Thursday, January 18, 2007

BACAAN SANTAI: MAT REMPIT; SILAP MASYARAKAT?

MAT REMPIT: SILAP MASYARAKAT?

Mat Rempit merupakan fenomena baru bagi masyarakat hari ini, bahkan merupakan satu penyakit generasi muda era kontemporari. Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KKeKWA) mengatakan, gejala Mat Rempit merupakan satu ‘malapetaka’ kepada negara. Kewujudan aksi Mat Rempit melengkapkan lagi rekod gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda, terutamanya bagi belia yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Dahulunya, mereka yang terlibat dalam perlumbaan yang laju, tanpa mengikut adab jalan raya, akan dipanggil pelumba haram. Selepas beberapa tahun, fenomena lumba haram ini melalui evolusi nama dan kegiatan mereka. Mat Rempit mula diperkenalkan, sudah pasti nama ini sinonim dengan aksi ganas mereka ketika beraksi di jalan raya. Masyarakat kita memang terkenal dengan label- melabel. Dahulunya heboh dengan gejala remaja perempuan yang suka berpelesaran, yang dinamakan ‘Bohsia’. Kemudian, bagi yang ‘jantan’ pula dipanggil ‘Bohjan’.


Malah, dahulunya, mereka sekadar berlumba secara haram dan laju di jalan raya, akan tetapi hari ini mereka berani mempamerkan aksi angkat motor, berdiri atas motor ketika motor laju bergerak dan pelbagai lagi aksi yang sememangnya membuatkan ramai orang teruja. Sehinggakan ada pelancong luar negara yang mengatakan keberanian aksi mereka memang tidak pernah wujud di luar negara.

Fenomena Mat Rempit dan cara menanganinya juga perlu dilihat secara sepadu. Fenomena Mat Rempit bukan dilihat sekadar perbuatan yang tiba- tiba muncul. Ianya merupakan evolusi kegiatan lumba motor secara haram di jalan raya, yang melibatkan generasi muda. Orang tua sudah pasti tidak terlibat dalam aksi Mat Rempit ini. Secara majoriti, memang generasi muda, yang melibatkan pelajar sekolah dan belia Melayu terutamanya yang terlibat dalam kegiatan Mat Rempit ini.

Kelompok Mat Rempit perlu dikenal pasti. Ada yang memang ‘kaki’ lumba haram dan pada masa yang sama ‘nakal’ di jalan raya dengan aksi yang berani. Mereka ini adalah golongan pelumba haram yang tegar. Mereka ini juga yang sering terlibat dengan jenayah seperti curi, rompak dan mungkin bunuh. Ada juga yang bukan pelumba haram, akan tetapi sekadar suka- suka beraksi ’nakal’ di jalan raya. Mereka ini golongan yang ‘kehampaan kalbu atas Iman; yang kekosong jiwa mereka, yang suka melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah. Mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada remaja dan pelajar sekolah yang masih tidak cukup umur. Ada juga golongan yang minat bidang permotoran, tidak suka berlumba mahupun ‘whilley’, akan tetapi suka membawa motor secara ramai- ramai. Mereka ini golongan yang mempunyai hobi bermotor. Kelibat mereka kelihatan sewaktu hujung minggu, sewaktu malam Tahun Baru dan waktu cuti- cuti. Namun demikian, semua kelompok ini dilabel sebagai Mat Rempit. Justeru, kita harus mengenal pasti kelompok sasaran yang betul, dan setiap kelompok mempunyai cara tersendiri untuk menanganinya..

Gejala lumba haram memang sudah lama bermula. Sehingga sekarang ianya masih sukar dibanteras, bahkan membarah sehingga tumbuh pula gejala Mat Rempit ini. Berdasarkan pandangan rambang, lumba haram merupakan produk gejala sosial yang hanya wujud di Malaysia sahaja. Di negara- negara lain, hatta negara jiran seperti Thailand, Singapura, malah Vietnam dan Laos, tiada ada kedengaran remaja mereka terlibat dalam lumba haram, walhal motosikal juga merupakan keperluan mereka secara harian. Inilah persoalan asasi yang perlu kita fikiran, iaitu sememangnya setiap rekabentuk motorsikal yang ada di setiap negara akan sentiasa berlainan.

Namun, setiap negara mempunyai citarasa yang berlainan. Jika kita melihat dalam konteks jenis motor yang menyumbang kepada gejala lumba haram, di negara kita terutamanya, sudah pasti memang ada reka bentuk motor yang meransang pemandu untuk menggunakannya bagi kegiatan lumba haram. Orang tidak akan berlumba sekiranya motor direka bentuk mempunyai bakul di hadapan atau mempunyai kuasa pecutan yang sederhana. Banyak remaja berlumba secara haram kerana teransang akan keupayaan motor tersebut yang sememangnya dicipta untuk berlumba.

Golongan yang terlibat dalam perbuatan lumba haram ini merupakan satu petanda kepada kekosongan jiwa yang mereka hadapi. Bagi mereka, lumba secara haram dan melakukan aksi luar biasa di atas trek merupakan satu cara untuk memuaskan hati mereka. Dengan cara ini juga, mereka dapat memenuhi keperluan jiwa mereka. Hati yang tidak diisi dengan pengisian yang sewajarnya menyebabkan mereka mencari alternatif. Golongan Mat Rempit merasakan bahawa aksi mereka dengan lagak ngeri bukan sekadar memuaskan hati, bahkan membuatkan orang awam turut terhibur.

Menurut Prof Naquib Al Attas, mereka ini termasuk dalam kategori ‘kehampaan kalbu atas Iman’. Ini bermakna, jiwa mereka tidak diserapi dengan ketenangan Iman yang boleh diperolehi jika kita taat kepada perintah agama. Sememangnya, jiwa yang tiada diisi dengan keimanan akan menyebabkan jiwa keras. Apabila jiwa keras, susah untuk terima nasihat. Apabila susah untuk terima nasihat, maka mereka cenderung untuk melakukan kejahatan.

Dalam konteks tiada pengisian jiwa yang sebenar, ini sama seperti penyanyi yang menggunakan dadah untuk menyanyi bagi mendapat keasyikan membuat persembahan. Dia bukan sekadar mampu bertahan secara luar biasa, akan tetapi dapat menghiburkan penonton secara terus menerus. Kesimpulan dari perbuatan mereka ini ialah, mereka menggadaikan diri mereka, asalkan dapat menghiburkan hati orang lain.

Menurut Hamka, golongan ini adalah golongan tahawwur; iaitu berani- babi. Mereka ini berani menempu suatu hal, padahal menurut pertimbangan akal yang waras, hal itu tidak boleh ditempuh. Sebabnya timbul berani- babi ialah lantaran darah muda yang marah yang mendidih, yang timbul dari nafsu pembalasan.

Berdasarkan rekod kita, banyak aksi Mat Rempit yang semakin menjadi- jadi. Jika dahulunya mereka beraksi sekadar ‘beraksi berani- babi’, akan tetapi hari ini mereka sudah berani melakukan jenayah besar. Sebagai contoh, pada 10 Disember yang lalu, sekumpulan Mat Rempit seramai 60 orang telah menyerang, menyamun dan menyembur dengan alat pemadam api kepada pengguna jalan raya sekitar jam 4- 5 pagi di sekitar Seberang Prai. Perbuatan mereka ini dipercayai, turut didalangi oleh kumpulan Mat Rempit yang bertindak menyerang dua anggota polis dan membaling batu ke arah Balai Polis Kubang Semang.

Memetik laporan akhbar 8 Oktober lalu pula, beberapa orang suspek dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan yang melibatkan kumpulan ‘mat rempit’ dan menyebabkan seorang daripadanya mati ditikam manakala tiga lagi cedera dalam pergaduhan tersebut.

Mangsa, Agus Asrafi Sumarji, 21, disahkan mati kira-kira pukul 3.45 pagi sejurus dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana cedera parah di dada kanan akibat tikaman senjata tajam. Kejadian dikatakan tercetus apabila berlaku pelanggaran motosikal salah seorang ‘mat rempit’ dengan kumpulan lain semasa bertembung di hadapan stesen minyak Shell dekat Damansara.

Mat Rempit memang berani mencabar pihak berkuasa. Bukan setakat itu, mereka juga berani melanggar hukum agama, apatah lagi berani membelakangkan syariat agama. Sebagai contoh, sekumpulan Mat Rempit membuat bising ketika solat Jumaat sedang diadakan di sebuah Masjid di Kedah. Mereka seolah- olah mempermainkan seruan Jumaat yang sepatutnya mesti mereka kerjakan.

Ini semua memerlukan perhatian serius daripada kita. Pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memainkan peranan yang agresif dalam membanteras malapetaka Mat Rempit ini. Usaha menangkap Mat Rempit yang beraksi haram, merampas motor dan membina bonggol di tempat strategik merupakan langkah yang berkesan.

Seperti biasa, siapakah yang bertanggungjawab apabila setiap kali gejala sosial muncul? Memang ada kecenderungan manusia akan menyalahkan orang lain, akan tetapi tidak sedar akan kesalahan diri sendiri. Oleh itu, kita perlu belajar untuk menyalahkan diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Dalam konteks Mat Rempit hari ini, sememangnya tidak perlu kita meletakkan kesalahan kepada sesiapa pun. Kita selaku unit dalam masyarakat perlu menyalahkan diri sendiri. Ini kerana kitalah yang mencorak suasana masyarakat kita. Budaya, suasana dan nilai yang wujud melingkari masyarakat kita bukan terjadi secara tiba- tiba. Ianya bukan perbuatan orang lain di luar muka bumi ini, akan tetapi ‘hasil kerja’ masyarakat bumi ini sendiri.

Nilai yang mungkin semakin dilupakan di kalangan kita ialah tegur menegur antara satu sama lain. Dalam perkataan paling mudah, konsep ‘amar makruf, nahi mungkar’ semakin pudar. Dahulunya tegur menegur atas dasar kebaikan, dengan mengajak kepada kebaikan dan menegur perkara mungkar yang berlaku merupakan satu budaya masyarakat. Jika ada anak jiran yang melakukan kesilapan, kita akan cepat menegurnya. Malah ibu bapanya sendiri pun akan bersikap terbuka sekiranya memang anaknya memang ada buat silap. Bahkan guru- guru di sekolah pun mempunyai kuasa autonomi untuk membentuk keperibadian anak muridnya. Memang ibu bapa yang menghantar ke sekolah akan menyerahkan sebulat- bulatnya kepada guru untuk mendidik anak mereka, gunalah rotan dan apa jua jika mereka nakal, akan tetapi jangan sampai patah tulang sudahlah!

Namun hari ini, budaya tegur menegur semakin pudar di makan arus perubahan nilai yang baru. Kita menjadi semakin orang yang mementingkan diri sendiri. Kita hanya berfikir tentang wilayah kepentingan diri sendiri sahaja. Bukan bermaksud kita menggalakkan budaya ‘menjaga tepi kain orang’ di kalangan kita, akan tetapi menghidupkan kembali budaya bermasyarakat yang saling tegur menegur antara satu sama lain.

Mungkin perubahan gaya hidup seperti tekanan kerja, bebanan kewangan serta komitmen keluarga yang mendesak menyebabkan kita semakin mengecilkan ruang bermasyarakat. Tidak dinafikan ruang privacy bersama keluarga sangat penting, akan tetapi bukan menjadikan ianya penghalang untuk kita berinteraksi dengan masyarakat luar yang berada di luar wilayah keluarga kita.

Sebab itulah pentingnya Hadis Nabi Muhammad Sallahu’alaihi Wasalam yang mengatakan hidup bermasyarakat umpamanya hidup dalam satu bahtera yang berada di tengah lautan yang luas. Ada dua kelompok manusia dalam bahtera, satu yang berada di bawah, dan sekelompok lagi berada di atas. Kelompok yang di bawah akan meminta kelompok atas untuk mengambil air, memandangkan mereka tidak boleh keluar. Seperti biasa, kelompok atas akan memainkan tugasnya untuk membantu. Akan tetapi sekiranya, ada di kalangan kelompok bawah yang degil dan tidak sabar, mereka akan menebuk lubang lantai bahtera untuk mengambil air, akhirnya nanti, bukan setakat berjaya mengambil air, akan tetapi menenggelamkan kesemua penumpang bahtera, tidak kira kelompok atas ataupun bawah.

Oleh kerana itulah pentingnya budaya tegur menegur; bagi memastikan bahtera itu tidak karam dan menenggelamkan semua penumpang. Begitu juga dalam kehidupan bermasyarakat kita hari ini, sebab tidak ada budaya tegur- menegur itulah banyaknya terjadi gejala sosial. Gejala sosial ini semakin berleluasa, kerana bagi mereka, mereka berada di ruang yang selesa, sebab tidak ada yang menegur mereka. Bukan bermaksud tidak ada usaha menegur, akan tetapi menjadi amalan sekelompok kecil masyarakat sahaja. Malah, mereka turut merasakan perbuatan mereka itu tidak salah dan berdosa. Hasilnya, semakin membarah penyakit sosial masyarakat.

Fenomena Mat Rempit boleh diatasi sekiranya setiap unit dalam masyarakat memainkan peranan masing- masing. Sudah pasti, setiap di kalangan kita mempunyai wilayah pengaruh masing- masing, maka pergunalah wilayah tersebut dalam konteks tegur menegur antara satu sama lain.

Jadikanlah fenomena Mat Rempit ini sebagai langkah pertama kita untuk berubah. Mat Rempit ini menjadi bahan ujian pertama kita untuk membudayakan kembali budaya tegur menegur. Memang tidak dinafikan sudah semakin banyak penyakit sosial yang tumbuh dalam masyarakat. Kedatangan Mat Rempit ini di sebalik melengkapkan rekod penyakit sosial masyarakat sebenarnya ada ruang positifnya, apabila mendesak kita untuk berfikir cara untuk mengatasinya. Sudah pasti ianya berkesan bagi mereka yang ada kesedaran. Bagi yang tidak sedar bahawa Mat Rempit ini merupakan satu ancaman kepada masa depan negara, maka mereka ini perlu disedarkan.

Setiap unit masyarakat perlu memulakan kembali budaya tegur menegur. Kerajaan seharusnya menjadikan budaya hidup masyarakat yang murni, melalui budaya tegur menegur dalam kebaikan sebagai satu syiar kerajaan. Dalam pada masa yang sama juga, tolak segala agenda yang hanya memupuk semangat mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, banyak program hiburan di media yang perlu dikawal, kerana ianya sekadar program berbentuk selera rendah, yang hanya memuaskan hawa nafsu kita. Seharusnya hiburan disajikan dalam bentuk yang berselera tinggi, bukan picisan, malah perlu juga dinilai kembali konsert- konsert mega yang sering diadakan. Ketagihan kepada bentuk hiburan yang berselera rendah ini merupakan salah satu faktor kepada masyarakat mula mementingkan diri sendiri. Manakan tidak, apabila soal yang paling penting dalam bermasyarakat, iaitu pencarian ilmu dan kebenaran hakiki dipinggirkan dengan agenda picisan ini. Akhirnya apabila masyarakat tidak dididik dengan agenda membangunkan akal dan budi, maka mereka akan tenggelam dalam nikmat dan ketagihan hiburan selera rendah yang menjadi keutamaan kita, yang terjelma melalui konsert, nyanyian dan bentuk lagu yang berselera rendah.

Kesimpulannya, gejala Mat Rempit yang buas ada kaitannya dengan sikap kita dalam bermasyarakat. Maka usahlah timbul lagi penyakit sosial yang baru, kita kembali kecoh, marah dan melepaskan geram. Jika kita tidak bertindak sekarang, seperti biasa kita akan mengulangi tape yang sama kalau ada penyakit sosial baru.

MOHD HILMI RAMLI
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
019- 3068241

No comments: