kelompok Neo- Liberal. Blog Sosialis Kanan boleh menghuraikan lanjut tentang agenda Neo- Liberal ini.

Secara umum, banyak kegiatan ekonomi hari ini berlandaskan falsafah 'free- trade and market'. Ini dipelopori terutamanya oleh negara bertaraf kaya seperti US, UK, dan lain- lain. Yang menjadi masalah ialah apabila melalui agen 'Unholy Trinity (IMF, World Bank dan WTO), agen ini memasang konspirasi di negara membangun atas nama ingin membantu. Perangkap samar agen ini sebenarnya ialah untuk memastikan negara membangun (baca: miskin) terikat dengan dasar berat sebelah agen ini.

Sebagai contoh, jika dasar 'free trade dan market' dipaksa ke negara Malaysia, yang hakikatnya kita sedang membangun, maka banyak peniaga tempatan akan bungkus. Ini boleh dilihat sedikit demi sedikit apabila melalui nama Foreign Direct Investment (FDI), syarikat multinasional seperti Tesco, Giant, Carrefour dan lain- lain 'membaham' peniaga- peniaga kecil'. Maka mereka hilang sumber pendapatan. Bagi mereka, negara membangun harus bersedia berdiri tanpa 'tongkat dan subsidi' demi mencapai kemajuan ekonomi. Untuk memacu ekonomi negara yang pesat, negara membangun harus melaksanakan 'dasar langit terbuka' secara total.

Mereka (baca: negara kaya) sebenanya hipokrit, kerana hakikatnya mereka ketika mula- mula hendak membangun, sebenarnya lebih ketat dalam dasar ekonomi negara mereka. Sehingggakan dilaporkan, berpuluh tahun dasar tertutup US ketika 1889 untuk tidak membenarkan ada pemilik saham asing memiliki 'share' dalam mana- mana bisnes di US.

Penulis juga mengaitkan perubahan ekonomi berkaitan dengan perubahan sikap. Jika 'kemalasan' dikaitkan dengan orang negara membangun, manakala rajin ialah sikap utama orang negara maju sebenarnya adalah kesilapan besar. Faktor yang mendorong ada persepsi 'rajin' kepada orang negara maju ialah kerana faktor industri sebenarnya. Apabila negara berindustri, maka banyaklah kemajuan dicipta. Kemajuan boleh dilihat melalui pembangunan, kecanggihan teknologi dan sikap profesionalisme. Maka apabila mereka ada 'industrial revolutionary factor' itu, maka persepsi mereka rajin timbul.

Manakala negara miskin, yang hanya membajak sawah dengan kerbau dikatakan 'malas' Walhal mereka dipersepsikan 'malas' bukan kerana si kerbau itu, tetapi keadaan ekonomi yang tidak pesat dan tiada tuntutan mengejar material keterlaluan menyebabkan mereka boleh berehat selesai membajak. Paling kurang akan menyambung tugas di kebun, berehat bersama keluarga dan malam bersandar di beranda rumah sambil menghisap rokok. Ini persepi yang dibentuk oleh faham Neo- Liberal supaya akhirnya kita mengikut jejak langkah mereka.

Saya menggalakkan buku ini menjadi salah satu silibus pembacaan kita dari sehari ke hari.

Kemudian buku kedua yang masih dalam pembacaan ialah Tahafut Al- Falasifah, oleh Imam Al Ghazali dalam Bahasa Inggeris. Walaupun agak teragak- agak untuk mencapai buku ini dan membayar di kaunter Kinokuniya, tetapi memberanikan diri juga. Bukan kerana apa, isi yang padat dan mendalam membuatkan perlu ada guru yang membimbing. Buku 'Tahafut Al- Falasifah' sudah lama menjadi antara buku yang wajib dibaca, Alhamdulillah ada juga kekuatan untuk membaca.

Memandangkan masih dalam proses membaca, secara umum Tahafut adalah buku 'magnum opus' Imam Al Ghazali yang ditulis selepas Maqasid Al Falasifah. Nama Imam Al- Ghazali tidak perlu diperkenalkan lagi. Buku Tahafut merupakan renungan tajam beliau tentang beberapa kesesatan ilmu falsafah. Buku Tahafut kemudian di'serang balas' oleh Ibn Rushd, dengan tajuk buku 'Tahafut At- Tahafut'.

Insyallah, jika ada kelapangan saya akan berkongsi kandungan buku Tahafut ini. Kalau sdr sudah membaca, boleh membantu saya memahami dengan lebih baik;) .


Apa- apa pun, Ramadan semakin melabuhkan diri, masih ada pelang untuk kita bertaubat dan memohon keampuan kepada Allah Ta'ala.

Sunday, September 21, 2008

September 98 dan Iktikaf

Pada 20- 21 September, Sabtu dan Ahad ada program Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) anjuran PKPIM di Masjid Negara. Program Miftah adalah program ihya' Ramadan PKPIM setiap tahun. Rupanya MIFTAH kali ini ada kenangan yang paling bermakna.

Semalam, Sabtu 20 September, tiba- tiba saya diingatkan peristiwa 10 tahun lepas, 20 September 1998. Lautan manusia berhimpunan menyatakan protes. Laungan reformasi memecah hening angkasa kawasan Masjid Negara. Walaupun saya masih tingkatan empat ketika itu, tetapi bahang September 98 terasa sehingga ke sekolah. Manakan tidak, risalah- risalah diseludup secara 'haram' ke sekolah- sekolah, menceritakan perihal sebenar September 98.

Namun, 10 tahun sudah berlalu. Banyak peristiwa telah berlaku. Apakah sejarah September 2008 akan merealisasikan perubahan yang diminta 10 tahun lepas? Wallahualam, kita doakan yang terbaik kepada negara kita ini.

...............................................

Sekarang kita berada dalam tempoh sepuluh Ramadan terakhir. Pejam celik, Ramadan semakin menghampiri ke penghujung. Adakah kita benar- benar telah merasai nikmat beribadah dalam bulan Ramadan? Jika belum, sebenarnya masih tidak terlambat.

Iktikaf adalah sunnah Baginda Sallahu'alahi Wasalam ketika masih hidup. Dikhabarkan Baginda sepanjang hidupnya, apabila berada di penghujung Ramadan, akan beriktikaf di masjid. Baginda beriktikaf sehingga hari kewafatan Baginda. Dikhabarkan juga, kerana rumah Baginda yang bersebelahan masjid (Masjid Nabawi) beliau akan meninggalkan rumah dan beriktikaf di masjid. Sehingga ada ketika Baginda meminta 'Aishah untuk menyikat rambut Baginda dengan Baginda menghulurkan kepala melalui tingkap rumahnya. Ini kerana menggelakkan daripada hilang pahala iktikaf.

Tujuan iktikaf ialah untuk kita meninggalkan keseronokan dunia sementara. Inilah masanya kita menumpukan sepenuh perhatian untuk mengadap Allah Ta'ala dengan bersungguh- sungguh. Jika diberi pilihan, orang kita lebih gemar untuk ber'shopping' sepanjang minggu akhir Ramadan. Mereka tidak berminat untuk mencari pahala sepuluh Ramadan terakhir.

Ada fadilat lain juga iaitu turunnya Lailatul Qadar, malam yang penuh dengan keberkatan. Agak mustahil jika kita mahukan pahala sepanjang seribu bulan= 83.33 tahun dengan istiaqamah beribadat. Sebab itu Allah yang Maha Pemurah mengurniakan kita keberkatan satu malan bersamaan dengan seribu bulan.

Akan tetapi, ramai yang tidak sedar dengan fadilat Ramadan ini, apatah lagi sepuluh Ramadan terakhir. Kadang- kadang kasihan melihat ummat Islam yang tidak tersentuh dengan kerahmatan yang Allah Ta'ala kurniakan. Ada yang malam Ramadan seperti malam- malam biasa. Tidak langsung tergerak untuk qiamulail.

Ada yang siang Ramadan tidak seperti orang berpuasa. Berpuasa, tetapi mengumpat saudara seIslam. Sebab itu Baginda ada bersabda, maksudnya "Tidaklah puasa itu menahan diri lapar dan dahaga, tetapi menahan diri dari berkata- kata lagha (sia- sia) dan maksiat". Ada yang berhasad dengki, hati busuk dan langsung tidak insaf dengan keburukan akhlak yang dimiliki.

Sebab itu sepuluh Ramadan terakhir ialah hari yang unik dan berkat. Marilah kita bersama- sama mengisi sepuluh Ramadan terakhir dengan rajin- rajin beriktikaf di masjid, mencari Lailatul Qadar, beribadat khusus kepada Allah dan memohon keampuan dari Allah Ta'ala. Insyallah...

Monday, September 15, 2008

Bahasa Kebangsaan sebagai Kuasa Penyatu

Bulan Ramadan bulan berperang. Bukan sahaja berperang hawa nafsu, tetapi berperang sikap, idea dan ideologi. Bukan mudah untuk pertahankan prinsip kita sekiranya tidak ada persiapan yang lengkap.

Isu yang sentral ialah isu peralihan kuasa. 16 September sudah menjelma, tetapi tidak ada bayang- bayang kerajaan baru ambil alih kerajaan. Mungkin belum masanya, tetapi keyakinan itu macam ada.

Tidak lupa juga isu Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Bergelora kembali. Pak Menteri mengatakan hujung tahun akan dinilai kembali. Polemik ini terus berpanjangan. Sudah banyak desakan dan tekanan dilontarkan kepada kerajaan, namun tidak ada tindakan susulan. Itulah akibatnya dasar dan masa depan pendidikan dicatur oleh orang politik yang pragmatis. Apa sahaja keuntungan 'short- cut' akan dicapainya. Akhirnya menjadi mangsa ialah generasi muda hari ini.

Ramai yang menyokong diteruskan dasar PPSMI ini. Bagi mereka;
1- BI sebagai bahasa antarabangsa
2- Tidak perlu menjadikan pelajar bahan kajian
dll

Kita katakan, BI bukan diabaikan sebagai bahasa utama dunia. Bahkan BI harus menjadi bahasa wajib dipelajari secara berkesan demi bersaing di peringkat antarabangsa. Namun, men'dewa'kan BI sehingga tenggelam peranan dan kuasa Bahasa Melayu adalah sukar diterima.

Ada beberapa jenayah bahasa telah dilakukan oleh kelompok yang konon dikatakan 'modernis' ini, tetapi jahil 'murakkab'. Antaranya;
1- Menukar Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia
2- Menghapuskan bahasa baku
3- Memandulkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
4- Menukar subjek Matematik dan Sains dalam BI
5- Meletakkan bahasa Cina sebagai papan tanda di Pulau Pinang
6- Menghapuskan tulisan Jawi
7- Pemimpin bercakap bahasa rojak di tempat awam
7- Macam- macam lagi

Pokoknya, mereka jahil dan angkuh dengan kedudukan Bahasa Melayu, yang telah dikitiraf dalam Perlembagaan Negara 153. Apakah mereka jahil? Apakah mereka buat- buat tidak tahu? Wallahualam. Ada juga yang mencadangkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa utama komunikasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Satu tragedi 'bahasa' telah berlaku.

Ini dilema yang dihadapi oleh mereka yang menjuarai idelogi 'Malaysian Malaysia'. Jika bicara bahasa kebangsaan masih kalut, bagaimana mereka mahu menjadi rakyat Malaysia yang tulen? Ada yang sudah lebih 50 tahun tinggal di Malaysia, tetapi bercakap dalam bahasa kebangsaan masih tidak kemas. Apakah ini imej 'bangsa Malaysia' yang kita mahukan?

Sekali lagi dalam kekalutan peralihan kerajaan yang diramalkan berlaku tidak lama lagi, seharusnya perlu ada persediaan yang boleh mengikat kebersamaan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, yang berkongsi harapan baru ini. Tidak dinafikan, ada orang Melayu- Islam, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Masing- masing ada latarbelakang sejarah tersendiri. Masing- masing mempunyai world view dan nilai hidup yang tersendiri. Tetapi ada satu ikatan yang kuat boleh menyatukan mereka, iaitu bahasa kebangsaan.

Maka, bakal pemimpin sekarang (Jika mahu bertahan) atau pemimpin masa depan (Jika mahu berkuasa) harus melihat agenda memperkasa dan mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa teras yang perlu dikuasai oleh semua rakyat. Jika tidak, akan sama seperti 'rejim' yang telah melakukan jenayah bahasa. Bacalah karya Prof Naquib Al Attas tentang kepentingan bahasa Melayu.

* Sambutan Bulan Bahasa dan Sastera anjuran DBP yang diadakan September setiap tahun agak muram dan tenggelam. Mungkin ura- ura 16 September dan sambutan Ramadan.
** Kenyataan Akhbar terbaru kumpulan pendesak dalam isu PPSMI: MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT(12 SEPTEMBER 2008 / 12 RAMADHAN 1429H)

Sunday, August 31, 2008

RAMADAN KAREEM 1429

Alhamdulillah...saya dapat bertemu dengan Ramadan kembali. Bukan En Ramadan yang bekerja di Affin Islamic. Ataupun 'Ramadan', nama seekor anjing yang diberi nama dan dibela oleh Hishamuddin Rais.

Tetapi saya bertemu dengan bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kenikmatan beribadah. Saya terharu dan bergembira, sehingga bergenang air mata kerana dikurniakan bulan Ramadan sekali lagi. Alhamdulillah, doa saya dan umat Islam yang lain, "Allahumma Barik Lana fi Rajab, Wa Sya'ban, Wa Ballighna Ramadan' dimakbulkan oleh Allah Ta'ala.

Siapa yang tidak gembira kerana bulan Ramadan menjelma. Para sahabat bergembira dan berpesta ibadat apabila Ramadan datang. Apabila Ramadan melabuhkan diri, para sahabat menangis sedih kerana takut- takut tidak berpeluang menemui Ramadan akan datang.

Bukan mudah untuk menemui satu bulan yang penuh barakah dan kenikmatan beribadah ini. Mungkin ada insan yang tidak merasa apa- apa Ramadan menjelma. Sungguh malang orang ini. Ada juga yang benci kerana Ramadan datang, kerana mereka tidak boleh berhasad dengki dan syak wasangka sesama umat.

Pokoknya, Ramadan adalah bulan yang barakah dan manfaat. Setiap detik perbuatan dan niat kita dikira amal ibadat di sisi Allah. Marilah kita bergelumang dengan bulan Ramadan ini dengan aktiviti ibadah ikhlas kepada Allah.

Selepas melalui episod fitnah demi fitnah, ketika MPAT, konsert Avril yang dimanipulasi, perang 'faham Salafi- Wahabi' dan pelbagai lagi. Penat kerana melalui lingkaran fitnah yang berleluasa. Memang, bukan mudah untuk melalui semua ini, sekiranya tidak kuat mujahadah dan berdoa kepada Allah. Fitnah zaman Nabi lagi teruk.

Esok, Insyallah kita akan berpuasa. Saya mengucapkan semua agar dapat berpuasa dengan penuh keImanan dan ketaqwaan. Jadikan bulan Ramadan ini bulan terbaik sepanjang hidup kita. Selamat Berpuasa. Ampun dan Maaf dipinta.

Monday, August 11, 2008

ILMIAH TIDAK SEMESTINYA TERBUKA

Forum terbuka anjuran Majlis Peguam Malaysia umpama ‘bom jangka’ yang meletus akibat kedegilan penganjur. Pihak kerajaan, NGO dan masyarakat awam telah awal- awal menasihatkan supaya forum terbuka membincang urusan agama Islam dibincang oleh bukan Islam supaya dibatalkan. Pemimpin negara ada memberi komen dalam media supaya forum dibatalkan. NGO pula ada yang menghantar memorandum.

Akhirnya kita boleh lihat apabila kemarahan meluap masyarakat umat Islam apabila dengan kuasa bantahan demonstrasi menyebabkan forum diberhenti awal. Itu pun selepas campur tangan secara langsung wakil NGO dalam forum tersebut.

Seharusnya perkara begini boleh dielak awal- awal sekiranya penganjur rendah diri dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat umat Islam di negara ini. Dengan forum ini, tersingkaplah persepsi umum bahawa Majlis Peguam Islam sebenarnya terlalu ego dan bongkak, malah cuba untuk ‘bermain api’ dengan masyarakat Islam kerana tidak sensitif. Apabila persepsi negatif ini sudah melekat, maka agak sukar untuk mendapat kepercayaan masyarakat Islam terutamanya kepada Majlis Peguam ini. Bahkan, ini bukan kali pertama mereka berdegil menganjurkan forum secara terbuka. Pada Jun lepas, mereka secara terbuka menganjurkan forum membincangkan tentang Kontrak Sosial.

Sebelum itu, Naib Presiden Majlis Peguam, K Ragunath telah menegaskan bahawa forum ini diteruskan juga walau menerima banyak bantahan, kerana forum ini ialah forum ilmiah, dan bertujuan mencari kebenaran. Namun demikian, apakah benar kebenaran boleh dicapai melalui forum terbuka dan dibincangkan oleh bukan yang pakar?

Persoalan mencari kebenaran dan wacana ilmiah merupakan usaha positif yang perlu diberi sokongan. Kita sememangnya menyokong penuh apa jua wacana ilmiah yang bertujuan mencari kebenaran. Ini sebenarnya semangat yang perlu kita pupuk.

Namun demikian, kita harus kritis dalam melihat niat di sebalik penganjuran forum itu. Mengapa dilakukan secara terbuka, sekiranya melibatkan isu sensitif? Mengapa orang bukan Islam mendominasi sebagai panelis? Mengapa keluarga terbabit dalam pertukaran agama dilibatkan sebagai peserta? Dan banyak lagi persoalan yang perlu dijawab.

Hakikatnya, tidak semua isu boleh diwacanakan secara terbuka. Malah tidak semua wacana mampu menghasilkan kepada keberjayaan mencari kebenaran. Ini kerana pertama isu sensitif perlu diwacanakan dalam forum tertutup dan keduanya untuk mencapai kebenaran perlu ada ‘alat’ untuk memahami kebenaran. Jika panelisnya bukan Islam, apakah mereka boleh menyampaikan kebenaran yang hakiki? Islam telah menggariskan syarat untuk keberjayaan wacana ilmu supaya akhirnya membuahkan hasil ilmiah dan mencapai kebenaran.

Pertama, kita harus memahami bahawa kebenaran dalam Islam adalah perkara yang mutlak. Kebenaran yang hakiki ialah apa yang telah digariskan oleh Allah, sebagai Tuhan yang Maha Pencipta. Sebagai contoh, hakikat mengenai ketuhanan, sudah termaktub dalam Al Quran dan Hadith Muhammad Sallahu’alaihi Wasalam mengenai kewujudan Allah sebagai Tuhan yang Esa. Contoh ayat “Katakanlah bahawa Allah itu Esa” (Ikhlas: 1). Bahkan ayat mengenai menyembah Allah yang Esa semata ada juga disebut. Menduakan Tuhan atau mensyirikkan sesuatu dengan Allah merupakan dosa besar yang tidak diampuni.

Kerana itu kebenaran mengenai Allah itu mutlak, dan tidak perlu lagi dipertikaikan. Dengan hujah wahyu dan Sabda Nabi sendiri telah mengesahkan kewujudan Allah sebagai Tuhan yang Esa. Kita tidak perlu bersandarkan kepada mana- mana firasat, akal, tilikan, sentuhan hati, ataupun ramalan tukang sihir untuk mengetahui Tuhan. Lainlah seperti cerita Hayy Ibn Yaqzan oleh Ibn Tufail, seorang ahli falsafah Muslim, sebuah cerita realiti seorang manusia yang bernama Hayy Ibn Yaqzan, yang sesat keseorangan di sebuah pulau. Berkawan dengan pokok dan haiwan, membesar dengan suasana persis ‘tarzan’, akhirnya menemui hakikat kejadian Tuhan.

Ahli falsafah berhujah bahawa memang akal sendiri mampu untuk mencapai kebenaran untuk tahu kewujudan Tuhan. Akan tetapi yang pasti, akan semata tidak akan kukuh melainkan wahyu sebagai sumber utama mengetahui kebenaran. Peranan akal ialah sebagai sumber sekunder untuk mencapai kebenaran.

Dalam konteks mencari kebenaran dalam isu perkahwinan melibatkan pasangan Islam, sudah pasti perlu bersandarkan kepada sumber agama Islam itu sendiri. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah perkahwinan atas perkiraan akal rasional kita sendiri. Sebagai contoh, apabila ada pasangan yang tidak serasi, Islam memperuntukkan jalan keluar kepada pendamaian, iaitu sama ada bermaafan antara satu sama lain ataupun bercerai sebagai jalan terakhir. Akal kita tidak mampu menghurai hikmah sebenar mengapa Islam memperuntukkan jalan keluar itu.

Timbul persoalan, apakah panelis bukan Islam boleh menerima hakikat akan kebenaran itu mutlak? Apakah mereka bersedia mengiktiraf bahawa ada sandaran hakiki yang perlu diberi keutamaan iaitu wahyu dan Hadis Nabi sebagai sumber utama untuk menyelesaikan masalah.

Bagi golongan sekular terutamanya, kebenaran bagi mereka ialah kebenaran yang relatif. Mereka tidak mengiktiraf bahawa kebenaran adalah mutlak. Relatif atau kenisbian kebenaran bagi mereka ialah bersandarkan suara majoriti masyarakat. Sekiranya majoriti masyarakat mengiktiraf hubungan homoseksual baik, maka golongan sekular akan mengiktiraf kebenarannya. Kerana itu wacana hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia amat rapat dengan wacana sekular.

Bagi mereka, mengiktiraf hak kebebasan untuk bersuara adalah rukun utama wacana sekular. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan idea atau pendapat. Mereka yang tidak mengiktiraf kebebasan mutlak ini akan dituduh sempit atau konservatif. Hatta dalam wacana sekular pun orang dungu atau jahil boleh memberi idea, demi mengangkat martabat hak kebebasan bersuara. Idea mereka ini boleh sahaja diterima sebagai ‘sebahagian kebenaran’, dan orang yang berbeza pandangan tidak boleh menuduh mereka ini sebagai ‘tidak benar’. Kebebasan mutlak mereka ini yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Walhal dalam Islam, proses mencari kebenaran harus melibatkan golongan berilmu atau faqih dalam bidang yang tersendiri. Pengkelasan wibawa ilmu dan kepakarannya juga diteliti dengan halus dalam Islam. Individu yang berilmu dalam Fiqh tidak akan berani mengupas ilmu Matematik yang beliau tidak tahu. Mereka takut dipertanggungjawabkan oleh Allah kerana mengeluarkan ilmu yang sesat nanti. Bahkan, seorang ahli sains Muslim yang beriman juga tidak mampu mengeluarkan fatwa yang melibatkan hal agama. Ini sebenarnya berakar konsep beradab dalam ilmu dalam Islam.


Secara tidak lansung mereka menolak autoriti. Autoriti bagi mereka sebagai ‘penjara rejim’ untuk kebebasan akal mereka berfikir. Manakala bagi Islam, menghormati wibawa autoriti adalah syarat utama mengetahui kebenaran.

Kebiasaannya proses mencari kebenaran golongan sekular tidak berjaya menemui titik akhir kebenaran hakiki. Hala tuju mereka caca merba serta bersilang sengketa, akibat faham kebenaran secara relatif dan tidak menghormati autoriti. Ini persis Tuhan Greek, Sisyphus. Tugasnya ialah menolak batu sehingga atas bukit, kemudian batu jatuh. Kemudian tolak balik batu, dan jatuh. Akhirnya penat dalam proses mencari kebenaran. Walhal kebenaran sudah terbukti. Mereka akan terus menggali kebenaran, jumpa kebenaran buang balik, gali kebenaran, jumpa kemudian buang balik. Akhirnya penat.

Ini yang dikatakan oleh Prof Naquib dalam magnum opusnya ‘Islam and Secularism’, pihak sekularis tidak akan berjaya menemui titik akhir kebenaran, kerana menolak autoriti dan bersikap relatif. Golongan sekular merupakan ‘seteru idea abadi’ yang bertentangan kutub dengan agama Islam. Prinsip Islam yang mengiktiraf kebenaran sebagai mutlak dan menghormati autoriti merupakan prinsip yang tidak ada dalam kamus wacana sekular.

Bahkan, sebenarnya sekularisme merupakan musuh kepada semua golongan agama, kerana menolak autoriti agama. Maka, forum terbuka anjuran Majlis Peguam Malaysia tidak lain merupakan pertentangan wacana sekular yang cuba mengacau hal ehwal umat Islam yang sudah jelas akan prinsip agamanya.

Thursday, July 03, 2008

KE MANA MALAYSIA?

Situasi politik bergelora kembali. Rupanya luka lama dan dendam kesumat 10 tahun lepas masih berdarah. Rupanya keputusan 8 Mac lalu telah membuka kota 'pandora'. Kota 'pandora' ialah kotak yang apabila dibuka maka terpancut kepala badut dan tali- tali berwarna. Maksudnya, dengan situasi baru politik negara, telah memuntahkan segala macam rencam dengan silang sengketa masalah. Tidak semestinya keputusan mengejut 8 Mac lalu berupaya mencorak politik baru Malaysia.

Apabila dua gajah bergaduh, maka rusa tersepit di tengah. Apabila pembesar terlalu berpolitik, rakyat jadi mangsa. Nampaknya, apabila situasi menjadi tegang sekarang ini, harapan rakyat untuk mengisi demokrasi baru ini semakin hampa. Rakyat banyak dijamu dengan pertembungan politik pembesar negara.

Semalam, pasukan tentera dan polis telah memulakan latihan kerjasama. Banyak cakap- cakap orang, sama ada boleh dipercayai ataupun tidak, mengandaikan akan berlaku huru hara negara. Akhirnya nanti, negara akan diisytiharkan darurat. Kita harus berdoa dan berkeras mempertahankan negara ini daripada timbul huru hara.

Membina sebuah negara yang baik mengambil masa 50 tahun, tetapi menghancurkan negara yang baik ini mengambil masa sejam sahaja! Justeru, kita memohon supaya:

1. Kerajaan mengambil sikap berhati- hati dan tingkatkan tahap keselamatan tertinggi, supaya tidak timbul keadaan yang tidak baik.

2. Pihak polis dan BPR tegas dalam setiap laporan salah laku yang telah dilaporkan, tidak mengira pembesar kerajaan atau tidak. Jika perlu, heret pesalah demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

3. Masyarakat tidak menyebar khabar angin yang belum dipastikan kebenarannya. Apatah lagi fitnah yang melibatkan dosa besar. Surah Hujrat: 6, harus menjadi panduan kita, apabila datang orang fasik membawa berita, maka tapislah. Masyarakat harus mendukung kebenaran dan keadilan berteraskan ilmu dan akhlak, bukan cakap- cakap fitnah. Janganlah kita menjadi ejen fitnah dan gosip. Nampaknya 'gosip' ahli politik mendahului senarai kontroversi gosip para artis.

4. Sebagai individu pula, kita harus perbanyakkan doa kepada Allah Ta'ala supaya menyelamatkan negara ini ditimpa musibah dan huru hara. Malah, pertingkatkan juga dengan solat hajat, puasa sunat dan beramal soleh, supaya dengan amalan baik ini, Allah Ta'ala menangguhkan (dengan takdir jua) dahulu jika ada musibah yang telah ditakdirkan kepada kita. Kita juga harus menyedarkan kepada ummat bahawa berapa banyak dalam tamadun ummat bahwa silang sengketa politik secara berlebihan telah menyumbang kepada kehancuran negara. Tidak dinafikan juga kehancuran negara ialah kerana sikap ahli politik yang rakus, perasuah, akhlak rendah dan sebagainya yang negatif. Tepuk dada, tanya Iman.

Wallahu'alam.

Tuesday, June 24, 2008

PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK

SIARAN MEDIA 24 JUN 2008/ 19 JAMADIL AKHIR 1429:
PKPIM BANTAH GANJARAN SATU JUTA SUKAN OLIMPIK


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000.

PKPIM membantah keras cadangan kerajaan untuk mempertaruhkan duit yang begitu mewah kepada atlet yang berjaya nanti. Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat.

PKPIM mempersoalkan, apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan? Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nnati?

Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh kerajaan. Dalam kesempitan hidup rakyat menanggung harga barang yang naik, kerajaan harus bijaksana menumpukan kepada kebajikan rakyat terbanyak.

Kerajaan tidak boleh membuat anggapan dengan ganjaran mewah itu atlet Malaysia mampu cemerlang dan konsisten dengan kecemerlangannya. Ganjaran mewah bukan jaminan atlet akan cemerlang. Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara.

Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara. Memberi ‘umpan’ mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara. Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat di’belai’ dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?

PKPIM menggesa supaya kerajaan membuat keputusan bijak dalam soal ganjaran ini. Tidak salah memberi ganjaran, tetapi biar berpatutan. Jika dalam situasi kesempitan hidup sekarang kerajaan meminta rakyat mengubah gaya hidup, maka kerajaan harus mengubah cara perbelanjaan duit rakyat. Malah atlet seharusnya dididik supaya perjuangan dalam sukan Olimpik adalah perjuangan mati dan hidup sukan negara, bukan bersandarkan ganjaran semata!

MOHD HILMI RAMLI
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malasyia (PKPIM)
BT 6 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

03- 61879520
019- 3068241

Thursday, June 19, 2008

Petronas Bukan Kambing Hitam

Minyak naik menyebabkan semua marah dan geram. Petronas menjadi 'kambing hitam' untuk rakyat lepas kemarahan. Sebenarnya ramai yang tersilap menghala kemarahan kita. Petronas bukan punca kenaikkan minyak mendadak ini. Perarakan Jumaat lepas dari Kg Baru menuju Petronas juga menunjukkan ketidaktajaman kita membaca isu.

1.Don't ask Petronas how profits used, ask...
2. The role of petronas: Check your facts on the oil issue.
3. Mitos Tamadun Petroleum

Pada prinsipnya, saya tidak setuju jika kita tidak tajam melihat isu. Dalam fenomena kenaikkan minyak ini, Petronas tidak perlu di'kambing hitam'kan. Isu minyak naik memang isu global, suatu yang tidak boleh dielakkan. Dalam bisnes minyak pun, deal demand- supply menyebabkan minyak naik. Biasanya apabila demand (permintaan) minyak naik, maka supply (pengeluar) pun meningkat. Biasanya pengeluar minyak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga minyak apabila permintaan minyak terlalu banyak. Ada dua faktor saling berkait;

1. Demand minyak banyak sebab petrol menjadi bahan perusahaan dan kegunaan harian yang banyak oleh penduduk dunia. Plastik, minyak kereta dll menggunakan petrol. Peperangan Amerika di Iraq dan Afghanistan juga menyumbang kepada penggunaan petrol yang banyak. Semua menjadi faktor 'demand' minyak seluruh dunia.

2. Sesetengah negara pengeluar minyak mengambil kesempatan untuk 'reserve' simpanan minyak. Ini bertujuan supaya permintaan minyak melonjak- lonjak. Makanya harganya pun dinaikkan ke tahap yang tinggi. Ini spekulasi harga minyak yang dimainkan oleh sesetengah negara pengeluar minyak.

Isu kerajaan menaikkan harga minyak memang keputusan yang justifiable, sebab terpaksa bersaing dengan harga minyak sedunia. Semua negara menghadapi kenaikkan minyak. Yang menjadi persoalan kenapa mendadak, katanya Ogos dan 40% kali ganda? Cumanya, kita kena pisahkan dua perkara, isu global minyak naik dan governance kerajaan.


Isu minyak naik tidak boleh elak. Tetapi governance kerajaan kita boleh elak. Sebagai contoh, apabila 2006 kerajaan naikkan harga minyak, makanya sistem pengangkutan awam diperbaiki dan dipertingkatkan, rasuah tidak berleluasa, amalan kronisme tidak membarah, golongan miskin diberi perhatian. Akan tetapi semua perkara ini tidak diberi perhatian. Sekali lagi 2008 minyak naik. Makanya jika semua yang disebut di atas ditangani dengan baik, maka rakyat mungkin akan reda marahnya kerana minyak naik.

Jadi, antara cadangan yang diutarakan untuk menangani isu minyak naik ialah menjaga kebajikan rakyat. Sdr Sebol, mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi RM 50 kepada semua rakyat Malaysia, setiap bulan, termasuk yang tidak berkenderaan dan tak mampu bekerja.

Saya secara peribadi, melihat pemberian subsidi tidak banyak membantu mengurangkan kesusahan rakyat, apatah lagi dalam nilai yang kecil. Ini kerana;

1. Sepatutnya kerajaan menumpukan balik kepada asas governance; perbaiki mutu perkhidmatan awam, banteras rasuah secara perdana, amalkan pemerintahan telus bukan kronisme dan sebagainya. Mungkin jika kerajaan bersungguh dalam menangani isu governance ini, rakyat tidak terlalu marah dengan kenaikkan harga minyak ini.

2. Mekanisme pembahagian subsidi akan menghadapi masalah. Mungkin kerajaan sudah laksnakan seperti pemberian rebat tax bermula minggu lepas. Tetapi ibarat 'kita memberi pancing untuk menangkap ikan, bukan memberi ikan untuk memberi makan'.

Kesimpulannya, isu terbengkalai harus diutamakan dahulu, supaya dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah utama.

Masa dan Berjiwa Besar

Hari ini, Khamis 19 Jun, merupakan hari yang penat, tetapi seronok.2.30 petang, ada Mesyuarat Panel Shariah, Affin Islamic Bank. Agenda mesyuarat ialah membincangkan dokumen- dokumen penting, yang ingin mendapat 'fatwa' panel Shariah Affin Islamic.

5.00 petang pula, saya mengajar bahasa Arab untuk staf Affin Islamic. Kelas Arab yang masuk minggu kedua Alhamdulillah, mendapat respon positif oleh teman- teman sepejabat. Saya ucapkan syabas kepada mereka yang bersemangat untuk mendalami bahasa Arab. Dalam Islam, memahami bahasa Arab merupakan satu kewajipan. Kenapa saya mengatakan begini, kerana Imam Syafiee sendiri mengatakan bahawa sebagai umat Islam, kita harus memahami bahasa Arab, walau seminimum mungkin. Misalnya kalimah Shahadah yang kita ucapkan. Ataupun memahami makna doa dan bacaan solat kita.

Imam Syatibi pula mengatakan, jika mahu mengukur kefahaman Islam seseorang itu, lihat kefahamannya tentang bahasa Arab. Bukan bermakna orang Arab yang boleh bercakap bahasa Arab sudah jelas Islamnya. Yang penting faham dan hayati.

Hassan Al Bana sendiri menekankan supaya kita belajar bahasa Arab, kerana ia merupakan bahasa umat Islam. Bahasa inilah yang mengikat umat Islam keseluruhannya.

Kemudian, 9 malam, saya dijemput ceramah di pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya. Alhamdulillah, dapat berjumpa pelajar- pelajar baru. Apa yang ditekankan ialah tiga perkara iaitu supaya para pelajar belajar bersungguh- sungguh, terlibat dalam organisasi atau persatuan dan akhirnya peka dengan isu semasa. Pelajar yang cerdik dan pandai harus dibimbing idealisme mereka. Kita tidak mahu pelajar kita yang pintar, tetapi menjadi mangsa 'compartmentalization' sistem pendidikan kita.

Maksudnya, pelajar pintar di universiti, mendapat CGPA tinggi, kemudian kerja dan akan 'pakar' dalam bidang khusus itu sahaja. Mereka harus dikembangkan 'kepintaran' mereka, supaya akhirnya menjadi ilmuwan Islam. Ilmuwan soleh yang dilahirkan dahulu meninggalkan jasa besar kepada ummat, dari segi ilmunya, bukunya, anak muridnya, madrasahnya dan ideanya. Mereka tidak belajar kemudian bekerja semata. Tetapi kecerdasan akal mereka digunakan untuk memanfaatkan kepada seluruh umat Islam dan alam.

Ciri kejayaan Imam Shafiee, Imam Maliki, Al Juwaini, Imam Al Ghazali dan ramai ilmuwan Islam terdahulu adalah kerana kepelbagaian penguasaan ilmu yang dimiliki. Mereka tidak menjadi mangsa pengkhususan melampau akibat sistem yang terlalu 'compartmentalization'. Ini yang dikatakan oleh Jose Ortega Gasset sebagai 'The Barbaric of Specialization'.

Kerana itu pembinaan pelajar pintar kita harus berjiwa besar dan berpandangan jauh. Jika tidak, kita akan mengulangi tragedi Sufiah, yang pakar dalam Matematik, tetapi tandus moral. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai silang sengketa ilmu dan pada masa yang sama tawaduk, amanah dan ikhlas dalam amalan mereka.

Kesimpulannya, dalam ilmu kepimpinan, jika kita katakan kita terlalu sibuk, maknanya kita relevan dengan masa yang ada. Biasanya orang yang tidak 'sibuk' ini tidak pandai memanfaatkan masa. Malah, sebagai pemimpin, kita harus berjiwa besar dan berpandangan jauh. Dalam melahirkan ilmuwan Islam persis zaman dahulu, sistem pendidikan harus tidak terlalu 'mengkotak- kotakkan' disiplin ilmu, akhirnya nanti kita menjadi mangsa 'Barbaric of Specialization'.

Wallahualam.

Monday, June 16, 2008

Hubungan Antarabangsa

Dalam bulan ini, PKPIM menerima tiga jemputan ziarah oleh delegasi antarabangsa. Ini merupakan tradisi gerakan pelajar, bahawa hubungan sesama organisasi harus berkembang ke seantaro dunia. Proses menjarut jaringan sesama gerakan da'wah harus berkembang, memandangkan dengan hubungan ini proses bertukar maklumat, berkongsi pengalaman dan belajar antara satu sama lain.


Pertama, pada awal bulan, sekumpulan dosen dari Universiti Bandung, diketuai oleh sdr Yudi, teman sekuliah saya semasa di universiti telah melawat Malaysia. Asal tujuan lawatan mereka ialah untuk berjumpa dengan pembuat dasar perbankan Islam di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia. Sambilan itu, mereka mengadakan pertemuan dengan PKPIM. Yang menariknya ialah, dalam dosen- dosen yang datang itu, mereka semua menjawat jawatan besar di Universiti, Timbalan Rektor, senior dosen, termasuk teman saya, Yudi yang sebagai dosen junior. Berjawatan Timbalan Rektor di Universiti Bandung tidak menghalang mereka untuk berjumpa kumpulan anak muda di Malaysia ini. Mereka banyak berbicara dan memberi nasihat ketika dalam pertemuan. Pengalaman dan isu umat Islam di Indonesia menjadi topik utama perbincangan. Isu Ahmadiah, fatwa Majlis Ugama Islam Indonesia, kelompok Islam Liberal mengisi topik perbincangan. Pokoknya, pendidikan yang Islami harus dijadikan teras pendidikan untuk menyelamatkan generasi masa depan Indonesia. Alhamdulillah, jika ada rezki, kami akan berkunjung ke Bandung untuk ketemu mahasiswa di sana.

Kemudian, selang beberapa hari, tetamu dari negara yang sama juga berkunjung ke PKPIM, selama dua minggu, iaitu sdr Zaid Makarma, merupakan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia (PII), dan juga Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT). Sdr Zaid melakukan lawatan kerja selaku SECGEN PEPIAT di Malaysia, termasuk rantau Asia Tenggara, iaitu Selatan Thailand dan Singapura. Selama berkelana lama di Malaysia, beliau di bawa ketemu dengan banyak pihak, termasuk pertemuan rasmi dengan PKPIM. Ber'kampung' sebentar di Kg Changkat, sebuah pusat latihan PKPIM merupakan kenangan manis;). Banyak agenda yang dibincangkan bersama, iaitu untuk memperkasa usaha da'wah peringkat pelajar Islam Asia Tenggara dan memperkemaskini program bersama. Kesempatan itu juga PEPIAT dan PKPIM telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Myanmar Alhamdulillah. Hubungan serumpun antara Malaysia- Indonesia sebenarnya begitu sentimental sekali. Wilayah nusantara, yang digelar antara wilayah Islam yang berpengaruh oleh Richard Nixon dalam bukunya 'Seize the Moment', dan Samuel Huntington, buku kontroversinya 'Clash of Civilization'. Maka tidak mustahil, dengan ikatan budaya dan bahasa yang rapat, wilayah ini dicemburui oleh negara Barat, lalu mereka mencari jalan untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam wilayah nusantara ini. Makanya jadilah 'divide and rule', menjadikan Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.



Kemudian, semalam 16 Jun Isnin, Setiausaha Agung Chatra Shibir, sdr Muhammad Rizal dan Exco Da'wahnya menziarahi sekretariat PKPIM. Semalam hari terakhir beliau di Malaysia setelah hampir seminggu di Malaysia dalam lawatan kerja mereka. Chatra Shibir merupakan sayap pelajar Jamaat Islami, sebuah gerakan da'wah yang diasaskan oleh Maulana Sheikh Abu Ala Maududi, yang kemudiannya bertukar menjadi parti politik Islam di Bangladesh dan Pakistan. Dalam pertemuan itu, kami banyak bertukar maklumat dan program da'wah semasa. Yang menarik, satu soalan yang membuat kami terkesima, sibuk- sibuk bincang program da'wah, tiba- tiba sdr Rizal bertanya, 'How many of ur members Shahid?", saya terkedu dan bertanya balik, "U mean Shuhada'?". Beliau mengangguk. Saya terkedu dan tersenyum sipu.

Rupanya sudah 313 ahli Chatra Shibir menemui ajal yang dianggap 'Shahid', kerana dibunuh, mati ditembak ketika bertempur dengan kumpulan sekularis dan banyak lagi sebab. Di Malaysia, barangkali situasi dan latarbelakang agak berbeza, makanya belum lagi muncul 'Shuhada'. Wallahualam.


Kesimpulannya, hubungan sesama gerakan da'wah, apatah lagi gerakan pelajar harus melampau batas sempadan. Hubungan bukan sekadar peringkat nasional, akan tetapi peringkat antarabangsa.


Dalam ilmu kepimpinan, sebagai pemimpin organisasi, kita harus melebarkan tangan kita untuk berjabat tangan dengan sesiapa sahaja yang difikirkan boleh. Ini aspek yang penting, memandangkan ilmu kepimpinan sebenarnya boleh dipelajar jika kita belajar dengan orang lain. Yang menarik, jika 'counter part' kita itu berlainan budaya, latar belakang dan mungkin agama. Dalam Islam sendiri, konsep ukhwah atau persaudaraan itu harus merentas budaya dan negara.


Malah, hubungan sesama teman luar negara sewaktu muda ini jika ikhlas dan jujur, akan membuahkan hasil yang baik kelak. Saya yakin, kepimpinan ini akan berterusas, bukan terberhenti setakat ini sahaja. Manalah tahu, hubungan sekelas seperti BJ Habibi dan Nejmuddin Erbakan semasa di kuliah universiti akhirnya mempertemukan keduanya menjadi pemimpin tertinggi negara Indonesia dan Turki. Wallahualam.


p/s: Niat bukan mahukan kebendaan keduniaan, tetapi harus ikhlas;)


Friday, June 13, 2008

ISLAMISASI ILMU KONTEMPORARI

Islamisasi merupakan agenda yang mendapat tempat ketika Islamic Resurgence berkemundang tahun 70 an. Namun demikian, proses Islamisasi sebenarnya telah bermula sejak kedatangan para Rasul lagi. Misi Islah dan da'wah bertujuan mengembalikan umat manusia kepada penyembahan Allah yang Esa. Pengisian Islamisasi era kontemporari ini mengambil dua faktor yang utama, iaitu Bahasa dan Akal.

Mengapa dua perkara ini menjadi subjek Islamisasi? Ini kerana umat Islam telah mengalami episod penjajahan oleh Barat hampir 700 tahun. Dalam tempoh itu, pemikiran umat Islam telah didoktrin dan dikelirukan dengan worldview kebaratan, yang sudah tentu berakarkan pandangan alam Sekular- Kristian.

Kerana itu, umat Islam hari ini terperosok mundur kerana menganut faham kebaratan yang sudah pekat dalam pemikiran umat Islam. Peranan penjajah ketika menjajah umat Islam ialah dengan menanam faham kekeliruan melalui suntikan pemikiran berkiblatkan Barat dan secara tidak langsung memasukkan istilah istilah bahasa asing yang membawa makna kebaratan.

Barat membawa konsep- konsep Sekular- Kristian secara paksa menggunakan dua pendekatan, iaitu mengikis kefahaman Islam dan sekaligus menanam kekeliruan. Pendidikan merupakan wahana strategik mereka untuk menanam faham kekeliruan. Banyak silibus- silibus berfaham Sekular- Kristian direka dalam sistem pendidikan kita sama ada peringkat sekolah mahupun universiti. Buku- buku yang ditulis oleh merekamenjadi bahan bacaan umat Islam. Guru atau pendidik sekolah merupakan ejen 'rasmi' penjajah untuk menyebarluas faham Barat. Makanya, sudah tentu bahasa menjadi medium perantara untuk menyampaikan idea mereka.

Banyak istilah- istilah Barat diimport ke dalam bahasa umat Islam. Istilah yang dibawa ini yang lahir dari rahim Barat, makanya banyak istilah mempunyai pengaruh faham Sekular- Kristian. Kerana itu, kita apabila maki orang lebih suka mengunakan bahasa Inggeris, "What the Hell!", daripada kita terjemahkan kepada "Apa Neraka Kamu ini!". Ini kerana istilah tersebut telah meresap pekat dalam pemikiran umat Islam. Maki dengan menggunakan bahasa kasar tidak lahir dari agama Islam, yang melarang mencerca dan memaki menggunakan bahasa kasar. Paling rosak pun, orang Arab menggunakan 'Baghal (keldai) atau orang Melayu menggunakan 'Babi' jika memaki.

Pokoknya ialah pengaruh bahasa asing dalam umat Islam melengkapkan satu proses kekeliruan umat Islam. Proses menanam kekeliruan dalam pemikiran dan mengimport istilah asing dalam bahasa umat Islam adalah proses terancang menggelirukan umat Islam. Hakikatnya, ramai cerdik pandai ada dalam dunia Islam, tetapi ramai juga yang keliru. Buktinya? Mereka yang sedang menyokong idea liberal- Sekular di kalangan umat Islam

Oleh itu:

1. Islamisasi 'kontemporari' masih relevan untuk menangani kekeliruan akal umat Islam.

2. Jangan terlalu memuja 'produk' Barat secara berlebihan, terutamanya dalam demam Piala Euro 2008 ini. Ada yang fanatik kepada pasukan Belanda, Perancis, Portugal dan Jerman. Padan muka England tidak layak masuk. Kadang kita terlalu taksub kepada negara Barat, sama ada institusi atau individunya, kita terlupa 'dosa' besar mereka menjajah umat Islam. Hasil penjajahan mereka menyebabkan umat Islam miskin, mundur dan sentiasa dihina. Malek Ben Nabi ada mengatakan, bangsa yang lemah cenderung meniru bangsa yang kuat.

3. Pemimpin dan pelajar hendaklah membaca buku yang serius dan penting seperti Islam and Secularism karya Prof Naquib Al Attas yang dikira sebagai magnum opus umat Islam akhr zaman. Buku yang boleh dibeli dengan harga RM 20.00 sahaja, mampu mempertahankan identiti umat Islam secara total kelak. Lebih bermakna jika membeli buku ini berharga RM 20.00 daripada membazir Afundi Akademi Fantasia. Sheikh Hamzah Yusuf, pernah meluahkan bahawa buku Islam and Secularism telah dibaca dari kulit ke kulit sebanyak tiga kali telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya. Beliau semakin teguh dengan pegangan Islamnya.

4. Dalam Malaysia sendiri, apakah kita sedar bahawa ada pihak secara terbuka dan terancang anti dengan Islamisasi? Sebagai contoh ada di sini (bawah). Hakikatnya mereka takut, atau Islamohobia jika mereka di'Islam'kan, agama mereka di'Islam'an, budaya mereka di'Islam'kan, parti politik mereka di'Islam'kan dan segala macam lagi Ataupun mereka takut juga jika 'Teroris' muncul dalam kelompok mereka! Sebenarnya ketakukan mereka tidak berasas malah amat cetek. Kesimpulanya, mereka harus memahami konsep Islamisasi yang sebenar.





(Bahan kempen ketika Pilihanraya Umum 12. Calon ini dipercayai menang dan sekarang sebagai exco kerajaan negeri Perak)

Sunday, June 08, 2008

Bapak Presiden, Anak Bapak;)


Alhamdulillah...

Isteri saya Ruzieta Mohd Jusak, selamat melahirkan anak perempuan pada 8.10 pagi, Ahad 8 Jun 2008/ 3 Jamadil Akhir 1429 di Hospital Selayang. Terima kasih kepada teman- teman, jauh dan dekat kerana mendoakan. Hati gembira bercampur baur dengan 'takut', sebab hendak membesarkan anak dalam situasi hari ini;)

Alhamdulillah...rezeki Allah.

Friday, June 06, 2008

Minyak Naik

Harga minyak naik melambung menyebabkan rakyat kelam kabut untuk mengurus hidup. Kerajaan telah menekan 'butang panik' dengan tiba- tiba. Ramai yang berduyun ke stesyen minyak untuk mendapat 'syafaat' harga minyak murah. Ada yang mahu menjual kereta kerana minyak naik. Ada yang separuh gajinya digunakan untuk minyak. Ada yang terpaksa susun balik belanjawan keluarga. Ada yang tangguh sambung belajar, sebab kos hidup meningkat. Persoalan yang timbul ialah;

1. Kenapa dinaikkan secara tiba- tiba, walhal katanya mungkin Ogos nanti?
2. Kenapa dinaikkan secara mendadak, tidak dinaikkan secara berperingkat?
3. Kenapa mekanisme pemberian subsidi digantikan dengan pemberian cukai jalan secara tunai, walhal rakyat telah membayar cukai yang banyak sebelum ini?
4. Kenapa Petronas tidak mampu menanggung subsidi minyak di negara ini, walhal Malaysia adalah negara pengesport minyak?
5. Kenapa kerajaan mengambil sikap tidak popular sekarang ini, walhal kerajaan baru 'dibelasah' teruk Pilihanraya 8 Mac lalu?
6. Kenapa harga minyak perlu naik, walhal gaji dan tarafv hidup menurun?
6. Dan banyak lagi persoalan yang berungkai.

Kritis tidak bermakna bangkang. Soalan perlu ada jawapannya.

Sunday, June 01, 2008

Buku Orientalis dan Diabolisme Pemikiran



Saya sedang membaca buku Orientalis & Diabolisme Pemikiran, ditulis oleh seorang sarjana muda nusantara, Dr Syamsuddin Arif. Beliau lahir 19 Ogos 1971 di Jakarta, tamat KMI Gontor 1989. Setelah dua tahun mengaji dan mengabdi di Majlis Qurra' wa Al Huffaz di Sulawesi, beliau menempuh program sarjana muda di UIAM. Kemudian menyambung peringkat sarjana di ISTAC UIAM dengan tesis beliau 'Ibn Sina's Theory of Intuition' di bawah bimbingan Alparslan Acikgenc. Phd beliau juga di ISTAC berjaya diselesaikan pada 2004 dengan disertasi berjudul Ibn Sina's Cosmology: A Study of the Appropriation of Greek Philosophical Ideas in 11th Century Islam di bawah pemerhatian Paul Lettinck.

Kini beliau sedang menyiapkan Phd kedua beliau di Orientalisches Seminar, Johann Wolfgang Goethe Universitat Frankfurt, Jerman. Beliau mahir dalam banyak bahasa klasik, selain Bahasa Inggeris dan Arab ialah Greek, Latin, Jerman, Perancis, Henrew dan Syiriac.

Sebuah buku yang mengupas secara tuntas metodologi Orientalis, mengajak pembaca supaya memahami hakikat mendalam mengenai usaha Orientalis yang sentiasa mencari ruang untuk merobek kesucian agama Islam. Orientalis digambarkan sebagai cemburu dengan ke'autoriti'an yang dimiliki oleh umat Islam, berbanding dengan agama Yahudi dan Kristian yang telah dicemari dengan campur tangan manusia.

Satu tajuk yang menarik saya ialah tulisan beliau mengenai Diabolisme Intelektual (ms 143). Diabolos merujuk di dalam bahasa Yunani kuno ialah Iblis. Beliau mengaitkan fenomena hari ini yang menampakkan semakin ramai yang menganut faham 'Diabolisme', iaitu faham ke'Iblis'an. Segala pemikiran, watak dan perilaku persis Iblis.

Bagi beliau, Iblis bukanlah hamba Allah yang tidak cerdik atau berilmu. Malah Iblis juga bukan makhluk Allah yang tidak pernah tinggal enak di Syurga. Iblis juga kenal dan tahu akan Allah dan pernah menyembah Allah yang Maha Esa. Namun, ada sikap Iblis yang mengakibatkan makhluk Allah ini tersingkir daripada darjat mulia yang telah Allah kurniakan.

Kesalahan Iblis bukan kerana ia tidak tahu atau tidak berilmu. Kesalahannya kerana ia membangkang (Al quran 2:34, 15:31, 20: 116), menganggap diri hebat (Al Quran 2: 34, 38: 73, 38: 75) dan melawan perintah Tuhan (18:50). Kerana itu Prof Naquib mengunggapkan bahawa 'knowledge and recognition should be follwed by acknowledge and submission'.

Kita kenal dan tahu ibu bapa kita sahaja tidak cukup. Kita harus taat dan mengiktiraf kedudukan ibu bapa kita. Kerana itu kita tidak boleh memanggil ibu bapa kita dengan panggilan nama seperti kita memanggil nama kawan, bercakap kasar atau melawan cakap ibu bapa.

Ini yang berlaku pada Iblis, apabila sekadar tahu dan kenal Allah sahaja. Iblis tidak taat kepada perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Secara tidak langsung Iblis tidak mengiktiraf kedudukan Allah sebagai Tuhan.

Ramai kader- kader dan ejen- ejen Iblis, yang menganut faham 'Diabolisme' muncul di sekeliling kita. Ada tiga ciri individu bermental Iblis, iaitu Selalu membangkang, Bersikap Takabbur (sombong) dan Menyembunyikan kebenaran.

Dalam arus deras dunia blogging ini, fenomena Diabolisme boleh dilihat. Sifat demokrasi moden yang mengiktiraf semua suara menjadi pemangkin kepada wujudnya bak cendawan kelompok 'Diabolisme'. Boleh dilihat apabila suatu pandangan amar makruf nahi munkar dikeluarkan, makanya bertubi- tubi kader 'Iblis' ini menghentam. Kadang- kadang yang beragama Islam juga menjadi kader Iblis secara tidak sedar. Mereka ini tidak memakai tag nama 'Kader Iblis', tetapi atas nama Muslim Liberal, Sekularisme dan juga Muslim Modernist.

Saya masih dalam proses menghabiskan buku ini. Baru sahaja diterbitkan, Januari 2008. Dengan harga RM 47. Boleh didapati di kedai Fajar Ilmu Baru, Wisma Yakin, Jalan Masjid India Kuala Lumpur.

Saturday, May 31, 2008

Majalah Bahasa Melayu



(Majalah E Siswa edisi Jun 2008)

E Siswa, sebuah majalah Bahasa Melayu untuk golongan pelajar Menengah dan Universiti, terbitan Karangkraf.

Kita harus menyokong majalah Bahasa Melayu, kerana ia sebagai wadah mengangkat martabat Bahasa Melayu. Tanpa pembaca bahasa Melayu, maka terhapuslah ketinggian ilmiah Bahasa Melayu