Monday, January 30, 2006

PKPIM MENUNTUT AGAR SEGERAKAN PINDA AUKU

PKPIM MENUNTUT AGAR SEGERAKAN PINDA AUKU


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada kenyataan media Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri pada 26 Januari mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, yang tidak akan dimansuhkan, akan tetapi dipinda dari peringkat ke peringkat. Kenyataan beliau ini menunjukkan komitmen dan sikap terbuka beliau dalam menerima pandangan dan suara pelajar. Malah PKPIM merujuk kepada kenyataan akhbar Dato’ Seri Dr. Shafiee Mohd Salleh, Menteri Pengajian Tinggi pada13 Disember bahawa jawatankuasa khas menilai peraturan dalam AUKU supaya disegerakan.

PKPIM merasakan sudah tiba masanya AUKU dinilai dan disemak kembali. Setelah pindaan terakhir dibuat pada 1983, kesan AUKU telah menyebabkan berlaku beberapa fenomena kurang sihat. Ini berlaku walaupun pada tujuan asalnya ingin mengekang dan mengawal mahasiswa daripada terjebak dengan gejala negatif mahupun kurang sihat.

Berdasarkan pemerhatian PKPIM, AUKU telah menyuburkan beberapa budaya kurang sihat di kalangan mahasiswa. Antaranya ialah:

Suburnya nilai- nilai individualistik dan materialistik di kalangan mahasiswa, apabila mereka beranggapan universiti hanya tempat mereka mendapatkan ijazah dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik. Akhirnya, mereka mati rasa dengan isu- isu masyarakat di luar.

Timbulnya budaya takut apabila didapati melanggar AUKU. Akhirnya pinjaman dipotong, dimarahi ibu bapa, tiada peluang menyambung pelajaran dan sebagainya. Mereka dibayangi oleh undang- undang yang mencengkam mereka dan menatijahkan hilang rasa berani bersuara, mengkritik dan mengemukakan gagasan baru dalam masyarakat.

Mahasiswa hanya menumpukan kepada aktiviti dalam kampus sahaja, yang kadang bersifat rekraesi dan hedonistik. Hanya segelintir sahaja yang berminat dengan kegiatan intelektual dan ilmiah yang mencerahkan akal.

Mahasiswa hilang minat mengetahui dan menganalisis isu semasa yang berlaku di luar universiti. Ini kerana mereka dibayangi oleh AUKU yang mencengkam. Akhirnya, slogan 'Mahasiswa Jurubicara Masyarakat' hilang begitu sahaja.

PKPIM berpandangan, isu kelesuan mahasiswa yang berlaku hari ini amat serius, berpunca dari AUKU ini. Sebagai contoh, mahasiswa yang malu bertanya dalam kelas, tidak kompetitif dalam pekerjaan, tidak kritikal dan malas berpersatuan adalah gejala real yang berlaku hari ini. Malah kelesuan mahasiswa ini akhirnya akan merugikan negara jua, kerana merekalah aset negara yang bakal memimpin kelak. Sekiranya banyak tekanan dan budaya kurang sihat diikat, maka dikhuatiri kita menempah masa depan yang tidak menentu bagi generasi akan datang.

MOHD HILMI BIN RAMLI
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments: