Thursday, April 19, 2007

BICARA MUDA



Personaliti: Misi Hilmi tingkat imej remaja
Oleh Hasliza Hassan

Presiden PKPIM mahu bukti generasi muda mampu beri sumbangan


UMURNYA baru saja mencecah 25 tahun pada 15 April lalu, namun kesungguhan serta keyakinan yang ditampilkan membuktikan ukuran kematangan bukan pada usia tetapi pengalaman yang diraih sepanjang meniti kedewasaan.

Berbekalkan semangat ingin mengembangkan nilai kepemimpinan dalam diri, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli, berusaha memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan Majlis Syura PKPIM.

Baginya, nilai kepemimpinan pada diri yang dianugerah Ilahi jika tidak digilap akan menjadi satu pembaziran sedangkan sebagai insan, sudah dipertanggungjawab dengan tugas memimpin termasuk memimpin diri sendiri ke arah keredaan Allah.

Justeru, apabila Majlis Syura PKPIM sebulat suara memilih namanya, beliau terima dengan rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk mengangkat status golongan muda yang kian diancam pelbagai tohmahan.

Amanah menduduki kerusi Presiden badan induk pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan itu, walaupun dasarnya nampak berat, minat dalam pengurusan diri membolehkan tugas dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Saya mempunyai minat kepemimpinan dalam pengurusan. Oleh itu, saya rasa perlu terjun dalam bidang kepemimpinan dan wadah terbaik buat saya mengasah bakat ialah menerusi PKPIM.

“Saya juga sedar mengenai masa depan generasi muda hari ini. Salah satu faktor menyebabkan mereka terjebak dalam gejala sosial kerana tidak ada contoh teladan yang boleh mereka ikut.

“Kita ramai idola tetapi kemarau teladan. Terlalu banyak idola dilahirkan melalui pelbagai program tetapi bolehkah mereka menjadi contoh kepada anak muda,” katanya pada pertemuan di pejabat PKPIM di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Manjung, Perak itu berkata, matlamat PKPIM adalah jelas untuk mengembangkan bakat kepemimpinan pada diri ahlinya yang terdiri daripada pelajar sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi melalui aktiviti berpersatuan.

PKPIM ditubuhkan pada 31 Mac 1961 bertujuan menggabungkan semua persatuan pelajar Islam di negara ini dan menjalankan aktiviti bagi kepentingan pelajar Islam seperti program dakwah, kempen prihatin, penguasaan dwi ilmu dan peningkatan mutu kepemimpinan.

Uniknya PKPIM, kepemimpinan pengurusan dan sukarelawannya diterajui pelajar yang minat mengembangkan bakat kepemimpinan serta ingin menimba pengetahuan melalui pembabitan aktiviti dalam program dianjurkan.

Mohd Hilmi berkata, peluang melanjutkan pengajian di universiti adalah masa terbaik bagi anak muda mempelajari ilmu kepemimpinan di samping mendalami bidang akademik yang dipilih.

Justeru katanya, pelajar perlu bijak menyusun jadual kerana pengurusan masa penting dan semua itu hanya dapat dipelajari apabila pelajar melalui sendiri pengalaman untuk menguruskan masa.

“Kita belajar pengurusan masa secara teori tetapi pelaksanaan hanya dapat dihayati apabila kita berada di situasi sebenar. Melalui aktiviti persatuan, pelajar akan tahu pentingnya bijak menguruskan masa.

“Ini semua tidak dapat dicapai jika pelajar tidak membabitkan diri dalam pengurusan kepemimpinan. Inilah yang saya belajar ketika melanjutkan pengajian dan sekarang apabila diamanahkan menerajui PKPIM,” katanya.

Beliau berkata, persekitaran kampus dan universiti memerlukan pelajar menonjolkan bakat kepemimpinan dan itulah yang dilakukan sejak berkenalan dengan PKPIM ketika melanjutkan pengajian di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, pembabitan dalam PKPIM turut membuka peluang untuknya berjumpa dengan pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Muhamad, ulama terkenal Dr Yusof Al-Qardawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jika tidak berpersatuan katanya, tidak ada dimensi yang boleh diteroka sedangkan banyak perkara boleh dipelajari kerana kepemimpinan berkait dengan pengurusan, kemahiran berfikir, membuat keputusan selain memastikan matlamat organisasi tercapai.

“Saya banyak belajar dalam perkara yang dilakukan secara terpaksa. Terpaksa jadi pengerusi majlis, bercakap depan khalayak dan membuat keputusan demi kepentingan semua ahli.

“Sebagai pemimpin muda, pastinya kita ada buat kesilapan dan bagi saya kesilapan adalah guru terbaik yang akan melatih kita untuk memperbaiki diri pada masa depan,” katanya.

Katanya, untuk bersaing dengan pemimpin daripada golongan dewasa, pemimpin muda perlu berani menonjol, berkeyakinan menyuarakan pandangan dan memastikan apa yang dikemukakan bukan omong kosong selain menjaga adab.

Menjawab apakah beliau yakin dapat menerajui PKPIM dengan baik, anak muda yang bercita-cita menjadi pensyarah itu berkata, pemimpin perlu optimis menerima amanah dan kepercayaan yang diberikan.

Beliau bersyukur kerana kesemua 26 exco PKPIM banyak membantu dan itulah faktor kekuatan dalam kepemimpinan beliau menerajui badan itu bermula September tahun lalu.

Mohd Hilmi berkata, selain mengembangkan nilai kepemimpinan, pembabitan anak muda dalam persatuan dapat membantu menepis tohmahan yang mengatakan anak muda sekarang lemah.

Beliau berkata, memang ada kecenderungan akhir-akhir ini untuk meletakkan remaja dalam kandang salah setiap kali berlaku gejala sosial yang mendatangkan kebimbangan serta kerisauan pemimpin dan masyarakat.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak wajar kerana perkara itu terjadi mungkin disebabkan tidak ada idola yang boleh menjadi contoh teladan untuk diikuti remaja hari ini.

Malah katanya, tiada medium untuk remaja serta golongan muda menyuarakan pandangan menyebabkan mereka terus menjadi kambing hitam yang memikul kesalahan yang ditolak kepada mereka.

Oleh itu, jika memiliki kuasa untuk mengubah keadaan, beliau ingin menyekat hiburan yang melampau hingga melalaikan generasi muda, memberi kebebasan pelajar mengembangkan nilai kepimpinan dan mengubah sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan untuk membuka peluang pelajar menggunakan kreativiti dalam pencarian ilmu pengetahuan.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Agama/20070419072808/Article/

No comments: