Wednesday, October 11, 2006

MEMUPUK PERPADUAN UMMAT DALAM BULAN RAMADAN

MEMUPUK PERPADUAN UMMAT DALAM BULAN RAMADAN

Oleh: Mohd Hilmi Ramli
[1]

Setiap tahun kita akan menempuh bulan Ramadan. Bulan Ramadan bukan sebarangan bulan, kerana bulan Ramadan ialah bulan yang menjanjikan seribu satu macam ganjaran. Malah Ramadan juga merupakan anugerah umat akhir zaman, kerana sekiranya kita bersungguh- sungguh menghidupkan amalan sepanjang Ramadan, segala dosa- dosa kita akan diampuni oleh Allah Ta'ala. Ini menjadikan kita seperti bayi yang baru dilahirkan, ibarat kain putih yang suci. Janji ini terkandung dalam Hadis Muhammad Sallahu'alaihi Wasalam;

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa- dosanya yang terdahulu"
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam kenikmatan ganjaran pahala yang dijanjikan itu, sememangnya kita boleh melihatkan kemeriahan umat Islam menghidupkan bulan Ramadan ini dengan pelbagai aktiviti Ramadan. Ada yang mula menjinak- jinakkan diri menghadiri masjid untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah, ada juga yang menganjurkan majlis berbuka puasa, ada yang menghidupkan rumah Allah dengan membaca Al- Qur'an, beriktikaf, berzikir, majlis ilmu dan sebagainya. Ada yang mengadakan kempen bersedekah dan membayar zakat. Semua aktiviti ini menghidupkan lagi bulan Ramadan yang penuh mulia ini.

Malah, ada juga yang bersikap ekstrem dalam menghidupkan Ramadan ini dengan melaksanakan aktiviti yang tidak selari dengan Syariat, apabila membeli juadah berbuka dengan membazir, mengadakan majlis kesenian kononnya atas nama kebajikan, yang akhirnya mengabaikan ibadah Ramadan yang sepatutnya menjadi keutamaan dahulu. Golongan ini tidak memahami aspirasi Ramadan itu, iaitu bulan yang meletakkan ibadah kepada Allah Ta'ala itu sebagai keutamaan, dengan meninggalkan sementara kenikmatan dan keseronokan dunia. Bagi mereka, apabila letih berpuasa seharian, mereka mesti mengisi masa- masa yang selebihnya untuk berseronok sakan.

Malah, dalam kemeriahan itu, sebenarnya juga ada golongan manusia yang tidak berminat dengan ganjaran yang telah ditawarkan oleh Allah Ta'ala kepada umat ini. Mereka seolah- olah tidak menghiraukan kemeriahan ibadah sepanjang Ramadan ini. Ini terjelma melalui aktiviti sesetengah anak muda yang masih meneruskan kegiatan tidak sihat di waktu malam, seperti kelompok mat Rempit. Mereka sibuk menghidupkan malam mereka dengan keseronokan, langsung mematikan malam Ramadan dengan aktiviti ibadah yang sememangnya menjanjikan ganjaran besar. Sesetengahnya juga berterusan melakukan maksiat, tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan ini.

Dalam meletakkan posisi sebagai insan yang mengabdikan dalam gerakan Islam, sememangnya kita perlu berbeza dengan kelompok- kelompok manusia di atas. Bagi kita, bulan Ramadan yang datang setahun sekali ini sebenarnya menjadi 'madrasah' kepada kita untuk membina kualiti diri. Memang kita digalakkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah, akan tetapi ibadah kita berbeza dengan ibadah orang awam. Keunikan kita ialah dalam memahami akan tujuan diisyariatkan bulan Ramadan itu iaitu agar kita menjadi mukmin yang bertaqwa. Ini terkandung dalam Firman Allah Ta'la;

"Telah difardukan ke atas kamu berpuasa, seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa"
(Al- Baqarah: 183)

Taqwa ialah perasaan takut kepada Allah Ta'la. Menurut Saidina Umar Al- Khattab Radiallahu Anhu, taqwa diibaratkan kita berjalan dalam hutan yang penuh dengan duri. Maka sudah tentu kita akan berhati- hati agar tidak terpijak duri- duri tersebut. Manakala menurut Al- Qurtubi dalam tafsirnya, Tafsir Al- Qurtubi, taqwa merupakan satu kumpulan kebaikan (Jima' Al- Khair). Ini bermaksud ialah seseorang yang bertaqwa ini mengumpulkan segala kebaikan yang berada dalam dirinya. Kebaikan ini meliputi segala perkara, bermula dengan rasa keyakinan yang teguh kepada Allah Ta'ala sehinggalah sifat mulia untuk melakukan amalan- amalan sunat yang digalakkan.

Maka kerana itulah, kita perlu meletakkan indikator berjayanya kita dalam menghidupkan bulan Ramadan ini ialah sejauh mana kita kekal dalam kebaikan selepas bulan Ramadan. Menurut para ulama', untuk mengetahui sama ada amalan kita sepanjang Ramadan itu mendatangkan keberkatan kepada kita ialah dengan melihat sejauh mana kita mengekalkan amalan tersebut selepas Ramadan. Sebagai contoh, sekiranya kita rajin menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid ketika Ramadan, dan kita boleh konsisten menunaikan subuh secara berjemaah selepas Ramadan, maka itu tandanya kita memperolehi berkat sepanjang bulan Ramadan. Sekiranya tidak, maka nilailah balik niat dan amalan kita sepanjang Ramadan.

Ramadan sebagai 'madrasah' pembinaan kualiti diri dan umat perlu dilihatkan bukan sebagai bulan memeriahkan ibadah semata, akan tetapi dilihatkan dalam perspektif yang lebih meluas. Dalam permasalahan hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai krisis umat. Menurut Pak Natsir, mantan Perdana Menteri Indonesia yang pertama, yang juga tokoh Parti Masyumi, umat Islam dewasa ini rata- rata sedang dilanda masalah ketiadaan inventarisasi (reka cipta), hobi bermusuhan, tidak menghargai diri dan takut pada risiko dan rakus pada dunia.

Dalam menghuraikan tentang hobi bermusuhan, Pak Natsir mengatakan bahawa umat Islam sangat senang punya lawan. Bila musuh tidak ada, mereka akan mencari musuh sesama sendiri. Dalam hal ini sememangnya perpaduan amat penting dalam membina umat yang kuat lagi berpengaruh. Umat Islam sepatutnya menjadikan ibadah bulan Ramadan sebagai satu yang mengukuhkan perpaduan di kalangan umat. Ini terbukti dalam kemeriahan melaksanakan ibadah secara jemaah, bermula dengan puasa, kemudian iftar dan kemudian terawih, sepatutnya 'rasa kebersamaan' menahan lapar dahaga, menahan ujian itu dapat dikekalkan sehingga habis Ramadan, malah sehinggalah juga bulan- bulan selepas Ramadan.

Keberkatan Ramadan ini perlu dicari dengan kita membetulkan niat kita dalam menghidupkan aktiviti sepanjang Ramadan ini. Pembinaan individu yang ikhlas dalam mencari keberkatan Ramadan ini menjadi keutamaan kita. Menurut Sheikh Yusuf Al- Qaradawi dalam bukunya Fiqh Awlawiyat; keutamaan kita mencapai kebaikan ialah dengan membina individu yang baik dan ikhlas sebelum membina masyarakat.

Oleh itu dalam mengharungi 'madrasah' Ramadan ini, kita selaku penggerak gerakan dakwah PKPIM ini mesti mengislahkan diri kita dengan membetulkan niat melakukan ibadah Ramadan ini dan bersungguh- sungguh dalam menghidupkan setiap masa Ramadan ini dengan pelbagai ibadah. Rasa kebersamaan sepanjang Ramadan ini sekiranya dikongsi bersama bukan sekadar untuk memeriahkan bulan Ramadan, akan tetapi mendapat keberkatan oleh Allah Ta'ala akhirnya nanti akan mewujudkan kasih sayang antara umat Islam, yang nantinya juga menatijahkan perpaduan sesama umat.

[1] Beliau merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi sesi 2006/ 2007. PKPIM merupakan persatuan pelajar Islam peringkat kebangsaan yang telah ditubuhkan sejak 1961. Maklumat lanjut boleh layari www.pkpim.net