Monday, December 10, 2007

NASIB BAHASA KITA

Saya baru terperasan, sebab ada ditulis dalam sisipan Klip Dewan Bahasa dalam suratkhabar Bharian baru2 ini bahawa nama 'Palace of Justice' yang kontroversi itu telah bertukar nama. Nama baru Istana tersebut ialah 'ISTANA KEHAKIMAN'. Apa2 pun, saya rasa gembira kerana Putrajaya mulai sedar akan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu dalam menamakan bangunan- bangunan kerajaan yang dibina di situ. Sebelum ini pun ada kontroversinya, kerana banyak nama bangunan di Putrajaya tidak membawa imej Malaysia, seolah2 kita berada di kota London atau Amsterdam. Sebagai contoh 'Parcel', 'Presint' dan banyak lagi.


Inilah contoh sikap terburu2 sesetengah pembuat dasar dalam negara ini. Banyak perkara yang telah terlajak dibuat, kemudian apabila ditegur, baru mahu mengubahnya. Contoh lain yang berkaitan dengan isu bahasa juga ialah 'Sure Heboh', kemudian menjadi 'Jom Heboh' sekarang ini.

Dalam sebuah stesyen televisyen, isu timbul ialah memperkenalkan 'Infotainment'; istilah 'moden' katanya.

Isu yang lebih mendasar pula, ialah pelaksanaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Hampir lima tahun pelaksanaannya, sekarang ini baru timbul kesedaran supaya mengkaji semula dasar sonsang itu. Banyak artikel (Cikgu Rosli, Prof Isahak, Khalid, Prof Awang Sariyan dan ramai lagi cendekiawan dan NGO yang sedar) yang telah menegur dan menasihatkan akan rosaknya jika dasar itu dilaksanakan.

Kesimpulan yang saya boleh buat ialah:

1. Masih ramai pembuat dasar negara (pemimpin politik, media, masyarakat) yang tidak memahami budaya ilmu. Jika mereka faham dan menghayati budaya ilmu, tidak akan terjadi perkara macam ni. Mereka akan merujuk pakar dan cendekiawan ketika mencari nama yang sesuai. Buat mesyuarat bersama golongan pakar dan cendekiawan (contoh DBP, sasterawan, NGO dll). Ini tidak. Buat semberono, ditegur, melatah kemudian baru tukar baru. Bukankan satu pembaziran, kedangkalan dan keangkuhan kita? Sekaligus menunjukkan sikap 'bodoh sombong' kita.

2. Pemimpin yang tidak berbudaya ilmu, maka melahirkan pemimpin yang mempunyai pemikiran yang keliru. Bagi mereka, buatlah apa sahaja, biarkan nampak 'canggih semacam Barat'. Lalu, semuanya berkiblatkan Barat. Barat menjadi tanda aras kemodenan sebuah tamadun. Semua dasar berkiblatkan Bahasa Inggeris, gaya hidup Barat, corak berfikir Barat dan sebagainya. Pemimpin yang keliru ini juga melahirkan 'kader2' mereka yang berperangai spesis yang sama.

3. Nasib Bahasa Melayu tunggang terbalik walaupun negara mencapai 50 tahun kemerdekaan. Sepatutnya isu bahasa ini sudah selesai dan kita tumpukan kepada isu2 pembangunan negara yang lebih penting. Isu yang perlu dipandang ke hadapan ialah isu membangunkan universiti bertaraf dunia, membangunkan barisan pemimpin negara yang berjiwa besar, membina perpustakaan terbesar di rantau Asia, menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada mahasiswa dan sebagainya.

Maka, itulah kita pada hari ini.

"Kritik bukan tanda benci, kritik bukan nak jadi 'pembangkang', akan tetapi kritik kerana dikurniakan akal yang sihat untuk berfikir, berfikir kerana mahukan kebenaran dan kesempurnaan dalam hidup"- Falsafah Ahli Falsafah

No comments: