Wednesday, April 11, 2007

SLOT KRITIK SOSIAL

TV PERLU MENJADI AGEN PEMERKASAAN BANGSA



Media massa memang memainkan peranan yang penting dalam mencorak pemikiran masyarakat, terutamanya televisyen. Walaupun revolusi media dan maklumat telah mencipta internet sebagai satu wahana penyampaian malumat, akan tetapi fungsi internet masih ada kekurangan jika dibandingkan dengan televisyen terutamanya dari sudut kecapaiannya (accessibility). Televisyen mampu dimiliki oleh segenap keluarga, bahkan boleh dikatakan setiap rumah pasti ada televisyen. Kemudahan internet hanya boleh diakses di kawasan- kawasan bandar, malah masih ada kawasan pedalaman yang sukar untuk ada kemudahan akses internet.

Kehadiran televisyen suatu ketika dahulu telah membawa perubahan dalam sistem media dan maklumat dalam masyarakat. Televisyen berjaya mengganti fungsi radio dengan berkesan sekali. Televsiyen yang menyediakan khidmat ‘suara dan gambar’ menjadikannya lebih berkesan berbanding radio dan suratkhabar. Televisyen sememangnya berfungsi untuk mendidik masyarakat dalam apa jua perkara. Itulah pun fungsi asasi setiap media massa dalam masyarakat yang bukan sekadar mengejar keuntungan. Media massa menjadi wahana rakyat yang menyuarakan isi hati rakyat, menyajikan maklumat semasa yang mendidik sifatnya. Malah media massa juga boleh menyajikan hiburan dan kesenian kepada masyarakat.


Namun demikian, fungsi sebuah televisyen yang ideal sukar dikecapi hari ini. Stesyen televisyen lebih pragmatik dalam mengurus fungsi televisyen. Yang lebih ekstrem ialah apabila syarikat televisyen menjadikan mengejar keuntungan yang maksimum tanpa berfikir untuk mendidik masyarakat telah men’daging’ dalam sistem televisyen hari ini. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi rakyat dengan mengadakan pelbagai program yang akhirnya mengikis wang dan memberi keuntungan kepada sesebuah syarikat televisyen.



(TV menjadi 'ahli keluarga' baru yang sangat disayangi...)


Fungsi televisyen yang sangat ekstem ialah apabila televisyen telah menjadi salah seorang ‘ahli keluarga’ yang baru dalam sesebuah keluarga. Ini terbukti apabila ‘kata- kata’ sesebuah televsiyen lebih didengar daripada kata- kata ibu dan bapa. Malah televisyen juga berjaya menjadikan semua ahli keluarga supaya mendengar ‘nasihatnya’ dan melekat terus tanpa mempedulikan urusan yang lebih penting, terutamanya ketika Hari Raya atau majlis keraian. Kehadiran televisyen sebagai ‘ahli keluarga’ yang baru menjadikannya ‘ahli’ yang paling disayangi. Seorang penonton TV yang tegar akan bertanya ‘mana TV’ sekiranya TV itu rosak. Dia tidak akan bertanya bagaimana keadaan ayah atau bonda dia, atau berbual- bual mesra dengan ahli keluarga yang lain.

TV juga mampu menjadikan sesorang itu individualistik sifatnya, apabila terlampau menumpukan sangat kepada program- program televsiyen maka dia akan tidak minat untuk bersosial. Akhirnya nanti, fungsi ideal sesebuah televisyen dinodai dengan sistem yang sama sekali tidak mendidik masyarakat. Kerangka sistem televisyen hari ini memang seolah- olah tidak berminat dalam proses membangunkan sesebuah bangsa. Tidak keterlaluan dikatakan punca kepada gejala sosial, masalah akhlak dan jenayah yang berleluasa adalah kerana televisyen tidak memainkan peranannya yang sebenar.

Menurut Dr Halim Shafie, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam kertas kerjanya bertajuk “Televsiyen Antara Meningkatkan Pengetahuan, Hiburan dan Keuntungan: Mana yang Lebih Penting?’ dalam program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merumuskan televisyen lebih terkenal sebagai media hiburan berbanding pengetahuan. Menurut beliau, didapati kandungan hiburan di setiap stesyen televisyen melebihi 50%, sebagai contoh RTM 1 (50%), RTM 2 (70%), TV3 (61%), NTV 7 (68%), 8 TV (89%) dan TV 9 (85%). Berdasarkan kajian ini, sememangnya hiburan menjadi agenda utama setiap stesyen televisyen.

Jika diukur pada stesyen berbayar sepert ASTRO, hampir 95 % menyajikan program berbentuk hiburan. ASTRO memang tidak serius dalam proses pembinaan agenda pemerkasaan minda apabila banyak menyajikan program berbentuk hiburan yang melalaikan. Walaupn ASTRO ada menyajikan siaran talk show atau siri dokumentari, akan tetapi semuanya bersifat ringan- ringan sahaja, seolah sekadar melepaskan batuk di tangga atau tempel- tempelan sahaja. Program berbentuk hiburan, mistik dan game lebih banyak mengisi agenda ASTRO.

Fungsi televisyen yang sebenar perlu dikaji dengan kritis. Menurut Prof. Dato’ Dr Sulaiman Yassin, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, pada umumnya, media tidak banyak bertanggungjawab ke atas pendidikan penonton dari aspek apa yang harus dipilih untuk memenuhi citarasa penonton atau pembaca. Syarikat televisyen tidak memainkan peranan mendidik masyarakat dengan menyajikan program- program membina nilai yang murni. Sifat televisyen telah merampas budaya membaca dalam sesebuah keluarga kerana magnetic influence yang dimiliki oleh televisyen. Program televsiyen menjadikan keluarga lebih mementingkan pengisian hiburan dan bersuka ria daripada menghidupkan budaya membaca dalam sesebuah rumah. Menurut beliau juga, antara faktor sesebuah keluarga yang berbudaya ilmu adalah kerana tidak memiliki televsiyen di rumah.

Syarikat televsiyen juga tidak menjadi wahana untuk mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan baik. Laporan akhbar Utusan Malaysia (11 April 2007) bahawa stesyen televsiyen gagal patuhi garis panduan siar 60 % program bahasa Melayu memerlukan perhatian segera dan tegas. Ada syarikat televsiyen yang sifar dalam menggunakan Bahasa Melayu dalam siarannya. Ini memang bertentangan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaaan yang dicetuskan pada tahun 1971 yang bertujuan memelihara kerangka kebudayaan kebangsaan yang berteraskan nilai murni dan bangsa negara ini

Ini berpunca daripada kepimpinan peringkat tertinggi sesebuah syarikat televisyen yang tiada idealisme membangun agenda bangsa. Menurut Dr Fuziah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), “Memang media di negara kita ini, terutama TV, tidak langsung menunjukkan keprihatinan terhadap agenda Melayu-Muslim, justeru mereka terkapai-kapai dan tidak keruan dalam programming masing-masing. Sebenarnya kepimpinan media di Malaysia ini terbawa-bawa dengan cita-cita kapitalis dan meletakkan ratings, keuntungan daripada advertising billings, dan kini kutipan SMS sebagai bottomline mereka”.

Tidak keterlaluan dikatakan, rancangan televsiyen yang ada hari ini sudah lari daripada garis panduan yang sepatutnya. Dalam Garis Panduan Penyiaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Bab IV tentang Ciri- ciri Hiburan yang Digalakkan adalah 1) Lagu-lagu yang sesuai dengan citarasa majoriti masyarakat Malaysia dan mencerminkan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni; dan 2) Muzik, nyanyian, senilakon dan senitari yang membina watak dan peribadi manusia yang sihat, berbudi bahasa, cergas dan maju.

Banyak program yang berani keluar daripada garis panduan yang ditetapkan. Dalam siaran ASTRO misalnya, banyak klip video yang menonjolkan kelakuan yang berahi dan percampuran sosial yang keterlaluan. Malah ada juga rancangan televsiyen berbentuk telenovela yang dibawa dari luar negara yang tidak sesuai ditonjolkan di Malaysia. Apa relevannya siaran yang tidak membina minda ini? Malah sudah timbul kecenderungan siaran televsiyen memaparkan cerita tahyul dan khayal yang boleh mengikis fahaman akidah sebagai seoarng Islam. Cerita berbentuk seram dan hantu juga sudah banyak. Semua program ini langsung tidak membina citarasa masyarakat Malaysia yang tinggi. Siaran televisyen yang berselera rendah inilah yang banyak menguasai pasaran sekarang.



(TV vs Budaya Ilmu?)


Akhirnya nanti, wawasan Malaysia untuk mencapai negara yang maju tidak kecapaian, walaupun dari segi fizikal dan materialnya Malaysia berjaya. Jika diukur dalam sudut pengisian kerohanian dan ilmu, berdasarkan amalan stesyen televsiyen yang ada hari ini, sebenarnya amat mustahil Malaysia mampu menjadi negara yang berdaya saing dan maju dalam temph yang terdekat ini. Kita bukanlah pesemis untuk tidak berjaya, akan tetapi amalan yang ada ini menjadi ukuran kepada kejayaaan sesebuah negara.

Sebagai kelompok generasi muda, seharusnya mereka perlu sedar dan tidak menjadi mangsa eksploitsai ganas stesyen televsiyen yang mementingkan diri mereka sendiri. Kelompok muda mudah menjadi mangsa kerana fitrah anak muda yang gemar berhibur, berseronok, mencuba sesuatu yang baru dan masih pra- matang untuk menilai implikasi masa depan. Oleh itu, mewakili generasi muda, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa agar perubahan secara radikal dan revolusi dibuat dalam menangani isu peranan televisyen sebagai salah satu wahana media yang berkesan.

PKPIM dengan rasa sedar dan insaf memandang penting dengan segala pengisian yang dijamu dalam program televisyen. Oleh itu, semua pihak berkepentngan perlu mendengar dan bertindak segera untuk memastikan pembinaan bangsa yang menumpukan kepada pembinaan generasi muda dapat berjalan dengan lancar dan tersusun dengan program- program media yang berkualiti dan berselera tinggi. “Takutlah kamu sekiranya kamu
meninggalkan zuriat yang lemah di belakang kamu” (al- Hasyr: 9)


MOHD HILMI RAMLI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)




No comments: