Saturday, July 08, 2006

PIALA DUNIA






Ia datang empat tahun sekali. Lebih hebat dari penangan sukan Olimpik, ataupun Komanwel. Piala Dunia sememangnya menjadi kegilaan orang ramai. Tanyalah sesiapa pun yang ada kat muka bumi ni, sudah pasti Piala Dunia merupakan satu kegilaan di tahap luar biasa. Siapa yang tidak rasa bahang Piala Dunia ini mungkin tidak normal, kerana Piala Dunia telah menyerang secara global di seluruh pelusuk dunia, dari kanak- kanak, orang tua, miskin, kaya, Mekah ke Buenos Aries, London ke pekan Ghana, terpelajar atau bukan, menteri atau rakyat marhean. Memang Piala Dunia diakui dapat menyatukan seluruh umat manusia untuk bersama- sama memikirkan tentang bola. Piala Dunia juga medan persahabatan, berkongsi minat, hiburan, sukan dan agen komersialisasi.

Amerika Syarikat suatu ketika pernah claim bahawa sukan mereka, American Football dan Baseball merupakan sukan pelbagai kaum,bangsa dan negara. Hakikatnya, sukan- sukan itu hanya berlegar di sekitar benua Amerika Utara itu sahaja. Rakyat Amerika juga sangat angkuh dengan sukan mereka, sampaikan bola sepak bukanlah permainan popular di kalangan rakyat Amerika. Sehinggalah apabila Piala Dunia 1994 diadakan di Amerika, mereka baru terbuka mata tentang sukan ini.

Kenapalah seluruh dunia demam bola Piala Dunia ini? Dalam majalah National Geography edisi Jun ada sebuah artikel bertajuk, 'Why The World Loves Soccer'. Jawapannya ialah kerana bola sepak merupakan sukan yang paling mudah dan mesra manusia. Bola sepak boleh dimainkan oleh semua peringkat manusia, sama ada kaya atau miskin. Tidak seperti golf, tinju, American Football dan ski. Bola sepak juga boleh dimainkan di mana- mana tempat, tidak kira di tepi pantai, atas jalan, padang rumput, lorong- lorong sempit dan padang lumpur. Bola sepak tidak memerlukan ongkos yang tinggi, sekadar bola yang boleh dibeli di pasar malam atau kedai eksklusif Adidas, dan orang yang akan bermain. Bola sepak juga diminati oleh lelaki dan perempuan. Bola sepak merupakan permainan yang menghiburkan dan berseni. Bola sepak boleh mengumpulkan umat dunia supaya berkumpul dan bercakapa pasal benda yang sama.

Dalam sisi hitam tentang bola sepak, sebenarnya ada juga perkara negatif berlaku sepanjang evolusi bola sepak ini berjalan. Ada pasukan bola yang mempunyai peminat ekstrem dan fanatik menggila. Sebagai contoh peminat England yang sering buat kacau dan bergaduh. Ada juga permainan bola sepak ini didasari oleh dendam keagamaan, bukan lagi semangat kesukanan, seperti pasukan dalam Liga Ireland. Pertembungan dendam di antara golongan Protestan dan Katholik.

Uniknya Piala Dunia ialah demamnya. Perlawanan akhir antara Itali dan Perancis merupakan klimaks demam Piala Dunia. Sepanjang pemerhatian umum, malam Piala Dunia tidak ubah seperti Malam Ramadan, meriah memanjang. Ada yang sanggup tidak tidur semata- mata untk tengok pasukan pilihan bertanding. Ada juga yang hilang fokus dan kurang produktiviti apabila bangun tidur lewat. Kalau ada yang bangun malam untuk tengok bola, kemudian sambil2 itu dirikan solat tahajud, hajat atau sebagainya lebih bagus.

Pengalaman di Singapura, persatuan Islam di sana dengan kerjasama surau2 atau masjid akan memasang skrin gergasi dan LCD untuk menayangkan siaran Piala Dunia. Penganjur menjemput para remaja dan anak muda untuk tonton di situ. sambil- sambil itu, pemain bola sepak kebangsaan yang beragama Islam dijemput juga. Mereka akan mengisi tazkirah ketika waktu rehat atau sebelum sepak bola bermula.

Di tempat kita, jarang nampak usaha macam ni. Nampaknya pihak masjid masih jauh ketinggalan dalam menampilkan pendekatan baru untuk para remaja hari ini. Pemikiran konservatif ini perlu ditukar. Kalau ada pun, boleh jumpa skrin gergasi dan LCD di kedai- kedai mamak. Pada satu sudut, pengusaha- pengusaha kedai mamak memang cekap dan bijak mengambil peluang keemasan empat tahun sekali ini. Setiap mala ada je yang memenuhi meja- meja dan kerus- kerusi. Kalau tidak cukup, ada yang duduk atas lantai atau lepak dalam kereta tengok dari jauh.

Tidak ada beza macam malam Ramadan, manusia sentiasa sibuk dan meriah. Bezanya, malam Piala Dunia bersifat keduniaan manakala Ramadan kerohanian. Pekedai- pekedai lain pula ada yang tidak bijak mengambil peluang seperti kedai- kedai mamak ini. Masih di takuk yang lama, TV kecil; berapa ramai yang boleh tengok, tutup awal, tiada perancangan masa depan mengenai bisnes mereka dan lain- lain.

Piala Dunia kali ini juga ada kematangannya. Penganjur mempromosi anti- racisme di kalangan pemain dan penonton, menyediakan ruang ibadat untuk pemain Islam dan melarang aktviti porno ketika Piala Dunia sedang berlangsung.

Apa2 pun, Piala Dunia tidak meriah kalau tidak ada titisan air mata, terutamanya bagi peminat pasukan yang kalah. Memang adat bertanding, sudah pasti ada yang kalah dan menang. Pasukan Jermanlah yang menanggung parut kesedihan paling dalam dan mungkin agak lama untuk disembuhkan. Beraksi di depan penonton sendiri sememangnya satu tekanan yang besar, kerana ingin memenuhi impian seluruh rakyat negara itu. Ianya boleh jadi juga 'pemain ke- 13' dalam stadium, dengan memberi sokongan padu pada negara Jerman.

Habis Piala Dunia, habislah demamnya. Kehidupan normal pasca Piala Dunia perlu diteruskan. Tunggulah empat tahun lagi, 2010 di Afrika Selatan. Sudah pasti Piala Dunia yang bakal menyajikan persembahan yang lebih menarik. Paling penting, rakyat Malaysia yang sentiasa menunjukkan keghairahan paling maksima dalam setiap aksi Piala Dunia, tertunggu- tunggu bila pasukan Malaysia akan masuk Piala Dunia. Kalau tidak 2010 ini, sekali lagi rakyat Malaysia kena menyokong pasukan negara lain, kalau tidak pun, sokonglah negara baru seperti Ghana atau Mali. Bola sepak di Malaysia masih jauh ketinggalan.

No comments: