Friday, July 13, 2007

MALAYSIA 'TUMPUAN 'ILMUWAN'

Malaysia, sejak dua tiga minggu ini dikunjungi oleh ramai ulama. Bermula pada hujung minggu lepas (7- 8 Julai), Sheikh Nuruddin Al Banjari Al Makki, yang mengadakan kuliah kilat beliau di Masjid Al Falah USJ. Minggu ini pula, 11- 12 Julai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan Konferens Hadith di Putrajaya. Seorang ulama muda, iaitu Dr Syed Taufiq Ramadan Al Buty turut hadir. Beliau merupakan anakanda kepada ulama besar Syria, Dr Syed Ramadan Al Buty. Manakala sepanjang 8- 14 Julai ini, OIC mengadakan Majma' Fiqh OIC ke 18 di Putrajaya. Ramai ulama 'hard core' yang datang seperti Sheikh Wahbah Zuhaily (pengarang kitab Fiqh Islam Wa Adillatuh), Dr 'Ali Jumaah (mufti Mesir), Sheikh Dr 'Ali Mahyuddin Qargakhi (anak murid Sheikh Yusuf Qaradawi), Taqi Usmani (bekas Hakim Besar Pakistan) dan ramai lagi.

Apakah kedatangan ramai ulama besar ini satu rahmat? Bagi saya YA. Sekurang- kurangnya memberi keberkatan dan semangat kepada dai'e- da'ie yang ikhlas di Malaysia. "Ulama warasatun anbia' " (ulama' pewaris nabi). Mudahan juga, kehadiran mereka ini meninggalkan 'benih- benih' yang akan mewarisi Nabi kelak...


(Bersama Sheikh Dr 'Ali Jumaah, Mufti Mesir dan Sheikh Dr 'Ali Mahyuddin Qarhgakhi, anak murid Sheikh Qaradawi)


(Bersama Sheikh Wahbah Zuhaily, ulama Syria dan pengarang Fiqh Islam Wa Adillatuh, sdr Yusri Mohamad, Presiden ABIM, ustaz Zaharuddin)



(Sheikh Dr Syed Taufiq ketika memberi kuliah di Sekretariat, Anjung Rahmat)

Thursday, July 05, 2007

Ziarah Bumi di Bawah Bayu,21- 26 Jun 2007 (2)


(Di hadapan masjid Negeri Sabah, mempunyai menara seperti Masjid Nabawi)


(Bersama rakan seperjuangan, Siswazah Muda ABIM Sabah)

Ziarah Bumi di Bawah Bayu,21- 26 Jun 2007

Alhamdulillah,bersama sebilangan exco PKPIM pusat dapat berkunjung ke Kota Kinabalu, Sabah pada 21- 26 Jun 2007. Sempena dengan ziarah ini, dapat banyak pengalaman dan kenangan manis. Antara progam sepanjang di Sabah ialah, memberi ceramah dan rakan PKPIM membantu sebagai fasilitator dalam program Kem 'Aqal Budi. Kem ini menggunakan modul pandangan Hidup Islami dan Pengalaman Kehadiran Islam di Tanah Melayu ini. Kelompok sasaran ialah pelajar tingkatan enam, seramai 100 orang.

Kemudian, sempat juga bermain badminton, aktiviti riadah yang santai. Kemudian ziarah Univ. Malaysia Sabah. Satu- satunya univ. di Malaysia yang mempunyai pantai sendiri. Pantai ini dijadikan tapak aktviti luar. Sangat cantik dan mendamaikan.

Berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Mahasiswa Islam UNITAR dan Siswazah Muda ABIM Sabah.Kemudian, diraikan dalam Makan Malam bersama ABIM Sabah dan Majlis Belia Sabah.

Kesimpulannya,sebuah perjalanan da'wah yang mengharapkan reda Allah Ta'ala...



(Kedamaian dan kejernihan laut di Sabah sangat cantik, mendamaikan minda dan jiwa..)


(Bergambar di mercu tanda Univ. Malaysia Sabah)


(Mencari damai abadi...)

Tuesday, July 03, 2007

TREND MAHASISWA DUDUK SERUMAH



SIARAN MEDIA 29 JUN 2007/ 13 JAMADIL AKHIR 1428


PKPIM BIMBANG DENGAN TREND MAHASISWA DUDUK SERUMAH


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melahirkan rasa bimbang kerana sudah wujud trend baru di kalangan mahasiswa IPTA dan IPTS duduk serumah, walaupun bukan semuhrim. Trend baru tetapi songsang ini sudah menjadi kebiasaan di kalangan mahasiswa IPT sekarang ini.

Kewujudan trend songsang ini sekali gus menunjukkan malapetaka besar kepada umat apabila golongan yang diharapkan untuk menuntut ilmu dan seterusnya berbakti kepada masyarakat terlibat dengan keruntuhan akhlak. Berdasarkan pemerhatian dan kajian daripada PKPIM, trend ini telah lama berlaku, namun sejak akhir- akhir ini sahaja ia semakin menjadi. Berdasarkan maklumat yang diterima PKPIM, trend ini banyak berlaku di kalangan segelintir pelajar di IPTS sekitar Bukit Beruang dan Gombak. Malah mungkin banyak lagi tempat yang berlaku di luar jangkauan kita.


PKPIM berpandangan bahawa trend ini sangat membimbangkan. Apabila seorang lelaki Muslim duduk serumah dengan pelajar Muslim perempuan yang bukan muhrim, tanpa ditemani oleh sesiapa, maka pelbagai andaian buruk yang boleh dijangkakan. Trend songsang ini berlaku di kalangan mahasiswa IPT, melibatkan ramai orang. Ada satu rumah didiami oleh ramai pelajar lelaki, dan pada masa yang sama juga, ada pelajar perempuan yang menyelinap masuk untuk tidur bersama teman lelakinya. Ada juga rumah yang dikongsi bersama pelajar lelaki Muslim dan perempuan Muslim yang bukan muhrim, berlagak sebagai ‘suami isteri’ Malah, ada juga sekelompok pelajar lelaki Muslim berkongsi rumah sewa dengan pelajar Muslim perempuan dalam satu rumah. Ada juga kes yang ekstrem, pelajar perempuan Islam sanggup duduk serumah dengan pelajar bukan Islam lelaki, mungkin atas dasar cinta.

PKPIM berpandangan trend ini melambangkan satu lagi episod keruntuhan akhlak yang sangat genting di kalangan cerdik pandai. Duduk serumah tanpa ditemani muhrim, bahkan merasakan ia ‘dibenarkan’ adalah suatu yang membimbangkan. Apa yang boleh kita harapkan sekiranya kelompok ini yang sepatutnya berada di pusat pengajian tinggi untuk belajar, kemudian memimpin negara, namun terlibat dengan babak keruntuhan akhlak ini? Trend ini boleh berlaku akibat beberapa sebab, antaranya ialah:

1. Tiada penguatkuasaan dan perhatian daripada pihak universiti. Kewujudan banyak pusat pengajian tinggi, sama ada universiti awam atau swasta, kolej universiti, politeknik dan sebagainya satu perkembangan yang positif. Namun demikian, apabila sudah banyak, maka akan timbul masalah dari segi pemantauan kualiti dan mengakibatkan kepada banyak implikasi susulan, antaranya ialah soal kebajikan pelajar. Gejala duduk serumah antara mahasiswa ini berlaku kerana ketidakcukupan penempatan kolej mahasiswa, mengakibatkan ada yang perlu duduk di luar. Ada sesetengah universiti tidak memantau sepenuhnya kebajikan pelajar mereka, dengan memberi kebebasan sepenuhnya untuk mereka memilih rumah sewa. Lalu mengakibatkan ada yang mengambil peluang ini untuk memuaskan nafsu mereka. Universiti yang terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sepatutnya mengambil inisiatif untuk menjaga kebajikan pelajar dengan sebaik- baiknya. Trend ini mudah terjadi di kalangan mahasiswa IPTS sendiri, kerana ada sesetengah IPTS tidak mampu menyediakan kolej kediaman kepada para pelajarnya. Seharunya kewujudan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), yang merupakan suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawal selian, dan kawalan kualiti pendidikan yang diberikan oleh institusi pendidikan tinggi swasta sepatutnya turut mengambil kira soal kebajikan pelajarnya. Ada satu kes dahulu masuk media apabila seorang pelajar perempuan Islam terpaksa duduk serumah dengan tiga orang pelajar lelaki luar negara ketika proses pendaftaran sebuah IPTS. Seharusnya IPTS mahupun semua institusi pengajian tinggi tidak terlalu memikirkan soal keuntungan lalu menepikan soal pembangunan sahsiah pelajarnya.

2. Trend ini terjadi kerana terpengaruh dengan trend pelajar bukan Islam yang duduk serumah. Memang tidak dinafikan ianya mungkin bukan satu yang ‘dibenarkan’, namun trend duduk serumah antara pelajar bukan Islam lelaki dan perempuan memang satu kebiasaan. Lalu, ianya ‘berjangkit’ kepada pelajar Islam di IPT negara ini.

3. Apabila seorang pelajar Islam sudah berani duduk serumah antara lelaki dan perempuan tanpa memikirkan halal dan haram, maka ianya petanda kepada kelemahan dan kedangkalan tentang Islam sendiri. Namun tidak dinafikan, ada juga yang sudah maklum tentang halal dan haram, tetapi masih berani melakukan dosa itu, ianya adalah kerana tiada pencegahan dilakukan.

PKPIM berpandangan, trend songsang ini perlu dibanteras dan dihapuskan. Apabila duduk serumah antara pelajar lelaki dan perempuan, sebarang kemungkinan boleh dijangkakan, yang lebih dilaknati ialah perzinaan. Zina merupakan antara dosa besar yang boleh dijatuhkan hukuman berat. Dalam Islam, amaran zina sangat jelas iaitu “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32).

Islam menegaskan bukan setakat melakukan zina, akan tetapi terus menjauhi dan mengelakkan perbuatan zina. Seorang pemuda dan pemudi Muslim yang masih bujang, apabila didapati berzina, boleh dikenakan hukuman rejam. Apatah lagi sekiranya sudah berkahwin, boleh direjam sehingga mati. Ibn Qayyim ketika mengulas hukuman bagi penzina berkata, “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga pengkhususan iaitu,:

Pertama, hukuman mati secara hina iaitu direjam bagi penzina kemudiannya diringankan bagi yang belum nikah dengan dua jenis hukuman iaitu hukuman fizikal dengan dirotan sebanyak seratus kali. Manakala yang kedua ialah hukuman mental, dengan diasingkan selama dua tahun.

Keduanya ialah Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan terhadap penzina . Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.

Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan positif bagi kebaikant umat.

Menurut Ibn Qayyim juga dalam bukunya Jangan Dekati Zina, “Kemudian Allah juga memberitahukan bahawa amalan zina adalah seburuk-buruk jalan; karena merupakan jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia, seksaan dan azab di akhirat nanti.”

PKPIM mencadangkan beberapa pendekatan yang wajib dilakukan, iaitu,:

1. Pihak universiti secara keseluruhan bertanggungjawab memantau kebajikan kediaman seluruh pelajarnya, walau di mana mereka berada. IPT awam atau swasta yang ditadbir oleh bukan Islam sepatutnya sensitif dan tidak memikirkan keuntungan sahaja dengan membiarkan sebebas- bebasnya pelajarnya terutamanya pelajar Islam untuk memilih kediaman, apatah lagi IPT yang ditadbir oleh orang Islam.

2. Masyakat secara umunya perlu memainkan peranan amar ma’ruf dan nahi mungkar, apabila melihatkan ada kelompok pelajar universiti yang berkelakuan mencurigakan dalam satu kawasan perumahan. Masyarakat perlu mengikis sikap individualistik yang mencerminkan sikap buruk ‘Mati Rasa Jiwa Santai’ melihatkan maksiat yang berlaku.

3. Didikan agama diperkukuhkan di peringkat sekolah lagi supaya kekuatan dalaman dapat dibina sebelum mengharungi zaman universiti.

4. Pendekatan pencegahan perlu dilakukan oleh semua pihak, terutamanya pihak yang berwajib.

Sempena dengan kemasukan bakal pelajar baru sesi 2007/ 2008 nanti, PKPIM menasihatkan semua institut pengajian tinggi, masyarakat termasuk ibu bapa mengambil inisiatif untuk mencegah secara total akan trend songsang ini. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Amaran Allah Ta’ala iaitu “Maka takutlah kamu sekiranya kamu meninggalkan zuriat yang lemah di belakang kamu”.



Mohd Hilmi Ramli

hilmi@pkpim.net
www.pkpim.net