Friday, April 28, 2006

A SPECIAL DINNER AND LECTURE WITH PROF. NAQUIB AL- ATTAS, 27 APRIL 2006, IIM






Taking picture with Prof. Naquib Al- Attas, after having dinner and lecture with him. He talked about The Role of Knowledge and Ethical- Moral Integrity in Building A Civilization.Many distinguished guest had participated in this remarkable program,such as Lim Kit Siang,Dato' Musa Hassan,other opposition party representatives,intellectual,Ambassador of United States,academicians,businessman,civil servants,university students etc.

Further about the speaker:http://en.wikipedia.org/wiki/Syed_Muhammad_Naquib_al-Attas

PKPIM CADANG MELABUR DALAM PENDIDIKAN MANUSIAWI BERBANDING MEMASANG CCTV

SIARAN MEDIA 26 APRIL 2006/ 27 RABIUL AWAL 1427:

PKPIM CADANG MELABUR DALAM PENDIDIKAN MANUSIAWI BERBANDING MEMASANG CCTV

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan kerajaan untuk memasang CCTV di sekolah yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet perlu dipertimbangkan dengan sedalam mungkin. PKPIM melihatkan isu pemasangan CCTV ini di sekolah atau di mana- mana institusi pendidikan sekalipun tidak akan menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan pelajar sekolah.

Isu gejala sosial di kalangan pelajar sekolah hari ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Setiap hari kita mendapat maklumat mengenai isu gejala sosial yang melibatkan para pelajar sekolah di dalam media. Dahulunya, isu keruntuhan moral di kalangan pelajar tidak mendapat liputan yang meluas dalam media. Liputan yang meluas ini sepatutnya memberi kesedaran dan menyentak kita bahawa isu keruntuhan moral ini perlu ditangani dengan segera.

Isu keruntuhan moral di kalangan pelajar hari ini melibatkan salah laku kecil sehinggalah kepada perbuatan jenayah berat seperti membunuh, rogol, memukul dan bergaduh yang sering berlaku. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa peratusan kes jenayah di kalangan pelajar meningkat tahun lepas iaitu 5, 543 berbanding pada tahun 2004 sebanyak 5, 140. Dalam statistik yang lain pula, mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan disiplin moral di kalangan pelajar sedikit menurun iaitu 1.74 peratus daripada 5.5 juta pelajar pada 2005 berbanding 2 peratus pada 2004. Peratusan ini walaupun nampak kecil, akan tetapi ianya mewakili 100, 000 bilangan pelajar daripada 5.5 juta. Bilangan yang kecil ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa, ini kerana bilangan 100, 000 ini boleh mempengaruhi bilangan yang ramai itu.

Isu disiplin pelajar sampai ke tahap yang membimbangkan. Malah yang terkini ialah apabila seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa berumur 12 tahun memukul guru sekolahnya yang berumur 26 tahun dengan penyodok apabila beliau dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah dan diminta untuk menyiapkan kerja sekolah sambil berdiri. Isu ini dikategorikan serius kerana bagaimana dalam peringkat umur yang begitu muda itu iaitu 12 tahun sudah berani melakukan tindakan ganas terhadap seorang guru. Dalam kes yang berlainan, di Kedah, seorang guru disiplin Sekolah Menengah Datuk Syed Omar berumur 39 tahun dibelasah sehingga mengalami kecedaraan parah di muka dan badan kerana menangkap seorang pelajar yang lari daripada majlis perhimpunan. Beliau dibelasah, ditendang dan ditumbuk bertubi- tubi oleh dua orang pelajar tingkatan lima ketika majlis perhimpunan berlangsung. Dalam kes yang sama di Kedah, seorang guru perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tokai, Pendang telah ditampar oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat apabila guru tersebut menegur kesilapan pelajar perempuan tersebut. Akibat merasa sedih yang amat sangat apabila seorang guru diperlakukan seperti itu, guru itu membuat laporan polis.

Sebenarnya banyak lagi kes disiplin pelajar yang berlaku saban hari dan ianya semakin membimbangkan. Sekiranya ini tidak ditangani dengan sempurnya dan baik, dikhuatiri hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berwawasan serta berakhlak mulia tinggal harapan sahaja. Malah masa depan negara tidak akan menjaminkan kestabilan kerana generasi yang ada hari ini penuh dengan masalah dan krisis. Mana mungkin generasi yang bermasalah ini dapat memimpin dengan baik masa depan negara.

Hasrat memasang CCTV mungkin ada kewajarannya, berdasarkan kes disiplin pelajar di sekolah yang semakin meningkat. PKPIM bersetuju apa jua hasrat untuk menangani masalah disiplin di kalangan pelajar. Akan tetapi beberapa pertimbangan perlu difikirkan agar kita dapat menyelesaikan masalah mengikut ramuan yang sepatutnya.

PKPIM memandang, isu disiplin pelajar ini perlu ditangani bersama. Displin pelajar bukan sahaja terletak di tangan guru disiplin, sekolah ataupun polis. Ianya perlu melibatkan masyarakat yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, NGO, ibu bapa dan media. Sebagai generasi muda, golongan pelajar perlu diberi bimbingan dan tunjuk ajar, bukannya menghukum. Pendekatan menghukum tanpa didikan yang sepatutnya tidak relevan lagi hari ini. Pemasangan CCTV dilihatkan sebagai langkah berjaga- jaga masalah disiplin pelajar yang akhirnya sekiranya dapat ditangkap akan dihukum juga. Memasang CCTV sebagai alat kawalan pelajar bukan menyelesaikan masalah utama pelajar itu. Pelajar itu perlu dilihatkan sebagai sumber manusia yang telah dipengaruhi dengan pelbagai elemen- elemen luaran yang banyaknya tidak baik. Mereka ini perlu diberi pendekatan manusiawi sekiranya kita serius untuk memulihara dan memperbaiki akhlak mereka.

Malah, ibarat tangan yang luka, kaki yang dibalut. Pemasangan CCTV juga melibatkan kos yang tinggi. Adalah baik sekiranya kos itu dilaburkan untuk program- progam latihan untuk memperbaiki jati diri pelajar, kem kecemerlangan pelajar, pendidikan, penyelidikan dan sebagainya. PKPIM yakin, pelajar hari ini bukan sahaja tidak mahu dikongkong seperti dalam penjara apabila banyak CCTV diletakkan di sekolah- sekolah untuk mengawal aktiviti mereka, yang paling penting mereka ini mahukan pendedahan dan pengalaman yang akan membantu mereka. Pelajar hari sudah bersikap terbuka dan matang, bukan dilayan seperti budak- budak kecil lagi.

PKPIM juga menyeru agar sistem pendidikan negara dikemaskini iaitu yang melibatkan pemahaman mendidik di kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat. Kehadiran pelajar ke sekolah bukan dilihatkan sebagai sumber keuntungan, sumber manusia bagi sekolah untuk mengejar matlamat material, akan tetapi dilihatkan sebagai aset kepimpinan negara. Ianya perlu dididik dan disemai dengan budi pekerti yang baik. Seorang guru tidak hanya memuntahkan maklumat atau ilmu yang dia ada di kelas kemudian habis. akan tetapi mempunyai sikap mendidik iaitu faham psikologi anak murid, mesra, kasihan, suka membantu dan sebagainya. Seorang guru perlu mempunyai sikap mendidik, bukan mengajar.

Dalam sudut yang lain juga, hari ini kita hidup dalam pendemokrasian hiburan dan stesyen TV, menyebabkan kebanjiran program hiburan yang datang dari pelbagai arah Barat atau Timur. Akan tetapi, yang banyak mempengaruhi pengisian hiburan ini ialah elemen- elemen negatif. Siapakah yang mempengaruhi atau meransang seorang anak murid berumur 12 tahun untuk bertindak ganas sekiranya dia tidak menonton siaran TV yang ganas, misalnya rancangan gusti WWE. Malah banyak lagi pengaruh TV dan hiburan yang menjadi peransang kepada isu disiplin pelajar hari ini.

Oleh itu PKPIM menegaskan, para pelajar perlu diberi pendekatan mendidik yang manusiawi sifatnya, bukan menggunakan pendekatan menghukum semata. Isu pemasangan CCTV tidak akan menyelesaikan masalah disiplin pelajar. CCTV dapat mengawal dan memerhatikan aktiviti pelajar, akan tetapi tidak dapat menjadikan pelajar menjadi lebih manusiawi dan baik. Malah, ada juga yang menyindir, akhirnya para pelajar menjadi 'artis' apabila banyak sangat ‘kamera diletakkan di sekolah- sekolah.



MOHD HILMI RAMLI
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Sekretariat PKPIM Pusat
Anjung Rahmat Batu 6,
Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
T+603-6187 9520F
+603-6184 2570W
+www.pkpim.net
E+pkpim_spp@yahoo.com


s.k.

Perdana Menteri,
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Menteri Pelajaran,
Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein

Timbalan Menteri Pelajaran 1
Dato' Hon Choon Kim

Timbalan Menteri Pelajaran 2,
Dato' Noh Omar

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Dato' Dr. Hj. Ahmad Sipon

Thursday, April 27, 2006

ISU MORAL PERLU DITANGANI DENGAN KEFAHAMAN YANG SEMPURNA

Isu moral di kalangan rakyat Malaysia bukanlah perkara yang baru. Setiap hari kita berhadapan dengan isu moral rakyat Malaysia yang pelbagai, dari jenayah bunuh, rogol, rasuah, rompak, penipuan dan sebagainya, sama ada melibatkan golongan dewasa atau remaja, kolar putih atau biru, lelaki atau wanita, Melayu, Cina atau India, yang kaya atau miskin, menteri atau orang awam dan sebagainya. Ianya berulang- ulang setiap hari tanpa henti. Dalam pada itu, timbul pula aliran pemikiran yang mengatakan kegiatan yang tidak bermoral ini merupakan hak individu terbabit.

Isu ini bermula secara terbuka apabila kejadian sekumpulan remaja termasuk artis terkenal ditangkap ketika pesta arak di disko Zouk pada 2004. Setelah tangkapan yang sah dibuat melalui kelulusan dan pemantaun polis, timbul suara tidak puas hati di kalangan individu dan NGO yang melihatkan tangkapan ini melanggar hak asasi mereka. Kemudian, tekanan demi tekanan yang dibuat melalui media, forum dan lobi- melobi menyebabkan Jabatan Agama Islam (JAWI) yang bertangungjawab menangkap terpaksa tunduk kepada desakan itu. Akhirnya mereka dilepaskan tanpa hukuman yang sewajarnya.


Kemudian timbul pula isu dua pasangan Ooi Kean Thong dan Siow Ai Wei yang ditangkap dan didenda ketika bercumbu- cumbu dan berpelukan di bawah rimbunan pokok di Taman KLCC pada 2 Oktober 2003. Mereka ini didakwa di mahkamah, memandangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa membuat undang- undang dan peraturan menyekat perbuatan tidak sopan di khalayak ramai. Tindakan menghukum mereka ini sekali lagi mendapat tentangan hebat dari golongan liberal apabila tindakan menghukum mereka dipertikaikan. Hujah mereka ialah cium dan berpelukan adalah hak asasi mereka, tidak kira di mana- mana atau terbuka. Malah sebuah parti politik mengadakan demonstrasi bantahan dengan mengadakan ‘upacara cium- ciuman dan pelukan’ di hadapan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tindakan mereka ini dengan membawa poster menyokong hak asasi moral ini sebenarnya telah mempersenda hukuman undang- undang yang telah dikenakan kepada pasangan tersebut. Dari satu segi semacam ruang demokrasi telah mereka gunakan, dari satu segi mereka tidak hormat kepada salah satu rukun negara iaitu keluhuran perlembagaan dan sensitiviti budaya dan agama negara ini yang semestinya orang Melayu dan Islam.

Persoalan yang timbul ialah, apakah perlakuan moral kita merupakan hak asasi mutlak kita? Ini bermakna, kita mempunyai hak yang mutlak untuk melakukan apa jua perbuatan, tidak kira mendatangkan kebaikan atau keburukan tanpa ada gangguan oleh mana- mana pihak, sama ada individu atau pihak berkuasa. Jawapan ini mengundang kekeliruan yang besar. Ini memandangkan, setiap manusia mempunyai tafsiran tersendiri dalam menafsir setiap perbuatan mereka.
Soal pemahaman moral yang liberal dan longgar telah berakar kuat di Barat. Maka itu, tidak mustahil setiap perbuatan itu boleh jadi baik di suatu ketika dan tempat, dan boleh jadi tidak baik. Sebagai contoh ialah perkahwinan sesama jantina, yang dahulunya taboo dan dilarang sama sekali dari sudut agama dan undang- undang. Akan tetapi hari ini, perkahwinan sesama jantina diluluskan oleh mereka yang sepatutnya menentukan kayu ukur moral yang baik iaitu autoriti agama dan mahkamah. Gereja dan mahkamah telah sebulat suara menyokong perkahwinan sesama jantina yang dahulunya haram dan tidak boleh.

Ini bermula kerana pertamanya, agama melalui gereja di negara Barat sudah tidak berfungsi sepenuhnya dalam mendidik dan menentukan keputusan moral manusia. Ini kerana mereka tidak mempunyai teks wahyu yang tetap seperti dalam Islam iaitu Al- Quran, dan keduanya, pihak gereja tidak lagi dipandang sebagai pihak yang paling berautoriti dalam mata pandangan masyarakat Barat. Kemudian, dari satu segi, kefahaman yang liberal dan relativisme telah berakar dalam pemikiran masyarakat Barat secara keseluruhan. Mereka mempunyai hak untuk menentukan hala tuju kehidupan masing- masing. Mereka tidak ada kriteria umum yang boleh mereka gunakan untuk mentafsirkan perlakuan moral, seperti Islam yang ada teks Al- Quran dan Hadis dan wibawa autoriti ulama Islam. Mereka yang beragama di Barat dianggap musuh terutamanya umat Islam. Fenomena yang ketara ialah apabila umat Islam banyak dilemparkan dengan tuduhan buruk seperti fundamentalis, teroris, Taliban dan sebagainya. Kehidupan mereka ini diganggu, diancam dengan bunuh, diboikot, dilarang mempamerkan simbol Islam seperti memakai tudung, dan sebagainya. Jika ada seorang Muslim yang melakukan jenayah moral, mereka ini akan dihebohkan dalam media dan menjadi bahan kutukan orang ramai. Ini sama sekali tidak berlaku jika ada bukan Islam atau anti- moral yang melakukannya.

Secara keseluruhan, fahaman liberal dalam mentafsirkan moral telah berakar dan agama tidak boleh menentukan hukuman moral kerana agama di sana bukan menjadi autoriti dan keutamaan. Akan tetapi, ini berbeza dengan negara Malaysia, yang kita fahami, menjadikan Islam sebagai agama rasmi, dibentuk melalui adat dan budaya agama yang kental, mempunyai masyarakat beragama yang banyak dan masih mempunyai prinsip dan maruah diri.

Fenomena di Barat sepatutnya mengajar kita di Malaysia. Keruntuhan moral di Barat akibat pentafsiran pelbagai adalah realiti yang berlaku. Dalam konteks negara ini, isu moral perlu dilihat dalam konteks adat dan budaya yang berakar di sini. Rakyat perlu patuh kepada undang- undang dan budaya yang berada di sini. Patuh bukan bermakna dalam konteks desakan undang- undang, akan tetapi faham dengan baik dengan adat dan budaya yang telah berakar di sini.

Malaysia, tidak dapat dinafikan, merupakan negara yang masih kaya dengan adat budaya tradisional. Mungkin dalam kaca mata Barat, apa jua unsur tradisional simbol kepada kemunduran dan kejumudan. Maka mereka menafikan simbol tradisional ini yang semestinya mampu lahir daripada kehidupan yang beragama.
Ada yang membangkitkan bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai bangsa, dan rakyat tidak boleh diimplementasikan dengan hanya satu undang- undang sahaja. Hujah mereka ialah, mungkin peluk dan bercium antara lelaki dan perempuan bukan mahram boleh dikenakan tindakan undang- undang mahkamah syariah, dan bertentangan dengan agama dan budaya Islam itu sendiri. Akan tetapi ianya tidak bagi bukan Islam seperti India, Cina dan sebagainya. Jika sekalipun bukan undang- undang syariah dikenakan kepada bukan Islam, apa jua hukuman melarang mereka meluahkan perasaan secara terbuka yang dikatakan hak asasi mereka dikatakan melanggar hak asasi mereka.

Untuk menangani isu ini, perlu pendekatan memahami sejarah pembentukan negara ini diberitahu iaitu berkaitan kontrak sosial. Soal kontrak sosial boleh dijadikan permulaan untuk meredakan segala kekusutan yang melanda. Menurut Prof. Dr Awang Sariyan (2006), kontrak sosial merupakan unsur penting dalam sejarah pembentukan bangsa dan negara ini. Menurutnya, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, Tanah Melayu diidentifikasikan dengan penduduk asalnya yang teras iaitu Melayu. Menurutnya lagi, hakikat ini menjadi fakta sejarah yang tidak mungkin dinafikan oleh sesiapa pun kerana bukan hanya merupakan dakwaan orang Melayu semata- mata, tetapi juga dirakamkan oleh sarjana dan penulis luar termasuk dari Barat.

Kemudian, penjajah datang di Tanah Melayu ini dan membawa orang Cina dan India secara pukal bekerja di sini untuk manipulasi ekonomi mereka juga dan menyebabkan situasi demogafi negara ini secara langsung berubah. Kenyataan penting juga bagaimana perjanjian kemerdekaan dicapai apabila Malaysia terpaksa menerima kaum- kaum pendatang itu sebagai warganegara yan sah apabila penjajah mendesak sekiranya ingin mencapai kemerdekaan. Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan juga, sebagai imbangan kepada pemberian taraf kewarganegaraan itu, maka para pemimpin kaum- kaum lain itu setuju menerima peruntukan yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu, iaitu kedudukan Raja- Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan rasmi serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Itulah yang dinamakan kontrak sosial dalam konteks pembentukan negara ini sesudah lepas dari belenggu penjajah. Susulan daripada itu, satu dasar utama negara telah dibentuk bagi memantapkan lagi pembentukan bangsa Malaysia yang baru yang berakar pada budaya dan adat teras di Malaysia, iaitu pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971. Tiga asas kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu kebudayaan berteraskan kebudayaan asal rantau ini iaitu Melayu, boleh menerima kebudayaan lain asalkan ianya wajar dan sesuai dan menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan negara ini.

Dasar ini tidak bersikap monopoli, kerana meraikan juga kebudayaan- kebudayaan lain yang semestinya datang dari bangsa Cina, India dan lain- lain asalkan disifatkan wajar, iaitu tidak bertentangan dengan kebudayaan Islam dan Melayu itu sendiri.
Oleh itu, pemahaman yang sebenar seperti ini sudah cukup memberitahu kita bahawa sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, kita sebenarnya telah dibentuk oleh dasar yang baik sejak negara ini merdeka. Dasar ini dianggap sebagai dasar Nyah- Barat kerana memungkinkan melahirkan bangsa Malaysia yang bebas dari jelmaan Barat dan bangsa mempunyai identiti tersendiri. Jika dasar ini tidak dibentuk, barangkali Malaysia masih mempunyai sikap dan mentaliti Barat sepenuhnya, walaupun zahirnya telah merdeka, melalui peniruan imej penjajahnya iaitu Inggeris. Ini terjadi di banyak negara seperti Algeria, Morokko, dan sebagainya apabila masih dikongkong oleh mentaliti penjajah mereka iaitu Perancis, sehinggakan bahasa Perancis lebih dominan berbanding bahasa asal mereka iaitu bahasa Arab. Malah banyak lagi ciri- ciri penting pembentukan bangsa mereka celaru akibat tiada dasar asas seperti di negara kita ini.

Kesimpulannya, isu moral yang semakin meruncing ini perlu ditangani dengan bijaksana. Pendekatan hukuman masih relevan dikenakan sekiranya memang didapati bersalah. Dalam sudut yang lain, pendekatan hukuman semata tidak relevan dikenakan kerana menghambat minda kita untuk muhasabah dengan telus mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan. Oleh itu, pendekatan memahami dengan baik akan sesuatu isu amat penting dalam mendidik rakyat supaya lebih berkesedaran sivik. Pendekatan mendidik ini amat penting walaupun tidak popular, akan tetapi akhirnya dapat menyedarkan kita akan hakikat kewujudan kita sebagai rakyat Malaysia dan membuatkan kita menjadi manusia yang semakin baik dan rendah diri kepada Pencipta dan negara.

MOHD HILMI BIN RAMLI
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
212, Anjung Rahmat, Bt. 6. Jalan Gombak,
53100, Kuala Lumpur.

019- 3068241/ 03- 61879520
mhilmi_ramli@yahoo.com
pkpim_spp@yahoo.com
www.pkpim.net