Sunday, June 11, 2006

TEMURAMAH DENGAN UTUSAN MALAYSIA

Pengalaman di bumi asing mendidik Mohd. Hilmi
(Utusan Malaysia, 12 Jun 2006)

Oleh ZUARIDA MOHYIN




PELUANG menghadiri Persidangan Pertubuhan Pelajar-pelajar Islam Antarabangsa (IIFSO) di Istanbul, Turki, kata anak muda kelahiran Ipoh, Perak, Mohd. Hilmi Ramli adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan biarpun ia sudah setahun berlalu. Lebih-lebih lagi Mohd. Hilmi, 24, dapat mengamati tinggalan sejarah Kerajaan Uthmaniah yang benar-benar berada di depan matanya. Dia turut berpeluang menyambut perayaan sempena pembukaan kota Konstantinople pada setiap tahun pada 29 Mei selain bertukar pengalaman dengan rakan-rakan luar negara.

"Di Turki yang merupakan negara sekular ekstrem, siapa sangka rakyatnya ghairah mahukan Islam. Di samping itu, satu pengalaman baru saya alami sewaktu melawat Universiti Fateh di Istanbul, apabila saya melihat tindakan pelajar wanitanya yang terpaksa memakai rambut palsu untuk menutup rambut asal disebabkan pemakaian tudung diharamkan di sana".

"Malah, pengalaman menziarahi makam pembesar Islam dan ulama di Turki seperti Ayub Al-Ansari dan Muhammad Al-Fateh cukup menggembirakan saya. Apatah lagi kemudian bila saya berpeluang melawat makam Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat di Tanah Suci Mekah dan Madinah," bicara Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu baru-baru ini.

Menceritakan pengalaman awalnya menyertai PKPIM, Mohd. Hilmi berkata, ia bermula ketika dia mengikuti kursus matrikulasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Budaya ilmu yang ditunjukkan oleh gerakan pelajar, risalah pelajar serta penganjuran program keilmuan adalah antara faktor penariknya kepada persatuan itu.

"Semuanya bermula apabila saya terbaca satu ucapan dasar presiden PKPIM yang menceritakan tentang hala tuju perjuangan gerakan pelajar Islam di Malaysia ini. Sejak itu, saya serius mengikuti perkembangan PKPIM yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pelajar Islam peringkat kebangsaan yang menaungi semua pelajar Islam di Malaysia," jelasnya.

PKPIM yang ditubuhkan pada 1961 banyak menyumbang kepada generasi muda dan negara. Antaranya mencadangkan penubuhan UIAM pada 1971, menjadi antara badan gabungan terawal Majlis Belia Malaysia (MBM), mempunyai hubungan baik dengan World Assembly of Muslim Youths (WAMY), International Islamic Federation of Students Organization (IIFSO) dan menjadi penggerak utama Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (Pepiat).

"Malah PKPIM turut menekankan aspek pemikiran, tarbiah dan kerohanian yang telah melahirkan ramai pemimpin Islam di negara kita," kata Mohd. Hilmi yang menganggap PKPIM sebagai 'madrasah kedua' bagi mahasiswa yang berhasrat mempelajari seni kepimpinan, ketrampilan diri, pengurusan manusia dan organisasi dalam bentuk yang praktikal. Ia secara tidak langsung menjadi latihan mempersiapkan diri agar berdaya saing dan berketrampilan dalam mendepani cabaran hidup yang mendatang.

Bercerita tentang penglibatan seriusnya dalam PKPIM, kata Mohd. Hilmi, beliau banyak terlibat dengan program luar negara antaranya ke Laos, Medan, Istanbul, Korea dan Mekah yang bersifat persidangan antarabangsa, pertukaran pelajar dan misi kemanusiaan.

"Pengalaman paling menarik ialah dihantar oleh PKPIM dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) ke Laos pada 2004 untuk mengajar fardu ain kepada kanak-kanak Islam di sana. Walaupun jangka masanya singkat, saya dapat menghayati semangat sukarelawan". "Sebenarnya semangat ini semakin pudar kerana generasi muda masih dijajah dengan sikap individualistik dan kekurangan ini perlu diatasi," tegasnya sambil menegaskan sikap itu amat dituntut oleh Islam.

Bagi Mohd. Hilmi, menyertai persatuan merupakan satu pendedahan dan latihan yang baik kepada mahasiswa universiti. Ini kerana sistem pendidikan Islam bukan sekadar mahu melahirkan individu yang cemerlang dalam akademik tetapi bakal pemimpin yang prolifik.

"Menyertai persatuan dapat mengajar kita cara menjadi pemimpin, mengurus manusia, mengurus masalah, pergaulan dan sebagainya. Mungkin ada yang bermasalah apabila berpersatuan, ini perlu dijelaskan bahawa bukanlah persatuan itu yang mendatangkan masalah tetapi mereka sendiri yang bijak menguruskan masa".

"Saya mengutamakan pelajaran akademik dan kemudian baru persatuan. Malah yang paling penting, hubungan kita dengan Allah mestilah dijaga dengan baik. Itulah kunci kepada pengurusan masa yang baik," katanya.

[ Klik untuk Ke Arkib Utusan ]


No comments: