Sunday, October 30, 2005

MUHASABAH DI AKHIR RAMADAN

MUHASABAH AKHIR RAMADAN

Mohd Hilmi bin Ramli

Sekarang kita sudah berada di sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan. Sesungguhnya inilah peluang terbaik untuk umat Islam memperbaiki amalan mereka dan meningkat nilai takwa mereka. Akan tetapi, jika kita perhatikan dalam masyarakat kita, apakah benar- benar umat Islam di sekeliling kita mengambil manfaat daripada ganjaran yang telah dijanjikan ini? Secara umum, bulan Ramadan ialah bulan yang penuh barakah dan rahmat.

Barangsiapa yang benar- benar mengkhususkan bulan Ramadan ini untuk memperbaiki diri sendiri dan meningkat takwa, akan diperolehi apa yang dihajatinya. Ini trebukti dalam satu Hadis Nabi Muhammad Sallallhu'alaihi Wassalam yang berbunyi,

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan balasa Allah, akan diampuni dosa-dosa yang sebelumnya". Malahan ada ulama yang membuat perumpaan tentang bulan Ramadan ini dengan menceritakan Ramadan ibarat sebuah nahkoda besar yang melabuh di sebuah pulau, dan di dalam nahkoda itu sarat dengan khazanah yang bernilai tinggi seperti emas, permata, intan dan sebagainya,termasuk sumber makanan yang banyak. Nahkoda itu berlabuh di pulau itu sekadar satu bulan sahaja.

Maka si pengemudi nahkoda mengumumkan kepada penduduk pulau itu bahawa ambillah apa sahaja yang kamu mahu daripada nahkoda itu, kerana ia akan belayar kembali dalam tempoh sebulan. Maka, apabila sudah dibuat tawaran emas seperti itu, ramai yang terbondong- bondong mengambil khazanah yang bernilai tinggi itu. Namun demikian, sudah pasti juga ada yang mengambil sikap berkecuali dalam tawaran itu.

Golongan ini tidak mengambil berat dengan ganjaran yang ditawarkan itu. Mereka masih meneruskan kegiatan tradisi mereka seperti bermain dam haji, berlepak, bersembang dan
sebagainya yang tidak mendatangkan faedah. Dalam konteks hari ini, perumpaan ini terjadi dalam masyarakat kita. Apakan tidak, jika kita perhatikan dalam sumber Al- Quran dan Hadis, banyak menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadan ini. Apatahlagi ketika sepuluh malam terakhir ini. Di dalam surah Al- Qadr, apabila diberitahukan akan datang satu malam yang dinamakan 'Malam Qadar' yang meyamai seribu bulan. Seribu bulan bersamaan dengan lebih kurang 84 tahun.
Sesungguhnya inilah kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada umat akhir zaman yang tidak diperolehi oleh umat- umat sebelumnya.

Ketika sepuluh malam terakhir kita disunatkan untuk beriktikaf di masjid dan membanyakkan amalan membaca Al- Quran, mendirikan solat sunat, berzikir dan sebagainya. Iktikaf bermaksud, mendiami atau menetap di masjid dengan cara tertentu. Iktikaf merupakan salah satu ibadat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad saw. Dalam satu hadis, "Nabi saw selalu beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadan sehinggalah baginda wafat. Kemudian isteri- isteri baginda pula beriktikaf selepas kewafatan baginda" (Riwatat Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad saw tidak pernah meninggalkan amalan iktikaf ini sehinggalah beliau wafat. Mengenai kelebihan iktikaf, menurut hadis Nabi," Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari reda Allah, DIA akan menjadikan antara dirinya dan api neraka sejarak tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin" (At-Tabrani dan Hakim)

Malah, kesempatan beriktikaf itu ialah untuk mencari malam Qadr yang dijanjikan dengan ibadah seperti sSribu bulan. Seharusnya apabila kita mengetahui akan kelebihan bulan Ramadan ini, kita berbondong- bondong untuk mengambil ganjaran dan meningkatkan amalan kita. Malah, dari sudut memberi kesedaran tentang pentingnya bulan Ramadan ini, media- media elektronik seperti TV, radio dan laman web yang Islami banyak membangkitkan tentang kelebihan bulan Ramadan ini. Tidak dinafikan juga peranan media bukan elektronik sepertisuratkhabar, risalah, artikel dan buku- buku yang ditulis mengenai Ramadan. Semua instrumen ini telah digerakan secara menyeluruh untuk membangkit kesedaran dan ghairah untuk beribadat dalam bulan Ramadan. Malah waktu bekerja dan sekolah juga diberi kelulusan untuk habis awal bagi memberi ruang untuk bersiap- siap ketika berbuka, terawih dan sebagainya.

Akan tetapi jika kita perhatikan keadaan masyarakat kita, apakah mereka ini benar- benar menghayati akan berkah dan rahmatnya bulan Ramadan ini. Pengalaman peribadi yang diperhatikan ialah, ada sesetengah di kalangan masyarakat yang sanggup mengekang mata untuk melihat siaran bola sepak di kaca TV di awal pagi. Penulis merasakan mereka ini adalah golongan yang paling rugi ketika bulan Ramadan ini. Apakan tidak, ada juga yang malas untuk bangun malam ketika Ramadan akan tetapi sanggup membuat kerja lain yang kurang
faedahnya.

Ini adalah sebilangan kecil contoh yang mengambarkan bahawa masih ada lagi golongan umat Islam kita yang tidak mengendahkan akan hadirnya bulan Ramadan. Para Sahabat Nabi saw pada suatu ketika amat rindu untuk ketemu dengan bulan Ramadan, dan apabila Ramadan berada di penhujungnya, mereka berduka nestapa yang amat sangat kerana takut- takut tidak dapat berjumpa lagi dengan bulan Ramadan.

Mengapa pentingnya kita mengingatkan golongan manusia yang tidak sedar ini akan betapa pentingnya kita mengambil peluangn Ramadan ini dengan membanyakkan ibadah dan meningkat takwa kita. Sebenarnya beberapa peristiwa seperti tsunami di Acheh, gempa bumi di Kahsmir, India dan Pakistan dan beberapa bencana alamtermasuk ujian yang ditimpakan Allah kepada dapat memberi keinsafan kepada jiwa kita.

Muhammad Abduh menyentuh mengenai aturan moral yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, bahawa ianya adalah religious morality yang tidak ada bezanya dengan natural morality. Akal manusia sebenarnya dapat menerima kebenaran itu jika hadir di depannya,akan tetapi akibat ego, malah dan banyak sikap negatif menyebabkan nilai kebenaran itu diabaikan. Sememangnya aturan moral yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya ini mengenai Ramadan bakal mendatangkan kebaikan kepada manusia itu sendiri jika manusia itu benar-
benar mengambil manfaat daripadanya.

Akhirnya, produk daripada madrasah Ramadan ini ialah untuk melahirkan manusia yang bertakwa di gelanggang masyarakat. Ini amat penting bagi masyarakat kita hari ini kerana nilai kebenaran dan kebaikan semakin luput di tengah masyarakat, akibat kepekatan hitam hati dan kepandiran diri tentang nilai baik yang dibawa oleh agama itu sendiri