Monday, October 29, 2007

POLITIK KAMPUS DAN PEMBINAAN BUDAYA ILMU

Politik kampus dan pembinaan budaya ilmu
Utusan Malaysia, 25 Oktober 2007
Oleh MOHD. HILMI RAMLI

BAHANG pilihan raya kampus sesi 2007/2008 telah tamat. Isu demokrasi kampus yang diragut dengan ‘tangan-tangan’ rakus kuasa semakin berleluasa.

Episod penipuan, pengundi hantu, pembukaan semula pencalonan, kempen ala gerila, fitnah-memfitnah dan pelbagai lagi budaya politik luar telah menyerap politik kampus.

Memang, budaya pilihan raya yang sifatnya ‘zero-sum game’ telah membelah kepada kelompok menang dan kelompok kalah secara total. Yang menang terus menang menerajui kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Yang kalah mencari ruang untuk menyumbang, itu pun kalau mahu.

Namun demikian, kita harus sedar bahawa pilihan raya kampus merupakan sebahagian daripada episod manis, pahit, suka dan duka dalam kehidupan mahasiswa.

Rasanya dangkal jika mahasiswa tidak terlibat secara langsung atau membutakan mata dan memekakkan telinga mengenai hal ini. Politik kampus menjadi medan latihan untuk menjadi pemimpin. Namun, kita juga harus insaf, bahawa politik tidak mampu menyelesaikan segala-galanya.

Mahasiswa perlu melihat dimensi yang abadi dan kekal dalam universiti itu. Ia merupakan latihan yang datang setahun sekali. Malah sifatnya tidak kekal, akan mengalami perubahan mengikut keadaan.

Apa yang lebih penting ialah peranan mahasiswa menghidupkan budaya ilmu secara serius dalam universiti. Ini kerana, berdasarkan pengalaman sejarah, tiada langsung kitab atau buku yang merakamkan episod pemilihan perwakilan pelajar dalam sesebuah universiti!

Yang ada ialah penceritaan tentang keagungan dan kegemilangan universiti yang lalu mampu melahirkan ilmuwan, cendekiawan, intelektual dan tokoh masyarakat yang ulung. Hakikatnya ini perlu disedari jika kita benar merujuk dan menghayati budaya membaca.

Apabila mengatakan budaya ilmu, rasanya tidak terlambat untuk dikaitkan dengan Pelan Pengajian Tinggi yang dilancarkan September lalu. Ini kerana pelan ini berupaya membangkitkan semangat menghidupkan budaya ilmu secara tersusun, sekiranya aspek pembinaan manusia yang ‘kully’ atau universal dapat diwujudkan.

PKPIM menyambut baik usaha kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Pelan Strategik ini bagi memastikan pengajian tinggi berada di landasan yang kukuh bagi menterjemah hala tuju pengajian tinggi negara. Apatah lagi KPT melalui pelan tindakan ini mahu menekankan pembangunan modal insan minda kelas pertama bagi mendukung dan menjayakan aspirasi negara untuk menjadi makmur, maju dan kompetitif.

Sebelum itu pun, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan ‘blue print’ Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006- 2010, bertujuan memperkasa pendidikan peringkat rendah.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan terus menyokong segala usaha bagi menaiktaraf kualiti pendidikan sekolah, menumpukan kepada pembangunan sekolah luar bandar dan merapatkan jurang pendidikan antara kaum. PKPIM akan terus menyatakan pendirian bersedia membantu dalam proses meletak betulkan (reposition) dan rekayasa (reengineer) sistem pendidikan kebangsaan kita supaya berkualiti dan berjaya mengikut acuan sendiri.

Dalam konteks Pelan Strategik KPT yang positif keseluruhannya, pelan ini seolah-olah mahu mengembalikan autoriti ilmu kepada pentadbiran. Pelan ini menyatakan bahawa; untuk menjadi sebuah Universiti Apex (universiti yang maju dan gemilang) - Naib Canselor dipilih seharusnya secara terbuka kepada mana-mana pihak yang layak tanpa mengira apa-apa sentimen sekalipun.

Namun, tidak terlintas langsung bahawa gerakan yang kita cintai ini cenderung kepada menghalang usaha murni kerajaan itu. Kalau ada pun seakan-akan mengkritik, itu nanti seharusnya dinilai sebagai cadangan bagi menambah nilai yang sedia ada. Anggaplah sahaja sebagai cadangan anak kepada ibu atau bapa bagi menguat dan memperkukuh keluarga besar - negara - yang kita cintai ini.

Erti dan Peranan Universiti

Terdapat beberapa kekeliruan pada masa ini tentang apakah sebenarnya fungsi sebenar sesebuah universiti. Apakah sekadar akan melahirkan manusia profesional yang hanya bersama akan membantu membangun negara? Atau hanya melahirkan graduan yang ingkar upaya untuk bersama-sama masyarakat? Atau akan melahirkan generasi yang hanya cerdik pandai tapi mungkir pada bakti? Hal ini menyebabkan ilmuwan tersohor kelahiran anak watan bersuara dalam puisinya seakan-akan membentak terhadap beberapa kekeliruan yang masih kuat mencengkam kita:

- Jika ibu-bapa hanya pintar melahirkan anak,

- Jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja,

- Jika guru, pensyarah kehilangan arah, ilmu terpaku di dada ijazah,

- Jika peniaga bermain politik dan bertuhankan laba dan ahli politik memperniaga segala prinsip dan akhlak,

- Jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komen,

- Adam akan menyesal dan Iblis akan ketawa besar.

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud juga selain melalui puisi tersebut seringkali menyatakan bahawa bagi melahir dan menjamin kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan negara, kita mestilah banyak melabur dalam bidang pendidikan insan.

Pembangunan negara yang terbaik bagi sesuatu bangsa, bukan hanya banyak melahirkan graduan dari universiti, tetapi boleh terlaksana bila kualiti insan yang dilahirkan dari universiti tersebut. Tentu sahaja Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menyebut bahawa universiti adalah tempat melahirkan insan yang tinggi nilai adabnya.

Sudah jelaslah, cita-cita Universiti Apex yang diidam-idamkan itu mahu melahirkan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk negara yang mempunyai kelulusan doktor falsafah (PhD) atau kelayakan setaraf dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Secara umumnya, Universiti Apex bermaksud: “Pendekatan utama yang diperlukan untuk mencapai universiti berstatus dunia. Universiti Apex merupakan satu konsep yang bermatlamatkan kewujudan satu institusi mercu dan menjadi pusat akademik negara yang unggul”.

Apa yang menggusarkan kita ialah bukan jumlah PhDnya, tetapi nilai adab insan yang akan dilahirkan itu. Pada kita, Universiti Apex ini memang dan seharusnya bertaraf dunia tetapi tidak terikut-ikut pada takrifan Barat. Universiti yang cemerlang bukan hanya melahirkan graduan profesional tetapi juga melahirkan manusia yang mempunyai sifat insan.

Universiti di Barat yang semestinya dinilai bagus dan cemerlang di mata dunia itu belum tentu melahirkan manusia yang benar-benar beradab. Nilai-nilai adab manusiawi terkadang tidak kelihatan pada mereka.

Meninjau beberapa tafsiran falsafah membangunkan peradaban, Barat juga tidak kurang dengan idea-idea yang hebat. Mekanik contohnya, adalah berasal dari perkataan Yunani, ‘mechane’ yang bererti mesin.

Yang menariknya, ahli falsafah Perancis, La Mettrie pernah menulis buku pada abad ke 18 bertajuk L’ homme machine, yang bermakna Manusia - sebuah Mesin kerana mereka meninjau tubuh badan kita sebagai sebuah mesin yang mempunyai otot-otot.


Adab dan moral

Dari situlah nanti berasal perkataan mekanikal. Nah, seharusnya kita mampu menilai dalam melahirkan jurutera atau apa-apa bidang profesional yang lain perkara yang paling penting adalah adab dan moralnya.

Sudah tentu, adab yang dicari itu adalah dari akar-akar agama, falsafah, dan sifat kebudayaan yang tinggi nilai. Nilai inilah yang dilihat kurang dalam membangun kepentingan-kepentingan yang bersifat pragmatis seperti bidang teknikal, ekonomi, politik dan lain-lain.

Jika kepentingan-kepentingan pragmatis yang mahu dibangun itu tidak berakar dari pendidikan keagamaan atau setidak-tidaknya pendidikan kemanusiaan, maka akan berlakulah kepincangan keagamaan atau kemanusiaan terhadap graduan yang bakal lahir dari IPT.

Malangnya, aliran pendidikan masa kini sejak dua kurun yang lalu sangat tidak cenderung dengan agama. Yang ada hanya menonjolkan kejayaan pandangan alam sekular dan falsafah kebendaan. Tambah parah lagi, pada tahun 1998, Persidangan Pendidikan Tinggi Sedunia anjuran UNESCO turut mencerminkan sikap yang keliru dan mengetengahkan pendekatan bersifat sekular apabila ia sama sekali tidak mengiktiraf agama sebagai asas kepada pendidikan. Alasannya, kononnya kewujudan perbezaan-perbezaan agama telah menyebabkan pelbagai sengketa dalam sejarah manusia.

Oleh yang demikian, seharusnya universiti menjadi tempat melatih kita menjadi insan al-kulli ataupun menjadi manusia yang universal. Yang memahami tugas dan tanggungjawab. Malah, tidak kita lupakan juga bahawa, pilihan raya kampus yang dicemari dengan adegan kotor dan tidak bermaruah juga sebenarnya cerminan warga universiti dan masyarakat awam keseluruhannya yang masih tidak memahami hakikat penubuhan universiti dan peranannya.

* MOHD. HILMI RAMLI ialah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp
y=2007&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm