Wednesday, April 18, 2007

SLOT KRITIK SOSIAL II

BENTUK PEMIKIRAN BUKAN HANYA MELALUI KURIKULUM



(Melahirkan pemikir sepatutnya merentas kurikulum dan silibus subjek)

Cadangan untuk mengkaji semula kurikulum pendidikan kebangsaan agar dapat melahirkan lebih ramai pemikir dalam negara ini harus disambut baik oleh semua pihak. Pengkajian dan penilaian semula tersebut dilihat sebagai penting memandangkan kurikulum yang sedia ada kurang berkesan dalam mendidik kemahiran berfikir para pelajar. Akibatnya, dalam beberapa sektor, negara kita masih terpaksa bergantung kepada kepakaran dan teknologi daripada luar untuk membantu pembangunan negara. Justeru, hasrat kepimpinan negara untuk menilai semula kurikulum pendidikan kebangsaan perlu disambut baik oleh semua pihak.

Pelajar hari ini dilabel sebagai pasif, lembab, kurang kritis, tidak kreatif, bermentaliti subsidi, sering menimbulkan gejala sosial dan pelbagai lagi tohmahan nakal yang diberikan. Seperti biasa, sudah menjadi kecenderungan masyarakat awam untuk meletakkan pelajar ke dalam ‘ kandang bersalah’, yang menyebabkan kelompok pelajar akan diadili dengan pelbagai hukuman. Walhal, pelajar yang ada pada hari ini merupakan ‘produk’ yang lahir daripada sistem yang dibuat oleh orang dewasa. Justeru, dilihatkan dalam sektor pendidikan, perlu ada usaha untuk keluar daripada kepompong status- quo demi melahirkan pelajar yang mempunyai ciri ‘pemikir’.

Walau bagaimanapun, kita perlu memahami bahawa pembentukan daya fikir seseorang pelajar itu tidak hanya bergantung kepada faktor kurikulum pendidikan semata-mata. Pemikiran seseorang pelajar itu banyak bergantung kepada suasana persekitaran dan budaya setempat yang membentuk persepsinya. Oleh sebab itu, pembentukan suasana yang kondusif demi menjana kemhiran berfikir yang baik adalah perlu. Bahkan sistem pendidikan negara yang bertujuan melahirkan manusia yang lengkap empat elemen, jasmani, emosi, rohani dan intelek sepatutnya merentasi kurikulum.

Hasrat melahirkan pelajar yang mempunyai ciri ‘pemikir’ bukan tugas yang mudah. Seorang pemikir ialah seorang yang mempunyai keupayaan intelektual, menekuni isu semasa dengan akal tajam, mampu menterjemah perkara abstrak kepada perkara yang konkrit dan menjadikan budaya ilmu sebagai ‘makanan harian’. Pelajar yang hanya disogokkan dengan prestasi peperiksaan sebagai kayu ukur kepada kejayaan ilmu seseorang bukanlah satu proses yang menggalakkan kepada kelahiran ‘pemikir’. Bahkan juga, banyak gejala anti- intelektualisme yang sedang melingkari masyarakat kita hari ini.

Gejala anti- intelektualisme ini boleh dilihat melalui tauladan pemimpin yang tidak minat dengan budaya ilmu. Budaya hiburan melampau juga menyumbang kepada gejala anti- intelektualisme berleluasa. Malah, sistem konkongan dengan undang- undang drakonian seperti AUKU dan Aku Janji juga serba sedikit menyumbang kepada gejala anti- intelektualisme ini. Susulan daripada itu, undang- undang drakonian menyebabkan budaya takut muncul dan akhirnya lahirlah budaya pasif di kalangan pelajar. Pelajar tidak mahu menanggung risiko dengan cuba an berani mengkritik atau bersuara lantang kerana amaran sudah dikeluarkan.

Orientasi pendidikan kita seharusnya menuju kepada melahirkan pelajar yang multiple- intelligence (kepelbagaian kecerdasan). Teori ini diperkenalkan oleh Prof Howard Gardner, seorang profesor dari Universiti Harvard, mengemukakan paradigma baru dalam membangunkan potensi manusia dengan penekanan kepada pelbagai kecerdasan. Multiple- Intelligence yang dimaksudkan ialah kecerdasan bahasa, interpersonal, intrapersonal, muzikal, logik- matematik, ruang (spatial), semula jadi dan kinestetik.



(Lukisan dan seni salah satu ciri kepelbagaian kecerdasan)

Teori ini mampu membongkar potensi setiap pelajar melalui keunikan dan kelebihan kecerdasan seseorang. Pelajar yang berciri ‘pemikir’ sudah tentu mempunyai salah satu daripada kecerdasan- kecerdasan ini. Dengan tumpuan dan pelaburan yang besar diberikan kepada perkara utama ini, PKPIM yakin usaha melahirkan pelajar yang mempunyai ciri ‘pemikir’ dapat dijelmakan. Orientasi yang berbentuk merentasi kurikulum inilah sepatutnya menjadi pilihan dalam sistem pendidikan kita hari ini.

Seandainya semua pihak benar-benar ikhlas dalam memainkan peranan mereka masing-masing, daya fikir para pelajar di negara ini pasti dapat diperkasa dan seterusnya melahirkan modal insan yang lebih berkualiti dan dapat menyumbang secara proaktif ke arah pembangunan negara.

MOHD HILMI RAMLI

No comments: