Wednesday, February 08, 2006

BAHANA NILAI LIBERAL BARAT

www.ummahonline.com

Pada 30 September 2005, suratkhabar Denmark Jyllands- Posten telah menerbitkan 12 karikatur Nabi Muhammad saw dalam rupa bentuk yang hina. Paparan ini mendapat reaksi kemarahan umat Islam dan kemudiannya kartun tersebut ditarik balik. Akan tetapi selepas itu, 12 negara Barat seperti Norway, Amerika Syarikat, Perancis, Belgium, dan termasuk suratkhabar Jordan, Al- Mehwar menyiarkan kartun tersebut. Malah suratkhabar tempatan, Sarawak Tribune turut mengeruhkan suasana apabila menyiarkan kembali kartun tersebut.

Episod penghinaan Nabi Muhammad Saw melalui lukisan kartun ini mendapat reaksi negatif dari seluruh pelusuk umat Islam sedunia. Dari kota Lahore, Bangladesh sehingga Jakarta, Indonesia, dari Beirut, Lubnan sehingga London, England, umat Islam menyatakan kemarahannya. Pada Jumaat 3 Februari, Sheikh Yusof Qardawi mengishtiharkan 'Hari Kemarahan bagi umat Islam. Sesungguhnya hari Jumaat tersebutlah hari kemuncak dan strategik bagi umat Islam untuk menyatakan protes. Ada juga di kalangan umat Islam yang menghantar memorandum kepada duta negara Barat yang terbabit, ada yang berdemosntrasi di hadapan kedutaan negara tersebut, membakar bendera dan paling ekstrem apabila Kedutaan Konsulat Denmark di Beirut, Lubnan dibakar. Sebelum itu lagi pun, apabila negara Arab seperti Arab Saudi, Jordan dan beberapa lagi telah memanggil balik duta masing- masing di Denmark dan Norway, termasuk melancarkan boikot segala produk dari negara- negara tersebut.

Menurut editor suratkhabar tersebut, sebenarnya tujuan beliau menyiarkan karikatur tersebut adalah manifestasi kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat. Bagi beliau, ini adalah lumrah bagi negara Barat seperti Denmark, oleh itu jika ianya menyentuh sensiviti umat Islam, seharusnya ianya difahami bukan dalam konteks menghina agama tersebut, akan tetapi menyatakan kebebasan bersuara yang terbuka di Denmark. Seharusnya kita perlu fahami bahawa, nilai sekular dan liberal di Barat telah menyerap sejati di dalam pemikiran masyarakat Barat walaupun dikatakan agama Kristian merupakan agama dominan dan terbesar dalam negara- negara Barat.

Dalam sejarah, agama Kristian merupakan satu- satunya agama yang berpindah dari pusat asalnya iaitu Palestin ke Rom. Sejarah perpindahan agama ini telah merubah seluruh struktur dan nilai asli Kristian yang dibawa oleh pengikut Nabi Isa. Kita sebagai umat Islam perlu faham bahawa agama Kristian yang ada hari ini merupakan modifikasi tangan- tangan paderi yang hidup selepas zaman Nabi Isa. Agama yang dibawal oleh Nabi Isa dahulu sudah berubah dan sama sekali tidak sama dengan agama Kristian yang ada hari ini. Malah nama Kristian pun dinasabkan kepada Al- Masih, iaitu maksudnya Christ dan akhirya menjadi agama Kristian. Kitab Bible yang ada hari ini juga bukan ajaran Injil oleh Nabi Isa yang dahulu.

Pendek kata, agama Kristian hari ini telah diresapi oleh kebudayaan Barat Rom, yang akhirnya meluntur semangat dan nilai keagamaan yang ada pada agama Kristian itu. Hakikat ini telah dibongkarkan oleh Prof. Naquib Al- Attas dalam bukunya, Risalah Untuk Kaum Muslimin. Fenomena ketara yang boleh kita perhatikan ialah, apabila upacara penebusan dosa dan pelantikan Pope yang baru penuh dengan adat istiadat materialistik dan kemewahan, sesuatu yang tidak pernah wujud dalam kebudayaan Kristian. Malah pelbagai budaya seperti sambutan Krismas, kewujudan Santa Clause dan pelbagi lagi fenomena 'bida'h' agama Kristian yang diwujudkan mengikut kesesuaian masa.

Keduanya, peradaban Barat telah menundukkan agama Kristian dengan menafikan peranan agama tersebut. Faham sekular menyebabkan agama mereka terus tenggelam dan tiada fungsinya. Negara dan gereja merupakan dua entiti yang berbeza, negera diperintah oleh Raja, manakala gereja oleh paderi. Ini sama sekali berbeza dengan Islam.

Dalam sudut yang lain, apabila agama Kristian berpindah ke Barat, diharapkan agama tersebut dapat merubah kehidupan beragama, akan tetapi sebaliknya yang berlaku. Sejarah Martin Luther menentang gereja merupakan kemuncak kegagalan gereja dalam menangani isu- isu masyarakat dan kaitannya dengan agama ketika itu. Kongkongan intelektual yang terlalu menekan oleh pihak gereja menyebabkan lahirnya golongan Protestan yang membawa nilai liberal, sekular dan dekonstruksi agama yang menyerap seluruh dunia Barat ketika itu. Akhirnya, agama Kristian melalui gereja telah dimandulkan fungsinya, dan hanya berperanan setiap hari Ahad untuk upacara pengampunan dosa, itupun tidak ramai yang hadir dan menaruh kepercayaan kepada gereja.

Hari ini, nilai sekular dan liberal berakar dalam pemikiran masyarakat Barat. Oleh itu, tidak hairanlah bagi mereka apabila nilai- nilai keagamaan boleh dipersendakan. Mereka dengan sesuka hati mempersendakan watak Pope atau paderi, golongan agama mereka dengan pelbagai watak yang melucukan sama ada dalam iklan, kartun, cerita dan lagu. Malah agama Kristian juga dipersendakan, sebagai contoh dalam kumpulan Black Metal yang menterbalikkan lambang salib. Bukan setakat itu sahaja, mereka berhak menyuarakan pendapat, sama ada positif dan sensitif, kerana bagi mereka inilah kebebasan bersuara yang menunjukkan masyarakat bertamadun.

Hakikatnya mereka jahil mengenai agama Islam yang mereka sangkakan seperti agama- agama lain. Bagi kita umat Islam, memang manusia dilahirkan untuk bersuara dan berhak menyuarakan segala pandangan. Akan tetapi, kita mempunyai batasan dan ruang lingkup yang boleh kita menyatakan pandangan.

Ini kerana kita dikurniakan akal yang singkat, keduanya tidak semua isu boleh kita perkatakan, terutamanya yang melibatkan hal ehwal agama, kaum, bangsa dan sentimen lain. Islam menghormati semua fahaman dan agama di dunia ini. Dalam Al- Quran pun ada berbunyi,” Jangalah kamu mencerca agama- agama lain”. Islam memberi panduan kepada umatnya supaya menghormati semua agama yang wujud di muka bumi ini.

Barat telah menyalahgunakan konsep kebebasan bersuara, kerana mereka tiada panduan agama yang sejati, yang masih autentik sifatnya, dengan agama Kristian yang sudah hilang keasliannya. Barat berpandu kepada rasional akalnya, yang kononnya 'anugerah mutlak bagi manusia'. Revolusi akal dalam sejarah kebangkitan Barat telah menyaksikan mereka memartabatkan akal lebih daripada panduan agama mereka. Oleh itu seorang ahli falsafah Jerman, Fredrick Nietchze telah menulis dalam satu buku beliau, 'God is Dead', manifestasi kekecewaan peranan Tuhan mereka yang telah 'mandul'. Kebebasan tanpa sempadan ini menyebabkan sistem perjalanan masyarakat menjadi kelam kabut. Mereka dicorakkan oleh firasat, hawa nafsu dan kehendak semasa, yang sudah pasti tidak kekal dan sentiasa berubah. Akhirnya hari ini kita melihatkan nilai kehidupan mereka sering berubah, dan tidak ada yang kekal.

Episod menghina Nabi Muhammad SAW ini pasti akan berlaku lagi sekiranya tiada tindakan tegas daripada umat Islam mahupun kerajaan Islam. Akan tetapi, tindakan kita perlulah berasas dan berhemah. Bukan dilarang untuk berdemonstrasi dan berkempen membantah di depan kedutaan, akan tetapi jangalah kita terperangkap dengan provokasi nakal mereka. Malah sepatutnya kita perlu sedar bahawa inilah watak manusia yang tidak bertamadun apabila orang yang mulia seperti Nabi Muhammad SAW, yang diiktiraf bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah seluruh dunia telah diperlekehkan. Dalam buku '100 Most Influential Person in The World', Michael Hart telah meletakkan Baginda SAW sebagai tokoh nombor satu yang paling berpengaruh.

Oleh itu, cara kita respon dan bertindak mestilah berhikmah, melambangkan kebijaksanaan dan keperibadian yang mulia, tidak perlu melenting tidak tentu hala kerana kita berhadapan dengan golongan yang jahil dan tidak bertamadun. Segala tindakan kita perlulah memberi mesej kepada mereka bahawa umat Islam tidak senang dengan tindakan mereka menghina Nabi Muhammad SAW dan menuntut mereka berhati- hati dalam mengeluarkan sesuatu yang sensitif dengan agama Islam.

Paling penting ialah, sepatutnya setiap umat Islam perlu mempunyai perasaan cemburu dengan agamanya. Apabila sesuatu kecaman diletakkan ke atas agama Islam, umat Islam perlu bangkit menyatakan bantahan dan ketegasan. Isu menyiarkan kartun hina Nabi ini sedikit sebanyak mempamerkan sikap responsif umat Islam yang perlu dipuji. Dalam pada itu, sebenarnya wujud golongan manusia yang tidak ambil endah dengan isu ini. Oleh itu, mereka ini perlu diberi kesedaran dan tunjuk ajar, supaya tidak tergolong dalam manusia yang munafik.

MOHD HILMI BIN RAMLI
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
212, Anjung Rahmat, Bt. 6. Jalan Gombak,
53100, Kuala Lumpur.